October 02 2026

Baiduri Agrofarm Bina Empayar Sayur Ketika PKP

Baiduri Agrofarm Bina Empayar Sayur Ketika PKP - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Dalam bidang pertanian moden, sistem fertigasi bukan lagi sekadar pilihan alternatif, malah menjadi pemangkin utama kepada kejayaan usahawan tani di luar bandar.

Bagi Jefryzalman Mat, 50 tahun, teknologi ini menjadi titik noktah kepada kesempitan hidup dan permulaan kepada 'empayar hijau' yang megah berdiri di Kampung Pulau Mangsok.

Segalanya bermula ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2020. Saat ramai yang hilang punca pendapatan, Jefryzalman yang sebelum itu mengusahakan kedai makan mengambil keputusan yang nekad untuk beralih arah ke bidang pertanian. 


Pemilik Baiduri Agrofarm, Jefryzalman Mat sentiasa memeriksaan tahap kesegaran sayur-sayuran diusahakan di ladang seluas 15 ekar yang terletak di Kampung Batu Embun, dekat Jerantut sejak hampir enam tahun lalu.

 


Keberanian Bermula Dari Krisis

"Waktu PKP itu memang mencabar. Saya fikir, jika tidak mencuba sesuatu yang baharu, sukar untuk saya meneruskan kelangsungan hidup," jelas anak jati Kampung Batu Embun ini. 

Langkah berani itu dimulakan dengan menyewa tanah seluas lapan ekar dan kini, berkat kegigihan, keluasan ladangnya mencecah 15 ekar. Ladang tersebut terletak kira-kira enam kilometer dari kediamannya. 

Sesiapa sahaja yang berkunjung pasti terpukau melihat landskap ladang yang tersusun rapi dengan sayur-sayuran segar bergantungan di atas para. 

Tanaman jenis menjalar seperti peria katak antara yang diusahakan Jefryzalman dan mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

 

Rock Melon Musnah Diserang Penyakit 

Namun, jalan menuju kejayaan tidak selalunya landai. Pada peringkat awal, beliau mencuba nasib dengan tanaman cili besar varieti Kulai dan rock melon. Malangnya, projek rock melon itu musnah akibat serangan penyakit, yang mengakibatkan kerugian besar. 

Enggan mengalah, Jefryzalman mula mencari pendekatan yang lebih sistematik. Beliau mendalami ilmu sistem fertigasi melalui perkongsian rakan-rakan dan rujukan di internet. 

Dengan menanam menggunakan teknik fertigasi, nutrien dan air disalurkan secara tepat melalui sistem titisan, sekali gus mengoptimumkan pertumbuhan pokok dan mengurangkan pembaziran.

Teknik fertigasi digunakan Baiduri Agrofarm menjadi penyelamat kepada Jefryzalman semasa negara dilanda COVID-19 dan berhasil membantunya meraih pendapatan memuaskan.

 


Baiduri Agrofarm menempatkan pelbagai sayur menjalar seperti timun, timun tua, petola dan labu air.

 


Fertigasi Jadikan Ladang Lebih Sistematik 

Di bawah jenama Baiduri Agrofarm, beliau menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tanaman sayur menjalar seperti timun, timun tua, peria dan peria katak, selain petola dan labu air. 

"Berbeza dengan penanaman secara kaedah tradisional, fertigasi tidak bergantung sepenuhnya kepada tanah. Ini mengurangkan risiko penyakit bawaan tanah, tiada masalah rumpai, dan ladang menjadi lebih bersih serta mudah diuruskan melalui sistem pengairan automatik," jelasnya. 

Hasil titik peluhnya kini membuahkan pulangan yang luar biasa. Setiap tiga hari, beliau mampu menghantar kira-kira 30 tan sayur-sayuran ke pusat pemborong di Kuala Lumpur dengan menggunakan dua buah lori miliknya sendiri. 


Jefryzalman Mat kini boleh berbangga dengan pencapaian Baiduri Agrofarm yang bukan sahaja menjadi tempat persinggahan pemborong sayur-sayuran, tapi turut menarik perhatian pelancong.

 


Kejayaan Dikongsi Bersama Komuniti

Bukan sekadar mengejar keuntungan peribadi, Jefryzalman kini menggaji 12 orang pekerja tempatan, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi komuniti di Jerantut. Beliau juga aktif membimbing petani muda yang ingin berjinak-jinak dalam dunia agropreneur. 

Walaupun sistem fertigasi memerlukan modal permulaan yang tinggi, beliau menyifatkannya sebagai pelaburan jangka panjang yang sangat berbaloi. Kualiti hasil yang konsisten memastikan pulangan modal dapat dicapai dalam tempoh yang munasabah. 

"Kalau ada minat, jangan takut untuk bermula. Saya juga bermula dari kosong. Dalam era pertanian moden, mereka yang berani mencuba dan sanggup belajar akan pergi lebih jauh," pesannya.


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag