May 13 2024

Pembangunan Durian Tanah Berbukit

Pembangunan Durian Tanah Berbukit - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)

Keseragaman pertumbuhan pokok menjadi kayu pengukur kepada arah tuju pelaburan tanaman durian. 

Kesesuaian penanaman durian sinonim dengan kawasan tinggi berbukit ekoran persepsi umum melihat kawasan pengeluaran durian utama di Malaysia tertumpu kepada kawasan berbukit seperti di Raub, Bentong, Ledang, Tangkak, Batu Kurau, Balik Pulau dan lain-lain.

Secara umumnya kadar pertumbuhan di kawasan berbukit adalah lebih tinggi tahap kemadirannya. Antara faktornya adalah kadar saliran sedikit lancar dan risiko air bertakung adalah rendah. 

Walaupun begitu, ianya bukan semua keadaan sama kerana ia masih dipengaruhi struktur tanah, aliran air dan juga rekabentuk penanaman di teres.

KAWASAN TINGGI SALIRAN LANCAR?

KETEPUAN AIR DI DALAM TANAH

Kawasan berbukit juga tidak terkecuali menerima impak pokok rosak akibat ketepuan air yang tinggi. Simptom daun pokok berwarna kekuningan, batang berwarna hitam berkilat, pertumbuhan pucuk terhenti atau perlahan, pucuk kering, daun keguguran dan kematian pokok adalah implikasi kerosakan akar yang telah rosak akibat ketepuan air yang tinggi di dalam tanah.


Simptom daun pokok kekuningan dan pengeluaran pucuk perlahan / terhenti.

 

Secara relatifnya, kejadian ketepuan air yang tinggi berlaku di dalam tanah adalah disebabkan kadar aliran air ataupun rekabentuk saliran kurang sempurna ketika pembangunan kawasan dibuka. 

Apabila berlaku ketepuan air yang tinggi dalam tanah, akar pokok akan terendam dan menyebabkan pereputan akar berlaku. 

Situasi yang sering berlaku ialah apabila memasuki bulan November dan Disember yang selalunya kadar curahan hujan yang tinggi, pokok menunjukkan simptom pertumbuhan pucuk terhenti dan pertumbuhan yang perlahan. 

Apabila tiba musim panas iaitu Januari dan Februari, pokok mula menunjukkan perubahan warna daun yang kekuningan pada daun muda. Jika tahap kerosakan serius, daun pokok keguguran dan boleh menyebabkan kematian pokok. 

Implikasi daripada pereputan akar, pokok tidak mampu menyerap nutrien dengan cukup, dan ia akan memberi impak kepada antibodi pokok dan secara tidak langsung pokok mudah diserang oleh penyakit lain seperti Phythopthora.  Risiko kadar kematian yang tinggi, akan mengganggu corak pelaburan pelabur.


Pokok yang berumur 5 tahun yang telah mati.

 


Teknologi Pengurusan Penanaman Di Kawasan Berbukit

Melalui tembual dan lawatan ladang bersama Penasihat Durian, En. Lim Chin Khee daripada Durian Academy amat menekankan aspek saliran yang menjadi tunjang utama di dalam pelaburan tanaman durian. Kadar kejayaan sesuatu projek dinilai dari segi tahap keseragamannya, peratus pokok hidup dan pertumbuhan vegetatif yang konsisten.


Pertumbuhan pokok yang seragam dari segi tumbesaran.


Melalui perkhidmatan beliau sebagai jururunding, didapati banyak kebun mengalami masalah yang sama iaitu kadar kematian pokok yang tinggi. Bagi mengatasi masalah ini, antara inovasi yang dikembangkan ialah rekabentuk penamanan.

- Rekabentuk penanaman di kawasan berbukit ( teres ), pembinaan parit di dalam teres adalah salah satu syarat utama bagi mengelak air melintasi teres dan untuk mengalihkan air keluar dari teres. Jika tidak, air yang mengalir itu mampu meningkatkan kadar air di dalam tanah serta berisiko menyebabkan tanah runtuh.

- Penanaman secara busut di hujung teres juga adalah untuk mengawal ketinggian air dan mengelakkan akar terendam. Saiz busut yang ideal adalah 1m tinggi dan 2m lebar disyorkan untuk memastikan akar tidak terendam jika kadar hujan yang tinggi.Selain itu, kaedah busut juga disyorkan dengan saiz 1m tinggi dan 2m lebar pada zon hujung teres.


Keadaan busut tanaman dengan saiz 1m tinggi dan 2m lebar.

 


Pokok yang berumur 20 bulan yang ditanam menggunakan kaedah busut.

 

- Kaedah pencegahan perlu dijalankan bagi memastikan tahap imunasi pokok dapat ditingkatkan dan pencegahan awal boleh dikawal. Implikasi serangan Phythopthora adalah berpunca dari kerosakan serta kecederaan pokok yang mampu menyebabkan pokok gagal menyerap nutrisi yang dikehendaki melalui akar.Pencegahan boleh dijalankan 1-2 pusingan setiap bulan.

 1. Rawatan pencegahan adalah seperti berikut:

20ml Metalaxyl 45% 9 (Fetto 450) + 10ml Phosphorus Acid (P400) + G321 sebanyak 20 gram   dibancuh dengan 20 liter air dan disembur pada zon akar dengan kadar 0.5-1.0  liter bancuhan mengikut saiz pokok. Kekerapan semburan adalah 2 minggu sekali sebagai pencegahan atau rawatan terutama ketika musim hujan.

- Penyimpanan "covercrop"

 1. "Covercrop" disimpan pada ladang sebagai penampan ketika curahan hujan ataupun penyiraman berkala dan ia adalah salah satu olahan pengurusan ladang komersil dengan habitat asal tanaman durian.

 2. Pergerakan air dapat diperlahankan dan ia mampu mengawal tanah daripada padat yang mana akan menyebabkan  pengudaraan tanah menjadi lemah.

 3. “Covercrop” dipotong dengan ketinggian 1”-2” dari paras tanah dan sisa pemotongan tersebut akan mereput secara semulajadi. Secara tidak langsung ia kan menjadi organik percuma pada tanah.

- Aplikasi kompos organik

1. Aplikasi ini adalah asas utama untuk kesuburan tanah bagi membaiki atau mengimbangi struktur tanah. Ia mampu merangsang pertumbuhan akar lebih cepat dan secara tidak langsung ia akan mempercepatkan pertumbuhan pokok.

 2. Struktur tanah yang gembur  mampu melancarkan saliran di dalam tanah dan ia juga akan meningkatkan populasi cacing tanah. Kombinasi ini amat sesuai kerana cacing tanah bukan sahaja membantu menguraikan sisa ladang, tetapi ia akan menggalakkan pengudaraan di dalam tanah.

Pengurusan saliran yang baik adalah salah satu kunci bagi memastikan keseragaman serta kesuburan pokok. Risiko kadar kematian mampu dikurangkan melalui perancangan yang sempurna dengan mengambil kira kesesuaian habitat asal pokok durian. Semoga artikel kali ini, dapat memberi gambaran ringkas kepada pelabur bagi memastikan tahap pelaburan mengikut apa yang dirancang.Salam Durian.

 

Rujukan:
 1.2018, Durian Cultivation, Lim Chin Khee

2.2019, Agronomi Tanaman Durian, Mohd Ali Hanafiah

3.2023, Brightonmax, Phythopthora control

4.2024, Durian Island Farm, Durian Academy

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag