May 30 2024
Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)
Secara umumnya, pokok durian mula berbunga sekitar pertengahan hingga ke hujung bulan Februari dan musim buah gugur sekitar Jun-Julai. Namun, kadar perubahan cuaca yang tidak menentu memberi kesan kepada tempoh penghasilan bunga serta buah. Kadar pengeluaran bunga yang tidak serentak akan mengubah corak pengeluaran buah. Sebagai persediaan dan panduan bagi menghasilkan bunga durian, artikel kali ini akan menghuraikan secara asas pengurusannya.
Syarat untuk Penghasilan Bunga
Pengapuran
Antara tujuan pengapuran adalah meningkatkan nilai pH tanah dan juga sumber Kalsium serta Magnesium pada tanah. Nilai pH yang sesuai adalah 5.5 - 6.5 bagi memastikan tahap keupayaan pengambilan nutrien oleh pokok dalam keadaan cekap.
Aplikasi pengapuran jenis cecair seperti Nanocalcium dapat memberi kesan yang cepat kepada tanah dan pokok disebabkan oleh tahap kehalusan yang halus iaitu bersaiz 3 - 7 micron memudahkan diserap oleh tanah dan pengambilan oleh pokok.
Pengurusan Air
Pengurusan air dihentikan apabila daun pokok telah matang dan tiada pengeluaran pucuk baru. Jika keadaan cuaca panas dan kering, pokok mampu mengeluarkan bunga dalam tempoh 14 - 21 hari.
Kadar air dikawal secara berperingkat apabila peringkat fasa tumbesaran bunga. Aplikasi air yang terlebih boleh menyebabkan bunga gugur dan jika air berkurang, bunga berisiko untuk kering. Pemantauan yang cekap perlu dijalankan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memenuhi kadar keperluan air semasa.
Kompos Organik
Aplikasi pembajaan kompos organik pada tanah dapat membaiki struktur tanah dan meningkatkan pengudaraan di dalam tanah. Apabila kadar organik yang tinggi di dalam tanah, tanah mudah untuk kering kerana struktur tanah yang diperkaya dengan kandungan organik mempunyai kadar saliran yang baik.
Daripada pemerhatian, pekebun yang mengamalkan aplikasi kompos organik, pokok mampu mengeluarkan bunga 7-10 hari awal daripada kebun yang lain dan pengeluaran buah awal berbanding kebun yang lain.
Aplikasi Nutrien
Sebagai persediaan untuk merangsang bunga, aplikasi nutrien yang perlu diberi tumpuan adalah unsur P (Phosphorus) dan K (Potassium) yang tinggi. Aplikasi pembajaan menggunakan Organik diperkaya (Organic Compound) yang t inggi P dan K mengikut kadar serta saiz pokok disyorkan bagi mengimbangi keperluan organik dan kimia untuk tanaman.
Aplikasi penyemburan foliar High P dan K seperti SY dan 128 setiap 10-14 hari/ pusingan disyorkan merangsang pertumbuhan bunga.
Pengurusan Penanaman Penutup Bumi
Kerja merumpai hanya tertumpu pada lorong antara pokok dan bawah kanopi sahaja. Bahagian dada dibiarkan dengan rumput dan rumpai jenis lembut seperti Asystasia indrusa dan Mikania micrantha. Tahap dominasi rumpai jenis ini, mampu mengawal populasi rumpai lain dan juga menghasilkan organik semulajadi melalui pereputan sisa rumpai.
Tujuan utama penyimpanan penutup bumi ini adalah untuk mengawal kelembapan dan juga meningkatkan kadar penghasilan organik di dalam tanah.
Kawalan Penyakit dan Perosak
Serangan pengorek buah dan pengorek biji durian bermula pada fasa peringkat berbunga lagi. Konsep kawalan adalah sebagai pencegahan dan kawalan bagi mengelak serangan dan kawalan populasi perosak.
Aplikasi yang disyorkan adalah penggunaan racun perosak “translaminar” dan “broad spectrum” bagi meningkatkan kadar keberkesanan. Aplikasi Lambda - chylothrin (Alanda) menyasarkan serangga perosak menyeluruh dan Chlorfluazuron (Aron) menyasarkan telur serta larva serangga. Kawalan untuk telur dan larva perlu dijalankan bagi memastikan populasi perosak dapat dikawal dengan efisien.
Faktor perubahan cuaca memainkan peranan penting dan juga penelitian peringkat pokok perlu dijalankan sepanjang masa bagi memastikan keperluan pokok dapat dipenuhi.
Rujukan:
1. 2024, Durian Academy, Penghasilan bunga durian
2. 2021, Agronomi Tanaman Durian, Mohd Ali Hanafiah
3. 2021, Advansia, Pest and Disease Control for Durian
4. 2017, Penghasilan buah durian premium, Mohd Ali Hanafiah
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.