October 10 2024

Penternakan Ayam Petelur dan Inspirasi Belia di Sarawak

Penternakan Ayam Petelur dan Inspirasi Belia di Sarawak - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Aktiviti penternakan ayam terbahagi kepada pelbagai jenis mengikut keperluan konsumsi dan juga pasaran. Bagi tiga sahabat iaitu Encik Patrick, Encik Raymond dan Encik Rico yang berasal dari Ulu Sebauh, Bintulu, Sarawak, idea untuk menternak ayam petelur tercetus apabila ingin mendapatkan bekalan telur ayam bagi kegunaan seisi keluarga ketika kekurangan bekalan telur ayam semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terdahulu.

Pada awal tahun 2023, mereka bermula dengan bermodalkan inisiatif sendiri dan modal permulaan sebanyak RM5000, perusahaan tiga sahabat ini telah diwujudkan dan dikenali sebagai GoGrow Venture. Aktiviti penternakan ayam petelur ini bermula dengan 20 ekor bibit ayam petelur (DOC) berusia dalam 1 hingga 7 hari yang dibeli dari pembekal tempatan, dan reban sebesar 8 kaki yang menampung 50 ekor ayam petelur jenis Lohman Brown. Baka ayam ini dipilih kerana pengeluaran telur yang tinggi dan konsisten. 

Bibit ayam dijaga secara rapi dan diletakkan di brooder bersama dengan lampu pijar selama 6 minggu dan diberikan makanan baja starter sehingga bulu pelepahnya tumbuh. Selepas itu, bibit ayam dipindahkan ke reban pada usia 7 hingga 13 minggu dan diberikan makanan baja grower. Ayam petelur pada usia 18 hingga 22 minggu yang sedia untuk bertelur akan dipindahkan ke sistem sangkar ayam berlapis dan diberikan makanan baja layer sehingga ayam tersebut pencen. 

Sistem sangkar ayam berlapis merupakan sistem penternakan intensif dan amat sesuai untuk ternakan ayam petelur. Reka bentuk sistem sangkar ini diperbuat daripada dawai dan bertingkat, memudahkan pengumpulan hasil telur. 


Di antara ayam petelur yang ada di GoGrow Venture sebelum dipindahkan ke dalam reban yang berbumbung.

 


Kini, mereka mempunyai reban sebesar 16 kaki dan menampung 250 ekor ayam petelur. Hasil dari pembelajaran melalui sosial media seperti TikTok dan Facebook serta penyertaan pelbagai kursus, mereka telah mengubah suai reban ayam mengikut bajet sendiri sehingga ke tahap membina reban mampu milik. 

Menurut Encik Raymond, pada mulanya ternakan ayam petelur ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka tidak mempunyai latar belakang dan pengetahuan mengenai ternakan ini. Banyak percubaan dan kesilapan telah mereka hadapi sebelum mereka berjaya mengutip hasil telur ayam. 

Operasi Harian dan Penjagaan

GoGrow Venture diuruskan sepenuhnya oleh tiga sahabat ini tanpa tenaga kerja lain. Pembahagian masa adalah sangat penting dalam ternakan ayam petelur kerana pengutipan hasil telur dilakukan pada awal pagi. Selain itu, aktiviti pembersihan turut dijalankan dengan kerap untuk memastikan ayam petelur berada dalam persekitaran yang bersih dan selesa dan mengelakan stres kepada ternakan. Produksi hasil telur dari 250 ekor ayam petelur di GoGrow Venture mampu mencapai 120-210 biji telur sehari. 


Penjagaan anak ayam petelur F1 pada peringkat awal yang memerlukan pemerhatian rapi dan penggunaan lampu pijar untuk mengekalkan suhu persekitaran.

 


Pemerhatian khusus turut diperlukan untuk menjaga kesihatan ayam petelur. Menurut Encik Rico, ayam yang kurang sihat dapat dikenalpasti jika ayam kurang makan. Selain itu, keadaan fizikal ayam turut memberi tanda kepada tahap kesihatan, terutamanya ayam yang mempunyai luka luaran. Ayam petelur yang kurang sihat akan diasingkan untuk mengelakkan daripada jangkitan. 

Pengurusan ayam pencen juga perlu diambil kira. Bagi GoGrow Venture, mereka menguruskan ayam pencen dengan menjualnya di pasar Bintulu. Ini adalah kerana ayam pencen turut mendapat pasaran yang baik di Sarawak. 

Menurut Encik Patrick, pihak mereka juga mendapat tawaran untuk menjual ayam pencen secara borong oleh perusahaan di sekitar Bandar Bintulu. Akan tetapi, mereka masih belum membuka pasaran yang besar dalam penjualan ayam pencen dan sedang fokus kepada penjagaan ayam petelur dan penghasilan telur yang berkualiti. 


Perkongsian ilmu dan penerangan oleh Encik Raymond kepada individu-individu yang berminat untuk belajar mengenai ternakan ayan petelur.

 


Peningkatkan harga baja makanan ayam merupakan salah satu cabaran di GoGrow Venture dan ini telah memberi inspirasi kepada tiga sahabat ini untuk membuat penyelidikan mengenai potensi makanan gantian dalam matlamat untuk mengurangkan kos makanan tanpa menganggu kualiti telur.

 


Jualan Telur

Terdapat 5 jenis gred telur keluaran GoGrow Venture. Gred AA adalah telur yang beratnya bermula dari 71 gram ke atas dan pernah mencapai berat sehingga 100 gram. Akan tetapi menurut Encik Patrick, telur gred AA bukanlah sasaran utama GoGrow Venture kerana penghasilan telur gred ini adalah tidak konsisten dan mampu mencederakan ayam petelur kerana saiznya yang besar. Telur gred A (60-70 gram), gred B (60-64.9 gram), gred C (55-59.9 gram) dan gred D (54.9 gram) adalah gred utama yang dikeluarkan oleh GoGrow Venture. 

Pasaran utama penjualan telur ayam dari GoGrow Venture pada masa kini adalah tertumpu kepada pekedai-pekedai kecil, penjual burger dan para penduduk serta jiran-jiran di kawasan Ulu Sebauh dan Bintulu, iaitu kawasan asal tiga sahabat ini. Tambahan, Encik Rico turut berkongsi bahawa mereka mendapat permintaan yang tinggi untuk bekalan telur kerana telur dari GoGrow Venture telah dikenali sebagai telur segar dan bermutu tinggi oleh para pengguna mereka. Mereka memasarkan telur ayam segar keluaran perusahaan ini melalui pelbagai saluran termasuklah Facebook, Whatsapp dan perkongsian dari para pengguna. 


Gred telur hasil keluaran GoGrow Venture. Ianya dibezakan mengikut saiz telur dan kualitinya adalah dijamin segar.

 


Untuk harga jualan, GoGrow Venture menjual telur segar dengan harga 57 sen sebiji dan mendapat penerimaan yang positif dari para pengguna kerana kualitinya adalah terjamin. Tambahan, untuk mendapatkan keyakinan dari pengguna, GoGrow Venture memberikan jaminan kualiti telur yang tinggi dan akan mengantikan telur ayam yang baru sekiranya menerima aduan kualiti telur yang kurang baik dari para pengguna. 

Rancangan dan Cabaran Masa Depan

GoGrow Venture kini mempunyai rancangan untuk mengembangkan saiz ternakan mereka kepada 1000 ekor ayam petelur pada hujung tahun ini dengan harapan untuk meningkatkan penghasilan telur segar dan memenuhi permintaan pasaran. 

Beberapa cabaran telah dikongsikan oleh Encik Raymond dan Encik Patrick dalam aktiviti penternakan ayam petelur di GoGrow Venture. Ini termasuklah peningkatan kos operasi dan kos makanan baja yang kian meningkat. Kini, mereka dalam usaha membuat penyelidikan sendiri untuk mengurangkan kos makanan baja tanpa mempengaruhi penghasilan dan kualiti telur segar yang dikeluarkan oleh ayam petelur. 


Cara penggredan telur ayam di GoGrow Venture adalah melalui berat telur.

 


Selain itu, faktor cuaca juga menjadi cabaran yang di luar kawalan mereka. Sebagai contoh, ayam menjadi sensitif kepada penyakit dan boleh menyebabkan ayam kurang makan. Bagi kebersihan dan pengurusan najis ayam, ayam memerlukan penjagaan rapi dan tenaga kerja yang berterusan. 

Oleh kerana GoGrow Venture kini hanya diuruskan oleh tiga sahabat ini, mereka membanting tulang untuk menguruskan kebersihan reban ternakan. Selain itu, mereka menggunakan sistem tangki septik untuk mengumpulkan sisa kotoran dan najis dari ternakan ayam petelur dan ini telah membantu pengurangan bau di keadaan sekeliling. 

Dalam isu penurun atau kenaikkan harga telur, tiga sahabat ini mengambil situasi ini secara positif dan akan tetap mengekalkan harga telur ayam keluaran GoGrow Venture secara konsisten selagi hasil pengeluaran mampu menampung segala kos dan memberikan keuntungan kepada mereka. 

Bagi GoGrow Venture, mereka menggalakan orang ramai terutamanya para belia untuk menceburi bidang ternakan ayam petelur kerana Sarawak mempunyai pasaran yang tinggi dan memerlukan bekalan telur segar sepanjang masa. 


Bekalan telur ayam segar keluaran GoGrow Venture yang bakal memasuki pasaran tempatan di kawasan Ulu Sebauh dan Bandar Bintulu.

 



Hasil kutipan telur sebelum ianya dibersihkan dan diasingkan mengikut gred yang telah ditetapkan.

 


Tiga sahabat ini turut menyatakan bahawa mereka mendapat permintaan untuk membimbing individu- individu yang berminat dalam ternakan ayam petelur dan mereka turut memberikan khidmat perunding kepada sesiapa yang ingin memulakan ternakan ini dan membimbing individu yang berminat dari awal ternakan ayam petelur sehinggalah ke penghasilan telur ayam segar. 

Pada akhirnya, tiga sahabat ini berpendapat bahawa penternakan ayam petelur mempunyai pontensi yang luas untuk dikembangkan terutamanya di pasaran Sarawak.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag