December 13 2024

Penggunaan IoT Dalam Sektor Akuakultur

Penggunaan IoT Dalam Sektor Akuakultur - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Sejak Malaysia meneroka ke era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kira-kira empat tahun lalu, industri penternakan akuakultur turut mengalami transformasi secara konsisten. 

Penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) juga banyak membantu pengusaha kolam ternakan akuakultur melakukan inovasi bagi meningkatkan hasil mereka.

Antara kaedah yang banyak digunakan komuniti penternak di negara ini adalah High Density Polyethylene (HDPE) yang   mengadaptasi sistem automasi pengurusan kolam ternakan mereka. 

Melalui kaedah ini, proses IoT dalam   penternakan   menggunakan sangkar secara tradisional menjadi lebih efisien dengan pengurangan tenaga kerja,   peningkatan hasil serta tahan risiko bencana. 

Penggunaan IoT ini juga bukan hanya menumpukan kepada pengurusan hasil atau produktiviti semata- mata, namun ia bermula daripada penghasilan anak benih ikan sehinggalah ia mampu menjadi induk dan dilepaskan ke kolam ternakan. 

Buat masa ini, proses penternakan menggunakan   IoT banyak tertumpu kepada pengusaha ikan air tawar yang mempunyai nilai pasaran tinggi bukan sahaja di dalam negara, namun turut mendapat   perhatian dari negara luar. 

Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memberi sokongan kepada   penternak ikan sangkar dan pengusaha akuakultur untuk menyertai perkembangan teknologi IoT   dalam perusahaan mereka. 

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), adalah menjadi visi LKIM untuk   memfokuskan peningkatan pendapatan golongan sasar seperti persatuan nelayan, usahawan dan   penternak akuakultur. Bukan sahaja menggalakkan penggunaan IoT, bahkan komuniti penternakan akuakultur juga   digalakkan mempelajari Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti mereka. 


Syarikat Wealth Way Biotech SDN BHD yang terletak di Jalan Alamanda, Pusat Perniagaan Alamanda Bahau, telah menjalankan Projek Ternakan Ikan Jade Perch yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur berteknologi tinggi menggunakan sistem air kitar semula dan perancangan penggunaan aplikasi IoT untuk memantau parameter kualiti air serta suhu dalam sistem ternakan ikan sentiasa dalam julat yang sesuai untuk kesihatan ikan. Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Encik Kasim bin Tawe telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Ternakan Ikan Jade Perch milik Encik Tan Tong Hock pada 23.3.2023.

 


Berdasarkan rekod LKIM, terdapat 38 persatuan   nelayan yang mengusahakan penternakan   akuakultur yang aktif di seluruh negara ketika ini dengan sebahagian daripadanya sudah mula   mengaplikasikan IoT dan AI dalam kolam ternakan mereka. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dalam satu program pada Julai lalu dilaporkan berkata,   sepanjang tahun lalu sektor perikanan dan   akuakultur negara menyumbang 0.7 peratus (1.75 juta tan metrik) kepada Keluaran Dalam   Negara Kasar (KDNK) dengan nilai dagangan   sebanyak AS$3.51 bilion. 

KPKM turut melihat kepada potensi industri akuakultur dan meletakkan sasaran menjelang 2030, Malaysia perlu hasilkan 2.55 juta tan metrik ikan setahun untuk memenuhi permintaan yang   semakin meningkat. 

Sejarah Kuno Dalam Akuakultur

Aktiviti penternakan ikan secara komersil bukanlah industri baharu memandangkan ia dikesan sudah diamalkan sejak berabad lalu dalam banyak budaya. Masyarakat Cina purba sebagai contoh, memberi makan najis ulat sutera dan nimfa kepada ikan emas yang mereka ternak di ladang ulat sutera, manakala orang Mesir pula mengusahakan ternakan ikan tilapia sebagai ejen bagi teknologi pengairan yang mereka orang gunakan ketika itu. 

Bagi kepulauan Hawaii pula, masyarakat   mereka menternak pelbagai spesies seperti ikan   belanak, udang dan ketam, sesuai dengan   persekitaran mereka yang mendiami pulau   dikelilingi lautan. Bahkan, sebilangan ahli arkeologi menemui bukti untuk akuakultur dalam masyarakat Maya dan   dalam tradisi beberapa komuniti asli Amerika Utara. 

Berdasarkan rekod, aktiviti penternakan ikan tertua dikesan di China seawal abad ke 3,500 SM dan   pendakwaan jenayah membabitkan kes kecurian ikan diternak pula dicatatkan sekitar 1,400 SM. 

Seorang birokrat kerajaan China dikenali sebagai Fan-Li pernah menulis buku pada tahun 475 SM mengenai penternakan ikan, termasuk kaedah pembinaan kolam, pemilihan stok induk dan   penyelenggaraan kolam. 

Sistem Akuakultur Pintar bukan sahaja dapat meningkatkan hasil ternakan, bahkan turut membantu penternak memperoleh pendapatan lumayan.

 

Dengan pengalaman panjang oleh pengusaha akuakultur di China, maka tidak pelik apabila negara Tembok Besar itu kekal menjadi pengeluar terbesar produk akuakultur. Perkembangan akuakultur juga berlangsung dengan pantas di benua Eropah dan golongan elit dari Rom dikatakan memiliki ladang besar menternak   pelbagai jenis ikan berkualiti. 

Ikan seperti belanak dan trout disimpan di kolam yang mereka namakan sebagai ‘kolam rebus’ dan konsep itu diteruskan hingga ke zaman Pertengahan Eropah. 

Mereka juga mempunyai reka bentuk akuakultur monastik untuk menambah stok ikan liar yang   semakin berkurangan bagi menampung permintaan dan keperluan golongan elitis di Rom dan benua Eropah ketika itu. 

Perkembangan semasa dan cabaran perubahan iklim yang melanda seluruh dunia pada masa ini   secara tidak langsung memberi inspirasi kepada   industri akuakultur. 

Proses penternakan akuakultur yang lebih mampan dan mesra alam sekitar menjadi pilihan utama   pemain industri. Melalui perubahan ini juga menyaksikan aktiviti penternakan akuakultur tidak lagi menggalakkan penggunaan antibiotik dan gangguan terhadap   populasi hidupan laut yang liar. 

Sebagai contoh, kolam ikan keladi di dataran tinggi Hawaii digunakan untuk menternak pelbagai jenis ikan tahan garam dan air tawar, seperti belanak, hinggap perak, gobies Hawaii, udang dan alga hijau. 

Kolam itu mendapat sumber makanan melalui   aliran air dari pengairan serta muara buatan tangan yang disambungkan ke laut berhampiran. 

Beberapa akuakultur purba di China dan Thailand mengadaptasi daripada apa yang kini dirujuk   sebagai akuakultur multi-trofik bersepadu (IMTA). 

Sistem IMTA membenarkan makanan dan bahan buangan yang tidak dimakan daripada spesies yang diingini dan boleh dipasarkan, seperti udang atau ikan sirip, ditangkap semula dan ditukar kepada baja, makanan dan tenaga untuk tumbuhan   ternakan dan haiwan ternakan lain. 

Sistem IMTA bukan sahaja cekap dari segi ekonomi, ia juga mengurangkan beberapa aspek akuakultur yang paling sukar, seperti sisa, kemudaratan alam sekitar dan kesesakan. 

Ancaman Dalam Penternakan Akuakultur

Walaupun aktiviti penternakan menggunakan IoT dan AI sudah mula digunakan secara meluas dalam kalangan pengusaha di Malaysia dan seluruh   dunia, namun ia masih terdedah dengan pelbagai   ancaman. Ini termasuklah ancaman ikan pemangsa yang sering kali mengganggu ekosistem semula jadi hidupan ikan air tawar. 

Perkara ini sudah berlaku sejak beberapa lama dan pihak LKIM juga sentiasa mencari jalan bagi   mengatasi masalah berkenaan. Satu perempat ikan air tawar di seluruh dunia   diancam kepupusan, menurut satu kemas kini   senarai merah spesies terancam. 

Ancaman itu disebabkan peningkatan kesan   perubahan iklim dan akibat tangan manusia   terhadap hidupan liar di bumi ini. Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menerbitkan laporan penilaian tersebut ketika delegasi global bertemu di   Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk sidang kemuncak   perubahan iklim COP28. 


Kolam ternakan ikan menggunakan kaedah pintar membantu pengusaha kolam ternakan memaksimumkan hasil dan mengurangkan tenaga kerja.

 


IUCN turut mengemas kini senarainya untuk mencerminkan perubahan iklim bakal mengancam ikan salmon Altlantik, penyu hijau dan pokok   mahogani daun besar atau tunjuk langit. 

“Perubahan cuaca mengancam kepelbagaian   kehidupan yang dilindungi oleh planet kita dan menjejaskan keupayaan alam semula jadi bagi   memenuhi keperluan asas manusia,” katanya. 

Daripada hampir 15,000 spesies ikan air tawar yang dinilai, sebanyak 25 peratus berisiko diancam   kepupusan dan sekurang-kurangnya 17 peratus   akibat perubahan iklim termasuk perubahan paras air serta musim. Bagaimanapun, kebanyakan sungai di Malaysia   setakat ini bebas daripada ikan invasif, tilipia dagu hitam. 

Pakar perikanan Malaysia turut menyuarakan   kebimbangan tentang ancaman terhadap hidupan marin lain sekiranya populasi ikan berkenaan   terlepas ke kawasan air tawar di negara itu   berikutan sifatnya yang mudah beradaptasi   di kawasan berkemasinan tinggi dan membiak dengan cepat selain tabiat pemakanan yang luas. 

Selain ikan tilipia dagu hitam, turut menjadi   ancaman kepada sektor akuakultur Malaysia adalah udang kara air tawar asing, baung ekor merah,   arapaima gigas dan beberapa lagi spesies yang   sesuai dijadikan baja. 

Jabatan Perikanan Perak sebelum ini dilaporkan bercadang untuk meminda peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 bagi menangani isu ikan asing di sungai-sungai di negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar   Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun   berkata, langkah pengemaskinian serta menambah baik kaedah itu adalah untuk memastikan ia relevan dan selari dengan peruntukan undang-undang. 

Beliau menjelaskan, ia ekoran kehadiran pelbagai spesies ikan asing seperti ikan bandar raya,   patin siam, peacock bass dan udang kara air tawar di perairan negeri ini menimbulkan kebimbangan umum. 

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun ini   muncul pelbagai spesies gergasi ataupun invasive alien spesies (IAS) yang boleh menjangkau saiz   gergasi iaitu ikan baung ekor merah Asia dan patin chaophraya. 

“Kedua-dua spesies asing ini adalah bersifat   pemangsa dan memakan ikan tempatan,” katanya. Difahamkan, usaha secara kolektif juga sedang dilakukan semua jabatan perikanan negeri di   Malaysia bagi membanteras kehadiran ikan   pemangsa yang akhirnya mengganggu sektor akuakultur hingga mengakibatkan kerugian kepada komuniti penternak.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag