December 10 2024

MCPA Membanteras Racun Makhluk Perosak Tidak Berdaftar

MCPA Membanteras Racun Makhluk Perosak Tidak Berdaftar - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Sektor pertanian di Malaysia memainkan peranan yang amat penting dalam   memastikan bekalan makanan negara mencukupi dan berkualiti. Walau   bagaimanapun, kemajuan sektor ini tidak terlepas daripada cabaran, termasuk   serangan perosak dan penyakit tanaman. Bagi mengatasi masalah ini, para petani   sering menggunakan pelbagai jenis racun perosak. Malangnya, dalam usaha ini, racun perosak tiruan mula menular sebagai ancaman besar kepada kesihatan   manusia, alam sekitar, dan keselamatan makanan negara. 


Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Dato' Nor Sam Alwi dan ahli-ahli MCPA bersama-sama menyokong tindakan pendidikan racun makhluk perosak tidak berdaftar kepada para petani dan orang awam.

 


Racun perosak tiruan, atau produk yang   tidak berdaftar, tidak melalui saringan keselamatan atau peraturan ketat sebelum dijual. Produk seperti ini mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh mengakibatkan   keracunan kepada pengguna tanaman dan juga   kepada petani. 

Selain menjejaskan kesihatan   manusia, produk ini turut memberi kesan buruk   kepada alam sekitar. Ia sukar terurai, mencemarkan tanah dan sumber air, serta mengancam biodiversiti melalui kemusnahan habitat semula jadi dan   gangguan kepada spesies serangga penting seperti lebah. 


Pengenalan dan pendedahan kepada amalan dan pengurusan racun perosak dalam pertanian kepada pengunjung pameran terutamanya para petani melalui penggunaan realiti maya (VR).

 

Perkongsian dalam mengenalpasti racun-racun makhluk perosak berdaftar dan juga racun makhluk perosak tidak berdaftar kepada petani semasa pameran MCPA.

 

Faktor utama yang mendorong petani memilih   racun makhluk perosak tidak berdaftar ialah   harganya yang jauh lebih murah berbanding   produk berdaftar. Penjual haram pula mengambil kesempatan dengan memasarkan produk ini melalui platform dalam talian, yang kurang   terkawal berbanding penjualan di kedai fizikal.   

Desakan untuk menangani serangan perosak   dengan cepat membuatkan ramai petani terpedaya dengan janji keberkesanan racun makhluk perosak  tidak berdaftar, tanpa menyedari kesan buruknya dalam jangka masa panjang.

Langkah Proaktif MCPA

Persatuan Pemeliharaan Tanaman dan Kesihatan Awam Malaysia atau lebih dikenali sebagai The Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA), sebuah badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), telah mengambil langkah tegas untuk membanteras penggunaan racun makhluk perosak tidak berdaftar. MCPA berperanan mendidik petani tentang   bahaya penggunaan produk ini serta mempromosikan amalan pertanian lestari yang menekankan keselamatan pengguna dan pemeliharaan alam sekitar. 


Perbincangan meja bulat Jabatan Pertanian dan pihak berkepentingan bersama dengan wakil-wakil platform e-dagang mengenai penjualan racun perosak dalam talian dalam usaha untuk menangani penjualan racun makhluk perosak tidak berdaftar.

 


Melalui pelbagai kempen kesedaran dan kerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Lembaga Racun Makhluk Perosak, Jabatan Pertanian, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), MCPA mendekati petani untuk memberi maklumat tepat mengenai risiko racun makhluk perosak tidak berdaftar. Petani juga diajar mengenali produk berdaftar, menggunakan racun perosak dengan betul, dan mengaplikasikan teknologi baharu yang lebih mesra alam. 

Selain itu, MCPA memperkenalkan konsep "stewardship", iaitu Amalan Pertanian Baik dan guna racun makhluk perosak secara berhemah. Konsep ini membantu petani menguruskan perosak tanpa menggunakan racun perosak secara berlebihan, sekali gus melindungi kesihatan pengguna, kesuburan tanah, dan kelestarian hasil pertanian dalam jangka masa panjang.

Cabaran dan Masa Depan

Namun begitu, penjualan racun makhluk perosak t idak berdaftar, terutamanya di platform e-dagang, masih menjadi cabaran besar. Menurut Encik   Ng Ching Teik, Pengerusi MCPA, kerjasama erat antara pengeluar, pengedar, petani, kerajaan, dan   masyarakat umum amat diperlukan untuk   membanteras masalah ini. 


Pembentangan dan perkongsian daripada ahli Jawatankuasa Pengurusan Rintangan MCPA, Encik Phuah Boon Giap mengenai pengurusan rintangan tanaman sayur-sayuran.

 


Dengan usaha berterusan oleh MCPA serta   sokongan daripada Lembaga Racun Makhluk   Perosak dan KPKM, sektor pertanian Malaysia   berpotensi menjadi lebih selamat dan lestari. Kesedaran dan pengetahuan petani tentang bahaya racun makhluk perosak tidak berdaftar bukan sahaja akan melindungi kesihatan pengguna, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar dan kelangsungan industri pertanian negara. 

Dalam jangka masa panjang, pendekatan holistik ini akan membantu memperkukuhkan keberkesanan rantai bekalan makanan negara, meningkatkan kualiti hasil pertanian, dan melindungi pengguna daripada risiko kesihatan. MCPA komited untuk   terus mendidik petani dan masyarakat demi   mempromosikan pertanian yang mampan dan   bertanggungjawab, demi kebaikan bersama.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag