November 22 2023

Napier Pak Chong 1 Bantu Industri Ternakan

Napier Pak Chong 1 Bantu Industri Ternakan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Penternakan haiwan ruminan merupakan salah satu aktiviti ekonomi masyarakat desa di luar bandar. Statistik menunjukkan terdapat hampir 2 juta ekor haiwan ruminan besar iaitu lembu dan kerbau dan haiwan ruminan kecil iaitu kambing dan bebiri di Malaysia (Jabatan Perkhidmatan Veterinar, 2020). 

Populasi ini turun naik setiap tahun berpunca dari antara lain ialah bekalan makanan ternakan yang berkurang akibat dari cuaca yang tidak menentu kesan dari fenomena El Nino dan La Nina. Kos makanan konsentrat juga semakin meningkat saban hari.

Diketahui umum, lebih dari 70 peratus kos pengeluaran ternakan ruminan ialah kos makanan. Jika penternak tidak menanam tanaman foraj sendiri atau menggunakan sumber percuma yang ada untuk makanan ternak, dibimbangi penternak terpaksa menghadapi risiko gulung tikar. 

Sangat sedih apabila melihat di dalam media sosial banyak tawaran menjual kambing dan bebiri baka eksotik dan baka kampung pada harga di bawah kos pengeluaran mulai dari awal tahun 2023 lagi. Harga makanan haiwan konsentrat yang bahan mentah diimport naik mendadak akibat dari lemahnya nilai ringgit dan perang Ukraine - Rusia yang menjadi pengeluar utama bijirin dunia. 

Bagi sumber tempatan, kenaikan harga sawit turut membuatkan harga PKC (palm kernel cake) dan hampas soya (soy cake) yang menjadi komponen utama campuran bersama rumput turut meningkat.

Rumpai Tumbuh Meliar Kurang Protein

Majoriti perternak yang mengusahakan ternakan sebagai aktiviti sampingan memanfaat sumber percuma sebagai makanan haiwan. Haiwan dibiarkan meragut di kebun, batas sawah, batas sungai dan rizab jalan dengan memakan rumpai yang tumbuh meliar dan mengandungi nutrisi rendah seperti rumput kerbau (Paspalum sp) rumput padang (Axonopus sp), Israel weed (Asyistasia ) semalu (Mimosa sp) dan selaput tunggul (Mikinia cordata). 

Rumpai ini kurang protein untuk membantu peningkatan berat badan dan rendah kandungan serat untuk dihadam menjadi karbohidrat dan tenaga. Ternakan menjadi bantut dan rendah nisbah dagingnya. 

Hanya yang lebih advance menternak mengikut kaedah feed-lot atau kaedah cut & carry dengan memberi makanan rumput yang ditanam, daun sawit, batang jagung, jerami padi dan bahan sisa kilang pemprosesan makanan seperti hampas soya, kulit nanas, kulit jagung dan bungkah tanaman cendawan. Lebihan pastura yang ditanam dibuat silaj bagi menampung kekurangan bekalan pada musim kemarau atau banjir.

 Rumput Napier atau Rumput Gajah (Pennisetum purpureum) ialah sejenis rumput pastura yang paling versetail di kawasan tropika, kerana tumbuh tanpa mengira sama ada musim hujan atau musim kering, beradaptasi baik kepada semua jenis tanah dan tidak memerlukan penjagaan yang intensif. 

Rumput Napier boleh tumbuh tanpa mengira sama ada musim hujan atau musim kering. Foto - FB: SUPER Napier Pakchong 1 - India

 

 

Sekali ditanam, napier dapat dituai setiap 45 - 60 hari sekali dengan hasil setinggi 60 mt/ hektar. Foto - FB: AxF Agro

 

Rumput ini telah digunakan dengan meluas sejak lama dahulu dalam industri ternakan ruminan baik bagi lembu tenusu mahupun lembu pedaging di Malaysia. Negara dan kawasan tropika dan sub-tropika lain juga telah mengembang biak rumput napier bagi kegunaan industri ternak mereka seperti di India, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Vietnam. 

Sumber yang boleh Diperbaharui 

Rumput napier dikatakan sangat versetali kerana menjadi sumber yang boleh diperbaharui. Sekali ditanam, napier dapat dituai setiap 45 - 60 hari sekali dengan hasil setinggi 60mt/hektar (berat basah). Anak bawah tanah yang tumbuh dari tunggul lama (ratoon) boleh dibaja dan dijaga tanpa tanam semula hingga tahun ke 9. Sifat ini memberi penjimatan yang sangat besar pada penternak memandangkan kos penyediaan tanah masa ini sangat mahal. Kebolehannya beradaptasi kepada kebanyakan jenis tanah yang moderate membuatnya boleh ditanam di tanah yang tidak ekonomik untuk tanaman lain seperti di cerun lebuhraya, rezab landasan keretapi, di bawah kabel elektrik voltan tinggi dan tebing terusan/sungai selain sebagai tanaman selingan di ladang sawit dan getah muda. 

Rumput Napier Pak Chong 1 juga digelar ‘King of Napier Grass’ atau ‘Super Grass’, mula dikenali di Malaysia sejak 2015 lagi. Terhasil dari silangan Napier Afrika Pennisetum purpureum x Pennisetum glaucum, atau sekoi mutiara (pearl millet). Ini adalah hasil penemuan seorang penyelidik terkemuka Thailand, Profesor Dr Krailas Kiyothong, pakar dalam pembaik biak tanaman dan nutrisi pemakanan haiwan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Nutrisi Ternakan, Daerah Pak Chong, Nakhon Ratchasima. 

Pak Chong yang berada di Dataran Tinggi Korat, kira-kira 160 kilometer dari kotaraya Bangkok merupakan sebuah daerah pertanian dan agropelancongan yang hebat. Antara yang menjadi tarikan pengunjung ialah Chokcai Farm, sebuah ladang tenusu berkonsepkan wildwest dengan landskap dan latarbelakang bangunan zaman koboi sesuai untuk percutian sekeluarga. Cuaca daerah Pak Chong yang nyaman terutama pada musim sejuk sesuai untuk ternakan lembu susu dan daging. 

Napier Pak Chong 1 (NPC1) didapati tumbuh dengan sangat laju hingga berupaya menghasilkan berat biomas dua kali ganda dari napier biasa dan tahan pada serangan serangga perosak dan penyakit. Kandungan proteinnya setinggi 16 - 18 % menandingi Napier Taiwan hanya 13% dan napier yang lain seperti Napier India, Napier Merah dan napier dwaf. Kandungan protein tinggi membantu ternakan mencapai berat badan maksimum dengan cepat dan pengeluaran susu yang banyak. 

Napier Pak Chong 1 boleh tumbuh dengan sangat laju hingga berupaya menghasilkan berat biomas dua kali ganda dari napier biasa. Foto - Jamaludin Mat Rashid

 

5 - 6 Penuaian Setahun 

NPC1 dapat menghasilkan tuaian 25 mt/ekar (mt/hektar) bagi pusingan 45 - 60 hari sekali dan mempunyai daun yang lebih lembut dan disukai ternakan kerana tidak berbulu dan tidak gatal sehingga boleh dimakan oleh ruminan kecil seperti kambing dan biri-biri malah turut dikonsumsi oleh arnab, angsa, ayam turki dan ayam kampung. Tiap hektar dapat menghasilkan 500 tan metrik setahun, cukup untuk sara diri bagi ladang berkapasiti 50 ekor lembu. NPC1 sesuai dituai ketika berumur 45 hingga 60 hari ketika kandungan nutrisi berada pada tahap optimum, jumlah biomas yang banyak dan keadaan fizikalnya sesuai bagi makanan haiwan ternak. Sebanyak 5 - 6 penuaian dapat dibuat setahun. 

Walaupun begitu NPC1 yang terlajak umur masih boleh dimesin dengan chopper dan diperam sebagai silaj untuk kegunaan ketika pengeluaran rumput segar rendah. 

Menurut Dr Krailas, NPC1 memberi prestasi terbaik jika ditanam di tanah yang mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi dan profil top-soil yang tebal dengan pH 5.5 - 7 dan diberi pengairan yang sistematik. Ia dapat beraksi dengan baik apabila menerima cahaya matahari penuh sepanjang hari tetapi masih baik di kawasan yang sedikit terlindung. Namun akarnya yang panjang dan menjalar jauh ke dalam tanah sangat cekap mencari air membuatnya dapat beradaptasi di tanah yang marginal dan dapat bertahan di musim kemarau. Sebaliknya NPC1 juga tahan kepada banjir menjadikannya sesuai ditanam di kawasan rendah yang tidak dapat digunakan untuk tanaman lain. 

Kandungan protein NPC1 setinggi 16 - 18% menandingi Napier Taiwan hanya 13% dan napier yang lain seperti Napier India, Napier Merah dan napier dwaf. Foto - Jamaludin Mat Rashid

 

Cara Tanam Sangat Mudah 

NPC1 senang ditanam, hanya menggunakan keratan batang (billet) yang diambil dari napier matang berumur 90 - 120 hari, mempunyai 2-3 mata tunas dan ditanam dalam parit (furrow) kedalaman 25 cm dan ditimbus sedalam 5 cm. 2 batang keratan diletak secara berbaring (double barrel) bertemu hujung (end to end). Kehangatan tanah dan kelembapan akan membuatnya bercambah dalam tempoh seminggu. Bahan organik seperti baja kandang boleh diberi sebagai baja asas (basal dressing) atau ditabur dalam parit tanaman apabila semua mata tunas sudah bercambah. 

 

Daun napier yang lebih lembut dan tidak berbulu, sesuai dimakan oleh ruminan kecil seperti kambing dan biri-biri. Foto - FB: SUPER Napier Pakchong 1 -India

 

 


NPC1 memberi prestasi terbaik jika ditanam di tanah yang menpunyai kandungan bahan organik yang tinggi dan profil top-soil yang tebal dengan pH 5.5 - 7 dan diberi pengairan yang sistematik. Foto - UPM


Disiram Sekali Seminggu Jika Tiada Hujan 

Jika menggunakan kaedah mekanikal, jarak antara baris adalah 4.5 kaki, sesuai dengan kedudukan tayar trektor. Spring tyre boleh digunakan untuk menggembur lorong antara barisan dan menimbus parit sehingga tersisa 5 cm sahaja bagi memerangkap air. Sistem baris ini memudahkan penuaian menggunakan havester dan trailer yang ditarik trektor. 

Di musim kemarau, NPC1 memadai disiram sekali seminggu jika tiada hujan. Ia boleh bertahan sehingga tahun ke 9 tanpa tanam semula dengan kadar potongan 6 hingga 8 kali setahun.


NPC1 boleh bertahan sehingga tahun ke 9 tanpa tanam semula dengan kadar potongan 6 hingga 8 kali setahun. Foto - FB: AxF Agro

 


 





Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag