May 27 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid / Wizilla
Industri koko di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada perkembangan sektor pertanian dan komoditi negara. Usaha berterusan telah diambil untuk meningkatkan hasil tanaman koko di ladang dan memperbaiki kualiti biji koko selepas diproses. Ini termasuk aspek penyelidikan yang dijalankan oleh pelbagai pihak seperti Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan universiti tempatan dengan matlamat memperbaiki hasil tanaman koko serta mengatasi cabaran yang dihadapi oleh para petani koko di Malaysia.
Beberapa varieti koko seperto MCB 1 hingga MCB 15 telah dikenal pasti sebagai klon-klon unggul yang dihasilkan melalui penyelidikan LKM. Varieti ini dipilih kerana daya tahan yang lebih tinggi terhadap penyakit serta kemampuan menghasilkan buah yang lebih banyak dan berkualiti. Selain itu, klon-klon koko yang dihasilkan turut mempunyai profil rasa yang lebih baik, yang dapat meningkatkan daya saing koko Malaysia di pasaran antarabangsa.
Menurut LKM, kini terdapat sekurang-kurangnya 52 varieti klon koko yang telah digunakan secara komersial. Penyelidikan bertujuan untuk menghasilkan pokok koko yang tahan terhadap pelbagai penyakit dan mampu beradaptasi dengan perubahan iklim seperti musim kemarau dan hujan lebat. Sebagai contoh, klon-klon koko yang dihasilkan melalui penyelidikan LKM kini lebih tahan terhadap penyakit seperti penyakit buah hitam (black pod disease) dan cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
Penyelidikan LKM semakin berkembang dengan bantuan dan sokongan berterusan daripada kerajaan yang menitikberatkan kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Ramle Haji Kasin, banyak organisasi swasta dan bukan kerajaan terlibat dalam penyelidikan tanaman dan pemprosesan koko pada zaman kegemilangan koko suatu masa dulu. Namun, penurunan harga koko dan peralihan kepada tanaman lain terutamanya kelapa sawit dan durian telah menyebabkan aktiviti penyelidikan koko berkurangan. Lembaga Koko Malaysia terus menjadi tonggak utama dalam penyelidikan dan inovasi dalam industri koko di Malaysia.
Cabaran Penyakit dan Penyelesaian Inovatif
Beberapa penyakit utama yang mengancam hasil pengeluaran koko di Malaysia telah dikenal pasti. Salah satunya adalah penyakit buah hitam yang disebabkan oleh kulat patogen Phytophthora palmivora. Penyakit ini sangat aktif dalam keadaan lembap dan suhu tinggi terutamanya semasa musim hujan. Kerosakan yang disebabkan oleh penyakit ini boleh mengurangkan hasil tanaman sehingga 60% jika tidak dikawal dengan baik.
Untuk mengatasi masalah ini, LKM telah menjalankan kajian menggunakan biopestisida atau kawalan biologi yang terdiri daripada mikrob sebagai alternatif kepada racun kimia. Selain itu, kajian mengenai kawalan biologi menggunakan serangga bermanfaat seperti semut hitam juga turut dijalankan untuk mengawal perosak seperti pengorek buah (pod borer) koko. Teknik ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada racun kimia dan membantu meningkatkan kualiti serta keselamatan produk koko.
Adaptasi terhadap Perubahan Iklim
Salah satu inovasi terbaru yang diterapkan adalah penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) untuk meramal keperluan pembajaan dan kawalan penyakit dan perosak. Ini membantu para petani untuk menguruskan kebun dengan lebih cekap dan penggunaan input pertanian yang lebih tepat. Menurut Datuk Dr. Ramle, LKM kini adalah pada tahap transisi di mana para petani akan menerima latihan daripada para penyelidik di LKM sebelum menggunakan teknologi ini sepenuhnya.
Rangkaian Penyelidikan dan Kerjasama Strategik
Terdapat tujuh pusat penyelidikan di bawah LKM yang terletak di beberapa negeri di seluruh Malaysia. Setiap pusat penyelidikan ini memfokus pada bidang tertentu termasuk penghasilan germplasma di Bagan Datuk, Perak dan kajian penyakit serta perosak di Jengka, Pahang. Penyelidikan ini dijalankan dengan kerjasama rapat antara penyelidik LKM dan para petani untuk memastikan penemuan dan teknologi yang dihasilkan dapat diaplikasikan secara praktikal di peringkat ladang.
Usaha meningkatkan penyelidikan dan pembangunan industri koko tidak terhad di peringkat dalam negara sahaja. LKM turut aktif menjalinkan kerjasama dengan negara-negara lain seperti Indonesia dan negara-negara Eropah. Kolaborasi dengan pelbagai institusi penyelidikan antarabangsa seperti Universiti Ghent (Cacaolab) Belgium dan Universiti Reading juga dijalinkan untuk memastikan industri koko Malaysia mendapat perkembangan maklumat dan teknologi global.
Di peringkat tempatan, LKM telah bekerjasama dengan agensi kerajaan, universiti dan sektor swasta untuk memperkukuh ekosistem koko Malaysia. Salah satu inisiatif utama adalah kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk meningkatkan penggunaan teknologi satelit dalam pemantauan kawasan tanaman koko. Sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara kedua-dua pihak dan kerjasama ini bertujuan mempermudah perancangan, pengurusan dan pemantauan aktiviti tanaman koko di Malaysia.
Masa Depan Industri Koko Malaysia
Usaha berterusan yang dilakukan oleh LKM dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian menunjukkan komitmen padu untuk memajukan industri koko Malaysia. Melalui penerapan teknologi terkini, kolaborasi dengan negara-negara luar serta fokus pada pemeliharaan alam sekitar, LKM terus memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian industri koko di Malaysia.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.