November 14 2024

Mengatur Longan Berbuah di Luar Musim

Mengatur Longan Berbuah di Luar Musim - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Berjaya mengeluarkan buah di luar musim dapat menjamin petani mendapat harga yang sangat baik dan menguntungkan. Antara tanaman kormersial yang memberi tindak balas kepada rawatan untuk mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah ialah longan ataupun juga dikenali dengan nama mata kucing. 


Pokok longan berbunga lebat selepas diransang dengan Potassium Klorat.

 


Dipercayai berasal dari sempadan Myanmar   dengan Selatan China, longan dapat beradaptasi dengan baik di kawasan yang lebih panas. Longan dapat ditanam di kawasan yang lebih ke selatan dari tempat asalnya sehingga tersebar luas ke seluruh   Asia Tenggara, Australia dan Amerika Syarikat. Namun mungkin kerana kelainan iklim untuk membuatnya berbunga perlu rawatan khusus. Longan dengan nama latinnya Dimocarpus longan Lour bermaksud "mata naga" dalam bahasa Cina kerana isi buahnya yang putih bersinar dengan bijinya yang hitam berkilat. 

Longan banyak ditanam di Selatan China, Utara Vietnam dan Thailand, di mana longan atau lam yai dalam bahasa tempatan telah menjadi salah satu dari tanaman komersial yang penting (selain   mangga, durian dan citrus) dengan berpusat di Lamphun, ke bawah sedikit dari bandaraya   peranginan Chiangmai. Masyarakat di sini sangat terlibat dengan buah unik ini hingga merayakan   Pesta Longan Lamphun tiap-tiap tahun pada bulan Ogos selama 2 minggu. Pesta longan dapat   menarik minat pelancong asing dari seluruh dunia untuk berkunjung ke Lamphun. 

Masyarakat Lamphun bukan sekadar makan longan sebagai buah segar tetapi memasaknya dalam sup, kari dan menjadikannya minuman berkhasiat. Selain buah segar yang dirawat dengan sulfur bagi   memanjangkan hayatnya untuk tujuan eksport,   longan juga ditinkan dan dikeringkan/salai untuk menghasilkan pelbagai produk hiliran. 

Varieti Berlian/ Petsakorn berbuah tanpa diransang tetapi isi berair.

 


Di Malaysia terdapat juga ladang longan yang   ditanam secara komersial bagi pasaran tempatan dan Singapura malah banyak ditanam secara kecil-kecilan di kampung dan taman perumahan   untuk kegunaan sendiri. Terdapat 3 varieti yang   dikenal pasti ditanam iaitu Longan Berlian (Petsakon), Pingpong dan Idor. 

Jenis Longan

Varieti Berlian dan Pingpong dapat berbunga   dengan sendirinya kesan dari faktor cuaca tempatan tanpa perlu diransang tetapi kurang kualiti   buahnya. Varieti Berlian sangat manis tetapi isinya berair manakala Pingpong berbuah besar, sebesar syiling 50 sen tetapi bijinya juga sangatlah besar   selain rupa bentuk pokok yang tumbuh seakan menjalar dan sukar dibentuk bagi ladang komersial. 

Idor mempunyai buah berisi tebal dengan   pokoknya dapat beradaptasi dengan baik di   Malaysia tetapi perlu diransang untuk berbunga   dan menghasilkan buah. Oleh kerana tidak   mempunyai pengetahuan, sayang sekali banyak pokok varieti Idor di sini ditebang kerana tidak   berbuah, dikatakan pokok jantan. 

Idor mempunyai kanopi besar dan hasil tinggi sehingga 5mt per hektar.

 


Sebenarnya keperluan diransang untuk berbunga bagi longan varieti Idor adalah satu kelebihan. Kita boleh merancang apabila buah longan hendak dipetik bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, apabila tiada buah lain dikeluarkan. Ini tidak terjadi kepada saudara terdekatnya iaitu rambutan yang masak di musim durian, manggis dan dokong mengakibatkan rambutan tiada   permintaan dan dibiarkan masak di pokok tanpa   dipetik di sesetengah negeri. 

Walaupun menanam sepokok dua di perkarangan rumah, hatta menanamnya dalam pasu sekali pun, mendapat pokok longan yang berbuah lebat   menjadi mimpi peminat tanaman. Siapa yang tidak seronok mempunyai pokok longan berbuah   sehingga tidak nampak daunnya seakan-akan pohon limau komkuat yang dijual ketika Tahun Baru Cina. Apa lagi longan adalah salah satu tanaman   dipercayai membawa tuah di tahun baru. Ini dapat dilakukan dengan memberi bahan peransang kepada tanaman longan. 

Bagi meransang longan mengeluarkan bunga di luar musim, Potasium Klorat (KClO3) digunakan. Kimia ini dicampur dengan asid amino dan mikronutrin yang lain bagi mendapat hasil yang terbaik.   Mengikut Profesor P. Manochai, Pakar Hortikultura Universiti Maejo di Chiangmai potasium klorat dapat mempengaruhi komposisi protein dan asid amino tanaman menjadikannya stres dan   mengeluarkan bunga. Bunga akan berkembang dan mengeluarkan buah. 

Hasil ransangan dan pendebungaan oleh serangga memberi buah yang lebat.

 


Petua Penanaman 

Picha Pasorn, seorang usahawan longan dari   daerah Doi Tao, Chiangmai menggunakan teknik ransangan ini bagi mengeluarkan longan sepanjang tahun dan lari dari musim longan jujuh sekitar bulan Julai/Ogos di mana majoriti ladang di Chiangmai mengeluarkan bagi   memaksimumkan keuntungan ladangnya.   buah, Mengikut pengalamannya, potasium klorat tidak boleh diberi sebarangan kerana boleh membunuh pokok. 

Hanya pokok yang berumur 4 tahun ke atas dan telah melalui rawatan yang pembajaan yang teratur boleh diransang untuk berbunga dan   berbuah. Untuk mengeluarkan buah sepanjang   tahun Picha Pasorn membahagikan ladangnya   kepada beberapa bahagian dan tiap bahagian akan melalui regim rawatan tersendiri mengikut jadual bila ia perlu berbunga dan mengeluarkan buah. 

Varieti Pingpong kurang lebat buahnya.

 


Pohon longan perlu dibuat pemangkasan dahan   bagi membolehkan cahaya matahari untuk tembus masuk. Oleh kerana dahan longan tumbuh mendatar dan mudah sekah tali temali dari   penuaian lepas perlu diganti. Pohon longan akan diberi baja organik seperti baja kandang 20-30kg di bawah kanopinya dan disembur dengan baja foliar 15:15:15 dengan kadar setengah kilogram bagi pokok berumur   4 tahun dan 1 kilogram bagi pokok berumur   7 tahun ke atas. 

Baja foliar dilarut dengan kadar 1kg/200 liter air. Pucuk-pucuk muda akan muncul pada bulan berikutnya. Prosedur ini diulang 2 kali lagi apabila pucuk menjadi tua tetapi semburan   foliar ke 3 diganti dengan unsur K yang lebih tinggi untuk pembuahan. Selepas daun muda semburan ketiga menjadi tua tibalah masanya untuk   diransang bagi pembungaan. Daun dapat diuji   dengan meramasnya. Jika daun sudah rapuh, pohon longan sedia untuk berbunga. 

Potasium klorat bolehlah ditabur di bawah kanopi pokok, kira-kira 5 kaki dari perdu apabila daun pusingan ketiga menjadi tua dengan kadar 500g bagi pokok 4 tahun, 1 kg bagi pokok 7 tahun dan   1.5 kg bagi pokok 10 tahun ke atas. Ada juga yang membancuh dengan air dan disiram pada kolar pokok 5 kaki dari batang. Selepas 30 hari, pokok   longan akan mengeluarkan bunga. 

Apabila putik buah mula terbentuk sebesar kacang soya, baja NPK 25:7:7 diberikan dengan kadar 500g bagi pokok 4 tahun di bawah kanopi. Bulan berikutnya   diberi baja NPK 8:15: 15 dengan kadar 500g   sepokok selepas penjarangan buah dibuat bagi mendapatkan buah yang besar dan isi yang tebal. 

Varieti Idor yang berbiji kecil, isi yang pejal rapuh dan aroma yang unik.

 


Varieti Pingpong masak berwarna merah tetapi berbiji besar.

 


Sebulan kemudian diberi baja buah NPK 14:14:21 dengan kadar 500g sepokok. Petani Thailand mampu menghasilkan 5.5 mt/hektar longan menggunakan kaedah di atas. Buah akan dipetik ketika peratus kemasakan 70% untuk   penghantaran jauh dan eksport dengan harga di luar musim utama antara RM5-6/kg berbanding harga di musim utama sekitar RM1/kg. Buah longan bagi penghantaran jarak jauh dirawat   dengan menggunakan sulfur dioksida, ini dapat memanjangkan hayat longan dan mencegah dari penyakit-penyakit lepas tuai. 

Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk mengeksport longan ke Singapura tanpa dirawat dengan sulfur dioksid   kerana berada hampir dengannya, lebih-lebih lagi jika ditanam sekitar Johor dan Negeri Sembilan.   Peluang begini harus diambil oleh usahawan   tempatan sebagai satu kelebihan untuk bersaing di pasaran eksport dan mendapat kadar tukaran mata wang asing yang lebih tinggi.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag