August 14 2024

Padi Huma Praktikal Mengatasi EI Nino

Padi Huma Praktikal Mengatasi EI Nino - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Padi (Oryza sativa) telah menjadi tanaman makanan manusia sejak 13,000 tahun dahulu. Padi dipercayai berasal dari China, dibuktikan dengan penemuan arkeologi di bahagian tengah dan bawah Lembangan Sungai Yangtze. Kini padi menjadi makanan ruji bagi separuh dari penduduk dunia terutama di Asia dan Afrika. Padi atau beras dikonsumsi paling tinggi di China, Indonesia dan India. Hanya 8% beras di dunia didagangkan, kebanyakan hasil padi sesuatu negara hanya digunakan dalam negara berkenaan. Padi ditanam dengan luas kerana terdapat banyak kawasan sesuai untuk ditanam padi dari kawasan bukit hinggalah ke kawasan paya berair.

Di Malaysia, menanam padi sawah atau padi baruh (semi-aquatic rice) hanya menjadi amalan dalam tamadun lama sekitar abad ke-10 di Lembangan Sungai Muda dan Sungai Merbuk. Dipercayai teknik tanaman padi air secara sawah dipelajari oleh penduduk tempatan dari orang Siam, kesan dari perdagangan dan migrasi penduduk. 

Benih asal padi akuatik juga dipercayai dibawa masuk dari sana dan asal usulnya berpunca dari China. Benih yang ditanam sehingga kemasukan padi hibrid ialah benih yang dipilih dari tanaman yang memberi prestasi terbaik di sesuatu kawasan dan disimpan dari tuaian sebelumnya. 

Oleh kerana benih padi yang pada zaman itu lambat matang dan pengairan hanya bergantung pada hujan (rain feed), padi hanya ditanam semusim setahun. Hasil varieti tradisional juga rendah berpunca dari benih yang tidak dibuat pemilihan baka dan bergantung kepada penggunaan baja gunung/tahi kelawar (guano) yang diangkut dari gua-gua batu kapur. Kandungan najis dan kencing kelawar yang terkumpul bertahun-tahun dan batu kapur di dalam gua menjadi baja semula jadi yang menyuburkan tanaman dan dapat menstabilkan pH tanah. 


Ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. FB: Muhamad Puad Moktar

 

Sebelum kaedah menanam padi sawah dipraktikkan, penduduk asal Tanah Melayu pada zaman dahulu dipercayai hanya tahu menanam padi bukit yang dipanggil huma. Kawasan hutan diterangi untuk tanaman padi bukit secara berderau melibatkan 15 - 35 keluarga dari sesebuah kampung. Mereka menebas, menebang dan membakar (slash and burn) tanah hutan untuk dijadikan ladang. Hasil pembakaran berupa arang dan abu bersama humus dari hutan dara yang terkumpul berabad-abad lamanya membuatkan tanah menjadi subur. 

Padi Huma Bukan Kaedah Baru

Mereka menanam padi tradisional yang lambat matang (kira-kira 7 bulan) di samping tanaman lain seperti labu, timun huma, ubi kayu, jagung dan sayuran seperti maman, bayam dan jambak. Mereka juga meninggalkan biji benih buahbuahan seperti durian, petai, cempedak yang mereka makan di pinggiran tunggul besar dan longgokan kayu bakar di dalam huma. 

Biji-biji ini bercambah dan tumbuh secara alami dan berbuah 8 - 10 tahun kemudian. Hasil buah-buahan ini akan dapat dinikmati pada pusingan huma yang berikutnya di tempat yang sama, kira-kira 10 tahun akan datang. 

Apabila tanah tidak lagi subur, mereka akan berpindah lagi ke suatu kawasan baru, biasanya tidak jauh dari kawasan sebelum ini. Situasi ini hampir sama dengan praktis yang masih diamalkan oleh masyarakat orang asli di Semenanjung dan etnik asal di Sabah dan Sarawak. 

Krisis Keterjaminan Makanan

Krisis kekurangan beras dan naiknya harga beras di pasaran tempatan membuka mata ramai pengguna. Dapat dilihat betapa rapuhnya bekalan makanan di Malaysia. Kebergantungan kepada beras import bakal membawa padah pada suatu hari jika pengeluaran beras dalam negara tidak ditingkatkan. 

Isu keterjaminan makanan di dalam negara makin hangat dibincangkan apabila negara pengeksport beras seperti Vietnam dan India mula mencatu eksport beras mereka. El Nino yang membawa perubahan iklim yang dahsyat telah mengurangkan produksi beras di kebanyakan pengeluar beras. Hanya lebihan dari keperluan tempatan akan dieksport. Sekitar 8% beras dunia didagangkan tetapi menurut WHO, kemarau kesan dari perubahan cuaca mengurangkan lebih dari 10% pengeluaran beras dunia. 


Menteri Besar Kedah bersama CEO dan kakitangan LZNK di projek tanaman padi huma.

 


Jika El Nino berganda apabila berlaku peralihan putarannya tiap empat tahun sekali, dunia akan kehilangan satu pusingan tanaman kerana kemarau yang amat panjang dan dunia berada di ambang kebuluran. Hanya penduduk yang mengeluarkan makanan sendiri akan terselamat. Itu pun jika tidak tercetusnya rusuhan bagi berebut bahan makanan. 

Kedah Ingin Menjadi Hab Padi Huma

Menyedari hakikat ini, beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama kerajaan negeri telah mengambil tindakan proaktif bagi meningkatkan paras keterjaminan makanan masing-masing. Kerajaan negeri Kedah dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menumpukan pengeluaran beras dengan projek padi berskala besar di kawasan MADA dan di luar MADA di mana tanaman hanya bergantung kepada hujan. 

Mereka juga telah mengeluarkan benih padi sendiri apabila berlakunya kekurangan bekalan benih padi dan bekalan benih tidak bermutu dibekalkan kepada petani. Kini hasil cetusan buah fikiran pimpinan Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK mereka melancarkan program untuk menjadikan Kedah sebagai hab pengeluaran padi huma atau padi bukit. Daerah Sik dipilih bukan kerana orang penting dalam projek ini berasal dari sana tetapi amalan berhuma telah menjadi darah daging masyarakat di sini semenjak dahulu-kala tetapi sudah dilupakan oleh generasi post-kemerdekaan. 

Beras hasil dari padi huma sudah dipasarkan melalui dalam talian.

 

Huma sebenarnya adalah konsep bertani di tanah daratan, terutama di kawasan hutan yang diterangi dengan amalan slash and burn. Teknik ini sesuai diamalkan sekarang kerana tiada lagi kawasan lembah untuk dijadikan sawah. 

Ancaman kemarau juga tidak memberi kesan kerana padi huma tidak perlu air yang banyak seperti padi sawah. Kini oleh kerana masyarakat menyayangi hutan bagi mencegah pemanasan global, berhuma tidak perlu lagi menceroboh kawasan hutan. Hanya bahagian bercucuk tanam padi di daratan sahaja yang diambil. Tapak tanah mungkin dari bekas kebun getah yang hendak ditanam semula atau kawasan lapang di dalam dusun buah-buahan. Tanaman padi bukit menjadi keutamaan kerana ia menjadi makanan ruji (staple food) walaupun tanaman lain juga ditanam di huma seperti sayuran lama termasuklah timun betik, jambak dan maman yang semakin langka dan sukar ditemui. 

Beras dari padi bukit mempunyai ciri yang istimewa dan mendapat harga yang sangat baik, kira-kira 10 kali ganda dari beras biasa antara RM45-50 sekilogram. Nasi yang ditanak dari beras huma mempunyai tekstur yang berderai tetapi lembut, mempunyai bau harum yang tersendiri dan mengenyangkan. Warnanya tidak terlalu putih dan berlainan warna antara tiap butir beras mengikut varieti. Bah kata orang tua-tua, kalau menikmati nasi dari beras huma di dangau huma (pondok kecil dalam tanaman padi bukit untuk berteduh) berlauk ikan darat bakar dan ulam kampung, ibu mertua lalu pun tidak nampak. 

Tanaman padi huma memerlukan benih yang khas. Sebagai langkah pertama LZNK telah mula mengesan dan mengumpul varieti padi huma yang terdapat di Malaysia. Kakitangan LZNK telah mengembara ke seluruh negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi mencari padi benih jenis padi huma atau padi bukit. Usaha mereka tidak sia-sia kerana berjaya mendapat 6 varieti, selama ini dianggap telah pupus ditelan zaman. 


Ke arah menjadikan Sik hab padi huma oleh YAB Menteri Besar Kedah dengan kerjasama LZNK.

 


Enam varieti ini termasuklan padi bukit Bario yang sangat terkenal di Dataran Tinggi Bario yang sejuk itu. Ianya perlu ditanam dahulu sebagai percubaan bagi menentukan kesesuaiannya di tanah rendah yang panas. Varieti lain yang menjadi koleksi dan ditanam bagi memperbanyakkan benih dan menentukan kesesuaian dengan cuaca di Sik ialah Jarum Galah, Tok Ya, Tangkai Langsat, padi perang dan padi hitam. Benih pelbagai varieti ini telah ditanam di Kampung Radek, Chepir, Sik seluas 0.5 hektar dan akan diperluaskan menjadi 6 hektar menjelang Jun, 2024. 

Penanaman padi huma atau padi bukit wajar dilaksanakan bagi membantu dalam menaikkan paras keterjaminan makanan di Malaysia. Keperluan air yang sedikit untuk menjayakan tanaman padi huma sesuai diamalkan ketika fenomena perubahan iklim yang tidak menentu dan kemarau panjang kesan dari El Nino. Pengecilan kawasan sawah akibat dari proses perbandaran bagi menampung keperluan perumahan dapat ditampung oleh penanaman padi huma. Namun varieti padi yang boleh ditanam di darat tetapi mampu menghasilkan hasil padi setanding padi sawah perlu dicari. Jika padi huma menjadi normalisasi dalam pertanian di Malaysia, kemungkinan untuk mencapai paras sara diri mungkin tercapai.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag