July 04 2025

SST Buah Import Pacu Industri Buah Tempatan

SST Buah Import Pacu Industri Buah Tempatan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Di sebalik kegusaran pengguna yang bimbang dengan perbelanjaan yang bakal meningkat susulan pengumuman kerajaan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa buah-buahan import mulai 1 Julai 2025, petani buah-buahan tempatan melihat fajar baru yang bakal menyinsing. Industri buah-buahan tempatan seperti betik, jambu batu, buah naga, dan pisang mungkin dapat bersaing di medan yang lebih rata. 

Buah-buahan tropika tempatan selama ini mendapat saingan terbesar terutama dari Thailand dan Vietnam. Pisang diimport dari Thailand termasuk Pisang   Emas, Berangan, dan Pisang Awak (untuk pisang goreng) dari varieti yang sama ditanam petani tempatan memberi saingan yang sangat sengit kepada industri pisang dalam negara. Buah Naga dari Vietnam pula hampir menenggelamkan penghasilan tempatan. 

Kelebihan Harga Buah Tempatan

Dengan buah keluaran dalam negara yang 5% lebih murah, pemborong mungkin akan   mengutamakan bekalan buah lokal berbanding buah import kerana faktor harga akan menjadi penentu pembelian oleh pengguna akhir. 

Ditambah dengan kos pengangkutan yang bakal meningkat jika harga minyak dunia terus naik akibat Perang Iran-Israel, industri buah-buahan tempatan mungkin mempunyai harapan   untuk pulih dan menarik pemain baru masuk ke dalam industri. 

Buah-buahan seperti strawberi yang ditanam dalam negara di Cameron Highlands dan Kundasang akan dapat memberi saingan yang lebih baik kepada strawberi import yang bakal menjadi jauh lebih mahal. Sebelum ini, pengguna lebih memilih strawberi import   kerana kualitinya lebih baik walaupun harganya tidak jauh berbeza. 

Peluang Pelaburan untuk Petani Tempatan

Dengan permintaan yang meningkat dan persaingan yang berkurangan, petani di dataran tinggi berpeluang membuat pelaburan dengan membuka ladang baru dan menggunakan teknologi lebih baik untuk menghasilkan produk berkualiti setanding strawberi import dari Korea Selatan dan Afrika Selatan. 

Ketika ini, ladang strawberi lebih berfokus kepada produk pelancongan dengan menawarkan pakej memetik strawberi dan inovasi produk berasaskan strawberi.

Buah-buahan baharu mungkin boleh diberi insentif untuk ditanam sebagai alternatif kepada buah import seperti avokado dan lemon. Kedua-dua buah yang diramalkan akan menjadi buah masa depan ini telah mula mendapat permintaan tinggi akhir- akhir ini daripada pengguna yang mementingkan kesihatan. 

Lemon dikonsumsi untuk mengawal kolesterol dan menurunkan tekanan darah. 


Avokado menjadi makanan kesihatan kerana dapat menjaga jantung dan kulit serta mecegah kanser.

 


Potensi Tanaman Avokado di Malaysia

Avokado kaya dengan nutrien dan antioksidan yang baik untuk kesihatan jantung, kulit, dan mata. Ia juga dapat mengawal tekanan darah, menurunkan berat badan, serta mencegah kanser. 

Avokado telah ditanam secara meluas di Indonesia dan Thailand dengan beberapa varieti tropika yang sesuai ditanam dan mampu berbuah lebat di Malaysia. 

Status Lemon Import dan Potensi Tempatan

Lemon kini diimport dari Afrika Selatan dan Australia dengan harga yang mahal. Tanaman ini sebenarnya tiada masalah untuk ditanam di sini dengan produktiviti dan kualiti yang tinggi. Satu- satunya perbezaan mungkin dari segi kosmetik kerana lemon yang ditanam di kawasan tropika akan menghasilkan kulit berwarna hijau, walaupun khasiatnya tetap sama. 

Lemon akan menjadi buah masa depan kerana mampu menurunkan kadar kolestrol.

 

Lemon sangat mudah dibiakkan secara tampang, hanya dengan menggunakan keratan dahan yang disemai dalam rumah semaian. 

Buah-buahan lain seperti longan, laici, abiu dan sapote yang mampu hidup di Malaysia mungkin perlu diperkenalkan bagi memperkayakan penawaran buah-buahan tempatan kepada   pengguna. 

Tumpuan yang berlebihan diberikan kepada tanaman bermusim terutama durian, manggis dan rambutan akan menyebabkan pengeluaran tinggi pada bulan-bulan tertentu dan mencipta kelompongan pada bulan-bulan lain. 

Pengenalan buah-buahan baru yang tidak bermusim atau mempunyai musim yang boleh dirangsang boleh mengisi kelompongan ini yang sebelumnya diisi oleh buah-buahan import.

Pisang tempatan seperti Pisang Berangan lebih disukai pengguna berbanding Pisang Cavendish yang diimport.

 


Peningkatan Tanaman Pisang Tempatan

Pisang yang kini menghadapi cabaran daripada penyakit Moko dan persaingan tidak sihat   daripada pisang import perlu diberi penekanan untuk ditanam secara lebih meluas. Fokus perlu diberikan kepada pisang meja seperti Pisang Emas dan Pisang Berangan, serta varieti untuk   digoreng dan diproses seperti Pisang Nangka, Pisang Abu/ Kepok, Pisang Helang, dan Pisang Tanduk.

Sekiranya pisang tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam negara, harga pisang akan melonjak naik. Keadaan ini akan menjejaskan industri kecil yang bergantung kepada pisang sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk. 

Pengecualian SST untuk Buah-buahan Penting

Beberapa hari kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan akan memberikan pengecualian SST ke atas beberapa jenis buah-buahan import seperti epal dan oren. 

Buah-buahan yang dikategorikan sebagai ‘Buah Rakyat’ ini sering dijadikan buah tangan ketika menziarahi sanak saudara dan turut dihidangkan dalam menu RMT (Rancangan Makanan Tambahan) di sekolah-sekolah. 

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah mempunyai akses kepada pilihan makanan sihat dan berkhasiat. 

Pengguna menyambut baik langkah prihatin   kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat. Mereka berpuas hati dengan inisiatif untuk   menstabilkan harga jualan, menggalakkan   pembelian, dan pada masa yang sama menyokong petani tempatan.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag