November 12 2024
Pembangunan teknologi pertanian dapat dilihat semakin rancak, selari dengan perkembangan aktiviti pertanian dan permintaan global. Malaysia telah membina pelbagai jaringan dengan pertubuhan dalam dan luar negeri terutamanya dalam perkongsian kepakaran dan ilmu dalam usaha untuk memperkasakan industri ini.
Pada bulan Ogos yang lalu, Dewan Negeri Selangor telah menerima delegasi dari Republic of China, Taiwan seramai 17 orang sempena Program Pertukaran Polisi Selatan Baru Duta Pertanian Muda 2024 (Young Agricultural Ambassadors New Southbound Policy Exchange Program) terdiri daripada usahawan pertanian muda khusus dalam bidang pertanian, perhutanan, perikanan, penternakan haiwan, dan pemasaran perdagangan. Program ini diketuai oleh Encik Albert Chang.
Menerusi ucapan daripada YB Tuan Lau Weng San, Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, beliau berharap delegasi Program Pertukaran Polisi Selatan Baru Duta Pertanian Muda 2024 dapat belajar serta berkongsi pengalaman dengan para pekebun dan pengusaha tani di Malaysia melalui program. Malaysia kini bergerak ke arah penghasilan hasil pertanian mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan juga luar negara.
Tambahan, YB Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor turut berkongsi bahawa rangkaian dan keselamatan makanan yang berterusan amatlah penting terutamanya dalam keadaan darurat global ketika pandemik COVID-19 yang lalu. Beliau meluahkan rasa kagum terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak Taiwan dalam memodenisasikan industri pertanian dan berharap agar dapat bekerjasama dari segi penyelidikan dalam membangunkan industri ini di Malaysia.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa industri pertanian mestilah merangkumi 3 ciri penting iaitu ketersediaan, boleh diakses dan mampu milik terutamanya dalam usaha untuk memodenkan industri pertanian kerana teknologi pintar memerlukan kos yang tinggi dan tidak ramai petani atau pengusaha mampu untuk menggunakan teknologi tersebut.
Amat menarik sekali apabila EXCO Pertanian Selangor, YB Ir Izham Hashim menyentuh tentang lawatan beliau ke Taiwan pada tahun 2019 dan beliau bercadang untuk menyambung semula lawatan itu pada tahun 2025 untuk memacukan lagi sektor pertanian bernilai tinggi di Selangor.
Di samping itu, delegasi dari Taiwan telah membentangkan slaid teras pertanian yang berfokuskan pertanian pintar, kelestarian, ketahanan dan keselamatan dalam bidang pertanian. Selain itu, aplikasi pertanian pintar turut dikongsikan termasuklah penggunaan sensor dalam pengesanan cuaca lapangan, sensor kualiti air dan juga penggunaan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things; IoT).
Kaedah penanaman secara putaran dan juga penanaman organik turut dikongsikan dalam usaha perkongsian ilmu pertanian dengan Malaysia. Delegasi tersebut turut menyuarakan matlamat untuk bekerjasama dan membina rangkaian pertukaran ilmu pertanian moden dengan Malaysia dalam jangka masa panjang terutamanya dalam bidang pertanian lestari.
Kerjasama dari segi pembukaan peluang ekonomi dan pekerjaan serta perkongsian kepakaran dan budaya juga turut dibincangkan. Program ini telah menghantar 2 kumpulan sasaran seramai 24 delegasi untuk melawat kawasan pertanian di Malaysia dan juga Thailand bermula dari 26 Ogos 2024 hingga 1 September 2024. Pihak Taiwan telah mengenalpasti Malaysia dan Thailand sebagai rakan utama di bawah Dasar Baharu Pandang ke Selatan (New Southbound Policy, NSP).
Lawatan ini juga disambut oleh Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur Dan Mobiliti (JPK – Infragro) sebelum mereka dibawa ke Bilik Gerakan untuk sesi perkongsian bersama Y.B. Tuan Ir. Izham Bin Hashim, EXCO Infrastruktur & Pertanian dan YB Speaker berkenaan Dewan Negeri Selangor. Selain itu, para hadirin termasuk wakil daripada Persatuan Pekebun- Pekebun Sayur Kawasan Pantai Selangor serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.