July 15 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Kelah atau nama lainnya Empurau adalah spesis ikan air tawar yang digelar sebagai Raja Ikan Sungai. Nama saintifiknya adalah Tor tambroides (Bleeker, 1854). Umumnya habitat ikan ini ditemui di kawasan aliran pergunungan dan juga di perairan sungai jernih yang mengalir deras dan di dasar berbatu berkerikil. Saintis asing melaporkan taburan Raja Ikan Sungai ini dijumpai di kawasan Asia Tenggara, dari Indonesia sehingga ke kawasan China Selatan.
Di Malaysia, ikan dikenali sebagai Kelah di Semenanjung Malaysia manakala digelar sebagai Empurau di Sarawak. Di antara ciri-ciri unik ikan ini adalah ianya mempunyai median yang panjang serta runcing dan juga bibir yang tebal. Selain itu, ianya juga mempunyai sisik yang besar dengan warna jalur vertikal gelap, khususnya pada sisik di atas.
Keistimewaan ini membezakan ikan kelah atau Empurau ini dari ikan Tor yang lain seperti ikan Semah (Tor douronensis). Akan tetapi, terdapat perbezaan dari segi warna sisik ikan mengikut habitatnya. Contohnya, ikan kelah yang dijumpai di Semenanjung Malaysia mempunyai sisik yang berwarna perak gelap dan kemerahan. Perbezaan dari segi sifat fizikal ikan bermungkinan berkait rapat dengan keadaan habitat sekeliling, seperti kondisi air dan juga jenis pemakanan yang ada di habitat asal.
Nelayan tempatan sering mengklasifikasikan tangkapkan Raja Ikan Sungai ini sebagai durian runtuh dan rezeki sekiranya berjaya dipancing atau dijaring di sungai, lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman di mana air sungainya bersih dan jauh dari pencemaran contohnya di kawasan pedalaman di Sarawak seperti Ulu Kapit, Bakun dan Katibas dan juga Pahang dan Terengganu di Semenanjung Malaysia. Ianya mampu mendatangkan hasil jualan yang lumayan di pasar ikan dan dianggap sebagai ikan yang jarang dijumpai.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa laporan tempatan mendapati terdapat aktiviti yang kurang bermoral dan menyasarkan tangkapan spesis ikan ini di habitat liar menggunakan renjatan elektrik dan bom. Perbuatan seperti ini adalah tidak bertanggungjawab dan mengganggu kelestarian ekologi semula jadi dan pesalah boleh didakwa melanggar Akta Perikanan 1985.
Lazimnya, Raja Ikan Sungai ini mengambil jangka masa yang lama untuk membiak, oleh itu taburannya perlu dilindungi untuk mengelakkan pemancingan atau tangkapan yang berlebihan dan penurunan populasi secara mendadak.
Potensi Ternakan dan Kebolehlaksanaan di Pasaran
Kelah atau Empurau telah dikenalpasti sebagai spesis ikan yang mempunyai potensi akuakultur yang tinggi di Malaysia. Data yang diperolehi dari Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada tahun 2021 dan 2022 menunjukkan bahawa pengeluaran akuakultur ikan kelah atau Empurau adalah 14.84 tan metrik dan 4.29 tan metrik. Terdapat corak penurunan pada pengeluaran akuakultur dari tahun 2021 berbanding dengan tahun 2022.
Tambahan, data dari DOF juga melaporkan bahawa dari segi nilai dan harga pasaran secara purata, harga Raja Ikan Sungai ini meningkat dari RM 279.62/kg pada tahun 2021 ke RM575.28/kg pada tahun 2022. Di samping itu, nilai harga ikan ini mampu mencapai RM800 - RM1,400 per kg di pasaran Sarawak dan Sabah pada tahun 2022. Ini menunjukkan terdapat prospek pasaran di Malaysia, sekaligus menggambarkan potensi ternakan ikan ini.
Selain itu, ikan ini juga terkenal sebagai hidangan mewah di restoran tempatan dan mampu mencapai harga yang tinggi mengikut permintaan di pasaran.
Cabaran Ternakan
Ternakan Raja Ikan Sungai ini adalah sangat mencabar. Ini adalah kerana ikan kelah dikenali sebagai spesis ikan yang mengambil masa ternakan yang lama untuk mencapai saiz pasaran berbanding dengan ikan Cyprinid atau ikan air tawar yang lain. Kadar pembesaran ikan ini di habitat semula jadi mengambil masa selama setahun untuk mencapai berat sebanyak 500g ke 600g.
Ini mungkin berhubung rapat dengan diet dan jenis pemakanan yang terdapat di habitat asalnya dan ini telah menarik perhatian penyelidik tempatan untuk mengkajinya dengan lebih lanjut. Data lanjutan dari DOF pada tahun 2022 telah mengenalpasti pengeluaran akuakultur ikan ini adalah daripada sistem ternakan kolam air tawar dan tangki simen atau fiber. Ini bermakna penternak akuakultur tempatan mempunyai prospek dan peluang menternak dan membiak spesis ikan ini.
Pemahaman yang lebih dalam adalah penting sebelum memulakan penternakan Raja Ikan Sungai ini. Pengeluaran benih ikan ini dalam kadar yang berterusan turut memerlukan usaha keras dan kepakaran yang tinggi. Ini disebabkan oleh ikan ini tidak dapat membiak dan meminjah secara semula jadi di dalam kolam ternakan.
Kajian Santifik
Kebolehpasaran dan potensi akuakultur ikan kelah atau Empurau ini telah menarik pelbagai kajian saintifik dari dalam dan luar negara. Ianya berkait rapat dengan usaha untuk membangun dan meningkatkan pemahaman yang lebih lanjut mengenai spesis ikan ini. Di antara kajian awal yang telah dilakukan adalah usaha pembiakan Raja Ikan Sungai ini pada awal tahun 1990-an. Kerjasama di antara Stesen Perikanan Darat Tarat, Sarawak dan Sekolah Ekologi dan Alam Sekitar, Universiti Deakin, Australia telah mengkaji pembiakan secara buatan ikan ini menggunakan hormon Ovaprim dan pra-rawatan menggunakan Ovaplant. Hasil kajian tersebut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terhadap kadar penginduksian pemijahan.
Kajian mengenai pembiakan Raja Ikan Sungai ini juga telah dilanjutkan dengan mendalami pembiakan dalam keadaan ternakan kolam. Walau bagaimanapun, penemuan kajian telah menunjukkan bahawa ikan ini gagal untuk membiak dan tidak menunjukkan tabiat pemijahan secara semula jadi di dalam kolam ternakan berbanding dengan habitat asalnya. Oleh itu, percubaan untuk menambah baik kadar ovulasi ikan ini telah dilakukan melalui rawatan hormon gabungan analog hormon pelepasan gonadotropin salmon (sGnRHa) dan antagonis dopamin domperidone (DOM) dan teknik pemijahan secara manual untuk melepaskan telur kerana induk tidak mengeluarkan telur secara spontan.
Kajian lanjut mengenai penyamaan habitat ternakan kolam dengan habitat asli mungkin boleh membantu ikan ini untuk membiak dengan lebih baik. Ini sekaligus dapat membantu untuk meningkatkan penghasilan benih dalam akuakultur dan mengurangkan kadar kebergantungan dengan benih dari habitat asal ikan ini.
Penyelidik tempatan di Malaysia turut telah mengkaji diet dan tabiat pemakanan ikan kelah atau Empurau pada peringkat tumbesaran yang berbeza menggunakan pelbagai sumber makanan. Secara semula jadinya, ikan ini dikenali sebagai omnivor dan memakan algae berfilamen yang melekat pada batu-batu di dalam sungai dan juga biji serta buah-buahan dari pokok yang menjurai di atas sungai.
Melalui hasil kajian Universiti Putra Malaysia, baja khas yang dikenali sebagai TropiCarp Aquafeeds telah berjaya diformulasikan untuk ikan ini. Ianya mampu menyingkatkan tumbesaran dari tiga ke lima tahun ke satu tahun setengah untuk mencapai berat 1 kilogram. Kajian pemakanan spesis ikan ini amatlah penting dari segi akuakultur kena ianya dapat membantu penternak tempatan untuk lebih memahami keperluan diet dan nutrisi yang diperlukan untuk menternak Raja Ikan Sungai ini dengan lebih berhasil.
Sebagai contoh, keperluan protein dan lipid amatlah penting dalam nutrisi pemakanan ikan. Di samping itu, penambahan suplemen makanan seperti mikroalga hijau atau probiotik mungkin mempunyai potensi sebagai diet tambahan untuk ikan ini.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.