April 18 2024

Penternakan Sepat Siam

Penternakan Sepat Siam - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Kemelut ekonomi dan krisis bekalan makanan menuntut petani dan usahawan melihat peluang dari luar kotak untuk keluar dari zaman sukar ini. Kebolehan melihat sumber-sumber yang tidak digunakan dan menggunakannya bagi mengeluar sumber makanan adalah kunci kepada penyelesaian masalah ekonomi masa kini. Antara sumber yang belum digunakan dengan baik ialah kawasan paya berair dan kolam-kolam takungan air, terusan pengairan, bekas lombong malah tanah-tanah terbiar di bawah kabel voltan tinggi. Kata kuncinya ialah mengeluar produk makanan dengan kos set-up yang rendah, teknologi yang tidak terlalu tinggi dan produk mudah dipasarkan dengan menggunakan sumber tanah percuma atau murah. 

Terdapat beberapa aktiviti pengeluaran makanan boleh dijalankan tetapi yang satu ini telah berjaya dilaksanakan di negara jiran iaitu menternak ikan sepat siam dalam kolam kecil dengan penjagaan yang minima. Dengan harga jualan yang baik sama ada dijual hidup atau diproses berbanding kos pengeluaran yang kecil, projek ini boleh mengeluarkan pengusaha dari kemelut ekonomi dalam masa yang singkat.

Sepat Siam (eng. Siamese Gourame) atau nama saintifiknya Trichogaster pectoralis adalah sejenis ikan air tawar yang tersebar luas di Asia Tenggara. Sepat siam juga dikenali dengan nama sepat benua, sepat rawa, snakeskin gourame dan pla salit (Thai). Dipercayai berasal dari benua Indochina, sepat siam ialah ikan asli/endemik di Lembangan Sungai Mekong dan Chao Phraya, sebahagian besar berada dalam negara Thailand dan bahagian lain berada di Selatan Vietnam, Laos, dan Kemboja. Sifatnya yang mudah beradaptasi dengan persekitaran baru membuatkan sepat siam cepat membiak setelah diperkenalkan pada perairan negara jiran dan kini mudah ditemukan di Malaysia, Filipina, Indonesia,   Papua  New Guinea malah hingga ke Sri Lanka. 

Ia boleh dijumpai dengan mudah di dalam sawah padi, bekas lombong, kolam takungan dan tali air pertanian, kawasan berpaya malah dalam kolam rawatan air kumbahan. Kawasan begini biasanya tidaklah dalam, air tidak bergerak dan dipenuhi dengan tumbuhan akuatik seperti kangkung, keladi bunting, paku-pakis dan menerung. 

Kadangkala sepat siam membiak dalam air banjir termenung yang menengelami belukar kecil dan akan kembali ke sungai dan lombong apabila air surut.

Boleh Hidup dalam Perairan Ekstrem

Sepat siam didapati sangat versetail kerana dapat hidup dalam perairan yang ekstrem sama ada cetek, kurang oksigen, ditutup rumpai malah dengan bekalan makanan yang sangat terhad.  Seperti mana ikan labirin lain, sepat siam boleh menghirup udara terus di permukaan air atau mendapatkan oksigen dari air melalui insangnya. Di ketika yang tertentu kita boleh melihat ikan ini timbul di permukaan air dengan banyak dengan mulut terkumat-kamit menghirup udara. Sifat ini sangat membantu penternakan sepat siam dalam kolam kecil kerana air yang sedikit sahaja perlu ditambah kerana pengurangan akibat dari pengewapan ke udara.

Berbeza dengan spesis ikan sepat lain yang lazimnya lebih kecil, sepat siam boleh membesar hingga sebesar tapak tangan orang dewasa, saiz sesuai untuk hidangan. Mungkin yang kedua terbesar dalam keluarganya selepas ikan kalui (Giant Gourame). Badannya panjang membujur dengan sirip dorsal yang kecil. Ciri uniknya ialah 2 sirip pelvik yang panjang seperti tali menjadikannya juga menarik sebagai ikan hiasan akuarium. Badannya berwarna hijau keperakan dengan belang-belang hitam. 


Sepat Siam boleh dijumpai dengan mudah di dalam sawah padi, bekas lombong, kolam takungan dan tali air pertanian, kawasan berpaya.

 


Ikan jantan lebih kurus dan panjang manakala ikan betina lebih membulat dengan warna yang lebih pudar. Sepat siam yang masih muda mempunyai belang zig-zag yang jelas dari mata hingga ke hujung ekor. Spesis ini boleh membesar sehingga 25 cm (10 inci) panjang. Walaupun begitu kebanyakan ikan dewasa adalah sekitar 15 cm (6 inci) panjang. Sepat siam menghuni bahagian dasar dan tengah kolam, sesuai sebagai ternakan ikan polikultur bersama ikan lain seperti lampam dan tongsan. 

Boleh Membiak 5000 Anak

Mencapai umur matang hanya apabila bersaiz 5 inci. Induk boleh menghasilkan anak yang sangat banyak di musim pembiakan sehingga 5000 ekor per pasangan, spesis yang sangat prolifik dari sudut pembiakan dalam keluarga sepat. Tidak seperti spesis ikan labarin lain yang agresif ketika pembiakan, induk jantan sepat siam tidak agresif hanya mengeluarkan bunyi 'berkokok' apabila teritorinya dicerobohi dan induk tidak memakan anak-anaknya. Menjelang waktu pembiakan ikan jantan akan membina sarang untuk menempatkan telur dalam sebuah sarang buih yang dibina pada rumput atau tumbuhan akuatik di pinggir kolam. Telur yang disenyawa akan ditempatkan di dalam sarang buih ini. Telur yang menetas akan jatuh ke bawah dan diasuh oleh ikan jantan hingga dapat mencari makanan sendiri. 


Ikan sepat siam bersifat omniverus yakni makan hidupan kecil yang lain dan juga memakan tumbuhan. Di alam liar mereka makan lumut, akar tumbuhan akuatik dan hidupan seni lain seperti plankton dan telur serangga. Mereka sangat tidak memilih makanan apabila diternak dan menerima sayuran yang dicincang, dedak pelet, larva BSF dan sisa ayam yang dicincang halus.

Pengeluaran Benih  Sendiri

Untuk tujuan pembiakan sendiri, induk perlulah dicari sama ada dibeli dari penternak lain, dibeli ikan hidup di pasar yang tidak cedera dan masih aktif atau dipancing sendiri dari sumber semula jadi di paya-paya atau tasik yang terdapat sepat siam liar. Ikan sepat siam boleh dipancing menggunakan mata kail halus berumpankan lumut sutera, telur kerengga atau lemak ayam. Ikan perlu ada jantan dan betinanya, dapat dikenal dengan perbezaan bentuk tubuh dan siripnya. Ikan mestilah telah mencapai tahap matang, kira-kira berumur 7 bulan ke atas, dapat dikenal dengan corak belang di badannya. Lebih besar lebih bagus kerana induk besar boleh menghasilkan telur yang banyak. Bagi usaha skala kecil, beberapa pasang induk sudah memadai sebagai permulaan. Ikan mestilah sihat dan tidak cacat. Ikan betina berwarna terang dan bersih. Ikan jantan berwarna gelap, bertubuh tinggi dari ikan betina.

Membina Kolam Pembiakan

Kolam untuk pembiakan dan pembesaran ikan boleh dibuat dengan pelbagai teknik dan bahan. Jika kawasan berpaya memadai dicuci segala tumbuhan akuatik dan didalamkan bagi mencapai kedalaman sekitar 75 - 100 cm dengan keluasan 50 (10m x 5m) hingga 100 (10m x 10m) meter persegi. Bagi kolam di daratan memadai digali tanah dan dialas plastik atau kanvas di dasar hingga tepiannya supaya kalis air dengan saiz sama seperti di atas. Jika ada peruntukan lebih, boleh juga menggunakan kolam konkrit atau pembetung. Bagi kolam sawah padi memadai didalamkan di tepi atau tengah sawah dengan kedalaman 75 cm dan lebar 2 meter dengan kepanjangan mengikut lebar sawah. Harus dipertimbangkan juga arah keluar masuk jentera membajak dan mesin padi. Bagi kawasan bandar memadai menggunakan kolam kanvas dengan rangka aluminum C-channel. Kolam dimasukkan air dan diberi bahan pelindung berupa tumbuhan akuatik seperti keladi bunting, kiambang ataupun duckweed. Selepas air sudah stabil (2-3 hari) induk boleh dimasukkan dengan nisbah 1 jantan: 1 betina. Jika terlalu panas kolam boleh dilindungi dengan polinet hitam tapak semaian yang peratus lindungannya 50%.

Pembiakan

Dalam tempoh 2-3 hari selepas menyesuaikan diri dalam kolam barunya, ikan jantan akan mula membuat sarang buihnya pada tumbuhan akuatik. Jerami padi atau daun pisang kering boleh ditambah jika tumbuhan akuatik tidak cukup kuat memegang sarang buih. Ikan jantan biasanya mengambil masa 1-2 hari sahaja untuk menyiapkan sarang buihnya dan sedia untuk mengawan. Mana-mana induk betina yang mempunyai telur matang akan tertarik mendekatinya dan sedia untuk mengawan dengan galakan dari ikan jantan. Induk betina akan mengeluarkan telurnya di bawah sarang. Telur akan disenyawa oleh ikan jantan dan diletakkan dalam sarang buih dan akan menetas pada hari ke-2 atau ke-3 selepas persenyawaan. Selepas menetas larva akan dapat bertahan hingga hari ke7 dengan bekalan telur kuningnya yang  tergantung di bawah pusat. Pada hari ke-7, larva ikan mula makan plankton dalam air. Larva tersebut dibiarkan diasuh induknya sampai berumur 30 hari. 

Jika ada pembeli, anak-anak ikan sudah boleh dijual atau dimasukkan ke dalam kolam pembesaran tanpa ibubapanya. 

Penggemukan 

Apabila ikan telah berusia 2 bulan dan berukuran 4-6 cm, ikan boleh diberikan makanan yang lebih supaya gemuk dan mencapai sais maksimum. Pelet, dedak padi, sisa soya dan daun-daun lembut seperti kangkung, daun ubi kayu malah napier yang dicincang bolehlah diberikan kerana sepat siam tidak memilih makanan. Tumbuhan akuatik perlu dikawal supaya tidak menutup ruang untuk sepat siam mengambil udara. Air perlu ditambah bagi menggantikan air yang terpeluh-wap  ke udara dan air ditukar 3-4 minggu sekali.

Masa Penuaian

Ikan boleh ditangkap untuk jualan setelah berumur 6 -12 bulan mengikut keperluan pasaran. Untuk dibuat pekasam dan ikan segar hidup ukur 9 bulan biasanya lebih sesuai manakala untuk dibuat sepat kering, ikan yang lebih matang biasanya diperlukan. Walau bagaimanapun saiz ikan bergantung kepada sumber makanan, kepadatan ikan dan kualiti air dan persekitarannya. Waktu menangkap ikan yang baik ialah pada waktu pagi atau lewat petang. Air dikurangkan sehingga mudah untuk menjaring dan dibuat pemilihan. 

Jika hanya sebahagian ikan ditangkap atau dibuat pemilihan yang besar sahaja ditangkap, kerja-kerja perlu dibuat berhati-hati bagi mengurangkan tekanan ikan yang ditinggalkan.

Permintaan

Kekurangan bekalan ikan segar dari laut pada musim tengkujuh membuatkan harga ikan ruji rakyat marhaen seperti kembung, pelaling dan kerisi menjadi mahal. Orang ramai beralih selera kepada ikan air tawar dan harga juga akan naik mendadak. Ikan tilapia, keli, haruan, puyu dan lampam putih (dipanggil ikan darat) mendapat permintaan yang sangat baik terutama bagi masyarakat luar bandar. 

Ikan sepat siam segar atau dikenali dengan ikan sepat benua di utara lebih istimewa kerana sudah semakin sukar ditemui. Ikan ini yang dijual hidup-hidup biasanya dibuat gulai kerana rasanya yang manis dan lemak. Tidak kurang juga enaknya jika digoreng atau dibakar dan dicicah dengan air asam. Pekasam ikan sepat siam turut mendapat permintaan yang sangat baik kerana tekstur dan rasanya yang sangat unik berbanding dengan pekasam ikan darat lain yang lebih senang ditemui. Harga pekasam dan ikan kering sepat siam dijual di Pekan Rabu, Alor Star boleh mencecah sehingga RM50 sekilogram.


Ikan sepat siam sangat tahan kepada penyakit jika dibandingkan dengan ikan air tawar yang lain.

 


Penyakit

Ikan sepat siam didapati sangat tahan kepada penyakit jika dibandingkan dengan ikan air tawar yang lain. Namun, penternak tetap harus berhati-hati terhadap kemungkinan serangan penyakit seperti Cyclochaeta, sejenis protozoa yang biasa menyerang insang, parasit Argulus yang menyerang badan ikan dan cacing Trematoda.

Untuk pencegahan terhadap kemungkinan serangan parasit, ikan mesti mendapat makanan yang cukup, gabungan antara makanan hidup (life food) dan makanan kering bagi mendapat antibodi yang kuat.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag