October 24 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Seruan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, untuk kaum bumiputra turut menanam durian secara komersial umpama menyeru ‘sirih pulang ke gagang’. Selama ini, kaum bumiputra memang mempelopori tanaman durian. Ini terbukti dengan terdapatnya pohon durian sebesar pemeluk dan setinggi pohon balak di kampungkampung Melayu tradisional.
Malangnya, sebagai usaha perniagaan moden, hanya 5 peratus pengusaha Raja Buah itu dari kalangan bumiputra.
Jadi, peluang dari sumber kekayaan baru ini harus diambil oleh semua golongan masyarakat, lebih-lebih lagi dengan terbukanya pasaran negara China yang terlalu besar sehingga ada yang mengatakan tidak akan terpenuhi biarpun separuh daripada kawasan pertanian di Malaysia ditukar menjadi ladang durian.
Adalah dianggarkan nilai eksport durian ke luar negara diunjur terus meningkat sekali ganda kepada RM2 bilion menjelang tahun 2030.
Secara tradisi, kebanyakan durian Malaysia dieksport ke Singapura sebelum munculnya trend makan durian di China.
Negara pulau yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina sangat menggemari durian Malaysia, baik durian kampung mahupun durian klon terkini seperti Musang King (D197), Ochee (D200), D24 dan klon-klon asal Pulau Pinang yang lain.
Kemunculan Pelancongan Durian
Ini terbukti dengan kedatangan pelancong berbondong-bondong hanya untuk makan durian apabila kerajaan Singapura mengawal jumlah durian segar dengan kulit masuk bagi mengurangkan sampah.
Perkara ini mencetuskan kemunculan chalet-chalet dalam dusun yang menawarkan tempat tidur dan “makan durian selagi terdaya” dari Segamat (Johor) hingga Balik Pulau (Pulau Pinang).
Mendapat manfaat daripada tukaran mata wang Singapura yang tinggi, durian Malaysia dapat dijual di Singapura dengan harga sekurang-kurangnya sekali ganda lebih tinggi berbanding pasaran tempatan.
Dianggarkan Singapura mengimport lebih daripada 30 ribu metrik tan durian dari Malaysia dengan nilai sekitar RM1.5 bilion pada tahun 2025.
Lawatan ladang memberi maklumat baru dalam pengurusan ladang durian.
Umum mengetahui Malaysia berada di tempat ketiga dalam perlumbaan mengeksport durian ke China selepas Vietnam dan Thailand dari segi jumlah dan kelulusan untuk membawa masuk buah segar.
Sebelum ini, hanya isi durian sejuk beku diberi kebenaran eksport, sedangkan dua negara tersebut terlebih dahulu diberi permit untuk mengeksport.
Kejayaan Eksport Durian Vietnam
Menurut CNBC, Vietnam menjadi pemain utama dalam pasaran durian global dengan mengeksport varieti utamanya, Ri6, dengan nilai eksport buah mencecah AS$3.3 bilion (kira-kira RM14.85 bilion) pada tahun 2024.
Durian Ri6 dikenali dengan kulitnya yang nipis, pulpa padat berwarna kuning gelap, biji yang kecil, pengeluaran buah yang banyak, dan tempoh matang yang singkat.
Menurut laporan pelabur, eksport durian Vietnam mengalami peningkatan 7.8 kali ganda berbanding tahun 2022, menyumbang hampir 50 peratus jumlah nilai penghantaran buah-buahan dan sayur-sayurannya.
Kejayaan ini hasil daripada permintaan kukuh dari China. Kekayaan ekonomi rakyat China memungkinkan mereka memilih buah yang melambangkan kemewahan dan unik seperti durian, selain menjadi perisa unik untuk pizza, aiskrim, kek, dan bahan masakan yang kreatif.
Thailand yang sudah berdekad menjadi pembekal durian global agak tergugat dengan kehadiran durian Vietnam. Varieti Ri6 yang menjadi varieti unggul Vietnam dipercayai berasal dari varieti Monthong yang ditambah baik melalui penyelidikan oleh jabatan kerajaannya.
Persamaan antara varieti Ri6 dan Monthong sebenarnya menjadi kekurangan kerana pengguna baru agak sukar membezakan antara dua varieti ini, menjadikan persaingan berada pada paras yang sama.
Thailand menggunakan situasi ini untuk bersaing dengan mengeksport varietinya yang lain seperti Channee dan Phuang Mani (Udang Merah/ Telur Buaya). Namun, kehadiran Musang King (D197) dan Duri Hitam/Ochee (D200) dari Malaysia menjadikan persaingan lebih sengit.
Dua varieti yang mempunyai kualiti yang sangat 'superb' ini menyebabkan petani di Thailand dan Vietnam menyeludup masuk bahan tampang ke negara mereka dan 'menukarkan' varieti pokok mereka melalui kaedah cantuman mata tunas dewasa.
Masalah Eksport Durian Thailand ke China
Akibat perbezaan cuaca, varieti Musang King tidak mampu memberi hasil yang memuaskan di sana berbanding pokok D197 di Raub dan Bentong, Pahang. Selain diserang penyakit mati pucuk, buah didapati tidak membulat sempurna (terdapat pangsa kosong, gred turun ke B atau lebih rendah) dan buah tidak masak sekata (F.B Faculty of Durian).
Penggunaan hormon dan tegasan air merangsang pembungaan.
Eksport Thailand telah menghadapi masalah pada awal tahun 2025 apabila pihak berkuasa China menolak beberapa kontena durian kerana dicemari pewarna kuning tiruan.
Bagi menjaga nama baik dan kesan ekonomi kepada petani, pihak berkuasa pertanian Thailand telah menggantung lesen eksport 26 pemborong durian, dan pihak China melaksanakan ujian makmal mandatori terhadap semua import dari Thailand.
Ini mengambil masa yang panjang dan memberi kesan kepada kualiti durian yang agak mudah rosak. Kejadian ini memberi amaran awal kepada pengusaha di Malaysia supaya tidak meremehkan amalan baik seperti yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian.
Galak Penanaman Durian Unggul
Seruan Menteri di KPKM itu adalah untuk menggalakkan tanaman varieti durian unggul seperti Musang King dan Duri Hitam, walaupun hanya sepokok dua di perkarangan rumah, bagi menggalakkan pengeluaran.
Walaupun mungkin dipandang remeh, jika semua rumah mengeluarkan varieti yang sama, akan wujud sinergi pengeluaran di mana kualiti rendah boleh dipasarkan untuk pengguna tempatan dan kualiti terbaik boleh dijual ke pusat pengumpulan bagi tujuan eksport.
Penanaman dalam skala kecil memungkinkan petani membuat kawalan kualiti tahap terbaik tanpa penggunaan racun kimia, seperti membungkus secara manual bagi mengelak serangan serangga perosak dan tupai.
Ujar Menteri KPKM, “Umum mengetahui harga durian boleh mencecah sehingga RM200 sebiji bergantung kepada baka seperti Musang King dan Blackthorn. Oleh itu, bumiputera yang memiliki tanah sesuai perlu mengambil peluang untuk usahakan ladang buah yang boleh dikomersialkan.
Penggemar durian dari luar negara bukan sahaja meminati buah ini secara segar tetapi juga berminat kepada produk sampingan durian seperti kerepek, aiskrim, piza dan kek. Pihak kementerian giat menjalankan promosi produk durian yang kini mula diterima di peringkat antarabangsa.
Durian Malaysia dianggap sebagai antara yang terbaik di peringkat dunia dalam kalangan peminat buah itu. Ini berkemungkinan besar kerana faktor cuaca yang sesuai, kesuburan dan kesesuaian tanah di negara ini,” ujarnya.
Minat untuk Berkebun Durian
Trend kegilaan makan durian di China telah mewujudkan permintaan tinggi daripada pemain antarabangsa untuk terlibat dalam industri yang mendapat julukan "lombong emas terkini (latest gold mine)".
Pendebungaan berbantu.
Selain syarikat-syarikat besar yang membuat pertanyaan untuk membuka ladang durian di Malaysia, terdapat orang perseorangan yang berminat untuk memiliki durian sendiri dan membuat pertanyaan melalui ejen hartanah. Mereka berminat untuk memiliki pohon durian sendiri.
Homestead Durian Sebagai Gaya Hidup Mewah
Selain mendapat bekalan durian yang bebas residu kimia, trend memiliki homestead durian bakal menjadi gaya hidup orang-orang kaya pada masa akan datang, seperti memiliki ladang ternakan di New Zealand atau Australia.
Oleh kerana undang-undang mewajibkan pemilikan tempatan sebanyak 51 peratus bagi syarikat yang melibatkan modal asing, beberapa syarikat hartanah telah menyediakan syarikat 'ready-made' untuk legalisasi pemilikan dusun durian oleh pemilik antarabangsa.
Selain itu, terdapat juga syarikat besar yang menjual pemilikan ladang durian secara 'time sharing', di mana pelabur dapat makan sepuas hati tanpa had dan tinggal di ladang durian pada musimnya. Perlumbaan ini telah melonjakkan nilai tanah di kawasan utama durian seperti di Bentong dan Raub sehingga pernah mencecah RM1 juta per ekar dan terus meningkat.
Permintaan buah durian yang tinggi dari luar negara, terutama akhir-akhir ini dari China yang tidak terdaya dipenuhi, serta pelabur hartanah dari Singapura, China dan Hong Kong yang mencari tanah prima untuk ladang durian, menyebabkan harga tanah di Pahang, terutama sekitar Raub dan Bentong, menjadi sangat tinggi — mencapai RM250 ribu hingga RM500 ribu per ekar bergantung kepada kedapatan infrastruktur, sumber air, umur pokok dan varieti sedia ada.
Modal Besar dan Risiko Pelaburan
Dengan harga yang begitu tinggi, hanya syarikat yang mempunyai modal yang kukuh dan jaringan perniagaan yang mantap mampu melabur dalam projek tanaman durian.
Sesetengah syarikat lebih memilih untuk membeli ladang durian yang sudah berbuah dan berumur 10 tahun ke atas bagi mengurangkan tempoh gestasi yang lama, manakala syarikat yang lain lebih memilih untuk melabur dalam tanaman kelapa sawit kerana kurang risiko dan memberi pulangan yang lumayan bagi tempoh yang sama.
Lagipun, kelapa sawit mempunyai jaringan perniagaan yang telah stabil dan harga minyak sawit di peringkat dunia yang terus meningkat saban tahun.
Berkebun durian bukanlah suatu tugas yang mudah. Jika sekadar menggunakan Sistem 3T (Tanam, Tinggal dan Tuai), bersedialah untuk gagal. Ramai yang "terbakar jari" dan rugi beratus ribu ringgit dengan projek tanaman durian.
Selain kos pembukaan tanah yang tinggi dan harga benih berkualiti yang mahal, membuat penyelenggaraan sehingga berbuah, malah seterusnya, bukanlah mudah bagi petani yang tidak cekal.
Durian sangat mudah dijangkiti penyakit bawaan bakteria dan virus, selain serangan serangga dan kulat biasa.
Risiko Penyakit dan Kematian Pokok
Serangan penyakit Busuk Akar (Phytophthora spp.) yang menyebabkan akar reput dan pokok mati, Kanker Batang Durian (P. palmivora) yang boleh menyebabkan batang reput dan rebah, serta penyakit seperti Hawar Daun (Rhizoctonia solani) dan serangan kulat lain yang, jika tidak dikawal dari awal, boleh membantut pertumbuhan dan akhirnya membunuh pokok tanpa mengira umur pokok.
Sedihnya, serangan berlaku pada pokok yang baru mula berbuah. Setelah menunggu lima hingga tujuh tahun dan mulai hendak mengumpul hasil, pokok mati. Kadang-kala buah masih bergayut di dahan dan pokok menjadi kering.
Varieti Rintang Penyakit dan Cepat Berbuah
Varieti asal dari Thailand seperti Kanyou, Monthong, Kob (D99) dan Phuang Manee didapati mempunyai rintangan yang kuat terhadap penyakit apabila ditanam di Semenanjung, terutama di negerinegeri sebelah utara yang mempunyai musim kering yang nyata.
Selain itu, varieti Thai sangat awal berbuah. Masuk tahun ke-5 penanaman (menggunakan benih polibeg setinggi 2 hingga 2.5 kaki), 80 peratus pokok mulai berbunga dan berbuah.
Isi kuning pekat dan berkedut antara ciri durian premium.
Varieti Tempatan dan Kesesuaiannya
Varieti lokal seperti MDUR sangat rentan terhadap penyakit (kecuali MDUR 88/D190), walaupun mempunyai kualiti yang sangat baik. D10, D24 dan Musang King D197 tahan terhadap penyakit. Pemilihan varieti dengan kawasan yang hendak ditanam perlulah sesuai supaya dapat mengurangkan risiko kegagalan.
Campuran beberapa varieti antara varieti lokal dan import disyorkan supaya berlaku pendebungaan silang yang membantu pembentukan buah yang sempurna. Varieti D99 dikatakan sangat efektif membekalkan debunga yang berkualiti, tahan kemarau, berbuah lebat dan kadangkala berbuah dua musim setahun.
Pohon penanti yang baik dari jenis durian hutan atau durian bunga merah dikatakan rintang terhadap penyakit akar, namun sukar diperoleh melainkan semaian dan cantuman dibuat sendiri oleh petani, dan ia mengambil tambahan masa selama setahun.
Pembangunan kawasan tanaman durian memerlukan belanja yang tinggi, lebih-lebih lagi jika dibuka dari kawasan hutan tua atau ladang getah. Selain perlu dicuci menggunakan jentolak, segala akar yang ada di dalam tanah perlu dibongkar dan dibawa keluar dari kawasan bagi mengelakkan serangan anai-anai yang bakal menjadi masalah pada masa akan datang.
Pengurusan Sisa Tanaman
Dengan larangan pembakaran terbuka, segala puing-puing kayu perlu diangkut keluar dan dibiarkan mereput di kawasan yang jauh dan sesuai.
Teknologi Baru Penanaman Durian
Sistem tanaman atas busut dengan lebar 8–10 kaki dan ketinggian sekitar 4 kaki adalah disyorkan. Ini bagi memudahkan kawalan penyakit akar yang berpunca daripada kelembapan berlebihan dan mudah merangsang pembungaan melalui tegasan air (water stress). Durian memerlukan keadaan kering sekurang-kurangnya sebulan untuk merangsang pembungaan.
Perancangan Musim Berbuah
Bagi kawasan ladang yang besar, biasanya dirancang supaya separuh kawasan berbunga dan separuh lagi berbunga enam bulan kemudian supaya terjadi dua musim berbuah. Praktis ini menjamin tenaga kerja yang cukup untuk penjagaan bunga hinggalah buah dapat dipetik.
Pendebungaan berbantu perlu dibuat bagi varieti tertentu seperti Musang King supaya buah yang membulat terbentuk. Ini dilakukan dengan menyapu bunga pada waktu malam menggunakan alat khas supaya debunga tersebar sekata.
Dahulu, proses ini dibantu oleh kelelawar yang berterbangan menghisap madu bunga durian, tetapi populasi kelelawar telah berkurangan.
Penjarangan bunga dan putik buah perlu dibuat supaya bilangan buah yang sesuai disimpan bagi tiap pokok. Buah yang terlalu banyak bagi sesuatu pokok yang masih membesar dapat menurunkan kualiti buah, malah boleh menyebabkan kematian pokok.
Musim Utama Durian di Malaysia
Malaysia biasanya mempunyai dua musim utama durian masak, iaitu pada Julai hingga Ogos dan Oktober hingga November.
Durian memerlukan pengairan yang sekata sepanjang tahun bagi mendapatkan pertumbuhan yang sekata. Sumber air perlu dibina dengan mengorek kolam atau membuat empangan mini pada lurah di kawasan berbukit bagi mengumpul air hujan sepanjang tahun dan digunakan pada musim kemarau. Air perlu dipam ke dalam tangki di atas puncak tertinggi dalam kawasan ladang atau tangki yang berada di atas menara.
Kini, pam elektrik yang menggunakan panel tenaga suria banyak digunakan dan sangat menjimatkan. Air dari tangki disebar ke tiap pokok menggunakan sistem titis kerana ia menjimatkan air dan dapat dikawal dengan sistem IoT menggunakan telefon.
Pemasaran durian di Malaysia masih belum telus dan berkembang seiring dengan pasaran antarabangsa. Ia masih bersifat tradisional, di mana peraih datang ke dusun pada awal pagi dengan motosikal serta membawa bakul plastik untuk mengumpul durian yang baru gugur. Buah-buah tersebut kemudian dibawa ke pusat pengumpulan di pinggir jalan besar.
Varieti Ri Vietnam hampir sama dengan Monthong Thailand.
Pengumpul pada peringkat yang lebih tinggi akan memborong durian untuk dibawa ke bandar, di mana satu lagi peringkat pemborong akan membeli bagi tujuan pemasaran ke bandar yang lebih besar, malah hingga ke Singapura.
Pajakan dan Persaingan
Dalam situasi tertentu, peraih peringkat tinggi akan terus berurusan dengan pemilik dusun dan memajak buah yang masih ada dengan satu harga lump-sum, serta menempatkan pekerjanya untuk mengumpul buah yang gugur setiap hari. Perjanjian akan tamat sebaik sahaja buah pada musim berkenaan selesai dituai dan kebun diserahkan kembali kepada pemilik untuk dibaja serta dibuat penyelenggaraan seterusnya.
Dalam urusan pembelian dan pajakan durian, wujud persaingan yang sengit sehingga di sesetengah tempat berlaku kegiatan gangsterisme yang mengawal kawasan tertentu sehingga mempengaruhi harga. Situasi menjadi lebih buruk apabila permintaan eksport sangat tinggi dan ramai pemain baharu masuk ke dalam industri.
Apabila pasaran memilih varieti yang homogen, situasi menjadi semakin kompleks. Terkini, Musang King menjadi rebutan, dan petani yang menjual varieti ini mendapat harga premium tetapi meninggalkan varieti lain dengan harga murah, terutama durian kampung yang tidak mempunyai pembeli.
Hal ini menyebabkan margin keuntungan bagi tanaman durian jatuh teruk, kalah dengan kelapa sawit yang mempunyai jaringan pasaran stabil, harga yang meningkat, serta operasi sepanjang tahun yang kurang tekanan.
Masa Depan Industri Tanaman Durian
Ramai pelabur berpengalaman melihat bahawa perlumbaan untuk memiliki ladang durian hanyalah bersifat sementara. Jika dibandingkan antara sawit dan durian, sawit memberikan hasil yang lebih stabil dan boleh dijangka.
Mungkin hasil sampingan durian dalam bentuk puri, pulpa sejuk beku atau buah sejuk beku mungkin lebih mudah diurus kerana mempunyai hayat simpan yang panjang. Perisa durian diramal bakal digemari di seluruh dunia, tetapi usaha memasarkan durian segar tidak bertahan lama.
Fenomena ini mungkin akan pudar selepas kegilaan makan durian yang tular di media sosial reda.
Memandangkan tempoh gestasi yang panjang, lebih logik sekiranya syarikat yang ingin melabur mengambil jalan tengah dengan membeli buah di pasaran terbuka semasa musimnya, menyejuk bekukan pulpa durian dan memprosesnya sepanjang tahun.
Tanaman Selingan
Bagi yang masih ingin mengusahakan ladang, masalah tempoh gestasi yang panjang sehingga mendapat pulangan pelaburan (ROI – Returm on Investment) dapat diatasi dengan mengusahakan tanaman selingan. Dengan tempoh panjang 5-7 tahun sebelum durian mengeluarkan hasil, beberapa tanaman yang mempunyai tempoh matang singkat boleh diusahakan.
Antara yang memberi pulangan lumayan hanya dalam tempoh satu setengah tahun ialah Limau Kasturi (Calamansi), Avokado dan Matoa. Tanaman ini telah dikaji dapat memberikan hasil yang memuaskan tanpa menjejaskan tanaman durian.
Dalam tempoh 1.5 tahun sebelum tanaman selingan memberikan hasil, boleh pula diusahakan tanaman kontan seperti pisang, nanas dan betik. 3 tanaman ini sangat versetil dan mempunyai permintaan yang stabil sepanjang tahun.
Kesilapan dalam Praktik Pengurusan
Dalam mengusahakan ladang durian, usahawan sama ada yang baru mahupun yang lama, tanpa sedar sering melakukan kesilapan yang bakal mengundang padah.
Kualiti durian yang ditanam di kawasan tanah tinggi berbeza dengan tanah rendah.
Ia mungkin berpunca daripada kefahaman lama yang kelihatan lebih memudahkan sistem kerja atau lebih menjimatkan kos, tetapi sebaliknya boleh membazirkan sumber, mengurangkan kualiti buah, malah mengurangkan keuntungan.
5 Kesilapan Lazim Petani
1. Penggunaan Sistem Pengairan Banjir atau Renjis (Sprinkler)
Sistem banjir dan sistem renjis (sprinkler) adalah 2 sistem pengairan yang sering digunakan untuk mengairi tanaman durian. Ia sangat mudah dan kelihatan sangat menjimatkan, tetapi sebenarnya kedua-dua kaedah ini sangat merugikan dan membazirkan sumber air.
Akar rerambut durian berada hampir dengan permukaan tanah, di bawah daun-daun reput kira-kira 0 hingga 45 sentimeter kedalaman. Air yang tidak dibekalkan pada kawasan ini atau dibekalkan terlalu banyak akan menyebabkan berlakunya reput akar dan merebakkan penyakit berpunca daripada kulat. Pokok menjadi lemah dan tidak mampu berproduksi dengan maksimum.
Kekurangan air menyebabkan hasil buah yang rendah, buah yang kecil dan tidak berkualiti. Ini menurunkan gred buah, merendahkan harga dan mengurangkan keuntungan. Pada musim kemarau panjang yang berlaku setiap 5 tahun sekali, rata-rata ladang mengalami hasil durian turun sehingga 20 peratus. Bekalan air yang tidak sekata menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut dan hasil buah yang sedikit.
Penyelesaiannya ialah menukar sistem pengairan banjir dan pengairan renjis kepada sistem pengairan titis (drip irrigation). Selain menjimatkan air dan dapat memberi air pada zon akar yang tepat, pengairan titis juga dapat digunakan bagi pembajaan secara fertigasi yang menjimatkan baja dan tenaga buruh.
2. Mengabaikan Kawalan Serangga dan Penyakit
Pokok durian terdedah kepada ancaman pelbagai musuh dan penyakit daripada serangga, kulat hingga kepada ancaman mamalia besar seperti tupai, monyet, babi hutan dan gajah. Pokok yang lemah akan lebih cepat diserang penyakit dan mati, seterusnya mengurangkan bilangan pokok dalam sehektar (stand per hectare).
Jumlah pokok yang berkurang secara langsung akan mengurangkan pendapatan ladang walaupun kos pengurusan (overhead) masih pada tahap yang sama. Tanpa kawalan berjadual, buah boleh diserang oleh ulat pengorek buah, kulat yang menyebabkan busuk buah, ditebuk tupai atau dipulas monyet ketika buah belum matang.
Semuanya mengurangkan bilangan buah yang boleh dijual dan memberi kesan kepada hasil ladang. Bagi ladang Musang King berhampiran hutan di Pahang, dianggarkan hanya 40 peratus buah layak untuk dieksport. Bakinya rosak akibat ditebuk tupai, berlubang akibat ulat pengorek buah atau serangan penyakit reput buah.
Hanya kawalan berjadual dan rejim yang tepat dapat menghasilkan pokok yang sihat dan buah yang berkualiti tanpa menunggu pokok menunjukkan simptom negatif.
3. Bekalan Buruh dan Jadual Terbengkalai
Mengurus ladang durian memerlukan bekalan buruh yang cukup. Setiap tugasan perlu mengikut jadual yang tepat. Mendapat bekalan buruh yang cekap dan bertanggungjawab adalah sukar dan menelan kos yang tinggi.
Setiap operasi yang ditunda kerana tiada bekalan buruh akan menjadi masalah pada masa hadapan. Kerja-kerja pembajaan, pengairan, kawalan serangga dan kawalan rumpai perlu dibuat pada masa yang tepat bagi mengelakkan pengurangan kuantiti dan kualiti hasil ladang. Hanya perancangan yang tepat dan modal yang mencukupi dapat menjamin keuntungan berterusan.
Double Planting memberi hasil tinggi.
4. Sistem Pemasaran yang Tidak Terancang
Buah durian mempunyai hayat yang singkat dan perlu dipasarkan dengan segera. Masalah timbul apabila buah gugur dengan banyak pada kemuncak musim.
Hampir semua ladang mengeluarkan buah yang banyak dan peraih tidak dapat memasarkannya pada masa yang tepat. Harga akan jatuh, kadang-kadang pada harga yang tidak munasabah.
Merancang pengeluaran buah adalah jawapan terbaik bagi masalah lambakan pengeluaran. Oleh kerana pembungaan boleh dirancang dengan kawalan pengairan, buah boleh ditentukan untuk dikeluarkan pada dua musim bertentangan (sistem A dan B), dikeluarkan awal musim untuk mendahului orang lain atau lewat musim bagi mengelakkan lambakan pada musim puncak.
Penggunaan khidmat orang tengah dapat dielakkan dengan menggunakan pemasaran dalam talian, penghantaran pintu ke pintu, pesta makan durian di dusun (all you can eat, dikenakan caj per kepala) dan homestay dalam dusun durian.
Pemprosesan pulpa durian yang disejukbeku dapat memanjangkan hayat isi durian sehingga 24 bulan dan diproses menjadi produk akhir seperti aiskrim, mochi dan pizza. Buah durian yang dituai sebelum masak dapat dijadikan kerepek.
5. Pengetahuan Teknikal dan Sumber Terhad
Teknologi dalam industri tanaman durian telah berkembang dengan pesat selaras dengan penyelidikan yang dibuat oleh badan penyelidik kerajaan dan inovasi oleh petani seperti di Vietnam dan Thailand.
Media sosial turut menyebarkan perkembangan terbaru ini, tetapi masih ramai petani tempatan mengamalkan amalan lapuk dan menanam varieti lama yang kurang produktif serta rentan terhadap penyakit. Kaedah terkini mengesyorkan penanaman durian atas busut atau batas bagi mengawal kelembapan dan memudahkan perangsangan pembuahan luar musim.
Pengairan tepat (precision irrigation) dengan sistem fertigasi memberi baja yang berlainan pada setiap fasa pertumbuhan dan pembuahan tanpa memerlukan buruh yang ramai serta dapat dilakukan dengan pantas.
Pokok dipangkas rendah agar mudah memangkas bunga, membungkus dan menggantung buah, serta memudahkan tuaian dan menjaga kualiti.
Pokok durian kini ditanam dengan kepadatan tinggi sehingga mampu mengeluarkan hasil 3 kali ganda berbanding kaedah tradisional.
Hasil tinggi dengan penyenggaraan berjadual.
Kesimpulan
Permintaan yang tinggi terhadap durian Malaysia di peringkat antarabangsa terutamanya pasaran China menjadikannya peluang perniagaan baharu dengan margin keuntungan yang tinggi. Durian menjadi lambang produk mewah yang digemari kumpulan masyarakat berpendapatan tinggi, mungkin setaraf dengan coklat, kaviar dan champagne.
Kehadiran varieti premium seperti Musang King (D197) dan Ochee/Duri Hitam (D200) yang memberi rasa unik apabila ditanam di lokasi seperti Raub boleh dimanfaatkan untuk sentimen pasaran umpama pengeluar wain di Wilayah Champagne, Perancis.
Kejayaan perniagaan durian memerlukan perancangan strategik, analisis pasaran yang jitu bersama amalan teknologi pertanian terkini dengan nasihat pakar-pakar berdasarkan penyelidikan saintifik. Produk yang ditawarkan sama ada buah segar mahupun produk hiliran mesti mempunyai spesifikasi pengeluaran dan kualiti yang tertinggi serta mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.