January 02 2024

Baja Time Release Jimat Masa Penanam Nanas

Baja Time Release Jimat Masa Penanam Nanas - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Sehingga suatu masa dulu, penanaman nanas atas tanah mineral terpaksa menggunakanan formulasi NPK 15:15:15 untuk pertumbuhan dan NPK 12:12:17:2 bagi pembuahan kerana tiada baja khusus untuknya.

Ini agak membazirkan sumber kerana nisbah baja ini bukan keperluan sebenar nanas, tetapi berlebihan. Apa lagi apabila harga baja terus meningkat saban hari. Tidak kurang juga petani menggunakan formulasi baja bagi tanaman nanas atas tanah gambut iaitu 30:1:32 (BCN) yang tidak pula mencukupi keperluan pokok nanas yang ditanam atas tanah mineral.

Perkara ini terjadi kerana majoriti tanaman nanas sebelum ini dibuat atas tanah gambut. Menjadi satu mitos yang mengatakan nanas sesuai ditanam di tanah gambut. Sebenarnya tanah gambut adalah tanah bermasalah yang tidak boleh menyangga tanaman saka seperti getah dan kelapa sawit kerana strukturnya yang longgar dan masalah pH tanah, lalu nanas ditanam bagi memunafaat tanah gambut yang luas. Terdapat 2.6 juta hektar tanah gambut atau 8 % dari tanah pertanian di Malaysia. 

Semenjak nanas MD2 mendapat permintaan tinggi di kalangan pembeli kerana buahnya yang sangat manis dan ranggup, ramai petani menanam nanas varieti ini. Nanas yang ditanam di tanah bukit bukan di tanah gambut tidak lagi ganjil sama ada sebagai tanaman selingan dengan getah atau sawit muda mahupun sebagai tanaman tunggal. 

Bagi memenuhi permintaan baja khas bagi tanaman nanas di tanah mineral, MARDI sejak 2011 lagi telah menjalankan R&D bagi mendapatkan formula khas untuk pelbagai jenis tanah dengan matlamat mendapatkan pokok yang subur dan menghasilkan buah nanas yang berkualiti. Baja juga dicipta bagi memenuhi pelbagai varieti nanas. Selain MD2 antara variteti lain yang banyak ditanam di Malaysia ialah Mauritius/Morris, N36, Josapine, Sarawak, Yankee dan Maspine. Semua varieti ini mempunyai tempoh matang yang berbeza dan ciri-ciri unik yang tersendiri. 

MARDI Lancar Produk Baja time release

Pada tahun 2015, MARDI melancarkan baja nuget time release hasil kerjasamanya dengan sebuah syarikat swasta. 

Formulasi baja ini adalah hasil kajian penyelidik Hartinee Abbas dan rakan-rakan yang berpusat di Pusat Penyelidikan Hortikultur Stesyen MARDI Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah. Hasil penyelidikan ini telah mendapat Pingat Emas dalam Pameran Penciptaan Produk dan Idea Baru Antarabangsa (IENA) 2012 di Nuremberg, Jerman, selain beberapa hadiah emas dan gangsa di peringkat tempatan. 

Baja formulasi ini menjimatkan sehingga 30% baja berbanding penggunaan baja kompound NPK kerana unsur yang tepat dengan keperluan pokok nanas sahaja diberikan melalui rumusan ini. Mempergunakan konsep osmosis, unsur-unsur yang dipakej dalam setiap nuget atau sebatian padat akan dilepaskan ke zon akar jika terdapat kelembapan yang mencukupi mengikut keperluan baja pada tiga tahap kritkal pertumbuhan tanaman nanas.

Keperluan Jimat Kos dan Masa

Oleh kerana tanaman nanas mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan hasil antara 13 bulan bagi varieti yang matang awal seperti Morris hinggalah ke 17 bulan bagi varieti yang matang lewat seperti Sarawak, satu kaedah untuk mendapatkan hasil yang maksimum perlulah dicari. Antaranya ialah dengan menanam pada kepadatan tinggi supaya lebih banyak buah boleh dihasilkan, secara terus meningkatkan pendapatan petani. Jarak tanaman nanas secara konvensional ialah 90 x 60 x 30 cm dengan kapasiti 47,000 pokok per hektar. Dengan kaedah tanaman kepadatan tinggi jarak tanaman ialah 30 x 30 x 30 cm berbentuk segitiga menghasilkan 70,000 hingga 80,000 pokok per hektar. Mengikut maklumat dari Jabatan Pertanian, kajian yang dibuat ke atas varieti Morris menggunakan jarak tanaman berkepadatan tinggi (70,000 pokok per hektar), keluaran buah meningkat dengan drastik sehingga dapat menghasilkan pendapatan petani 2 - 3 kali ganda berbanding tanaman yang menggunakan kaedah konvensional (47,000 pokok per hektar). 

Baja nuget time release menjimatkan sehingga 30% naja berbanding penggunaan baja kompound NPK.

 

Masalah bagi tanaman kepadatan tinggi ialah pada operasi pembajaan. Hampir mustahil untuk membuat pembajaan tepat pada setiap titik tanaman nanas dengan jarak tanaman 30 cm x 30 cm x 30 cm, apatah lagi perlu dilakukan sehingga 3 - 4 pusingan. Alternatifnya ialah dengan menggunakan baja yang menggunakan konsep time release di mana semua keperluan baja diberikan sekali sahaja pada masa operasi penanaman dan unsur baja akan dilepaskan secara automatik pada masa yang dirancang mengikut umur dan keperluan tanaman. Tidak perlu lagi membuat pembajaan tiap 2 atau 3 bulan sekali, kos buruh dianggarkan dapat dijimatkan antara 12 - 18 manday/ hektar. 

Seperti yang kita sedia maklum, nanas berasal dari 4 kultivar utama iaitu Queen, Spanish, Cayenne dan Hybrid (persilangan antara kumpulan ini). Setiap satu mempunyai karakter yang berbeza termasuk keperluan, kecekapan menyerap dan menggunakan unsur-unsur dalam baja. Faktor-faktor ini dipengaruhi oleh tempoh pengeluaran (sama ada awal, sederhana ataupun lewat matang), jumlah hasil yang berpotensi dikeluarkan dan 3 tahap kritikal pertumbuhan bagi tiap kumpulan. 

Hanya perlu membaja sekali sahaja jika guna baja nuget time release.

 

Tempoh Pengeluaran Hasil Mengikut Varieti:

Matang Awal (13 bulan): Morris, Josapine

Matang Sederhana (15 bulan): N36, MD2, Gandul

Matang Lewat (17 bulan): Maspine, Sarawak


Sebagai contoh dalam penanaman konvensional, varieti matang awal diberi baja selang 2 bulan dari tarikh penanaman menjadikan 3 kali baja diberikan iaitu selepas 2 bulan, 4 bulan dan 6 bulan bagi satu pusingan tanaman. Selepas itu tiada lagi aktiviti pembajaan sehingga penuaian. Baja yang melepaskan unsur baja mengikut keperluan tanaman pada sesuatu masa dicipta untuk mengatasi masalah keperluan membaja berulangkali ini. 

Baja nuget time release disaluti polimer sintetik yang mudah terurai supaya akan melepaskan unsur baja apabila ada perbezaan kepekatan antara tanah dan butir baja mengikut prinsip osmosis. Waktu pelepasan dirangka mengikut bulan-bulan seperti pembajaan konvensional. Manakala sebatian padat pula ialah baja yang dipadatkan menjadi ketulan-ketulan. 

Keduanya dicampur dengan zeolit yang mengawal pelepasan dan keterdapatan unsur dengan lebih berkesan selain mengawal kehilangan baja akibat hujan.

MARDI mencipta 3 gred baja yang boleh digunakan secara kombinasi mengikut kesuburan tanah dan varieti nanas yang ditanam iaitu: 

BN 1 (10.9 : 13.9 : 10.4)

BN 2 (8:8 : 4.8 : 25 + Zn, Cu, B)

BN 3 (11.7 : 3.6 : 19.2 : + Zn, Cu, B)


Salutan polimer sintetik direka khas bagi membolehkan pelepasan secara terkawal mengikut gred baja, sesuai untuk tanaman padat 2-3 kali ganda dari kaedah konvensional. Sebatian padat pula sesuai untuk pelepasan baja secara sekata. 

Kedua-dua bentuk sama ada nuget atau sebatian padat boleh diguna sepanjang musim hujan atau kemarau kerana baja hanya akan berfungsi sebaik sahaja terdapat kelembapan yang cukup. 

Kaedah ini akan mengurangkan keperluan tenaga kerja,dapat mengurangkan kebarangkalian pekerja mengguna baja yang salah selain dapat menjimatkan kos pengangkutan baja ke ladang dan ruang penyimpanan (storage). 

Mata nanas yang tegang dan saiz yang seragam memberi petunjuk nanas mendapat nutrisi yang cukup.

 

Kaedah Aplikasi Baja time release

Penggunaan baja nuget time release sangat praktikal bagi tanaman nanas kerana operasi membaja dibuat sekali sahaja semasa menanam benih. Tidak perlu diulang pada bulan ke 2, 4 dan 6 seperti dalam kaedah konvensional. Baja nuget boleh diletakan dalam lubang tanaman mengikut jumlah yang disyorkan atau diberi 15 cm dari sulur yang telah siap ditanam. Beberapa kaedah aplikasi boleh dibuat mengikut status kesuburan tanah, jenis tanah sama ada berpasir atau liat, rupabentuk fizikal mukabumi sama ada rata, beralun atau berbukit dan status curahan hujan yang bakal tiba. Bagi tanaman densiti tinggi 30cm x 30cm segitiga, baja boleh ditimbus 2 - 3 cm bawah tanah di tengah-tengah segitiga antara pokok. Ini sangat menjimatkan kerana jumlah point yang diberikan hanyalah seperti kapasiti konvensional. 

Penjimatan

Kos baja adalah antara kos input yang paling tinggi dalam penanaman nanas. Jadi penjimatan kos baja dapat meningkatkan pendapatan petani. Apa lagi apabila kos baja terus meningkat saban hari sedangkan harga jualan nanas sering ditentukan oleh penawaran sedangkan permintaan agak statik kecuali apabila ada peristiwa tertentu. Baja time release diformula sekadar cukup untuk keperluan. Jika diberi berlebihan tidak memberi sebarang faedah kerana akan terlarut resap bersama air hujan dan mencemar sumber air. Dari perkiraan, penggunaan baja nuget dapat menjimatkan sehingga 35% kos baja atau sekitar RM0.04 per pokok. Kaedah pembajaan sekali sahaja semasa menanam menjimatkan kos 3 kali upah buruh untuk menabur baja. Dari perkiraan ini menjimatkan 35% kos buruh operasi. Secara keseluruhan penggunaan baja time release dapat menjimatkan kos keseluruhan tanaman nanas sebanyak 20 - 30%. Dengan peningkatan hasil melalui tanaman densiti tinggi, penjimatan dalam input pertanian dan penjimatan dalam upah buruh, aktiviti menanam nanas akan sangat menguntungkan buat petani. 

Kesimpulan

Berkembangnya tanaman nanas di tanah mineral yang pesat akibat dari tanah gambut yang sesuai untuk nanas semakin berkurang menuntut formulasi baja bagi tanah mineral yang lebih efisien, dapat menjimatkan kos dan menghasilkan buah yang manis dan rupa yang cantik untuk pemasaran. Formulasi baja yang sesuai untuk keperluan 3 peringkat tanaman dengan cara aplikasi sekaligus menjimatkan masa, upah buruh, cekap dan kurang kemungkinan membuat kesilapan. 

Baja nuget dan sebatian padat juga dapat menghindar dari basuhan permukaan (leaching) ketika hujan, mengurangkan keperluan pengangkutan dan penyimpanan berbanding aplikasi 3 kali dengan sistem konvensional. Baja dibekal secara konsisten pada pokok bagi mendapat hasil yang tinggi. 

Dalam sistem tanaman padat hingga 70,000 pokok sehektar adalah tidak praktikal membaja 2-3 bulan sekali kerana pokok membesar jadi rapat dan berduri. Teknologi time release didapati paling praktikal dan hanya satunya jalan penyelesaian selain berjimat baja, mengurangkan kebergantungan kepada buruh, tidak mencemar sumber air dan memelihara alam sekitar.


Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag