August 12 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Serai dan lengkuas adalah tumbuhan yang biasa terdapat di persekitaran rumah. Kedua-dua jenis tanaman ini mudah ditanam dan boleh memberikan pendapatan lumayan sekiranya diusahakan di kawasan yang luas.
Serai dan lengkuas merupakan dua jenis tumbuhan herba yang semakin mendapat permintaan tinggi dalam industri makanan, minuman, kosmetik, dan perubatan tradisional. Kedua-duanya mempunyai nilai komersial yang baik kerana kegunaannya yang meluas.
Dengan teknik penanaman yang betul, petani boleh menjana pendapatan lumayan melalui penanaman serai dan lengkuas secara kecil-kecilan atau besar-besaran.
Seorang pengusaha telah bergiat dengan tanaman ini sejak tujuh tahun yang lalu dan telah membuktikan bahawa tanaman ini memberikan pulangan lumayan. Beliau ialah En. Mohd Noor, seorang kontraktor yang memberikan tumpuan kepada tanaman serai dan lengkuas di kawasan tanah lapang yang disewanya.
Pemanfaatan Tanah Terbiar
Dengan hanya sewaan RM400 untuk dua ekar tanah lapang di bawah talian elektrik voltan tinggi—yang sememangnya tidak dibenarkan untuk tanaman tinggi—beliau telah memanfaatkan tanah tersebut untuk menanam serai dan lengkuas. Kelebihan kedua-dua tanaman ini ialah ketinggiannya yang hanya mencapai dua meter, menjadikannya sesuai untuk ditanam di kawasan terhad.
Penyediaan Tapaka: Pembersihan dan Pembetukan Batas
Kawasan lapang yang diusahakan oleh En. Mohd Noor perlu dibajak terlebih dahulu, kemudian dibentuk batas yang merintangi kawasan tersebut. Dengan penanaman secara berselang-seli antara serai dan lengkuas, beliau menanam terus di tanah dan memastikan kawasan tersebut tidak digenangi air. Batas untuk penanaman serai dan lengkuas ini meliputi keluasan sehingga tiga ekar. Setelah tapak dibersihkan dan batas siap dibentuk, kerja-kerja penanaman dilaksanakan dengan jarak dua meter antara setiap tumbuhan.
Syarat Tanah yang Sesuai
Tanah perlulah gembur serta mempunyai sistem saliran yang baik. Nilai pH tanah yang sesuai untuk penanaman adalah antara 5.5 hingga 6.5. Selain itu, tanah juga perlu dibaja dengan kompos atau tahi ayam bagi meningkatkan kesuburannya.
Proses Menanam Anak Serai dan Lengkuas
• Penanaman Serai
Serai mudah ditanam dengan menanam anak benih sedalam tiga sentimeter ke dalam tanah, kemudian diberi baja untuk menggalakkan pertumbuhan akar. Pemilihan benih yang segar, berakar, dan berukuran besar adalah penting kerana ia menandakan kualiti benih yang baik.
• Penanaman Lengkuas
Benih lengkuas lebih sukar untuk diperoleh, terutamanya lengkuas merah yang menjadi kegemaran ramai.
En. Mohd Noor menerangkan bahawa usaha beliau di peringkat awal untuk mendapatkan benih adalah dengan mencarinya secara terus daripada penanam di kawasan kampung, kerana benih lengkuas sukar ditemui di pasaran.
Lengkuas yang dijadikan benih perlu mempunyai tunas, dan setiap rizom yang diperoleh dipotong sepanjang tiga sentimeter sebelum ditanam ke dalam tanah.
Penjagaan Awal Tanaman
Pada peringkat awal penanaman, serai dan lengkuas perlu disiram dua kali sehari sehingga pokok mencapai ketinggian 300 milimeter. Selepas itu, kekerapan penyiraman boleh dikurangkan kepada dua hari sekali.
Penjagaan Tanaman
Sepanjang 8 bulan, serai dan lengkuas perlu dijaga untuk memastikan pokok tumbuh subur. Tempoh ini tiada hasil yang diperoleh, melainkan pengusaha perlu memastikan pokok sentiasa segar dan tidak berpenyakit. Pokok yang segar akan membolehkan hasil yang lumayan.
Kemudahan Penjagaan
Tidak susah untuk menjaga serai dan lengkuas. Kawasan yang ditanam juga tidak memerlukan pagar. Tiada serangan daripada babi kerana serai merupakan pelindung yang menyebabkan babi tidak menggemari kawasan pertanian serai.
Rutin Penjagaan
Rutin penjagaan adalah memastikan daun-daun serai dan lengkuas yang kering dibersihkan dan ditaburkan di tanah untuk menjadi pelindung daripada rumpai, serta memastikan tanah lembap untuk mengelakkan kekeringan melampau, terutamanya pada musim kemarau.
Bekalan Air
Air adalah keperluan berterusan, dan Encik Mat Noor telah menggali perigi boring yang boleh membekalkan air yang diperlukan. Sistem paip membolehkan air disalurkan terus dari perigi dan kemudiannya digunakan untuk jirusan air terus ke seluruh kawasan ladang. Oleh kerana keperluan air bukannya setiap hari, maka proses membasahkan tumbuhan adalah untuk memastikan tanah sentiasa lembap dan mempunyai saliran yang baik.
Pembajaan
Pembajaan adalah menggunakan urea atau kompos. Untuk urea, diperlukan 150 kg bagi dua ekar yang diusahakan, dan ditaburkan ke perdu pokok setiap dua bulan. En. Mat Noor menggunakan campuran baja keluaran dari Jerman dan juga dari Thailand.
Kawalan Rumpai
Terdapat pelbagai kaedah penjagaan termasuk menutup permukaan dengan jerami atau plastik hitam. Encik Mat Noor lebih menumpukan kepada kaedah membersihkan permukaan tanah dengan menghalang rumpai tumbuh secara manual, sehinggalah pokok tumbuh sehingga 300 mm tinggi. Seterusnya, beliau memastikan daun kunyit dan serai yang kering digunakan sebagai penutup bumi.
Penuaian dan Kutipan Hasil
Selepas lapan bulan ditanam, serai dan lengkuas boleh dituai. Setiap kali proses menuai, Encik Mat Noor perlu memastikan proses dilakukan dengan betul. Kualiti lengkuas amat bergantung pada kemahiran mengeluarkan perdu tanpa merosakkan rizom. Beliau akan memastikan teknik yang betul diajar kepada semua pekerja yang terlibat dalam proses mendapatkan hasil lengkuas.
Proses Penuaian Serai dan Lengkuas
Setiap kali menuaikan serai atau lengkuas, keseluruhan perdu pokok dikeluarkan. Untuk menuai serai, keseluruhan rumpun serai dicabut dari tanah, kemudian dibersihkan dan dikumpulkan untuk dibawa ke pasar atau tempat jualan.
Bagi lengkuas pula, keseluruhan perdu dicabut dengan kaedah yang betul. Beliau menggunakan alat yang sesuai untuk membentuk lubang di sekeliling perdu lengkuas.
Beliau menerangkan bahawa kualiti lengkuas yang dihasilkan dapat dilihat pada batang pokok lengkuas. Jika batangnya besar dan gemuk, maka rizom yang dihasilkan juga besar.
Bagi setiap perdu lengkuas yang dicabut, terdapat batang kecil atau rizom yang tidak begitu besar. Rizom kecil ini akan ditanam semula bagi menghasilkan hasil pada masa hadapan.
Hasil dan Pendapatan
Serai yang dituai boleh mencapai 10 kilogram setiap rumpun, dan dengan harga pasaran antara RM3 hingga RM5 per kilogram, beliau memperoleh hasil sehingga enam tan bagi dua ekar kawasan tanaman.
Untuk lengkuas pula, setiap perdu yang dikeluarkan boleh menghasilkan antara 8-15 kilogram. Dengan harga pasaran RM6 per kilogram, beliau mampu meraih pendapatan yang memuaskan, terutamanya pada musim perayaan apabila terdapat permintaan yang tinggi untuk lengkuas.
Pemasaran Hasil Serai dan Lengkuas
Hasil lengkuas dan serai mudah dipasarkan sama ada dihantar ke pasar borong, restoran atau pasar tani. Pada masa ini, hasil daripada dua ekar kawasan yang diusahakan beliau cukup untuk bekalan serai dan lengkuas tempatan.
Kesimpulan
Penanaman serai dan lengkuas boleh menjadi sumber pendapatan lumayan jika diurus dengan baik.
Oleh kerana banyak terdapat tanah lapang yang tidak diusahakan, lebih ramai sepatutnya mengambil peluang untuk menanam serai dan lengkuas.
Oleh kerana penjagaan tanaman ini lebih mudah, potensi pendapatan adalah lebih tinggi. Dengan permintaan pasaran yang tinggi dan teknik penanaman yang betul, petani boleh meningkatkan hasil dan keuntungan.
Bagi mereka yang berminat untuk menjadikan tanaman serai dan lengkuas secara komersial, boleh bermula di kawasan lapang yang kecil, dan kemudian memperluaskan kawasan tanaman.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.