May 26 2025
Oleh: Nik Sukry Ramli
Sekitar bulan Oktober 2021, kerajaan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengumumkan bahawa negeri Pahang mempunyai potensi menjadi antara pengeluar utama cendawan tiram kelabu.
Ketika itu, LPP menggalakkan lebih banyak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Pahang mengambil peluang yang disediakan untuk menceburi projek penanaman cendawan.
Tiga PPK yang paling aktif dalam penanaman cendawan tiram kelabu adalah PPK Kuantan Utara, Pekan, dan Merapoh, dekat Lipis.
“Ketiga-tiga PPK berkenaan mempunyai 105,000 bongkah dengan hasil tuaian sehingga 760 kilogram cendawan untuk seminggu,” kata seorang wakil LPP Pahang.
Shafwira Ramlee: Tukang Masak yang Beralih ke Pertanian
Antara yang aktif dalam penanaman cendawan di Pahang adalah seorang tukang masak yang ‘bersara awal’ kerana ingin mencuba bidang yang berlainan.
Selepas lebih 10 tahun bekerja sebagai tukang masak, Shafwira Ramlee yang menetap di Pekan, Pahang, mengambil keputusan untuk bersara. Beliau memilih menjadi petani dan mengusahakan tanaman cendawan tiram di Pusat Pertanian Permatang Pauh dan Tanah Putih, dekat Pekan.
“Permintaan tinggi terhadap cendawan tiram mendorong saya menceburi bidang ini,” jelasnya.
Shafwira berpuas hati dengan hasil yang diperoleh sejak mengusahakan tanaman itu kira-kira empat tahun lalu. Beliau kini mampu menuai hasil antara 40 hingga 100 kilogram cendawan tiram setiap hari.
“Pelanggan saya terdiri daripada peniaga dan pelanggan di pasar tani serta pekan sehari di daerah Pekan, Kuantan, dan Rompin.
“Setiap kilogram cendawan dijual pada harga RM12, dan saya mengutip hasil dua kali sehari dengan dibantu lima pekerja.
“Saya sentiasa memastikan pengeluaran cendawan yang saya tanam mampu menghasilkan tuaian yang mencukupi,” ujarnya.
Beliau kini mempunyai lebih 100,000 beg cendawan yang ditempatkan dalam 12 rumah simpanan pelbagai saiz di kawasan pusat pertanian tersebut.
Projek Komuniti untuk Golongan Rentan
Selain boleh menjana pendapatan individu, industri cendawan juga berupaya mengubah nasib golongan rentan yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.
Menerusi projek komuniti yang dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri, dan institusi pengajian tinggi (IPT), golongan rentan diberi peluang untuk mencipta pendapatan yang memuaskan.
Tiga individu daripada golongan rentan di lorong Wong Ah Jang dan Jalan Pasar, dekat Kuantan, Pahang, dipilih untuk menguruskan projek tanaman fertigasi cendawan sebagai langkah mengubah nasib mereka pada tahun 2023.
Projek itu diuruskan melalui NGO Dapur Infaq Ummah dengan kerjasama Teratak Kasih Solution Enterprise dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS).
Pihak POLISAS menggunakan pendekatan Internet of Things (IoT) bagi menguruskan projek fertigasi tersebut.
Menerusi projek berkenaan, sebanyak 3,000 bongkah cendawan ditempatkan di rumah cendawan di kawasan Bukit Sekilau.
“Tiga komuniti rentan ini menguruskan rumah cendawan ini. Mereka menerima upah antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.
“Kami berpendapat kadar upah yang diberi ini amat bersesuaian dan yakin ia mampu menyuntik semangat untuk mereka terus bekerja,” kata wakil Dapur Infaq, Badrul Jamili.
Norita Johari: Ibu Tunggal yang Berjaya
Status sebagai ibu tunggal tidak menghalang Norita Johari mengubah hidup keluarganya dengan mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu sejak empat tahun lalu.
Walaupun tiada pengalaman dalam penanaman cendawan, namun ia tidak menghalangnya mengambil risiko dan mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM6,000 bagi mendirikan rumah simpanan dan menyediakan 400 bongkah cendawan.
"Selepas berdepan pelbagai cabaran dan dugaan, kini saya mula meraih kejayaan walaupun tidak seberapa kerana kekangan modal.
“Saya sekarang mampu meraih antara 10 hingga 15 kilogram cendawan tiram kelabu sehari hasil daripada 3,500 bongkah,” katanya yang mengusahakan tanaman cendawan di Kampung Cendering, dekat Kuantan.
Norita memaklumkan, beliau mendapat bantuan daripada Pejabat Pertanian Daerah Kuantan untuk rumah simpanan dan 3,500 bongkah, yang menambahkan lagi semangatnya untuk berjaya dalam bidang berkenaan.
Norita yang memiliki Ijazah Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata beliau kini memiliki beberapa pelanggan tetap yang membeli cendawan setiap hari, berbeza dengan awal permulaannya yang memerlukan dirinya menjaja ke kedai.
Beliau memberitahu, prospek industri cendawan juga diakui sangat cerah dan boleh membantu meningkatkan kualiti hidup mereka.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.