November 12 2024

Perkongsian Ilmu Dalam Pertanian Moden

Perkongsian Ilmu Dalam Pertanian Moden - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Pembangunan teknologi pertanian dapat dilihat semakin rancak, selari dengan   perkembangan aktiviti pertanian dan permintaan global. Malaysia telah membina   pelbagai jaringan dengan pertubuhan dalam dan luar negeri terutamanya dalam perkongsian kepakaran dan ilmu dalam usaha untuk memperkasakan industri ini.

Penyampaian cendera mata daripada Lau Weng San kepada wakil Taiwan.

 

Pada bulan Ogos yang lalu, Dewan Negeri   Selangor telah menerima delegasi dari Republic of China, Taiwan seramai 17 orang sempena Program   Pertukaran Polisi Selatan Baru Duta Pertanian Muda 2024 (Young Agricultural Ambassadors New   Southbound Policy Exchange Program) terdiri daripada usahawan pertanian muda khusus   dalam bidang pertanian, perhutanan, perikanan,   penternakan haiwan, dan pemasaran perdagangan. Program ini diketuai oleh Encik Albert Chang. 

Menerusi ucapan daripada YB Tuan Lau Weng San, Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, beliau   berharap delegasi Program Pertukaran Polisi   Selatan Baru Duta Pertanian Muda 2024  dapat   belajar serta berkongsi pengalaman dengan para pekebun dan pengusaha tani di Malaysia melalui program. Malaysia kini bergerak ke arah penghasilan hasil pertanian mampan untuk memenuhi   permintaan tempatan dan juga luar negara. 

Tambahan, YB Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor turut berkongsi bahawa rangkaian dan keselamatan makanan yang berterusan amatlah penting   terutamanya dalam keadaan darurat global ketika pandemik COVID-19 yang lalu. Beliau meluahkan rasa kagum terhadap usaha yang dilakukan oleh pihak Taiwan dalam memodenisasikan industri   pertanian dan berharap agar dapat bekerjasama dari segi penyelidikan dalam membangunkan   industri ini di Malaysia. 

Walau bagaimanapun,   beliau berpendapat bahawa industri pertanian   mestilah merangkumi 3 ciri penting iaitu   ketersediaan, boleh diakses dan mampu milik   terutamanya dalam usaha untuk memodenkan   industri pertanian kerana teknologi pintar   memerlukan kos yang tinggi dan tidak ramai petani atau pengusaha mampu untuk menggunakan   teknologi tersebut. 

Amat menarik sekali apabila EXCO Pertanian   Selangor, YB Ir Izham Hashim menyentuh tentang   lawatan beliau ke Taiwan pada tahun 2019 dan beliau bercadang untuk menyambung semula   lawatan itu pada tahun 2025 untuk memacukan lagi sektor pertanian bernilai tinggi di Selangor. 

Di samping itu, delegasi dari Taiwan telah   membentangkan slaid teras pertanian yang   berfokuskan pertanian pintar, kelestarian,   ketahanan dan keselamatan dalam bidang   pertanian. Selain itu, aplikasi pertanian pintar turut dikongsikan termasuklah penggunaan sensor   dalam pengesanan cuaca lapangan, sensor kualiti air dan juga penggunaan Internet Pelbagai Benda (Internet of Things; IoT). 

Kaedah penanaman secara putaran dan juga penanaman organik turut   dikongsikan dalam usaha perkongsian ilmu   pertanian dengan Malaysia. Delegasi tersebut turut menyuarakan matlamat untuk bekerjasama dan membina rangkaian pertukaran ilmu pertanian moden dengan Malaysia dalam jangka masa   panjang terutamanya dalam bidang pertanian   lestari. 


Sesi perkongsian informasi di antara ahli-ahli Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Kawasan Pantai, Selangor dengan para delegasi Program Pertukaran Polisi Selatan Baru Duta Pertanian Muda 2024.

 


Kerjasama dari segi pembukaan peluang ekonomi dan pekerjaan serta perkongsian   kepakaran dan budaya juga turut dibincangkan. Program ini telah menghantar 2 kumpulan sasaran seramai 24 delegasi untuk melawat kawasan   pertanian di Malaysia dan juga Thailand   bermula dari 26 Ogos 2024 hingga 1 September 2024. Pihak Taiwan telah mengenalpasti Malaysia dan Thailand sebagai rakan utama di bawah Dasar Baharu Pandang ke Selatan (New Southbound   Policy, NSP). 

Lawatan ini juga disambut oleh Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur Dan Mobiliti (JPK – Infragro) sebelum mereka   dibawa ke Bilik Gerakan untuk sesi perkongsian bersama Y.B. Tuan Ir. Izham Bin Hashim, EXCO   Infrastruktur & Pertanian dan YB Speaker berkenaan Dewan Negeri Selangor. Selain itu, para hadirin   termasuk wakil daripada Persatuan Pekebun- Pekebun Sayur Kawasan Pantai Selangor serta   Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag