September 18 2024

6 Varieti Mangga Terkenal di Thailand

6 Varieti Mangga Terkenal di Thailand - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Sebagai pengeluar mangga yang terkemuka di peringkat dunia, Thailand mempunyai pelbagai varieti tetapi hanya beberapa sahaja yang popular dan ditanam secara komersial. Perbezaan antara varieti adalah berdasarkan warna, rasa, aroma, saiz, rupa bentuk dan jenis tanah di mana ia ditanam. Antara varieti komersial yang ditanam dengan meluas kerana mendapat permintaan pasaran yang baik termasuk Maharaja, Nam Dok Mai/ Namdokmai Si Thong, Khieo Sawoei, Ok Rhong Damnoen, Raed Paet dan Thong Dam. 

1. Maharaja

Maharaja atau King adalah varieti yang sangat digemari di kalangan penduduk tempatan. Ia akan bertukar warna dari hijau semasa muda dan apabila menghampiri peringkat matang akan berubah kepada kuning-kejinggaan dengan sedikit layangan warna merah jambu apabila mulai masak. Berbentuk oblong dan mampu mencapai 18cm panjang dengan berat 250 -350g sebiji. Peminat mangga jenis ini pasti teruja dengan aroma bunga-bungaan tropika yang semerbak sebaik sahaja buahnya dikupas dan dipotong. Isinya berwarna jingga kekuningan, sangat bersari dengan tekstur yang halus. Bijinya sangat nipis senipis kad kredit. Rasanya manis dengan sedikit rasa masam yang menimbulkan rasa istimewa ciri asli buah mangga. 

Maharaja atau King adalah hasil hibrid antara mangga Thailand yang terkenal iaitu Nang Klang Wan dengan kultivar Sunset yang sangat halus isinya, tanpa serat yang banyak, menghasilkan King yang bertekstur halus seperti keju. 

King juga dipanggil Maha Chanok di serata tempat di dunia tetapi dikenali sebagai Mangga Pelangi (Rainbow) di Malaysia / Singapura kerana kombinasi warna kuning, jingga dan merah jambu di kulitnya seakan-akan pelangi apabila terkena sinar matahari. King terbaik jika dimakan segar, apabila kulitnya bertukar menjadi kuning sepenuhnya bagi menikmati rasa sejatinya yang sangat berbeza dengan varieti lain. 


Maharaja

 


Ia boleh juga dipotong berbentuk kiub dan dimakan bersama dengan bijirin sebagai sarapan pagi atau sebagai taburan diatas aiskrim, kombinasi terbaik bersama perisa vanila yang tidak menyembunyikan rasa mangga aslinya. Jika mempunyai stok yang banyak dan telah masak sempurna, mangga King bolehlah dibalut dengan dengan kertas tiap sebiji dan disimpan ditempat sayur bagi memanjangkan hayatnya. 

2. Nam Dok Mai / Namdokmai Si Thong

Nam Dok Mai adalah varieti yang paling luas ditanam di Thailand dan varieti yang paling banyak dieksport. Varieti asal berwarna hijau tetapi hasil dari mutasi menghasilkan varieti yang berwarna kuning keputihan semasa putik dan bertukar jadi kuning keemasan apabila masak. Ia dipanggil Si Thong, bermaksud berwarna keemasan. 


Namdokmai Si Thong

 


Semua pokok yang ditanam terdahulu ditukar kepada Namdokmai Si Thong melalui cantuman mata tunas pada pokok dewasa. Namdokmai Si Thong bersaiz lebih besar dengan kulit yang kuning dan licin mulus tanda noda-noda warna lain. Isinya tebal dengan warna kuning keemasan yang memanggil-manggil untuk dijamah. Mengeluarkan aroma yang menarik apabila masak ranum. Bentuk buahnya berupa bentuk mangga sebenar dengan bahu yang lebar dan memanjang serta melengkung dengan hujung yang tajam. 

Musim kemuncak sekitar Mac hingga Jun apabila kebanyakan daerah mempunyai buah yang boleh dituai dan membanjiri pasaran di Bangkok. Namdokmai Si Thong sangat popular di luar Thailand berbanding varieti King. 

3. Khieo Sawoei

Namanya sahaja sudah memberi maksud keistimewaannya iaitu sedap dimakan muda atau hijau. Bentuk buah agak tirus dengan bahu yang sempit dan sedikit melengkung dan hujung tidak terlalu tajam. Sangat rapuh, manis dan lazat apabila dimakan ketika mengkal / separa masak tetapi manis dan berserat apabila masak ranum. 


Khieo Sawoei

 


Kedua-dua peringkat matang dan masak boleh dimakan tetapi sangat popular sebagai varieti dimakan mentah bersama dengan serbuk asam boi atau dibuat kerabu Yam Makmuang, campuran mangga bersama udang kering, serbuk cili dan gula kelapa. Sangat sedap dinikmati dengan pulut kukus dan ayam goreng stail Thai. Varieti ini banyak dijual penjaja jalanan siap dikupas kulitnya dan dipotong berbetuk kudup bunga teratai, siap untuk dimakan. Jujuh dituai sekitar bulan September-Oktober, dapat dilihat dijual panjaja di lorong dan pasar malam di bandar-bandar yang ramai pelancong. 

4. Ok Rhong Damnoen

Mempunyai rupa yang biasa-biasa sahaja tetapi varieti Ok Rhong Damnoen sangat dicari oleh peminat Pulut Mangga. Tekstur dan rasanya berbaur dengan sempurna apabila dimakan dengan pulut dan ditambah santan pekat. Isinya berwarna kuning kejinggaan yang cantik, sangat manis dan beraroma seperti madu. Ia menjadi varieti popular di Thailand. Ok Rhong Damnoen banyak ditawar untuk jualan pada bulan Mac - Jun. Apabila tiba musimnya, penjaja pulut mangga akan tertumpu di pasar-pasar malam yang dibanjiri pelancong tempatan dan luar negara. 

5. Raed Paet

Panggilan Raed Paet bermaksud ‘Badak’ kerana di bahu setiap biji buahnya terdapat tanduk kecil yang menjulur keluar sebagai identitinya yang unik. Dengan rasa masam dan manisnya ia biasanya dimakan sebagai jajan dengan sambal colek campuran cili padi bersama belacan dan kicap. Sudah mengecurkan air liur dengan hanya disebut, ia menjadi buruan ibu-ibu yang mengidam. Ia berwarna hijau muda dan sangat banyak ditanam sekitar Chachoengsao. 

6. Thong Dam (MA 219)

Thong Dam adalah varieti klasik yang sudah membanjiri pasaran semenjak tahun 1970-an. Thong Dam membawa maksud emas hitam (black gold). Dipanggil demikian kerana kulitnya berwana hijau zaitun yang gelap. 

Ia berada di tengah-tengah antara mangga dengan bacang (horse manggo) dengan serat yang kasar tetapi rasa yang sangat unik, lain dari varieti mutakhir. Mungkin lebih hampir dengan varieti Kuinin di Malaysia dengan sedikit rasa bambangan dari Borneo. Warna kulit buahnya yang kekal hijau walaupun sudah masak ranum menjadikannya kurang disasar oleh serangga perosak seperti lalat buah. 


Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag