August 20 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Pelbagai jenis buah eksotik telah diperkenalkan di Malaysia, dan sebahagiannya berjaya beradaptasi dengan iklim tempatan sehingga menjadi tanaman popular dalam kalangan peminat tanaman. Suatu masa dahulu, ramai yang begitu berminat menanam pokok kurma, strawberi, dan tin. Ramai juga yang berjaya menuai hasil daripada usaha mereka dalam bidang pertanian ini.
Kejayaan Penanaman Anggur Tempatan
Antara buah yang dianggap mustahil untuk ditanam di Malaysia tetapi kini berjaya dibuahkan ialah anggur. Berdasarkan lawatan ke beberapa grup peminat anggur di Facebook, minat terhadap tanaman ini telah wujud sejak lama dan masih bertahan hingga kini. Sebagai contoh, Komuniti Anggur Malaysia yang telah wujud selama lima tahun mempunyai hampir 10,000 ahli, dengan 562 ahli baru menyertai dalam tempoh seminggu sahaja. Ini menunjukkan peningkatan semula minat selepas beberapa ketika mendatar.
Terdapat beberapa kategori penanam anggur di Malaysia. Ada yang menanam sebagai hobi dengan memilih varieti yang mudah dijaga sebagai tanaman landskap di rumah. Sebahagiannya menjadikannya sebagai sumber pendapatan sambilan dengan menyemai dan menjual anak benih varieti eksotik, sehingga mampu menjana pendapatan berbelas ribu ringgit.
Manakala, ada juga yang lebih cenderung menjadi kolektor dengan mengumpul pelbagai varieti dari seluruh dunia dan saling bertukar keratan untuk menambah koleksi masing-masing.
Potensi Industri Anggur Komersial
Walaupun matlamat setiap penanam berbeza, usaha cuba-jaya ini suatu hari nanti boleh menyumbang kepada perkembangan industri tanaman anggur komersial di Malaysia. Sebagai perbandingan, Thailand yang mempunyai iklim serupa dengan Malaysia telah berjaya menanam dan menjual anggur sama ada sebagai buah segar atau diproses menjadi jeruk, walaupun menggunakan varieti kurang popular berbanding varieti dari Amerika Syarikat dan Australia.
Antara peminat tanaman anggur tahap tinggi ialah Tan Soon Huat yang berasal dari Gurun, Kedah. Beliau merupakan seorang ahli perniagaan yang bergiat dalam bidang semaian anak benih, terutama kelapa sawit dan getah. Penglibatannya dalam bidang ini telah membawanya sehingga ke Sabah untuk membuka tapak semaian bagi satu kumpulan ladang yang besar.
Namun, minatnya terhadap tanaman buah-buahan tidak dapat dipisahkan. Beliau pernah menanam longan organik secara komersial, tetapi tidak dapat bertahan lama kerana longan mempunyai terlalu banyak musuh menjelang buah masak. Antara yang paling sukar dikawal ialah kelawar. Musang, tupai, dan monyet juga menjadi ancaman. Kini, hanya beberapa pohon sahaja ditinggalkan untuk dimakan sendiri dan digantikan dengan jambu lohan yang lebih senang dijaga serta memberikan hasil lebih tinggi.
Ladang seluas 20 ekar di Gurun juga ditanam dengan ciku mega dan jambu air merah. Kegilaannya terhadap tanaman anggur telah membuatkannya berhabis ratusan ribu ringgit. Bukan sekadar menjelajah ke serata dunia untuk belajar menanam dan menjaga pohon anggur, malah mengimport pelbagai varieti yang menarik dan dijangka dapat hidup subur di negara kita.
Lokasi Tanah yang Sesuai
Encik Tan agak bernasib baik kerana mempunyai beberapa lokasi tanah yang luas di utara Semenanjung. Menurutnya, cuaca kering di Perlis dan Kedah lebih sesuai untuk anggur. Ini terbukti dengan industri anggur yang berjaya di kawasan yang lebih kering di Thailand.
Mereka menanam varieti White Malaga yang lebih senang tumbuh dengan gugus buah yang besar tetapi mempunyai tahap kemanisan yang rendah. Mengikut Encik Tan, beliau kurang meminati varieti ini kerana bukan sahaja cenderung masam bila hujan berlebihan seperti di Malaysia, tetapi buah yang berwarna hijau kurang menyerlah apabila bergambar.
Penggunaan Pokok Penanti dan Teknik Cantuman
Encik Tan hanya mengimport keratan tut Courderc 1613 dari Thailand sebagai pokok penanti (rootstock) dan mempunyai pekerja yang mahir dalam membuat cantuman baji (grafting) dengan menggunakan scion satu mata tunas.
Pokok penanti yang berasal dari anggur liar ini sangat tahan terhadap penyakit akar, tumbuh dengan vigor, dan mempunyai tebaran akar yang sangat luas.
Semua anggur ditanam di bawah struktur pelindung hujan seluas 1.5 ekar. Berada di sini berasa seolaholah kita berada di Cameron Highlands.
Encik Tan banyak menanam varieti Jupiter yang berasal dari USA dan Baikonur dari Russia. Dua varieti ini biasanya menjadi kegemaran pemula yang baru berjinak-jinak dengan tanaman anggur kerana sesuai dengan cuaca di Malaysia yang lebih banyak hari lembap berbanding hari panas dan kering.
Keistimewaan Varieti Jupiter dan Baikonur
Mereka juga lebih mudah berbuah, lebih tahan terhadap serangan penyakit fungus serta serangga, dan tempoh untuk berbuah kurang dari 100 hari dikira dari hari pemangkasan dibuat. Ada varieti kategori "berat" yang biasanya berbuah besar dan mengambil masa hingga 140 hari untuk masak.
Kedua-dua varieti klasik ini, terutama Jupiter, mempunyai rasa yang sangat unik. Jupiter mempunyai sedikit rasa laici yang disukai oleh kebanyakan orang, terutama kanak-kanak. Baikonur pula berbuah lebat dengan gugus-gugus yang berketul-ketul, dapat menarik perhatian dengan warna ungu berkilat yang kontras dengan warna daun.
Sistem Pengurusan Ladang 4 Musim
Encik Tan membahagikan ladang anggurnya kepada 4 bahagian dengan setiap bahagian mewakili 4 musim yang berlainan. Melalui kawalan jumlah air yang diberikan (atau dengan kata lain jumlah air yang disekat), jenis dan teknik pembajaan, serta masa dan teknik pemangkasan, Encik Tan dapat memastikan pada setiap masa akan ada bahagian yang berbuah masak.
Konsep Pelancongan Ladang
Oleh itu, ladangnya dibuka kepada pelawat sepanjang tahun dan pelawat pasti dapat melihat serta bergambar dengan buah yang sedang masak.
Pelawat juga berpeluang membeli buah anggur yang ditanam di sini bersama buah-buahan lain seperti jambu lohan, jambu air merah dan ciku mega pada harga ladang.
Ladang yang diberi nama Uniq Farm ini terletak di Padang Lembu, Gurun, kira-kira 20 minit perjalanan dari tol PLUS Gurun. Ramai pelawat berkunjung ke sini terutama pada hujung minggu, kebanyakannya dalam perjalanan untuk membeli- belah di Padang Besar atau melawat tempat-tempat lain di Kedah dan Perlis.
Pengusaha Anggur dan Pembekal Benih: En. Toy
Seorang lagi pengusaha anggur ialah Shahrul Rizal dari Kampung Parit Buaya, Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah, atau lebih dikenali dengan nama gelaran Toy. Beliau lebih menumpukan perniagaan sebagai pembekal benih anggur varieti terkini dari pelbagai negara dan pembekal keratan tut pokok penanti (rootstock).
Kepakaran dalam Teknik Cantuman
Toy mempunyai kepakaran membuat cantuman baji (grafting) mengikut varieti yang diingini penanam. Beliau bukan sahaja mahir membuat cantuman pada penanti dalam polibeg, malah boleh melakukan grafting pada pokok yang sudah matang untuk menghasilkan buah yang berlainan jenis pada satu pokok besar. Namun, kesesuaian pokok penanti perlu ditentukan terlebih dahulu.
Toy sering dipanggil untuk membuat tut di ladangladang besar dan banglo-banglo mewah yang mempunyai tanaman anggur.
Strategi Penjualan Pokok Anggur
Walaupun ada peminat anggur yang ingin membeli pokok baru dicantum, Toy lebih suka menjual pokok yang sudah stabil. Malah, pokokpokok yang dijualnya seringkali sudah berbunga atau berbuah. Ini menjadi kelebihan kepada pembeli kerana mereka pasti memperoleh varieti yang dibeli.
Bagi Toy, bunga atau buah pada pokok yang masih dalam polibeg merupakan rezeki kerana lebih mudah dijual. Pembeli lebih yakin dengan pokok dalam keadaan begini. Biasanya Toy mengenakan sedikit bayaran tambahan untuk pokok yang sudah berbuah kerana sering menjadi rebutan ketika ditawarkan dalam jualan grup Facebook.
Terutama pokok berbatang besar dan tua dengan beberapa gugus buah berwarna menarik seperti bonsai akan mendapat harga yang baik.
Teknik Grafting untuk Pokok Berbuah Cepat
Menurut Toy, scion yang besar dan subur dicantum pada pokok penanti Courderc 1613 yang kuat akan menghasilkan tunas vigor disertai bunga. Inilah rahsia Toy untuk mendapatkan pokok kecil yang sudah berbuah.
Sebanyak 100 pokok baru sahaja dicantum oleh Toy dan akan ditawarkan untuk jualan tidak lama lagi dengan varieti Tamaki, Early Edora, Julian, Heliodor, Zaphorozhye Giant, Gosv, Dixon dan Manicure Finger. Encik Tan dari Uniq Farm turut membeli 2 varieti baru darinya untuk melengkapkan koleksi baru-baru ini.
Kepakaran Tambahan Toy dalam Masakan
Kebolehan lain Toy ialah menggoreng kue teow. Port makannya terletak di kaki Gunung Keriang dan sengaja dirahsiakan oleh peminat-peminatnya supaya tidak diserbu oleh pengunjung luar. Toy menggunakan kerang, sotong, udang lipan (mantis prawn), dan udang kertas yang segar, dibeli terus dari bot nelayan di Kuala Kuar.
Menu killer-nya ialah Kue Teow Udang Lipan Bertelur - gorengan kue teow bersama 3-4 ekor udang lipan yang dipilih khas mempunyai lemak kuning yang sedap dan sukar diperoleh melainkan dipesan terus dari nelayan.
Jika anda peminat tanaman anggur dan pada masa yang sama menggemari kue teow goreng, anda berada di tempat yang tepat - menikmati char kue teow di bawah teduhan pohon-pohon anggur.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.