December 10 2024
Sektor pertanian di Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan berkualiti. Walau bagaimanapun, kemajuan sektor ini tidak terlepas daripada cabaran, termasuk serangan perosak dan penyakit tanaman. Bagi mengatasi masalah ini, para petani sering menggunakan pelbagai jenis racun perosak. Malangnya, dalam usaha ini, racun perosak tiruan mula menular sebagai ancaman besar kepada kesihatan manusia, alam sekitar, dan keselamatan makanan negara.
Racun perosak tiruan, atau produk yang tidak berdaftar, tidak melalui saringan keselamatan atau peraturan ketat sebelum dijual. Produk seperti ini mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh mengakibatkan keracunan kepada pengguna tanaman dan juga kepada petani.
Selain menjejaskan kesihatan manusia, produk ini turut memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Ia sukar terurai, mencemarkan tanah dan sumber air, serta mengancam biodiversiti melalui kemusnahan habitat semula jadi dan gangguan kepada spesies serangga penting seperti lebah.
Faktor utama yang mendorong petani memilih racun makhluk perosak tidak berdaftar ialah harganya yang jauh lebih murah berbanding produk berdaftar. Penjual haram pula mengambil kesempatan dengan memasarkan produk ini melalui platform dalam talian, yang kurang terkawal berbanding penjualan di kedai fizikal.
Desakan untuk menangani serangan perosak dengan cepat membuatkan ramai petani terpedaya dengan janji keberkesanan racun makhluk perosak tidak berdaftar, tanpa menyedari kesan buruknya dalam jangka masa panjang.
Langkah Proaktif MCPA
Persatuan Pemeliharaan Tanaman dan Kesihatan Awam Malaysia atau lebih dikenali sebagai The Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA), sebuah badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), telah mengambil langkah tegas untuk membanteras penggunaan racun makhluk perosak tidak berdaftar. MCPA berperanan mendidik petani tentang bahaya penggunaan produk ini serta mempromosikan amalan pertanian lestari yang menekankan keselamatan pengguna dan pemeliharaan alam sekitar.
Melalui pelbagai kempen kesedaran dan kerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Lembaga Racun Makhluk Perosak, Jabatan Pertanian, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), MCPA mendekati petani untuk memberi maklumat tepat mengenai risiko racun makhluk perosak tidak berdaftar. Petani juga diajar mengenali produk berdaftar, menggunakan racun perosak dengan betul, dan mengaplikasikan teknologi baharu yang lebih mesra alam.
Selain itu, MCPA memperkenalkan konsep "stewardship", iaitu Amalan Pertanian Baik dan guna racun makhluk perosak secara berhemah. Konsep ini membantu petani menguruskan perosak tanpa menggunakan racun perosak secara berlebihan, sekali gus melindungi kesihatan pengguna, kesuburan tanah, dan kelestarian hasil pertanian dalam jangka masa panjang.
Cabaran dan Masa Depan
Namun begitu, penjualan racun makhluk perosak t idak berdaftar, terutamanya di platform e-dagang, masih menjadi cabaran besar. Menurut Encik Ng Ching Teik, Pengerusi MCPA, kerjasama erat antara pengeluar, pengedar, petani, kerajaan, dan masyarakat umum amat diperlukan untuk membanteras masalah ini.
Dengan usaha berterusan oleh MCPA serta sokongan daripada Lembaga Racun Makhluk Perosak dan KPKM, sektor pertanian Malaysia berpotensi menjadi lebih selamat dan lestari. Kesedaran dan pengetahuan petani tentang bahaya racun makhluk perosak tidak berdaftar bukan sahaja akan melindungi kesihatan pengguna, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar dan kelangsungan industri pertanian negara.
Dalam jangka masa panjang, pendekatan holistik ini akan membantu memperkukuhkan keberkesanan rantai bekalan makanan negara, meningkatkan kualiti hasil pertanian, dan melindungi pengguna daripada risiko kesihatan. MCPA komited untuk terus mendidik petani dan masyarakat demi mempromosikan pertanian yang mampan dan bertanggungjawab, demi kebaikan bersama.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.