April 22 2024

Senario Masa Kini Industri Biji Benih di M'sia

Senario Masa Kini Industri Biji Benih di M'sia - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Untuk menjamin bekalan makanan yang berterusan di dalam negara kerajaan telah mewujudkan sebuah dasar bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan dan penglibatan agensi-agensi untuk menjayakannya. 

Panduan yang dinamakan Strategi Dasar Keterjaminan Makanan itu melibatkan sejumlah teras iaitu meningkatkan daya pengeluaran beras negara, mengukuhkan stok penimbal beras, peningkatan pengeluaran dan produktiviti komoditi serta pengukuhan FAMA. 

Dasar juga menyentuh Program Bumi Hijau dan pengurusan tanah terbiar. Untuk menjayakan tiap satu dasar yang disebutkan, memerlukan satu input pertanian yang sangat penting, tanpanya tiasa satu pun dapat dijayakan. 

Ianya ialah biji benih, segalanya mesti bermula dengan industri benih!

Orang-orang lama pernah menitipkan pesan: Benih yang elok jatuh di laut menjadi pulau. Semenjak dahulu lagi orang bijak pandai menitik beratkan kualiti benih. Besarnya harapan dari satu biji yang boleh menjadi sebuah pulau tumbuh-tumbuhan seperti sebiji kelapa yang hanyut beribu batu dari Selatan Afrika, terdampar di bumi kita dan tumbuh membiakkan beribu-ribu pohon kelapa.

Dalam menentukan dasar, agensi kerajaan mungkin tidak sedar untuk menentukan dasar pengeluaran biji benih. Pada ucapan peresmian Kongres Benih Asia, Menteri MAFI pernah menegur hanya terdapat sebuah syarikat yang menjadi pengeluar biji benih tempatan dan sebuah syarikat pengeluar biji benih luar negara berpengkalan di Malaysia. Seru beliau, bagi meningkatkan hasil per unit kawasan, benih yang mengeluarkan hasil tinggi perlu dilahirkan melalui usaha-usaha R&D bagi menyahut cabaran bertani di abad ini. 

Dengan ancaman perubahan iklim yang tidak menentu dan saiz tanah yang semakin mengecil akibat dari perbandaran dan perindustrian benih yang memberi hasil berganda dengan peratus bahan boleh guna cekap. Tanaman jagung misalnya boleh dinaik taraf menjadikan jagung sebagai makanan manusia, hampas sebagai makanan ternakan dan fiber dari batang dan daun menjadi baja untuk menyuburkan tanah kembali, tidak sedikit pun darinya dibazirkan.

Kerajaan pernah melancarkan pertanian moden sebagai visi baru nasional. Sektor pertanian telah dijulang menjadi injin pertumbuhan ke3 selepas sektor pembuatan dan perkhidmatan. Ini untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makanan bukan sekadar untuk kegunaan dalam negeri tetapi ke pasaran global. Beberapa projek contoh seperti Projek Jagung Manis di Bukit Tangga telah dilahirkan dengan diterajui oleh Sime Darby, sebuah syarikat gergasi dalam industri sawit di mana kerajaan mempunyai kepentingan di dalamnya. Sebuah syarikat biji benih - Green Agro telah dilantik menerajui pengeluaran biji benih. Namun fokus terhadap pertanian dan industri biji benih hanya menjadi kenangan dan infrastrukturnya menjadi Gajah Putih akibat peralihan kerajaan dan ketidakstabilan politik.

Teknikal Tempatan Ketinggalan 20 tahun

Industri biji benih masih tidak diberi keutamaan sehingga kini di negara kita. Bekalan biji benih diperolehi dari negara dan kawasan luar seperti India, Taiwan dan Thailand. Ini kerana pedagang biji benih berfikiran lebih murah untuk mengimport dari membuat R&D dan menanam di ladang tempatan. Selepas 20 tahun negara-negara berkenaan telah maju dalam bidang ini dan dengan kejatuhan matawang ringgit, mengimport menjadi lebih mahal. Apabila mahu beralih dengan untuk mengeluarkan biji benih secara tempatan, selain kos yang tinggi kerana terpaksa mengadakan infrastruktur berkaitan, negara tidak mempunyai benih asas untuk kacukan dan pengalaman dari segi teknikal telah ketinggalan selama 20 tahun. 

Industri biji benih dunia diterajui oleh negara maju walaupun mereka mempunyai sumber yang terhad dari segi tanah pertanian, situasi empat musim yang menghadkan tempoh produksi dan terpaksa menggunakan rumah kaca yang memerlukan perbelanjaan tinggi dan biaya tenaga elektrik yang besar. 3 syarikat utama dunia yang mengusai 37 peratus syer pasaran ialah Pioneer/DuPont, Monsanto dan Sygenta yang majoriti berpusat di Amerika Syarikat dan mempunyai cawangan utama di Belanda, Jerman dan China manakala peratusan mengikut jenis sayuran ialah semua jenis cili (peppers), tomato, bawang, melon dan timun. Hanya beberapa biji benih yang mudah sahaja dikeluarkan dalam negara kita mengikut keluarga Solanacea (cili, terung, tomato), Cucurbitacea (timun, peria, petola) , Leguminacea (kacang panjang, kacang buncis) dan Malvacea (bendi).

Teknik fertigasi bertambah baik dengan varieti yang premium.

 

Tiada Polisi Bertumpu kepada Pengeluaran Biji Benih

Sehingga kini tiada polisi yang memberi tumpuan kepada pengeluaran biji benih. Malaysia agak maju dalam bidang pengeluaran bahan tanaman bagi getah, sawit dan padi tetapi sangat lemah dalam tanaman lapangan utama untuk keterjaminan makanan waktu kecemasan seperti keledek, kentang, kacang soya dan sayur-sayuran. Tiada satu skim yang memberi sertifikasi bagi pengeluaran biji benih sehinggalah baru-baru ini dikuatkuasakan Akta Perlindungan dan Hakcipta bagi Varieti Tanaman (Akta 634).

Saban tahun ada sahaja rungutan mengenai masalah kekurangan benih padi yang sah di kawasan jelapang padi negara seperti di kawasan MADA di Kedah dan Perlis. Jika ada bekalan timbul pula masalah sampingan seperti peratus percambahan yang rendah, benih padi tercemar dengan benih rumpai dan varieti yang tidak tulin. Masalah ini timbul kerana dalam dalam keghairahan untuk mencukupkan bekalan benih, pengeluar benih padi dilantik dari kalangan yang mempunyai kemudahan pengeringan dan simpanan, bukannya mereka yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran bijibenih. Ini dapat dilihat dari perlantikan kilang-kilang padi sebagai pengeluar dan pembekal benih padi. 

Kualiti biji benih terbaik menghasilkan percambahan maksimum.

 

Masalah Ketulenan Biji Benih

Akibat dari tiada pengetahuan dan pemilihan tangkap-muat, ladang pengeluaran benih tidak diberi persempadanan dan pemencilan yang mencukupi untuk menjamin ketulenan, tapak pengeluaran benih tidak dibasmi rumpai utama seperti sambau, padi angin, menerung dan keladi agas. Beberapa kawasan di Kedah dan Perlis dilaporkan diserang rumpai jenis ini yang sudah lama pupus. Selain dari kemungkinan disebarkan oleh trektor dan jentera menuai, kemungkinan disebarkan dari bekalan biji benih adalah tinggi. Tiada pengasingan peralatan yang digunakan untuk biji benih dan komersial dalam kilang padi dipercayai menyebabkan masalah ketulenan biji benih.

Ciri-ciri Biji Benih Berkualiti

Antara ciri benih yang berkualiti ialah dapat bercambah dengan cepat, tidak dicemari bahan asing, dijamin kejayaannya, bertahan lama, tulen, true to type dan dapat meningkatkan produktiviti. Tiada bermakna jika menggunakan benih baharu tetapi hasil tidak meningkat. Petani juga berharap benih baru akan mempunyai ketahanan terhadap penyakit dan serangga perosak. Dalam pemilihan benih cili misalnya, selain memberi hasil yang tinggi dan buah yang menarik, petani menggutamakan bentuk pokok yang membolehkan nya memetik dengan cepat, kurang membongkok dan tanpa mencari dalam daun yang tebal. 

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag