July 04 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Di sebalik kegusaran pengguna yang bimbang dengan perbelanjaan yang bakal meningkat susulan pengumuman kerajaan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa buah-buahan import mulai 1 Julai 2025, petani buah-buahan tempatan melihat fajar baru yang bakal menyinsing. Industri buah-buahan tempatan seperti betik, jambu batu, buah naga, dan pisang mungkin dapat bersaing di medan yang lebih rata.
Buah-buahan tropika tempatan selama ini mendapat saingan terbesar terutama dari Thailand dan Vietnam. Pisang diimport dari Thailand termasuk Pisang Emas, Berangan, dan Pisang Awak (untuk pisang goreng) dari varieti yang sama ditanam petani tempatan memberi saingan yang sangat sengit kepada industri pisang dalam negara. Buah Naga dari Vietnam pula hampir menenggelamkan penghasilan tempatan.
Kelebihan Harga Buah Tempatan
Dengan buah keluaran dalam negara yang 5% lebih murah, pemborong mungkin akan mengutamakan bekalan buah lokal berbanding buah import kerana faktor harga akan menjadi penentu pembelian oleh pengguna akhir.
Ditambah dengan kos pengangkutan yang bakal meningkat jika harga minyak dunia terus naik akibat Perang Iran-Israel, industri buah-buahan tempatan mungkin mempunyai harapan untuk pulih dan menarik pemain baru masuk ke dalam industri.
Buah-buahan seperti strawberi yang ditanam dalam negara di Cameron Highlands dan Kundasang akan dapat memberi saingan yang lebih baik kepada strawberi import yang bakal menjadi jauh lebih mahal. Sebelum ini, pengguna lebih memilih strawberi import kerana kualitinya lebih baik walaupun harganya tidak jauh berbeza.
Peluang Pelaburan untuk Petani Tempatan
Dengan permintaan yang meningkat dan persaingan yang berkurangan, petani di dataran tinggi berpeluang membuat pelaburan dengan membuka ladang baru dan menggunakan teknologi lebih baik untuk menghasilkan produk berkualiti setanding strawberi import dari Korea Selatan dan Afrika Selatan.
Ketika ini, ladang strawberi lebih berfokus kepada produk pelancongan dengan menawarkan pakej memetik strawberi dan inovasi produk berasaskan strawberi.
Buah-buahan baharu mungkin boleh diberi insentif untuk ditanam sebagai alternatif kepada buah import seperti avokado dan lemon. Kedua-dua buah yang diramalkan akan menjadi buah masa depan ini telah mula mendapat permintaan tinggi akhir- akhir ini daripada pengguna yang mementingkan kesihatan.
Lemon dikonsumsi untuk mengawal kolesterol dan menurunkan tekanan darah.
Potensi Tanaman Avokado di Malaysia
Avokado kaya dengan nutrien dan antioksidan yang baik untuk kesihatan jantung, kulit, dan mata. Ia juga dapat mengawal tekanan darah, menurunkan berat badan, serta mencegah kanser.
Avokado telah ditanam secara meluas di Indonesia dan Thailand dengan beberapa varieti tropika yang sesuai ditanam dan mampu berbuah lebat di Malaysia.
Status Lemon Import dan Potensi Tempatan
Lemon kini diimport dari Afrika Selatan dan Australia dengan harga yang mahal. Tanaman ini sebenarnya tiada masalah untuk ditanam di sini dengan produktiviti dan kualiti yang tinggi. Satu- satunya perbezaan mungkin dari segi kosmetik kerana lemon yang ditanam di kawasan tropika akan menghasilkan kulit berwarna hijau, walaupun khasiatnya tetap sama.
Buah-buahan lain seperti longan, laici, abiu dan sapote yang mampu hidup di Malaysia mungkin perlu diperkenalkan bagi memperkayakan penawaran buah-buahan tempatan kepada pengguna.
Tumpuan yang berlebihan diberikan kepada tanaman bermusim terutama durian, manggis dan rambutan akan menyebabkan pengeluaran tinggi pada bulan-bulan tertentu dan mencipta kelompongan pada bulan-bulan lain.
Pengenalan buah-buahan baru yang tidak bermusim atau mempunyai musim yang boleh dirangsang boleh mengisi kelompongan ini yang sebelumnya diisi oleh buah-buahan import.
Peningkatan Tanaman Pisang Tempatan
Pisang yang kini menghadapi cabaran daripada penyakit Moko dan persaingan tidak sihat daripada pisang import perlu diberi penekanan untuk ditanam secara lebih meluas. Fokus perlu diberikan kepada pisang meja seperti Pisang Emas dan Pisang Berangan, serta varieti untuk digoreng dan diproses seperti Pisang Nangka, Pisang Abu/ Kepok, Pisang Helang, dan Pisang Tanduk.
Sekiranya pisang tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam negara, harga pisang akan melonjak naik. Keadaan ini akan menjejaskan industri kecil yang bergantung kepada pisang sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk.
Pengecualian SST untuk Buah-buahan Penting
Beberapa hari kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan akan memberikan pengecualian SST ke atas beberapa jenis buah-buahan import seperti epal dan oren.
Buah-buahan yang dikategorikan sebagai ‘Buah Rakyat’ ini sering dijadikan buah tangan ketika menziarahi sanak saudara dan turut dihidangkan dalam menu RMT (Rancangan Makanan Tambahan) di sekolah-sekolah.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah mempunyai akses kepada pilihan makanan sihat dan berkhasiat.
Pengguna menyambut baik langkah prihatin kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat. Mereka berpuas hati dengan inisiatif untuk menstabilkan harga jualan, menggalakkan pembelian, dan pada masa yang sama menyokong petani tempatan.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.