August 07 2024

Kejayaan 3 Pengusaha Harumanis

Kejayaan 3 Pengusaha Harumanis - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

1. Encik Adzif Saad (Kampung Bayas, Mukim Malau, Daerah Kubang Pasu Kedah)

Encik Adzif bukanlah seseorang yang asing dalam dunia pertanian. Pesara KEDA sebagai Pegawai Pembangunan ini pakar dalam projek-projek pertanian terutama tanaman singkat masa (cash crop). Apabila bersara beliau memilih tanaman mangga Harumanis sebagai usaha ekonominya. Kebun seluas 2.5 hektar di Kampung Malau, berhampiran Bandar Jitra tidak terlalu jauh dari Zon A pengeluaran Harumanis Perlis iaitu sekitar Chuping. Encik Adzif adalah antara beberapa pengasas yang mewakili Harumanis D’Aman, satu penjenamaan semula bagi mewakili Harumanis yang ditanam di Kedah. 

Menurut Encik Adzif, beliau mula menanam Harumanis pada 2013 dengan tanaman betik varieti Sekaki sebagai tanaman selingan. Varieti betik ini mendapat permintaan yang sangat tinggi, namun kurang berjaya kerana masalah kemarau yang melanda di daerah beliau dan serangan penyakit bakteria Erwinia yang melumpuhkan tanaman betik di seluruh negara. Mujurlah tanaman Harumanis yang ditanam sebagai tanaman utama bersama betik telah mula memberi hasil. Pada tahun 2023, beliau berjaya mendapat hasil yang tinggi dari Harumanis dan dianugerah pensijilan myGAP bagi mengisytiharkan amalan baik yang dipraktiskan dalam kebunnya dan selamat untuk dimakan. 

Dengan hasil pengeluaran yang berkualiti, dan amalan yang baik, Encik Adzif berjaya mendapat pensijilan myGAP.

 

 

Mengambil faedah dari gelombang permintaan yang tinggi terhadap Harumanis melalui media sosial terutama Facebook, beliau berjaya menjual hampir 3 metrik tan secara dalam talian. Teknik ini membantu petani mendapat harga terbaik dan pengguna diberi jaminan 100% wang dikembalikan jika buah tidak memenuhi piawaian. 

Perhatian Sepanjang Tahun

Bagi En. Adzif yang mendapat pendidikan formal dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia, menanam Harumanis tidak semudah yang disangka. Perhatian perlu diberikan sepanjang tahun, bukan sekadar ketika berbunga dan membalut buah. Ancaman dari penyakit terutama dari jenis kulat sangat sukar dikawal apabila cuaca sering berubah-ubah dan kos racun kulat yang sangat mahal sekarang ini. Bagi tahun 2024, hasil dari kebunnya sangat minima. Ini adalah kerana pada bulan Januari/Februari, Kedah dilanda kemarau yang sangat kuat sehingga bunga yang keluar kering di pokok tanpa menjadi putik buah. 

Encik Adzif hanya ketawa apabila ditanya adalah ujian sebegitu akan mematahkan semangat beliau. Menurut beliau, “sekali menjadi petani akan terus menjadi petani selagi hayat dikandung badan” mengakhiri perbualan kami pada hari itu. 

2. Tengku Mohzan Tengku Daud (Kampung Pangas, Mukim Chuping, Perlis)


YM Tengku Mohzan Tengku Daud

 


Tengku Mohzan adalah penduduk asal Chuping. Beliau mendapat pendidikan formal dalam bidang pertanian tetapi menukar profesion menjadi pendidik. Setelah bersara dari menjadi pensyarah di institusi pengajian di Arau, beliau kembali menetap di kebun Harumanis peninggalan bapanya seluas 2 hektar. Kebun yang dibangunkan sekitar tahun 1980-an perlu dibangunkan semula setelah terbiar sekian lama, ditumbuhi rumpun buluh dan semak samun. Beliau telah menanam ganti bagi pokok-pokok tua yang tidak dapat diselamatkan. 

Bagi pokok yang masih kuat batang dan akarnya, Pak Ku, nama panggilan penduduk setempat membuat sendiri cantuman sisi bagi meremajakan pokok. Pokok yang dibuat cantuman sejak 3 tahun lalu telah berbunga dan mengeluarkan hasil. Satu jangka masa yang singkat berbanding kalau ditanam semula. Semua pohon mangga dari varieti Sala dan mangga kampung seperti Kuinin, Mempelam Telur dan Mempelam Air telah Pak Ku tukar kepada Harumanis. Beliau dapati varieti kampung yang digunakan sebagai pokok penanti sangat subur dan tahan penyakit, mungkin kerana ia dapat menyesuaikan dengan iklim tempatan setelah sekian lama bertapak di sini. 

Pak Ku sangat bersyukur kerana mempunyai tanah dalam kawasan Chuping. Ramai orang luar mengintai-intai untuk mendapatkan tanah di sini untuk menanam mangga memandangkan Harumanis telah mendapat harga yang sangat baik dan permintaan tinggi sehinggakan tidak cukup buah. Kawasan Chuping juga mempunyai infrastruktur yang cukup untuk industri Harumanis. Koperasi Harumanis Y.A yang berada 2 km dari rumahnya membeli hingga 2.5 metrik tan sehari mangga Harumanis untuk dipasarkan secara dalam talian. 


Lawatan berkala dari Jabatan Pertanian untuk berkongsi maklumat.

 


Pusat pengumpulan yang dikendalikan seorang pesara guru, Cikgu Asri mempunyai fasiliti yang cukup untuk pengredan, pemasakan berbantu menggunakan ethephon dan pembungkusan menggunakan kotak yang direka menarik untuk pelbagai saiz pesanan dari 1 - 5 kg. Syarikat kurier akan datang mengambil di koperasi dengan kos kiriman yang rendah hasil dari perjanjian jangka panjang antara koperasi dan syarikat kurier. Kirakira 3 metrik tan bungkusan dikirim setiap hari.

"Harus Balik Kampung Tanam Harumanis"

Bagi Pak Ku tiada yang lebih indah di era persaraan dari tinggal di kampung dan mengusahakan tanaman sebaik Harumanis. Beliau menyeru semua anak Perlis yang merantau untuk kembali mengusahakan tanah milik keluarga dengan tanaman Harumanis. “Dengan kos hidup yang rendah berbanding di bandar dan ada industri tanaman Harumanis yang tengah mendapat sambutan, mencari rezeki di kampung bukan lagi masalah”, ujar beliau. 

3. Abdul Halim Ahmad (Kampung Pangas, Mukim Chuping, Perlis)


Encik Abdul Halim Ahmad

 

Abd. Halim baru berusia 25 tahun dan tinggal bersama keluarga. Beliau bersama bapanya mengusaha tanaman Harumanis di sekitar rumah sahaja kira-kira 0.5 hektar. Dahulu sekitar rumah dipenuhi pohon mangga pelbagai jenis. Majoriti adalah jenis Kuinin kerana ia mudah tumbuh. Abd. Halim mengumpul biji Kuinin dari pokok tetangga yang luruh tidak termakan kerana banyak. Biji-biji Kuinin disemai terus ke tanah antara 2 - 4 biji di setiap lubang penanaman. Beliau melakukan ini sejak berusia belasan tahun. Kini pohon Kuinin biji yang disemai telah dicantum dengan scion harumanis dan mengeluarkan buah yang agak lumayan. Pokoknya rendah kerana memang dahan Harumanis melampai ke tanah. 

Pokok Kulim Sebagai Pokok Penanti

Mengikut Abd. Halim menggunakan pokok penanti Kuinin mempunyai banyak kebaikan. Setakad ini belum ada pokoknya diserang serangga pengorek batang. Ia tahan dipotong dan mampu menerima scion Harumanis dengan melekat kuat seolah-olah dari tunas sendiri. Akarnya yang kuat dan berakar tunjang dapat mencari air dengan efektif dan tidak mudah tumbang. Cuma buah Harumanisnya agak lari dari bentuk asal kerana bahagian apek buah tidak selentik Harumanis biasa. Aromanya juga jika diteliti betul-betul mempunyai sedikit bau kuinin. Telah banyak dijual tetapi belum ada yang mempertikaikan masalah ini, malah ramai yang membuat pesanan berulang. 

Facebooknya akan mengiklankan buah untuk dijual apabila ada bekalan dan sering menjadi rebutan di kalangan penggemar baru. Pelanggan lamanya tahu bila untuk membuat tempahan semasa Harumanis baru berbunga. Pendek kata buah di pokok sudah bertuan, hanya menunggu masa yang cukup untuk dipetik. Abd. Halim tidak pernah tergesa-gesa untuk memetik demi kualiti buah dan tidak pernah mengambil buah luar untuk sekadar memenuhi pesanan. 

Pada hari penulis mengunjungi beliau, Abd. Halim baru selesai mengirim 2 kotak Harumanis dengan berat 2 kg tiap satu melalui pusat pengumpulan Cikgu Asri. Dengan harga premium RM50 / kg beliau mendapat pendapatan RM200 pada hari itu, siap dimasukkan ke dalam akaun miliknya oleh pelanggan. “Sudah cukup lumayan bagi kami sekeluarga yang hidup sederhana” ujar beliau.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag