April 05 2024

Dua Sahabat Berjaya Tanam Cili

Dua Sahabat Berjaya Tanam Cili - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Desa yang permai dengan sawah yang terbentang luas dapat menambat hati anak muda untuk tidak berhijrah ke bandar lagi. Apa yang ada di bandar semuanya ada di desa sekarang ini, termasuklah kemudahan internet, pasaraya, restoran makanan segera dan kafe. 

“Namakan sahaja apa yang dikehendaki, pasti ada,” kata Muhammad Azarul Uzair bin Khalid, 25 tahun, memulakan perbualan. 

“Keindahan cahaya neon di bandar bukan lagi tarikan kepada anak muda zaman sekarang”  ujarnya. Apa lagi rumah keluarganya di Kampung Paya hanyalah berada 20 minit dari bandaraya Alor Setar dengan motosikal melalui jalan yang lurus dan mengambil jalan pintas ban tali air di beberapa tempat. 

Untuk sumber pendapatan, Uzair bersama seorang sahabat baiknya, Muhammad Farez Aiman bin Marzuki, 25 tahun, mencipta sendiri peluang pekerjaan dengan mengusaha projek taman cili fertigasi atas tapak milik keluarga seluas 3 hektar.


Muhd Syahir Dzulhaimi yang berusia 25 tahun menjadi sifu Uzair dan Aiman.

 




Mohd Azarul Uzair Khalid (kiri) dan Mohd Farez Aiman Marzuki yang kedua-duanya berusia 25 tahun, menjadi rakan kongsi dan bekerjasama mengusahakan kebun cili.

 


Cetusan Idea

Uzair dan Aiman sering berkunjung ke tempat projek seorang lagi kawan baik, Muhammad Syahir Dzulhaimi yang telah mengusahakan tanaman cili fertigasi beberapa pusingan.

Kadang kala apabila Muhd Syahir tidak menang tangan untuk mengutip cili yang masak dengn banyak, mereka berdua ringan tulang untuk membantu dengan sedikit upah atau belanja makan di kafe berhampiran. 

Melihat kerja bertani secara baru yang diusahakan oleh rakan mereka tidak sesukar mana dan kehidupan Muhd Syahir yang semakin berubah sejak bertani, Uzair dan Aiman mula menaruh minat untuk punya kebun sendiri. 

Hasrat yang disampaikan kepada orang tua masing-masing mendapat restu malah ditawarkan modal dan sebidang tanah di pinggir jalan yang rata lagi luas dengan syarat mereka tidak boleh lari di pertengahan jalan dan mesti berguru dahulu untuk mencari ilmu.

Hands-on

Bak kata pantun lama: 

Berburu di padang datar, 

Dapat rusa belang kaki, 

Berguru kepalang ajar, 

Bagai bunga kembang tak jadi.

Bermulalah sesi pembelajaran 2 sahabat dengan Muhd Syahir yang telah mereka anggap sebagai sifu kerana pengalamannya. Kebetulan Muhd Syahir sedang membuat set-up sebuah ladang baru. Dua sahabat ini belajar dari mengisi media cocopeat dalam polibeg, membaris polibeg, pemasangan sistem drip fertigasi, menyemai benih dan menanam. Mereka juga menghadiri kursus asas fertigasi dan penjagaan tanaman cili anjuran Jabatan Pertanian Teluk Chengai, tidak jauh dari Alor Setar.


Pokok di kebun masih sihat dan berbunga lebat.

 


Buah berwarna terang dan berkilat kesan guna MOL ikan.

 




Kutipan pada Indek Kemasakan 3 untuk pasaran tempatan.

 


Cabaran

Apabila ditanya apakah cabaran yang paling getir dihadapinya dalam merealisasi projek ini, Uzair diam seketika. Matanya berkaca seakan mahu menangis. 

Dalam suara yang berubah nadanya Uzair berkata: ' Ia bukanlah mengenai projek tetapi keyakinan orang tuanya terhadap diri saya. Berat hati ayah saya untuk membuang pokok getah yang ditoreh hari-hari untuk sesuatu yang belum pasti. Begitu juga dengan modal. Ayah terpaksa mengeluarkan simpanan ASB demi saya. Oleh itu, saya mesti membalasnya dengan bekerja bersungguh-sungguh.' 

Aiman yang mendengar perbualan Uzair dengan penulis juga melahirkan air muka yang sedih. Aiman bersyukur kerana Uzair mengambilnya sebagai rakan kongsi.

Rumah benih untuk semaian yang dibina sendiri.

 


Anak benih yang sihat dalam tray semaian.

 


Modal

Dengan bantuan modal dari ibubapa dan panduan dari sifu mereka yang berkunjung ke tapak projek saban hari, mereka berjaya bermula pada September, 2023 dengan 4 ribu polibeg dengan varieti Sakata 468 yang mereka semai sendiri dan dapat melihat hasil dari keringat yang telah mereka tumpahkan 75 hari kemudian. 

Hasil sangat memberangsangkan sebagai orang baru dalam bidang ini. 

Sehingga pada hari lawatan, mereka telah berjaya menjual cili Gred A lebih dari 4 mt dengan harga purata RM 12 per kilogram. 

Penuaian masih berlangsung, mungkin untuk tempoh sebulan lagi kerana pokok masih sihat dan berbunga lebat. Hanya sebahagian kecil pokok yang mula diserang virus dengan daun kelihatan berkerinting. Mereka menggunakan mol ikan yang dibuat sendiri bagi menggalakkan pembungaan dan kelekatan buah.


Proses penggredan

 


Pemasaran

Pemasaran cili tidak menjadi masalah kerana sudah ada hubungan baik melalui projek terdahulu yang dirintis oleh Muhd Syahir. 

Penekanan terhadap menghasilkan kualiti terbaik membuatkan pemborong berebut-rebut untuk membeli cili mereka. Cili dipetik sebaik sahaja embun di pokok kering kira-kira sekitar jam 9.30 pagi dan dihantar kepada pemborong sebaik sahaja selesai penuaian. 


Usaha Uzair dan Aiman dapat tarik generasi muda untuk minat bertani.

 


Cili akan dijual pemborong melalui pasar borong dan peniaga sayur pada keesokan hari apabila cili bertukar warna menjadi 80 peratus merah. 

Cili dari kawasan yang ditanam oleh Uzair dan Aiman disukai pembeli kerana dapat bertahan lama, mungkin kerana ditanam di tempat yang panas dan menggunakan mol ikan, meyebabkan buah menjadi sihat dengan perikap yang tebal.

Harapan Masa Depan

Uzair dan Aiman bercadang untuk membesarkan kebun mereka sehingga 10,000 pokok bagi fasa seterusnya kerana masih terdapat ruang yang boleh digunakan dan saluran pemasaran masih memerlukan hasil cili yang lebih banyak. 

Mereka berharap cuaca akan menyebelahi mereka tetapi mereka yakin cuaca di Utara Semenanjung lebih senang dijangkakan berbanding di tempat lain.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag