October 07 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Kehangatan musim durian pada tahun ini dapat dirasai dengan penjualan durian yang berterusan bermula dari awal bulan Jun. Pelbagai jenis durian yang dibekalkan dari negeri seperti Pahang, Johor dan Pulau Pinang telah dipasarkan di seluruh Malaysia.
Tren harga pasaran telah menunjukkan turun naik harga durian mengikut lokasi, permintaan dan penawaran. Pemasaran “Raja Buah” di pasaran tempatan adalah berfokuskan modul penjajaan atau penjualan secara langsung dan segar dari kebun. Ini telah menarik pelbagai lapisan masyarakat terutamanya pada kemuncak musim durian.
Walau bagaimanapun, ada pihak yang mengadu bahawa ada kalanya harga beberapa varieiti durian premium seperti Musang King dan Duri Hitam adalah terlalu tinggi dan banyak yang tidak mampu untuk membeli. Perbandingan harga yang ketara juga dapat diperhatikan dengan varieiti lain seperti Durian Kampung. Pandangan para penjaja mengenai isu ini telah dikupas secara lanjut.
Penjaja durian di pasaran tempatan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, Secara amnya, individu-individu ini telah dikategorikan kepada penjaja jalanan yang menjual di pasar malam atau di tepi jalan, penjaja pasar yang menjual di pasar awam atau pasar tani dan mempunyai gerai jualan yang tetap dan juga penjaja dalam talian yang menggunakan platform e-dagang seperti Facebook, Tiktok dan Instagram dan aplikasi penghantaran untuk memasarkan durian.
Cabaran Penjaja
Pada masa yang sama, setiap kategori penjaja ini menghadapi cabaran yang lebih kurang sama setiap kali musim durian tiba. Di antara cabaran ialah berkaitan dengan bekalan durian. Para penjaja mendapatkan bekalan durian dari pekebunpekebun kecil dan para pemborong durian. Bekalan yang segar dan berterusan merupakan kunci utama kepada para penjaja.
Selain itu, kualiti durian juga penting kerana adalah kunci semasa menentukan harga jualan. Menurut beberapa penjaja durian jalan di sekitar kawasan Tangkak, Johor, mereka akan memilih durian saru per satu yang dibekalkan oleh pekebun sebelum menjual kepada para pengguna. Faktor seperti fizikal dan saiz durian memainkan peranan yang penting selain dari faktor kualiti isi durian.
Sebagai contoh, durian varieiti Musang King yang bersaiz besar dan mempunyai luaran yang baik akan dikategorikan sebagai gred AA dan boleh mencecah sehingga RM50 per kilogram di pasaran Tangkak manakala durian yang bersaiz kecil pula menjadi gred C.
Bekalan durian yang tidak menentu ketika permintaan tinggi boleh menyukarkan para penjaja kerana stok yang berterusan sepanjang musim adalah mustahak. Tambahan, para penjaja durian di Muar juga berkongsi bahawa harga jualan durian boleh dipengaruhi oleh bekalan.
Harga yang tinggi dapat diperhatikan pada awal dan pengakhiran musim durian kerana bekalan adalah kurang berbanding dengan musim kemuncak di mana bekalan adalah melimpah dan harga jualan jatuh menjadi lebih murah.
Contohnya harga durian kampung pada musim kemuncak hanyalah bernilai RM3 per kilogram manakala boleh mencapai RM12 per kilogram semasa pengakhiran musim di Johor.
Di Lembah Klang pula, harga durian kampung walaupun ketika musim kemuncak boleh mencapai RM 22 per kilogram kerana lebih banyak permintaan berbanding dengan kawasan yang lebih kecil.
Persaingan di antara penjaja durian turut menjadi sengit pada musim durian. Bekalan durian yang banyak pada satu-satu masa dan bilangan penjaja yang ramai telah merendahkan margin harga jualan dan menjejaskan keuntungan para penjaja.
Menurut penjaja jalanan di Bukit Pasir pula, buah durian yang dibekalkan oleh para pekebun akan dijual pada hari yang sama dan bekalan berlebihan tidak akan dijual lagi pada esok hari. Ini adalah untuk memastikan kesegaran durian yang dijual.
Untuk mengelakkan daripada pembaziran, banyak penjaja membuat promosi harga pukal atau harga borong untuk menarik lebih ramai pengguna dan juga menjual produk lain seperti tempoyak dan juga cendol durian.
Selain itu, peningkatan kos operasi seperti upah pekerja, kos pengangkutan dan sewa tempat turut menjadi cabaran kepada para penjaja. Perubahan dari segi kos ini akan terjadi pada setiap tahun dan ini menyebabkan harga durian semakin naik pada satu-satu masa. Kawalan tapak sewa atau tempat penjualan mungkin boleh membantu dalam mengawal harga durian di pasaran tempatan.
Promosi Tradisional + Promosi Dalam Talian
Untuk menangani cabaran-cabaran ini, penjaja durian menjadi lebih kreatif dalam strategi pemasaran untuk menarik pelanggan dan meningkatkan jualan mereka. Strategi yang biasa digunakan adalah penjualan secara promosi dengan menawarkan pakej durian pada harga diskaun untuk menarik pengguna, seperti jualan durian kampung selonggok atau sebakul pada harga RM50 ke RM100.
Pemasaran secara langsung juga telah dibuat oleh para penjaja durian di mana sesi rasa durian atau durian tasting dijalankan untuk membolehkan pengguna untuk mencuba durian sebelum membeli. Strategi ini selalunya dibuat oleh penjaja yang yakin akan bekalan yang diterima oleh para pekebun dan selalunya menawar untuk menukar durian jika kualiti durian tidak memuaskan pengguna.
Tidak kurang juga bagi promosi media social menggunakan platform seperti Tiktok, Instagram dan Facebook. Para penjaja di Lembah Klang berkongsi bahawa mereka haruslah sentiasa peka kepada teknologi dan tidak segan untuk memasarkan durian di laman media social secara langsung atau live untuk menarik lebih ramai pengguna di serata tempat. Perkhidmatan penghantaran durian pintu ke pintu juga turut dibuat dan menarik pengguna atas talian, malah percuma sekiranya pengguna membeli melebihi harga tertentu.
Penjajaan durian telah memberikan impak ekonomi yang signifikan terhadap ekonomi tempatan, walaupun ia tidak dilihat secara langsung. Ia merupakan sumber pendapatan utama bagi sesetengah penjaja. Ia juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, dari pekebun hingga ke panjaja.
Pada masa yang sama, durian yang berkualiti tinggi mampu memasuki pasaran antarabangsa seperti Musang King telah menyumbangkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP).
Durian turut menjadi ikon untuk industri pelancongan di Malaysia dan meningkatkan permintaan dari yang sedia ada di pasaran tempatan. Selain itu, durian juga dapat dipasarkan untuk menjadi produk lain seperti dodol durian, cendol durian dan juga kek durian. Ini dapat meluaskan lagi pasaran durian untuk para penjaja.
Penjaja durian memainkan peranan penting dalam industri durian di Malaysia. Mereka bukan sahaja membantu memastikan bekalan durian berkualiti tinggi sampai ke tangan pengguna, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi tempatan.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, semangat keusahawanan dan inovasi yang ditunjukkan oleh penjaja durian membuktikan bahawa mereka mampu terus bertahan dan berkembang dalam industri ini. Dengan sokongan yang betul dan penggunaan teknologi, masa depan industri durian di Malaysia kelihatan cerah.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.