July 22 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Fenomena kemarau teruk dan banjir besar (El Nino dan La Nina) mengancam seluruh pelosok dunia. Kesannya ialah tanaman makanan memberi hasil rendah, mewujudkan kebimbangan bagi keterjaminan makanan bagi penduduk dunia yang semakin meningkat saban tahun. Ibarat menyapu garam pada luka, perang Ukraine-Rusia memusnahkan kawasan pengeluar terbesar gandum dunia.
Negara-negara pengeluar beras seperti India, Vietnam dan China mula berkira-kira untuk mencatu eksport beras bagi menjamin rakyat mereka mendapat bekalan yang mencukupi jika situasi bertambah buruk. Ini berikutan pengeluaran beras dalam negara mereka sendiri terjejas dari fenomena El Nino dan La Nina.
Fenomena El Nino ialah situasi kekurangan air yang ekstrem sehingga menjejaskan kehidupan harian masyarakat luar dari kebiasaannya. Kesan kemarau bergantung kepada betapa getirnya kejadian kemarau yang diukur dengan jumlah defisit air dan tempoh masa defisit berkenaan. Defisit yang besar dan tempoh yang lama menunjukkan betapa buruknya kejadian kemarau berkenaan.
Pemanasan global memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat petani dan alam sekitar. Antaranya ialah:
1. Bekalan Air Untuk Pertanian
Air merupakan blok binaan bagi aktiviti pertanian. Tanpa air tiadalah aktiviti bertani, menternak dan perikanan. Berubahnya corak taburan hujan menyebabkan berlakunya banjir dan kemarau yang teruk silih berganti. Ini menggangu corak bekalan air kepada aktiviti pertanian. Kehidupan menjadi bertambah sukar dan bimbang apabila banyak masa terpaksa dihabiskan untuk mengairi tanaman ataupun menghadapi masalah banjir yang merosakan tanaman. Kualiti hidup petani terjejas dengan kebimbangan, tekanan emosi dan perasaan kecewa.
2. Peningkatan Paras Laut Memusnahkan Sawah
Kenaikan paras laut akibat dari pencairan ais di kedua khutub menyebabkan sawah, ladang dan penempatan di tepi pantai tenggelam. Air laut yang menceroboh masuk ke kawasan tanaman padi misalnya, menyebabkan kawasan berkenaan tidak sesuai lagi ditanam padi atau memberi hasil rendah. Ini mengecilkan kawasan pengeluaran makanan dan memburukkan lagi isu keterjaminan makanan.
Varieti baru yang tahan saliniti perlu dicari atau infrastruktur baru untuk menghalang air laut dari masuk perlu dibina. Ini mengambil masa yang lama selain terpaksa berbelanja besar. Peruntukan kerajaan bagi pembinaan infrastruktur lain dan pembangunan masyarakat terpaksa dikorbankan untuk tujuan yang tidak pernah dirancang ini. Sedikit kesan garam sahaja boleh menjatuhkan hasil lebih dari separuh. Petani menjadi semakin miskin dan tidak tahu apa lagi aktiviti pertanian yang boleh dilakukan untuk menampung hidup.
Masalah kenaikan paras laut sangat serius sehingga bandar-bandar terpaksa diubah ke tempat yang lebih tinggi. Indonesia misalnya mengambil tindakan proaktif dengan mengubah pusat pentadbirannya ke Kalimantan dalam antisipasi Pulau Jawa akan menghadapi masalah peningkatan paras laut yang bakal menyebabkan banjir besar berkali-kali dalam setahun. Begitu juga dengan kotaraya Bangkok di Thailand.
3. Perubahan Ekosistem Mengganggu Aktiviti Perikanan
Perubahan suhu dan taburan hujan yang lari dari kebiasaannya mengganggu ekosistem yang telah lama wujud. Spesis tumbuhan dan haiwan yang tidak tahan kepada cuaca ekstrem mungkin tidak dapat bertahan dan mungkin pupus buat selamalamanya. Kehilangan biodiversiti unik ini merugikan manusia sejagat kerana di sana mungkin tersimpannya rahsia penawar dan ubat bagi penyakit yang masih belum ditemui. Peningkatan suhu air laut menjadikan air laut lebih berasid dan membunuh terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan tempat berlindung ikan. Kejadian ‘bleaching” kesan dari keasidan air laut menjadikan batu karang bertukar menjadi putih dan mati dalam keluasan yang luas. Apabila makanan semula jadi ikan berkurang, hasil tangkapan pun menurun.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan Hussain pernah berkata, fenomema El Nino yang melampau boleh menjejaskan industri akuakultur kerana suhu tinggi boleh menyebabkan ikan mati. Ikan air tawar yang diternak di dalam sangkar seperti tilapia merah dan patin sangat terdedah kepada bahaya ini. Untuk penangkapan ikan di laut lepas, spesis yang terjejas adalah spesies ikan pelagik termasuk ikan tuna yang berhijrah ke kawasan lebih sejuk kerana lari dari laut tempatan yang lebih panas.
4. Kejadian Cuaca Ekstrem Merosakan Tanaman
Pemanasan global menjadi punca kekerapan dan intensiti tinggi perubahan cuaca. Pergerakan angin dari kawasan sejuk ke kawasan panas memulakan cuaca buruk skala besar seperti taufan, siklon, pembakaran hutan tidak mampu kawal, hujan lebat dan hujan batu yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Aktiviti pertanian sangat terkesan. Apabila angin kuat struktur seperti rumah pelindung hujan akan musnah dengan sekelip mata, begitu juga dengan tanaman di bawahnya. Di Cameron Highland, Pahang masalah ini mengancam petani florikultur dan mengganggu eksport bunga-bungaan ke pasaran antarabangsa.
5. Hasil Pertanian Jatuh Menggugat Keterjaminan Makanan
Perubahan cuaca dan corak taburan hujan yang berubah-ubah mengganggu jadual penanaman dan operasi ladang. Kemarau panjang mengakibatkan punca air yang membekal air bagi projek pertanian seperti empangan, tasik dan kolam menjadi kering berpunca kadar sejatan yang tinggi tetapi tiada hujan untuk menggantikannya. Empangan besar seperti Empangan Muda di Kedah yang membekal air kepada kawasan jelapang padi MADA turut terjejas apabila air tidak dapat disalirkan tepat pada masa yang diperlukan petani. Akibatnya hasil padi menurun. Menurut Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, hasil padi menghadapi kehilangan hampir 7% pada tahun 1980 hingga 1999, paling teruk dalam sejarah negara berikutan fenomena El Nino.
Suhu melebihi 34°C akan memberi kesan pada jadual penanaman padi akibat dari sistem pengairan yang tidak dapat membekal air secara serentak. Oleh kerana kawasan yang luas, pelepasan air terpaksa dibuat secara berperingkat, ini menyebabkan kawasan yang lewat mendapat bekalan air akan lewat menanam. Penanaman lewat musim akan memberi masalah sampingan seperti kawalan penyakit dan serangga.
Berikutan cuaca panas, kering dan kuantiti hujan berkurang, sektor tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran turut terjejas. Menurut Mohamad Zabawi, tanaman sayur-sayuran dijangka terkesan sekitar 30-50% sekiranya fenomena ini berterusan. Sayuran jenis berbuah lebih terjejas berbanding sayuran berdaun kerana lebih lama berada di ladang dan melibatkan pendebungaan dan air yang banyak untuk membentuk buah.
6. Peruntukan Kerajaan Beralih Kepada Pembaikan Infrastruktur
Apabila berlakunya bencana alam dan kerosakan infrastruktur, kerajaan terpaksa mengalih peruntukan petani kepada pembaikan. Petani yang selama ini bergantung kepada bantuan kerajaan bagi menampung kenaikan harga input pertanian terpaksa berbelanja sendiri. Dengan jatuhnya hasil tetapi kos pengeluaran meningkat, pendapatan petani mengecil sehingga menghadapi risiko gulung tikar.
Kos pelan mitigasi kesan pemanasan global sangatlah besar, mengganggu perkembangan industri pertanian, infrastruktur dan ekonomi dunia. Gangguan ke atas rantaian bekalan kerana berlakunya bencana memberi kesan buruk kepada perdagangan komoditi pertanian dan kestabilan ekonomi negara.
Mengatasi masalah pemanasan global dan perubahan cuaca dunia memerlukan tindakan kolektif di peringkat tempatan, nasional dan global. Semua ahli masyarakat harus terlibat dalam membendung pembebasan gas rumah hijau, beradaptasi kepada masalah perubahan iklim dan membina komuniti yang tabah dan ekosistem yang kuat. Dengan mengambil beberapa tindakan yang proaktif bagi mengatasi perubahan iklim, kita boleh mengurangkan kesan negatif kepada kesihatan manusia, ekosistem dan alam sekitar.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.