December 31 2025

Usaha Kecil Mula Membuahkan Hasil Anggur Jerantut Makin Dikenali

Usaha Kecil Mula Membuahkan Hasil Anggur Jerantut Makin Dikenali - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry

Terletak di barat Pahang, daerah Jerantut lebih sinonim dengan ladang kelapa sawit, kebun getah dan buah-buahan tempatan.Tanpa disedari ramai, terdapat satu sudut kecil dalam daerah ini di mana seorang lelaki berusia 58 tahun membuktikan tanaman anggur juga mampu tumbuh subur.

Syed Norhaimi Syed Zin bukanlah satu nama besar dalam bidang pertanian, tetapi minatnya yang mendalam terhadap tanaman  anggur menjadikan beliau antara perintis yang berani mencuba sesuatu yang dianggap mustahil. 

Cabaran Awal dan Penambahbaikan 

Bermula dengan hanya 16 pokok sebagai projek percubaan, Syed Norhaimi kini mampu  berbangga apabila tanaman yang pernah diragui  itu berkembang menjadi ladang kecil dengan  potensi besar.


Antara varieti anggur yang diusahakan Syed Norhaimi adalah Hellodor, Velez dan Jupiter yang mempunyai rasa manis setanding dengan anggur ditanam di negara beriklim sejuk.

 


Ketika peringkat awal kira-kira dua tahun lalu, anggur yang diusahakannya sering berdepan dengan cabaran. Buah yang dihasilkan bersaiz kecil,  rasanya masam, dan jauh daripada kualiti  yang diharapkan. Ramai juga menganggap usaha  itu tidak berbaloi dan tidak akan bertahan lama. 

Usaha Penyelidikan dan Pembangunan 

Syed Norhaimi mengambil pendekatan dengan membuat kajian sendiri, selain merujuk kepada pakar pertanian untuk memahami keperluan tanaman beriklim subtropika ini. 

Beliau melakukan percubaan menggunakan baja kimia dan organik dalam kadar yang berbeza sehingga akhirnya menemui formula yang sesuai. “Hasilnya kini jauh lebih baik. Pokok yang matang menghasilkan buah yang manis, setanding dengan anggur import. 

Itu memberi kepuasan yang luar biasa selepas pelbagai kegagalan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Embun, dekat Jerantut, Pahang.


Kebun anggur diusahakan Syed Norhaimi Syed Zin di Taman Seri Embun, Mukim Temin, dekat Jerantut menjadi tumpuan ramai berikutan kesegaran buah-buahan diusahakan beliau sejak dua tahun lalu.

 


Kepelbagaian Varieti Anggur 

Hari ini, ladang anggur yang diusahakannya mempunyai lebih 120 pokok daripada 17 varieti  yang berbeza. "Antara yang popular ialah Heliodor dengan buah hijau keemasan, Jupiter berwarna hitam, serta Velez yang berona kemerahan. 

Varieti lain seperti Baikonar, Lorano, Juvile, Montecristo, dan Krasava turut ditanam bagi memberi kepelbagaian kepada pengunjung dan pembeli," jelasnya.

Kerjasama Strategik dengan Jabatan Pertanian Tidak sekadar menanam untuk hobi, Syed Norhaimi  mula melangkah lebih jauh dengan menjalinkan  kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP). 

Kerjasama ini membuka ruang kepadanya untuk memajukan Pusat Anggur Temin yang terletak di kawasan Pejabat Pertanian Temin dalam daerah  Jerantut.

Di pusat itu, dua buah rumah hijau telah dibina  khusus untuk tanaman ini. Sehingga kini, terdapat 32 pokok yang sudah berbuah, manakala 44 lagi  baharu ditanam bagi meluaskan kawasan tanaman. Pusat itu juga berfungsi sebagai lokasi kajian dan  rujukan kepada petani lain yang berminat. 

Sumber Varieti Antarabangsa 

Bagi mendapatkan varieti yang lebih unik,  beliau tidak hanya bergantung kepada sumber tempatan. "Mata tunas dan benih dibeli secara  dalam talian daripada pembekal dalam dan luar negara, termasuk Asia Barat dan Eropah. 

Kebun anggur diusahakan sejak dua tahun lalu oleh Syed Norhaimi mempunyai lebih 120 varieti dengan 17 daripadanya paling mendapat perhatian pengunjung.

 

Langkah itu penting untuk memastikan pengeluaran  buah yang pelbagai dan mampu menarik minat pasaran. 

"Setiap varieti mempunyai keistimewaan tersendiri. Ada yang manis dan rangup, ada pula yang berjus dan lembut. Perbezaan ini memberi peluang  kepada pengusaha tempatan untuk menyesuaikan  tanaman dengan permintaan pengguna,"  katanya lagi.

Kepentingan Penjagaan dan Penyenggaraan 

Selain faktor baja, aspek penjagaan juga amat  penting. Pokok anggur perlu dicantas secara berkala bagi memastikan pertumbuhan dahan dan buah yang seimbang. 

Rumah hijau pula membantu mengawal  kelembapan dan melindungi tanaman daripada serangan serangga serta penyakit. 

Syed Norhaimi mengakui kos penyelenggaraan  agak tinggi berbanding tanaman biasa, namun pulangan jangka panjangnya agak lumayan. " 

Anggur segar tempatan bukan sahaja mempunyai nilai pasaran yang baik, malah dapat menurangkan kebergantungan kepada import," tambahnya. 

Lebih menarik, tanaman ini kini mendapat  perhatian golongan muda. Ramai yang datang  bertanya mengenai teknik penanaman, malah ada yang melihatnya sebagai peluang perniagaan  baharu di Pahang. 

Keadaan ini membuktikan bahawa anggur  berpotensi menjadi sebahagian daripada landskap pertanian moden negara.

Inspirasi kepada Masyarakat 

Beliau berharap usaha yang dijalankan itu dapat dijadikan inspirasi kepada masyarakat setempat. Katanya, tiada yang mustahil jika dilakukan dengan kesungguhan dan minat yang mendalam. “


Kebun anggur di Taman Seri Embun, Mukim Temin, dekat Jerantut tidak hanya menjadi tumpuan penduduk sekitar, tapi turut menarik kedatangan pelancong dari luar Pahang yang ingin menikmati keunikan rasa anggur diusahakan Syed Norhaimi.

 


Selain pengunjung boleh menikmati anggur segar secara terus dari pokok, jualan anggur pelbagai varieti juga ditawarkan kepada pengunjung kebun anggur di Taman Seri Embun, Mukim Temin, dekat Jerantut.

 


Kalau kita hanya bergantung kepada tanaman  tradisional, ruang untuk meneroka produk  baharu akan terbatas. Anggur ini sebagai contoh,  walaupun berasal dari negara beriklim sejuk, ia  tetap mampu tumbuh di tanah kita jika dijaga  dengan betul,” ujarnya. 

Rancangan Masa Hadapan 

Kerjasama erat dengan pihak Jabatan Pertanian  Negeri Pahang membuka peluang lebih besar kepadanya. Antara yang dirancang termasuk  penganjuran kursus latihan dan lawatan teknikal supaya lebih ramai penduduk setempat dapat  menimba ilmu secara langsung.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag