July 11 2024

Intergrasi Penternakan Lembu Di Ladang Kelapa Sawit

Intergrasi Penternakan Lembu Di Ladang Kelapa Sawit - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Keperluan daging lembu di Malaysia adalah kira-kira 250,000 metrik tan setahun atau penggunaan per kapitanya sebanyak 2.8 kg per orang per tahun. Dari jumlah keperluan itu, 80 peratus darinya diimport dari negara pengeluar daging lembu terutamanya Australia dan Thailand dalam bentuk daging sejuk beku mahupun lembu hidup. Sejumlah 20 peratus yang dikeluarkan sendiri adalah dari penternak kecil yang menternak secara sambilan dan tidak mempunyai padang rumput yang khas. 

Pada masa yang sama, Malaysia mempunyai kawasan bertanam sawit seluas 5.85 juta hektar yang ditanam dengan kelapa sawit. Secara semula jadinya aplikasi teknik penanaman kelapa sawit sedia ada mampu memberi ruang untuk penternakan, baik haiwan ruminan kecil seperti kambing mahupun ruminan besar seperti lembu. 

Jika hanya separuh sahaja ruang yang ada dimanfaatkan untuk penternakan lembu, Malaysia bukan sahaja mampu mencapai taraf sara diri dalam pengeluaran daging lembu malah mampu mengeksport ke negara jiran seperti di dalam industri ayam pedaging.

Melakukan intergrasi penternakan lembu dengan ladang sawit adalah jalan paling berkesan dan menjimatkan. Ini bagi memenuhi usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah import daging lembu dan mencapai keterjaminan makanan untuk rakyat. Pendekatan integrasi lembu dan sawit memberi beberapa faedah terutama menggunakan ruang tanah dalam ladang yang tidak digunakan sepenuhnya. 

Ternakan boleh meragut pada medan antara barisan pokok-pokok sawit yang sebelum ini terbiar tanpa digunakan, malah rumpai dan semak-samun yang tumbuh perlu dibersihkan dan meningkatkan kos operasi ladang. Lembu juga boleh makan daun sawit yang dipotong semasa penuaian dan kerja pruning pelepah. 

Buah relai yang tidak dipungut boleh dimakan lembu, memberinya vitamin dan lemak untuk penggemukan. Pokok sawit pula mendapat baja organik yang sangat bernilai dan dapat menjimatkan kos membaja. Pendekatan menang-menang ini meyokong kepada pertanian mampan dan kitaran sumber yang membantu alam sekitar untuk terus subur.


Diberi air garam bercampur kicap supaya cepat jinak.

 


KK-Cross Baka Paling Sesuai Ternak di Ladang Sawit

Terdapat beberapa baka yang telah sekian lama wujud di Malaysia untuk dipertimbangkan bagi projek intergrasi. Antara yang paling lama membiak di sini ialah baka Kedah-Kelantan. Seperti namanya, baka ini sememangnya banyak terdapat di dua negeri yang bersempadan dengan Thailand, termasuk Perlis. Baka Kedah-Kelantan atau sering disebut KK dipercayai berasal dari Dataran Tinggi Korat yang pada musim tertentu kering dan panas. Ia juga mempunyai karakter lembu laga di Thailand yang mempunyai leher yang kuat dan dada yang bidang tetapi punggung yang lebih tipus. 

Atas sifat-sifat ini baka KK sesuai membiak di negeri-negeri sempadan. Malangnya pembiakan sesama sendiri telah membuatkan baka ini menjadi kecil tetapi tindakan memperkenalkan genetik baka asing telah memperbaikinya. Kini baka KK-Cross mempunyai nilai karkas (selepas disembelih dan dilapah) yang lebih tinggi. KK-Cross juga mempunyai nisbah tulang:daging yang sangat baik. KK-Cross adalah baka paling sesuai untuk diternak sebagai “cattle ranching” di dalam ladang sawit. 

Baka lain yang sedia ada dan sesuai diternak dalam intergrasi lembu dan sawit adalah baka Brahman dan baka Bali. Terdapat Brahman Putih dan Brahman Merah mungkin berpunca dari asal induk yang dibawa masuk. Brahman Thai berwarna putih, berasal dari King’s Project yang membawa masuk baka ini dari Amerika Syarikat pada tahun 1960-an.

Baka Brahman di Malaysia berjaya mencapai saiz seperti di negara asalnya tetapi kurang digemari pengguna Malaysia, terutama untuk ibadat korban dan akikah kerana terlalu besar dan nisbah tulang:daging yang kurang baik. Kebanyakan ladang besar menggemari baka Brahman kerana saiz yang besar dan pertambahan berat badan yang pantas. 

Baka Bali banyak diternak di selatan Semenanjung. Bakal asal Indonesia ini dianggap eksotik dan diternak oleh penternak kecil kerana saisnya yang sedang sesuai dikandang di tepi rumah. Lembu warna merah keemasan dengan cawat dan kaki berstokin putih ini mempunyai daging yang lazat, hampir dengan daging rusa dengan harga yang lebih mahal. 

Baka ini tahan lasak dilepas bebas dalam belukar dan tidak memberi kesan ke atasnya serangan kutu babi/tempiras. Sifat asal liarnya membantu kerana boleh meragut rumpai semula jadi tanpa menjejaskan pertumbuhan berat badan. Baka ini kurang digemari untuk perternakan lepasbebas skala besar kerana liar dan panik yang boleh memecahkan pagar atau membunuhnya. 

Terdapat beberapa kaedah untuk menggunakan ruang kosong di dalam ladang kelapa sawit untuk aktiviti penternakan. Paling mudah adalah membiarkan ternakan meragut dalam plot yang luas 15 - 20 hektar per plot dengan lembu antara 30 - 50 ekor dalam pusingan 4 - 7 hari/pusingan.


Rumput yang menghijau dan tidak mengalami ragutan berlebihan.

 

Plot-plot dipagar dengan pagar elektrik boleh ubah. Lembu akan terlatih selepas beberapa hari untuk biasa dengan pagar ini. Penjaga lembu akan tidur dalam rumah yang ditarik bersamanya tangki air untuk minuman lembu dengan menggunakan trektor. Penjaga lembu dilatih untuk menilai kadar ragutan supaya tidak terlebih ragut (over grazing) yang merosakan pastura. 

Jimat Kos Merumpai Sehingga 90%

Biasanya sistem ini mengambil manfaat rumput liar yang tumbuh semula jadi seperti rumput padang Axonopus compressus. Rumput ini dibiakan dengan menghapuskan rumpai kebal yang tidak mempunyai nutrisi secara manual (tebas/cangkul) antaranya senduduk, kapal terbang, semalu dan gelenggang. Pelepah sawit yang dipotong semasa menuai perlu disusun dan dihancurkan menggunakan mesin bagi memaksimakan ruang pertumbuhan rumput. Kaedah ini sesuai diamalkan di ladang yang berumur lebik kurang 4 tahun ke atas bagi megurangkan kerosakan daun sawit. 

Selain hasil dari jualan lembu, pihak ladang boleh menjimatkan kos merumpai sehingga 90 peratus. Faedah dari baja najis lembu juga dapat mengelakan ladang dari kegersangan. Pelepah yang dihancurkan menggunakan mesin dapat menjadi sungkupan bagi menyimpan kelembapan terutama di musim kemarau. Ini penting supaya pokok sawit tidak mengesan kehadiran kemarau dan mengeluarkan bunga jantan berlebihan. 

Penanaman Napier Pak Chong

Bagi kawasan sawit muda yang baru ditanam, rumput khas seperti Napier Pak Chong bolehlah ditanam selepas tanah dibajak dengan baik. Penanaman menggunakan benih dari batang berumur 7-9 bulan sangat mudah dan pantas. Rumput Napier boleh dituai secara manual atau menggunakan mesin untuk kaedah cut and carry. Kaedah yang juga dipanggil feed-lot ini lembu disimpan dalam kandang tetap dan diberi makan rumput yang dipotong dan dibawa dalam trailer yang ditarik trektor. 

Rumput napier tua perlu dipotong terlebih dahulu dan dicampur dedak dan molasses bagi makanan lembu. Sistem ini lebih intensif dan boleh dijalankan dalam skala besar walaupun kawasan penanaman pastura yang terhad. Ini boleh dilaksanakan dengan jayanya kerana napier boleh memberi hasil yang tinggi dari kawasan yang relatif sempit. Sekitar kandang dan perimeter ladang boleh ditanam dengan fodder yang berprotein tinggi seperti Lucaena dan kelor/murunggai untuk pelbagai makanan ternakan. 

Dalam kecelaruan perdagangan komoditi di peringkat dunia akibat perang di Ukraine dan Timur Tengah serta sekatan eksport Kesatuan Eropah terhadap produk sawit Malaysia, mempunyai ternakan untuk pasaran domestik mungkin boleh menjadi pendapatan alternatif kepada pekebun kecil. Intergrasi penternakan lembu dalam ladang sawit boleh memberi faedah ekonomi dan faedah tidak langsung. 

Ternakan boleh memberi sumbangan kitaran nutrien tanah. Ragutan terhadap tanaman penutup bumi dan rumpai dicerna dan disebarkan semula di dalam ladang dapat meningkatkan kesuburan tanah dan dapat menjimatkan kos baja dalam jangka panjang di samping memperolehi buah tandan segar (FFB) yang berkualiti. Dengan kos racun rumpai yang meningkat saban hari, dibantu ternakan untuk mengawal rumpai sangatlah menjimatkan kos ladang dan meninggikan pendapatan pekebun. 

Secara tidak langsung menggunakan tanah yang terluang di dalam ladang sawit membantu kepada pertanian mampan, di samping mengurangkan keperluan untuk membuka kawasan baru bagi penternakan. Lebih banyak kawasan hutan boleh diselamatkan untuk menjadikan persekitaran lebih selesa dan mengurangkan kesan pemanasan global. 

Tandan Buah Kosong & Pelepah Diproses Jadi Makanan Lembu

Penternakan lembu juga mampu menyerap produk sampingan dan bahan buangan dan industri sawit. PKC (palm kernel cake) boleh digunakan sebagai makanan lembu dan menjimatkan penggunaan jagung dalam dedak. Jagung ini boleh digunakan untuk pengeluaran makanan manusia atau makanan ayam yang tiada pengganti terus dalam pengeluaran dedakanya. Tandan buah kosong sawit dan pelepah sawit boleh diproses menjadi sumber fiber bagi makanan lembu selepas dicampur bahan lain yang rendah fiber seperti hampas kacang soya. Sifat ruminan dalam sistem penghazaman lembu mampu menukarkan fiber kepada nutrien yang berkhasiat. 

Untuk melancarkan operasi intergrasi ternakan dalam ladang kelapa sawit, beberapa perkara wajib diberikan pertimbangan bagi mengadakan persekitaran yang saling menyumbang dan situasi menang-menang. Pengurusan zon meragut mestilah dirancang dengan baik supaya tidak berlaku gangguan kepada operasi penuaian misalnya. Ternakan mesti dikawal supaya tidak menceroboh masuk dan merosakan tanaman sawit peringkat muda. Pagar mestilah selalu diperiksa supaya mencegah dari ternakan hilang kerana keluar dari kawasan dan dicuri orang. Ternakan juga dipastikan mendapat akses kepada sumber air dan tiada pintu pagar ditutup bagi menghalangnya. 

Baka Bali tahun untuk sistem ragutan bebas.

 

Pusingan kawasan meragut perlu dirancang semula bagi memastikan ternakan tidak putus bekalan makanan terutama ketika menghampiri musim kemarau di mana kadar tumbuh semula menjadi perlahan. Berdasarkan situasi rumput di lapangan, penyelia yang mengawal mesti boleh membuat ramalan berapa lama ternakan boleh meragut di sesuatu plot bagi mengelak berlakunya ragutan berlebihan. Ragutan berlebihan boleh terjadi pada sesuatu tempat dalam plot ragutan atau keseluruhan plot. Perlu dipastikan ternakan tidak meragut pada satu point sahaja tetapi keseluruhan plot. Ragutan berlebihan membuatkan rumput lambat tumbuh semula, ditumbuhi oleh rumpai jahat dan berlaku hakisan ketika hujan. 

Pengurusan ladang sawit dan pengurusan ternakan memerlukan dua set kemahiran dan kepakaran yang berbeza. Kemahiran dan kepakaran ini perlu diperolehi untuk menjamin kejayaan di kedua-dua bidang. Pengurusan dua cabang aktiviti ekonomi ini perlu bergabung dengan amalan pertanian lain seperti kawalan tanaman penutup bumi, pengurusan sumber air dan konservasi tanah. 

Dengan perlaksanaan pengurusan yang cermat dan berhemah, adalah tidak mustahil untuk mencapai kejayaan besar dalam intergrasi penternakan lembu dalam ladang sawit. Penghasilan daging dan sawit dalam kawasan yang sama memberi impak kepada ekonomi negara untuk menjamin kedapatan makanan yang cukup kepada rakyat.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag