November 06 2023

Aspirasi LZNK Basmi Kemiskinan Melalui SMART SBB

Aspirasi LZNK Basmi Kemiskinan Melalui SMART SBB - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Majoriti rakyat Kedah terlibat dengan aktiviti menanam padi. Oleh kerana hampir semua petani padi di Kedah berada di bawah garis kemiskinan dan menjadi tanggungjawab LZNK untuk membela golongan ini, tidak dapat tidak LZNK terpaksa terjun ke dalam industri padi. 

Kebetulan pula LZNK sendiri mempunyai tanah seluas 700 relung (hampir 200 hektar) bertaburan dalam beberapa daerah dalam negeri Kedah. 

Sawah-sawah ini sebelum projek SSBB telah disewakan kepada petani dengan kadar sewa mengikut pasaran semasa dan dikuasai oleh golongan petani yang mempunyai modal melangkaui beberapa generasi. Petani miskin tidak mampu dan tidak berpeluang untuk mengusahakannya.


Muhamad Asri bin Md Alizan - Peserta yang berjaya mendapat hasil tinggi 7.616 mt/hektar.


“Seorang mantan menteri di MAFI pernah mempunyai persoalan besar dalam mindanya apabila dijemput melawat projek padi oleh Lembaga Zakat. Apa kaitan antara sebuah lembaga yang mentadbir dan mengutip zakat di kalangan umat islam dengan projek padi?” 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Dato’ Sheikh Zakaria Othman membuka cerita bagaimana beliau mula mendekati dan menyakinkan YB Menteri di MAFI untuk dilantik sebagai peneraju SMART Sawah Berskala Besar (SSBB) di kawasan MADA di Kedah. Ini adalah pertama di kalangan institusi zakat untuk diberi kepercayaan seumpama ini. 

Mengapa LZNK terjun ke dalam industri padi? 

Majoriti rakyat Kedah terlibat dengan aktiviti menanam padi sesuai dengan jolokan Negeri Jelapang Padi. Enakmen zakat negeri Kedah juga terbit berasaskan hasil padi. Kemudiannya barulah diadakan asas zakat bagi zakat pendapatan, galian dan hartabenda lain. Empat golongan utama asnaf yang berhak menerima zakat ialah fakir, miskin, amil dan mualaf.

Membela Petani Padi yang Miskin 

Oleh kerana hampir semua petani padi di Kedah berada di bawah garis kemiskinan dan menjadi tanggungjawab LZNK untuk membela golongan ini, tidak dapat tidak LZNK terpaksa terjun ke dalam industri padi. 

Kebetulan pula LZNK sendiri mempunyai tanah seluas 700 relung (hampir 200 hektar) bertaburan dalam beberapa daerah dalam negeri Kedah. Sawah-sawah ini sebelum projek SSBB telah disewakan kepada petani dengan kadar sewa mengikut pasaran semasa dan dikuasai oleh golongan petani yang mempunyai modal melangkaui beberapa generasi. Petani miskin tidak mampu dan tidak berpeluang untuk mengusahakannya. 

Setiap bulan LZNK memberi bantuan kewangan kepada 16000 keluarga berjumlah RM 6 juta. Ini adalah satu komitmen yang sangat besar dan membantu eknomi tempatan apabila suntikan tunai beredar di dalam negeri.


Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato' Sheikh Zakaria Othman mengatakan bahawa menceburi industri padi untuk membela 4 golongan utama asnaf yang berhak menerima zakat.

 


Selain dari itu, LZNK juga memberi bantuan beras dan barangan dapur lain melalui program foodbank di masjid-masjid. Untuk program foodbank ini, LZNK membeli di pasaran terbuka sebanyak 3380 metrik tan beras setahun. 

Nilai Setiap Ringgit Diregang Semaksimum Mungkin 

Melihat implikasi kewangan yang begitu besar timbul idea untuk kembangkan sendiri satu bisnes hiliran supaya nilai setiap ringgit diregang semaksimum mungkin. Keuntungan orang tengah yang tidak berpatutan juga dapat dikurangkan. 

Sejak terjun ke dalam industri padi, LZNK telah melabur dalam pembelian trektor, mesin padi, lori dan dron. Pembelian input pertanian dalam kuantiti besar membuatkan ada kuasa tawar-menawar dan dapat merendahkan harga. LZNK mampu menawarkan harga benih padi yang lebih rendah tetapi mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih baik. Kos membajak dan aplikasi racun makhluk perosak dengan dron dapat diturunkan ke paras yang sangat kompetitif.


Peserta Projek SMART Sawah Berskala Besar Asnaf gembira dengan kejayaan mereka.

 


Keluasan Tanah Tidak Bertambah Walaupun Ahli Keluarga Bertambah 

Hasil dari sistem pembahagian tanah pusaka secara faraid, pembahagian dari generasi ke generasi lain plot-plot sawah menjadi semakin kecil. Ada yang terlalu kecil sehingga tidak ekonomik untuk diusahakan. Ini menyebabkan timbulnya masalah sawah terbiar tidak diusahakan sehingga menjadi sarang tikus dan musuh dan memberi masalah kepada petani bersebelahan. Ramai yang menyewa pada pengusaha yang bermodal besar. Golongan asnaf hanya mampu melihat dan menjadi pekerja walaupun banyak kerja telah diganti dengan mesin. Penggunaan dron banyak membantu petani tetapi kumpulan yang mencari nafkah dengan kerja menyembur racun telah hilang pekerjaan.

Sebilangan petani terus mengusahakan tanah pusaka. Keluasan tanah tidak bertambah tetapi bilangan ahli keluarga semakin bertambah. Ini menyebabkan petani jatuh di bawah garis kemiskinan. Menjadi tanggungjawab LZNK untuk membantu kumpulan ini. Menyedari hakikat ini semenjak dilantik menjadi CEO pada tahun 2017, Dato’ Sheikh Zakaria Othman sentiasa berfikir mencari jalan untuk menyatukan plot-plot kecil sawah dengan ramai pemilik ini menjadi satu estet padi yang luas dan diurus secara praktikal, profesional dan saintifik. 

Idea ini telah diutarakan kepada MAFI. Kebetulan MAFI juga melancarkan skim yang hampir sama dinamakan SMART Sawah Berskala Besar dengan aspirasi sama untuk menyatukan plot sawah yang kecil menjadi estet padi. Dengan itu MAFI berbesar hati melantik LZNK menjadi peneraju dengan bantuan MADA (Muda Agriculture Development Authority). Sawah padi milik LZNK di Padang Lumat, Daerah Yan telah dipilih untuk menjadi projek perintis.  

Jika Tiada Pendapatan Lain Seumur Hidup Miskin 

Data kajian menunjukkan purata keluasan sawah yang diusahakan oleh petani di Kedah adalah kurang dari 5 relung (3 ekar) perkeluarga. Jika pesawah 100 peratus bergantung pada hasil padi dan tiada pendapatan lain, seumur hidup petani akan miskin. Dato’ Sheik Zakaria menyebutnya dalam loghat kolokial Kedah sebagai ‘Tobat Tak Kaya’. Menjadi tanggungjawab LZNK untuk mengeluar petani dari kemiskinan.


Salah satu tanah LZNK di Kampung Chepir, Sik, Kedah yang menyertai Program SMART Sawah Berskala Besar Asnaf. Foto: -FB Naim Omar

 


 Ini dapat dilihat dari analogi jika petani mengusahakan 5 relung sawah dengan kos sebanyak rm1000 serelung dan pendapatan RM2000 serelung. Pendapatan RM10,000 tolak kos RM5,000, lebihan dari jualan padi adalah RM5000. Tempoh mengusaha sawah adalah 5 bulan menjadikan pendapatan petani adalah RM1,000 sebulan. Bagi keluarga terdiri dari ibu, bapa dan 2 orang anak, RM1,000 untuk dibelanjakan sebulan sangatlah tidak mencukupi. Apatah lagi jika keluarga mempunyai 3 orang ke atas dan menyara anak di kolej dan pengajian tinggi. 

Cari Lebih Tanah Untuk Menempatkan Lebih Asnaf 

Tanah sawah milik LZNK adalah seluas 700 relung, bermakna untuk mendapat saiz yang ekonomik bagi tiap peserta hanya 70 peserta dapat ditempatkan. Keduduk tanah adalah bertaburan dalam banyak tempat. Setiap tempat dapat menempatkan 10 ke 12 peserta sahaja. Lebih banyak tanah perlu dicari bagi menempatkan lebih ramai asnaf. LZNK telah membuat pemetaan taburan asnaf di sekitar sesuatu kawasan. Aktiviti berpusat di masjid dengan imam masjid menjadi pemudahcara. Sebagai orang tempatan, imam lebih mengenali siapa yang lebih layak dan mampu mengusahakan sawah. 

Peserta akan menjalankan projek atas tapak selama semusim dan akan disambung ke musim berikutnya jika pihak pengurusan berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan dan mendapat hasil yang setimpal dengan pelaburan. 

Tidak Mengenakan Sebarang Sewa 

Hasil jualan padi akan ditolak sepenuhnya jumlah kos input pertanian dan penyediaan tanah. Peserta mendapat sepenuhnya lebihan hasil. Oleh kerana LZNK tidak mengenakan sebarang sewa atas tapak projek, peserta dapat berjimat sekitar RM1000 serelung atau antara RM8000 hingga RM10,000 seorang semusim atau RM16,000 hingga RM20,000 setahun. Ditambah dengan keuntungan dari hasil padi sebanyak RM1,000 serelung atau RM8,000 ke RM10,000 semusim, peserta berpotensi mendapat pendapatan tahunan sebanyak RM32,000 hingga RM40,000 seorang. Jika pendapatan begini berterusan peserta asnaf dapat keluar dari garis kemiskinan dan dapat berzakat bagi membantu asnaf yang lain. 


Peserta-peserta menuai padi SBBA bagi daerah Yan musim 1/2023. -Foto: FB Jamaly Juwardy Bin Jaafar

 


Untuk menceburi industri padi, LZNK telah melabur dalam pembelian trektor, mesin padi, lori dan dron. -Foto: FB Jamaly Juwardy Bin Jaafar

 

Berharap Mempunyai Kilang Mengisar Padi Sendiri 

LZNK sedang berusaha untuk membeli kilang mengisar padi bagi mengurangkan kebergantungan kepada kilang swasta dan dapat membantu petani dalam isu potongan peratus kelembaban yang tiada kawalan. 

LZNK berharap dapat melengkapkan kitaran bisnes industri padi dalam sedikit masa lagi dengan memiliki sepenuhnya sebuah kilang mengisar padi setelah sekian lama memiliki trektor, lori, dron dan jentera menuai. Hasil padi yang ditanam oleh asnaf akan dituai dan dikisar di kilang milik LZNK sendiri. Hasil beras yang diperolehi akan diedarkan secara percuma kepada 16,000 keluarga asnaf di seluruh Kedah, merealisasikan tagline Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) yang diterajui oleh LZNK iaitu “Dari Asnaf Kepada Asnaf”


YAB. Menteri Besar Kedah Dato' Seri Sanusi Md Noor (kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Menuai Padi Benih Smart SBBA LZNK Musim 2/2023. - Foto: FB LZNK 

 



Zakaria Othman (tiga dari kanan) dan Tengku Sarafudin Badlishah (empat dari kanan) pada Majlis Pelepasan Konvoi Bantuan Banjir LZNK di Stadium Darul Amam, Alor Setar, Kedah pada 27 Disember 2022. - Foto: LZNK

 

Majalah Agrimag berkesempatan menemubual beberapa orang peserta projek dan penduduk setempat:



1.     En. NAsron bin Abd Halim, Kampung Hutan Putus, Telok Chengai, Kuala Kedah, Kedah

En. Nasron telah menyertai projek SSBB dengan LZNK sejak 4 musim yang lalu. Ketika ditemubual di sawah padinya bagi musim terkini sedang menunggu hari untuk dituai. Dianggarkan dapat dituai pada hujung bulan. Keadaan hasil dijangka akan tinggi setelah kecewa dengan prestasi musim lalu akibat dari keadaan cuaca yang ekstrem, serangan ulat putih dan ancaman siput gondang emas. 

Sejak dari zaman ibubapanya dulu mereka mengusahakan tanah Lembaga Zakat dengan kaedah sewa. Beliau bersyukur kerana dipilih menjadi peserta SSBB dan berasa lebih selamat bernaung di bawah ‘tauke’ yang prihatin dan kukuh. 

En. Nasron berharap akan dipilih lagi di masa akan datang. 

2.     En. Ahmad bin Chat, Kampung Hutan Putus, Telok Chengai, Kuala Kedah, Kedah

En. Ahmad baru meyertai SSBB pada musim ini. Beliau bersyukur dapat bekalan benih padi yang berkualiti secara kredit dari LZNK. Input lain dibekalkan oleh MADA secara percuma di bawah skim bantuan kerajaan.


3.     En. Musa bin Harun, Kampung Tengah, Telok Chengai, Kuala Kedah, Kedah

En. Musa tidak dipilih untuk menyertai SSBB walaupun tapak projek berada di sekitar rumah beliau. Anak-anaknya telah bekerja dan dapat membantu beliau dari sudut ekonomi. Sejak dari zaman datuknya lagi mereka menyewa sawah milik LZNK. Beliau difahamkan pihak lembaga tidak menyewa lagi kerana terdapat penyewa LZNK menyewa semula sawah mereka kepada pihak ketiga. 

Beliau berasa gembira kerana golongan asnaf diberi peluang untuk bertani di situ. 

Di samping itu, En. Musa berasa bimbang dengan kenaikan harga beras. Beliau khuatir apabila beras tempatan sukar diperolehi tetapi beras import banyak dipasaran. Sebagai bekas pekerja sebuah kilang pengisar padi berdekatan beliau sangsi dengan situasi semasa. Oleh kerana beras tempatan seakan sama dengan beras import, berkemungkinan pembungkus beras mencampur beras tempatan dengan beras import dan dijual sebagai beras import adalah besar. Dulu perkara ini tidak berlaku kerana beras tempatan jauh lebih pendek. 


 





 


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag