January 26 2024
Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)
Cantuman dewasa adalah salah satu kaedah pembiakan vegetatif bagi menggantikan pokok durian lama/ dewasa/ matang kepada varieti yang terpilih seperti varieti D197 (Musang King), D200 (Duri Hitam) dan lain-lain lagi. Pemilihan varieti bukan terhad kepada varieti komersil, tetapi juga kepada varieti yang dikehendaki oleh pekebun yang mempunyai nilai sentimental ataupun koleksi varieti tersendiri.
Kelebihan kaedah ini adalah tumbesaran pokok adalah sangat cepat kerana sistem akar pada pokok penanti yang tersedia ada meningkatkan lagi kecekapan pengambilan nutrisi. Mengikut rekod dan pemerhatian, pokok yang dicantum mula mengeluarkan hasil pada seawal 38 bulan.
Pemilihan Pokok Penanti
• Syarat utama pokok penanti mestilah sihat dan bebas dari penyakit. Jangkitan penyakit pada pokok seperti serangan Phythopthora amat berisiko menyebabkan pokok mati selepas dicantum.
• Serangan perosak seperti anai-anai dan "pin hole borer" juga akan mengganggu kerja cantuman. Kulit pokok yang rosak menyukarkan kerja mengumpil kulit pokok dan peratus kejayaan adalah rendah.
Proses Cantuman
Bagi artikel kali ini, kaedah yang dikongsikan adalah kaedah mencantum dahulu dan setelah cantuman berjaya , pokok penanti akan ditebang kemudian.
1. Mengikis tapak cantuman
• Kambium pokok dikikis menggunakan parang pada aras 1.0 m-1.2 m dari tanah dengan saiz 0.3m panjang dan 0.1m lebar. Pemilihan paras tapak cantuman yang dibuat adalah untuk merendahkan risiko percikan air ataupun kelembapan yang tinggi yang berupaya memberi jangkitan penyakit kepada pokok. Arah tapak cantuman juga adalah bertentangan dengan arah cenderung pokok condong ( tumpuan kanopi ) kerana untuk mengelakkan cantuman dihempap pokok Ketika kerja menebang pokok selepas cantuman berjaya.
• Kerja mengikis pokok dijalankan dari bahagian bawah ke atas dengan menggunakan parang yang tajam bagi mengelakkan permukaan tapak berbulu dan juga melancarkan kerja mengikis.
• Tahap kikisan kambium pokok adalah sehingga 1.0-2.0mm bagi memudahkan kerja mengelopak tapak cantuman dan memastikan ketebalannya serasi dengan saiz batang sion.
2. Mengelar dan mengelopak tapak cantuman
• Kambium yang telah dikikis dikelar dengan menggunakan pisau cantuman dengan saiz panjang 10-12 cm panjang dan lebar 2.0-2.5 cm.
• Tujuan proses ini adalah untuk dijadikan sebagai tapak cantuman iatu untuk menyelitkan sion.
3. Mengetuk paku pada bahagian tepi pokok (bawah dan atas)
• Paku bersaiz 2.5” diketuk pada bahagian tepi pokok terdahulu sebagai persediaan untuk mengikat pita cantuman selepas kerja menyelit sion.
4. Meraut sion
• Kulit ranting sion diraut dengan panjang 4-5 cm pada bahagian belakang ranting.
5. Menyelitkan sion pada tapak kelopak cantuman
• Sion diselitkan dengan menghalakan kelaran kulit ke bahagian dalam tapak cantuman.
6. Melilit cantuman
• Cantuman dililit menggunakan pita cantuman bersaiz 1” lebar dari bahagian bawah ke atas.
• Bahagian cantuman ditutup habis bagi mengelakkan ia terdedah kepada percikan air yang berupaya untuk mencemarkan cantuman.
Kejayaan Cantuman
• Kerja membuka cantuman dijalankan pada hari ke-45 selepas cantuman. Pita cantuman perlu dibuka secara berperingkat bagi mengelakkan kematian tunas yang baru pecah (tunas baru).
Tips Meningkatkan Kadar Kejayaan Cantuman
• Pastiksn kerja mengelopak dan mengelar ranting sion dijalankan dengan kadar segera bagi mengelakkan getah pada muka keratan kering.
• Penggunaan peralatan yang tajam akan memudahkan kerja dan dapat merendahkan penggunaan masa cantuman.
• Elakkan menyentuh cantuman yang baru dibuat kerana ia berkemungkinan menyebabkan keratan cantuman teralih dan getah pada muka keratan kering.
• Elakkan membuat cantuman ketika hujan ataupun musim hujan kerana keadaan batang pokok yang basah mampu mencemar tapak keratan cantuman.
Penyelenggaraan pokok selepas cantuman
• Mengelar kambium pokok penanti bagi menghadkan pengambilan nutrisi dan juga air kepada pokok penanti.
• Menebang pokok penanti
• Pokok penanti ditebang setelah tunas cantuman mencapai saiz 0.4-0.45 m pada aras 0.4m -0.5m dari tapak cantuman. Kerja menebang pokok penanti disarankan dibuat secara berperingkat dan menggunakan tenaga kerja yang mahir bagi melancarkan lagi operasi menebang.
Sokongan Tunas Cantuman
• Tunas cantuman perlu disokong dengan penyokong bagi mengelakkan risiko pokok sekah pada peringkat awal sehingga berumur 5-8 tahun bergantung kepada keadaan dan kestabilan pokok. Aplikasi buluh, kayu 2” x 3”, “carbon pole” dan juga besi boleh digunakan sebagai penyokong.
Teknologi ini boleh dipraktikkan di dalam pembiakan tanaman durian bagi tujuan menggantikan varieti lama terutama pokok yang tidak ekonomik dari segi nilai hasil kepada varieti yang dikehendaki. Latihan dan praktikal yang berterusan mampu meningkatkan kemahiran serta kadar kejayaan cantuman. Diharap teknologi ini dapat dikembangkan bagi menghangatkan lagi industri durian di negara kita. Salam Durian.
Rujukan:
• 2016, Jabatan Pertanian,Teknologi cantuman dewasa durian.
• 2016-2023, Ali Hanafiah, Teknologi dan Pengurusan Agronomi Tanaman Durian
• Plot pemerhatian Jabatan Pertanian, Kg.Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub
• First Lady Durian Farm,Raub, Tinjauan teknologi dan tembual.
• Lim Chin Khee, Durian Academy, Grafting Technology
• Au Kah Hing, Kg.Tras, Raub, Grafting Techology Tutorial
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.