April 08 2025

Pusat Nukleus Udang Pertama di Malaysia

Pusat Nukleus Udang Pertama di Malaysia - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Pusat Nukleus Udang YHL - pusat nukleus dan Broodstock Multiplication Centre (BMC) pertama di Malaysia, yang terletak di   Mersing, Johor, telah berjaya menghasilkan baka dan benih udang putih (Litopenaeus vannamei) tersendiri yang dikenali sebagai YHL-Phi Tik, yang mempunyai kadar   pertumbuhan yang lebih tinggi, ketahanan tekanan dan penyakit yang lebih baik serta warna udang yang lebih kemerahan dan cerah. 

Pembangunan pusat nukleus ini bakal mengukuhkan aktiviti pembekalan benih udang negara, serta meminimumkan kebergantungan sumber import, selaras dengan agenda keterjaminan makanan negara. 


Tetamu kehormat menghadiri Majlis Peluncuran Ternakan Udang YHL-Phi Tik dan Perasmian Pusat Nukleus YHL, dari kanan: Dato' Shann, En. Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, Dato' Haji Adnan Hussain (Ketua Pengarah DOF), Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (Pengerusi Kumpulan YHL), Datuk Seri Isham Ishak (Ketua Setiausaha KPKM), En. Low Yuan Heng (Pengarah Urusan Kumpulan YHL), Encik Hamdan Mamat (Ketua Pengarah LKIM), En. Chaicharoen, Tn. Hj. Jamaludin Hj. A. Hamid, dan En. Zirul Adilla Hj. Zani.

 


Pengenalpastian dan Penyaringan Genetik untuk Jaminan Benih Udang Berkualiti

Pencapaian YHL Aquatic Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan YHL Foods ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam industri penternakan udang di Malaysia. Projek ini adalah satu langkah besar selepas kejayaan pembangunan baka dan benih udang putih (dikenali sebagai YHL-Phi Tik) oleh Kumpulan YHL di Thailand. 

Pada 25 Februari yang lalu, YHL Aquatic telah mengadakan Majlis Peluncuran benih udang   YHL-Phi Tik dan Perasmian Pusat Nukleus YHL Mersing, yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk   Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), dan YBrs. Encik Hamdan bin Mamat, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). 

Kecemerlangan dalam Industri

YHL Aquatic telah memulakan operasi di Mersing pada Oktober 2023 bagi aktiviti penghasilan benih (hatcheri) udang dan dinaik taraf menjadi pusat   nukleus pada Februari tahun ini. Pengarah Urusan Kumpulan YHL, En. Low Yuan Heng, dalam majlis tersebut memperkenalkan baka dan benih udang YHL-Phi Tik yang dibangunkan melalui teknologi pemilihan genetik. Benih udang yang dihasilkan mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih pantas dengan purata pertambahan berat harian (ADG) sekitar 0.33 gram dan mencapai saiz 30 ekor/kg hanya dalam tempoh 112 hari, berbanding dengan purata 120-150 hari bagi udang sediada di pasaran. 


Low Yuan Heng (kiri) bersama Datuk Seri Isham (dua dari kiri) dan tetamu kehormat semasa melawat kolam ternakan udang YHL di Desaru.

 


Low Yuan Heng (kiri) bersama Datuk Seri Isham (dua dari kiri) dan tetamu kehormat melawat makmal R&D YHL Aquatic.

 


Selain itu, benih udang YHL-Phi Tik ini mempunyai daya tahan yang lebih tinggi terhadap persekitaran dan penyakit EHP (Enterocytozoon hepatopenaei), serta warna udang dewasa yang lebih kemerahan dan cerah. EHP adalah sejenis bakteria parasit   intrasel yang boleh menyebabkan penyakit serius dalam udang ternakan. 

Bakteria ini mengurangkan keupayaan pencernaan dan kadar pertumbuhan udang, menyebabkan kerugian perniagaan yang besar kepada penternak. Pusat nukleus ini telah   menerima pensijilan Amalan Akuakultur Baik Malaysia (myGAP), meliputi pengoperasian tapak, aktiviti import dan eksport udang, serta telah memperoleh Sijil Kualiti Ikan (FQC), yang   menandakan komitmen syarikat terhadap piawaian keselamatan dan kualiti makanan. 

Selain itu, projek ini yang menekankan kelestarian perladangan dan amalan hijau melalui praktis Integrated Multi-Trophic Aquaculture (IMTA) dan model penternakan super-intensif, serta gabungan teknologi kecerdasan-buatan (AI) dalam sistem   perladangan pintar (smart-farming), untuk   mencapai pengeluaran hasil yang lebih tinggi   dan mampan. Strategi inovatif ini bukan sahaja meningkatkan pengeluaran tetapi juga memastikan operasi ladang yang lebih efisyen dan meminimumkan impak terhadap alam sekitar.

IMTA adalah praktis ternakan integrasi akuakultur yang bertujuan bagi rawatan secara hijau, yang memanfaatkan sumber air buangan dari kolam ternakan udang yang kaya-protein untuk   dimanfaatkan oleh lain-lain aktiviti ternakan   seperti ikan susu, tiram dan kerang-kerangan.   Praktis IMTA ini juga merupakan salah satu inisiatif kredit-karbon (carbon-credit) melalui aktiviti   penghasilan algae dan pencernaannya oleh tiram. 


En. Chaicharoen, CEO YHLF Biotech mempamerkan benih udang YHL-PHI TIK yang mempunyai kadar pertumbuhan lebih tinggi, ketahanan tekanan dan penyakit yang lebih baik, serta warna yang lebih kemerahan dan cerah.

 


Teknologi Mengurangkan Kebergantungan terhadap Import

Datuk Seri Isham Ishak mengucapkan tahniah kepada YHL Aquatic atas kejayaan mereka dan menyifatkan pencapaian ini sebagai satu kejayaan yang boleh mengubah industri penternakan   tempatan. Beliau menyatakan bahawa perubahan iklim global bukan sahaja meningkatkan paras laut tetapi juga mengubah suhu air laut, yang menjadikan pengeluaran udang ternakan tidak stabil. 

“Teknologi YHL Aquatic bukan sahaja meningkatkan kualiti induk dan benih udang, tetapi juga   menjadikan bekalan pasaran udang tempatan lebih stabil dan mempromosikan keselamatan makanan negara. Dengan pelancaran pusat nukelus pertama di Malaysia, kita kini mempunyai induk dan benih udang yang dihasilkan sendiri, tidak perlu lagi bergantung   pada import. Ini adalah pencapaian yang membanggakan negara.” 

“Pelancaran benih udang YHL-Phi Tik dan pengoperasian pusat nukleus ini menunjukkan komitmen untuk memajukan industri akuakultur ke tahap yang lebih tinggi melalui teknologi   canggih dan model penternakan yang lebih mampan. Kami berharap projek ini akan membawa impak positif kepada industri penternakan.” 

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan YHL, Datuk Khalil, menekankan bahawa kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa usaha berpasukan yang berterusan, pembangunan inovatif, dan sokongan daripada kerajaan serta rakan industri. Beliau menyatakan bahawa kerjasama seumpama ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global dalam industri penternakan udang.



Pusat Nukleus Udang YHL di Mersing, Johor merupakan Pusat Nukleus dan BMC udang pertama di Malaysia.

 



Rantaian Industri Lengkap Meningkatkan Daya Saing

YHL Aquatic bukan sahaja menumpukan pada   pembangunan induk dan benih udang berkualiti tinggi, tetapi juga giat melengkapkan rantaian   industri ternakan akuakultur, dari aktiviti   pembangunan baka dan pengeluaran benih   di peringkat huluan, hingga ke aktiviti pemasaran dan pemprosesan di peringkat hiliran menerusi model operasi yang bersepadu. Ini dibuktikan melalui  kejayaan aktiviti penternakan di YHL Desaru Farm. 

YHL Desaru Farm ini yang beroperasi di Bio Desaru bermula pada tahun 2019, berkembang dari 10 ekar kepada 216.5 ekar pada masa kini, yang terdiri   daripada aktiviti ternakan udang, pusat   eko-pelancongan Arubay dan kolam rawatan IMTA. 


Pada hari yang sama, para tetamu kehormat turut melawat kolam tiram dan mengagumi usaha yang dijalankan.

 


Projek Membangun 150 ekar Tanah Tambahan

Pada tahun 2024, YHL Desaru Farm ini telah mencatat rekod pengeluaran udang putih   sebanyak 945 tan dari keluasan kira-kira 75 ekar yang telah siap beroperasi, dan pengeluaran ini   akan dipertingkatkan lagi kepada 2,000 tan udang putih setahun pada tahun 2025 untuk pasaran   domestik dan antarabangsa. 

Secara keseluruhan, projek ini dijangka mencapai pengeluaran penuh sebanyak 5,000 tan setahun apabila keseluruhan kawasan siap dibangunkan pada penghujung  tahun 2027. 

Selain itu, di bawah fasa perluasan, YHL Aquatic akan membangunkan 150 ekar tanah tambahan   untuk projek ikan, tiram, kerang-kerangan dan udang. 

Datuk Seri Isham Ishak, semasa majlis perasmian tersebut turut dibawa melawat ke YHL Desaru Farm. Beliau memuji model pengurusan ladang tersebut dan komitmen syaikat dalam menerapkan iniasiatif pembangunan ESG (Environmental, Social, Governance). 

YHL Aquatic kini mempunyai 67 kolam ternakan dan 35 kolam nurseri di ladang Desaru, menggunakan air laut dan penggunaan probiotik dalam aktiviti penternakan yang dijalankan serta automatik. 

YHL Aquatic sentiasa berusaha untuk meningkatkan daya saing industri akuakultur melalui inovasi   teknologi dan pembangunan akukultur yang   mampan. Syarikat ini telah berjaya memasuki pasaran antarabangsa, mengeksport induk dan benih udang ke China, Vietnam, Taiwan, Pakistan, dan Bangladesh, seterusnya akan memartabatkan dan mengukuhkan industri akuakultur serta   peranan Malaysia di pasaran global. 

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag