December 13 2024
Oleh: Nik Sukry Ramli
Sejak Malaysia meneroka ke era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kira-kira empat tahun lalu, industri penternakan akuakultur turut mengalami transformasi secara konsisten.
Penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) juga banyak membantu pengusaha kolam ternakan akuakultur melakukan inovasi bagi meningkatkan hasil mereka.
Antara kaedah yang banyak digunakan komuniti penternak di negara ini adalah High Density Polyethylene (HDPE) yang mengadaptasi sistem automasi pengurusan kolam ternakan mereka.
Melalui kaedah ini, proses IoT dalam penternakan menggunakan sangkar secara tradisional menjadi lebih efisien dengan pengurangan tenaga kerja, peningkatan hasil serta tahan risiko bencana.
Penggunaan IoT ini juga bukan hanya menumpukan kepada pengurusan hasil atau produktiviti semata- mata, namun ia bermula daripada penghasilan anak benih ikan sehinggalah ia mampu menjadi induk dan dilepaskan ke kolam ternakan.
Buat masa ini, proses penternakan menggunakan IoT banyak tertumpu kepada pengusaha ikan air tawar yang mempunyai nilai pasaran tinggi bukan sahaja di dalam negara, namun turut mendapat perhatian dari negara luar.
Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memberi sokongan kepada penternak ikan sangkar dan pengusaha akuakultur untuk menyertai perkembangan teknologi IoT dalam perusahaan mereka.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), adalah menjadi visi LKIM untuk memfokuskan peningkatan pendapatan golongan sasar seperti persatuan nelayan, usahawan dan penternak akuakultur. Bukan sahaja menggalakkan penggunaan IoT, bahkan komuniti penternakan akuakultur juga digalakkan mempelajari Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti mereka.
Berdasarkan rekod LKIM, terdapat 38 persatuan nelayan yang mengusahakan penternakan akuakultur yang aktif di seluruh negara ketika ini dengan sebahagian daripadanya sudah mula mengaplikasikan IoT dan AI dalam kolam ternakan mereka.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu program pada Julai lalu dilaporkan berkata, sepanjang tahun lalu sektor perikanan dan akuakultur negara menyumbang 0.7 peratus (1.75 juta tan metrik) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai dagangan sebanyak AS$3.51 bilion.
KPKM turut melihat kepada potensi industri akuakultur dan meletakkan sasaran menjelang 2030, Malaysia perlu hasilkan 2.55 juta tan metrik ikan setahun untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Sejarah Kuno Dalam Akuakultur
Aktiviti penternakan ikan secara komersil bukanlah industri baharu memandangkan ia dikesan sudah diamalkan sejak berabad lalu dalam banyak budaya. Masyarakat Cina purba sebagai contoh, memberi makan najis ulat sutera dan nimfa kepada ikan emas yang mereka ternak di ladang ulat sutera, manakala orang Mesir pula mengusahakan ternakan ikan tilapia sebagai ejen bagi teknologi pengairan yang mereka orang gunakan ketika itu.
Bagi kepulauan Hawaii pula, masyarakat mereka menternak pelbagai spesies seperti ikan belanak, udang dan ketam, sesuai dengan persekitaran mereka yang mendiami pulau dikelilingi lautan. Bahkan, sebilangan ahli arkeologi menemui bukti untuk akuakultur dalam masyarakat Maya dan dalam tradisi beberapa komuniti asli Amerika Utara.
Berdasarkan rekod, aktiviti penternakan ikan tertua dikesan di China seawal abad ke 3,500 SM dan pendakwaan jenayah membabitkan kes kecurian ikan diternak pula dicatatkan sekitar 1,400 SM.
Seorang birokrat kerajaan China dikenali sebagai Fan-Li pernah menulis buku pada tahun 475 SM mengenai penternakan ikan, termasuk kaedah pembinaan kolam, pemilihan stok induk dan penyelenggaraan kolam.
Dengan pengalaman panjang oleh pengusaha akuakultur di China, maka tidak pelik apabila negara Tembok Besar itu kekal menjadi pengeluar terbesar produk akuakultur. Perkembangan akuakultur juga berlangsung dengan pantas di benua Eropah dan golongan elit dari Rom dikatakan memiliki ladang besar menternak pelbagai jenis ikan berkualiti.
Ikan seperti belanak dan trout disimpan di kolam yang mereka namakan sebagai ‘kolam rebus’ dan konsep itu diteruskan hingga ke zaman Pertengahan Eropah.
Mereka juga mempunyai reka bentuk akuakultur monastik untuk menambah stok ikan liar yang semakin berkurangan bagi menampung permintaan dan keperluan golongan elitis di Rom dan benua Eropah ketika itu.
Perkembangan semasa dan cabaran perubahan iklim yang melanda seluruh dunia pada masa ini secara tidak langsung memberi inspirasi kepada industri akuakultur.
Proses penternakan akuakultur yang lebih mampan dan mesra alam sekitar menjadi pilihan utama pemain industri. Melalui perubahan ini juga menyaksikan aktiviti penternakan akuakultur tidak lagi menggalakkan penggunaan antibiotik dan gangguan terhadap populasi hidupan laut yang liar.
Sebagai contoh, kolam ikan keladi di dataran tinggi Hawaii digunakan untuk menternak pelbagai jenis ikan tahan garam dan air tawar, seperti belanak, hinggap perak, gobies Hawaii, udang dan alga hijau.
Kolam itu mendapat sumber makanan melalui aliran air dari pengairan serta muara buatan tangan yang disambungkan ke laut berhampiran.
Beberapa akuakultur purba di China dan Thailand mengadaptasi daripada apa yang kini dirujuk sebagai akuakultur multi-trofik bersepadu (IMTA).
Sistem IMTA membenarkan makanan dan bahan buangan yang tidak dimakan daripada spesies yang diingini dan boleh dipasarkan, seperti udang atau ikan sirip, ditangkap semula dan ditukar kepada baja, makanan dan tenaga untuk tumbuhan ternakan dan haiwan ternakan lain.
Sistem IMTA bukan sahaja cekap dari segi ekonomi, ia juga mengurangkan beberapa aspek akuakultur yang paling sukar, seperti sisa, kemudaratan alam sekitar dan kesesakan.
Ancaman Dalam Penternakan Akuakultur
Walaupun aktiviti penternakan menggunakan IoT dan AI sudah mula digunakan secara meluas dalam kalangan pengusaha di Malaysia dan seluruh dunia, namun ia masih terdedah dengan pelbagai ancaman. Ini termasuklah ancaman ikan pemangsa yang sering kali mengganggu ekosistem semula jadi hidupan ikan air tawar.
Perkara ini sudah berlaku sejak beberapa lama dan pihak LKIM juga sentiasa mencari jalan bagi mengatasi masalah berkenaan. Satu perempat ikan air tawar di seluruh dunia diancam kepupusan, menurut satu kemas kini senarai merah spesies terancam.
Ancaman itu disebabkan peningkatan kesan perubahan iklim dan akibat tangan manusia terhadap hidupan liar di bumi ini. Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menerbitkan laporan penilaian tersebut ketika delegasi global bertemu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk sidang kemuncak perubahan iklim COP28.
IUCN turut mengemas kini senarainya untuk mencerminkan perubahan iklim bakal mengancam ikan salmon Altlantik, penyu hijau dan pokok mahogani daun besar atau tunjuk langit.
“Perubahan cuaca mengancam kepelbagaian kehidupan yang dilindungi oleh planet kita dan menjejaskan keupayaan alam semula jadi bagi memenuhi keperluan asas manusia,” katanya.
Daripada hampir 15,000 spesies ikan air tawar yang dinilai, sebanyak 25 peratus berisiko diancam kepupusan dan sekurang-kurangnya 17 peratus akibat perubahan iklim termasuk perubahan paras air serta musim. Bagaimanapun, kebanyakan sungai di Malaysia setakat ini bebas daripada ikan invasif, tilipia dagu hitam.
Pakar perikanan Malaysia turut menyuarakan kebimbangan tentang ancaman terhadap hidupan marin lain sekiranya populasi ikan berkenaan terlepas ke kawasan air tawar di negara itu berikutan sifatnya yang mudah beradaptasi di kawasan berkemasinan tinggi dan membiak dengan cepat selain tabiat pemakanan yang luas.
Selain ikan tilipia dagu hitam, turut menjadi ancaman kepada sektor akuakultur Malaysia adalah udang kara air tawar asing, baung ekor merah, arapaima gigas dan beberapa lagi spesies yang sesuai dijadikan baja.
Jabatan Perikanan Perak sebelum ini dilaporkan bercadang untuk meminda peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 bagi menangani isu ikan asing di sungai-sungai di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, langkah pengemaskinian serta menambah baik kaedah itu adalah untuk memastikan ia relevan dan selari dengan peruntukan undang-undang.
Beliau menjelaskan, ia ekoran kehadiran pelbagai spesies ikan asing seperti ikan bandar raya, patin siam, peacock bass dan udang kara air tawar di perairan negeri ini menimbulkan kebimbangan umum.
“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun ini muncul pelbagai spesies gergasi ataupun invasive alien spesies (IAS) yang boleh menjangkau saiz gergasi iaitu ikan baung ekor merah Asia dan patin chaophraya.
“Kedua-dua spesies asing ini adalah bersifat pemangsa dan memakan ikan tempatan,” katanya. Difahamkan, usaha secara kolektif juga sedang dilakukan semua jabatan perikanan negeri di Malaysia bagi membanteras kehadiran ikan pemangsa yang akhirnya mengganggu sektor akuakultur hingga mengakibatkan kerugian kepada komuniti penternak.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.