May 27 2024

Ayam Hias Berpotensi Jadi Bisnes Sampingan

Ayam Hias Berpotensi Jadi Bisnes Sampingan - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Lanjutan dari perbincangan yang lalu (Agrimag Februari, 2024) terdapat   beberapa lagi jenis ayam hiasan yang   sedang trending pada masa ini di peringkat   antarabangsa. 

Untuk menjadi penternak baka bagi   membekal anak ayam hiasan, penternak   perlu mendahului pasaran di Malaysia   supaya ada ‘cutting edge’ untuk bersaing. 

Walaupun begitu, penternak mestilah sanggup melabur modal dan masa bagi mendapatkan baka baru. Ini boleh   direalisasikan dengan pertolongan Jabatan   Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan   pengimport yang telah lama menjalankan   aktiviti ini. 

Kaedah paling mudah ialah dengan mengimport telur bernas dengan pra-syarat   penternak mestilah sudah mahir   menggunakan inkubator dan kebolehan   menjaga DOC hingga dewasa.

Jika kita melayari internet, terdapat beberapa laman dari luar negara yang mempunyai baka eksotik dan kelihatannya profesional dalam menawar untuk jualan telur bernas ayam baka ekosotik. 

Antara yang menarik perhatian ialah dari Thailand. Mereka telah lama membuat kerja import baka eksotik dari Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah. 

Setelah beberapa keturunan, ayam sudah dapat beradaptasi dengan cuaca tempatan, jika   diimport ke sini tiada lagi masalah ayam tidak dapat beradaptasi dengan cuaca negara kita yang panas dan lembap. 

Sebagai sambungan dari tulisan terdahulu, disenaraikan lagi beberapa baka yang diramal akan terus popular dan mendapat perhatian peminat ungas: 


1. Plymouth Rock

 

Baka Plymouth Rock atau kadang kala hanya disebut Rock mula dikenali apabila muncul buat pertama kali di pameran penternakan di Boston pada tahun 1849. 

Bermula dari situ, Rock mula berkembang menjadi salah satu dari baka penting di Benua Amerika dan di peringkat dunia. 

Ia sangat senang dikesan jika berada dalam satu gerombolan ayam yang berlainan baka melalui warna hitam berbelang putihnya yang sangat menonjol. 

Baka Rock sangat terkenal dan popular di kalangan penternak ayam di Amerika Syarikat. 

Kebanyakan ladang mempunyai baka ini sebagai baka dual-fungsi: untuk telur dan daging. 

Mereka bertubuh besar dan gempal, dapat menyesuaikan diri pada keadaan cuaca yang berbagai dari sejuk hingga ke cuaca panas. 

Rock sangat sesuai dan dapat beradaptasi dengan sesuatu kawasan jika diternak secara lepas-bebas, sangat aktif dan rajin bertelur dengan telur besar berwarna coklat tetapi boleh juga diternak dalam sistem sangkar. 


2. Cochin

 

Baka Cochin dianggap sebagai ayam pelopor peminat haiwan menjadikan ayam sebagai haiwan kesayangan seperti orang menyayangi kucing. 

Sifatnya yang jinak dengan bulu tebal dan kembang seperti bola menjadikannya sangat comel di mata peminatnya. 

Dikatakan berasal dari Shanghai di mana penternak di sana mengembangkannya sebagai ayam   dual-fungsi untuk telur dan daging. 

Namun bertukar menjadi haiwan kesayangan apabila tiba di Eropah dengan sifatnya yang besar mencapai 5 kilogram, mata yang besar dan bulu yang menarik hingga menutupi kaki.   


3. Dong Tao

 


Baka Dong Tao berasal dari Vietnam dan dikatakan baka ayam yang menghasilkan daging yang paling lazat, mulanya hanya untuk dinikmati oleh kerabat diraja, untuk upacara ritual dan kini menjadi lambang status bagi pengunjung restoran mewah di sana. 

Permintaan yang sangat tinggi untuk baka Dong Tao membuatkan agak sukar untuk diperolehi dari pembiak baka ini. 

Pertumbuhannya yang lambat dan kurang daya tahan terhadap penyakit serta alah kepada perubahan cuaca membuatkan baka Dong Tao sangat rare. 

Sosok tubuhnya seakan ayam sabung dengan kulit yang merah dan kaki yang sangat besar hingga diberi jolokan kaki naga. 

Oleh kerana kaitannya dengan mitos naga, kaki Dong Tao menjadi delikasi yang sangat diminati dan mendapat harga yang tinggi di restoran. 

Jika dapat dibiakan di sini, Dong Tau pasti akan mendapat permintaan yang sangat baik.


4. Brahma

 


Baka ayam Brahma dikenali sebagai ‘King of Poultry’ kerana saiz gergasinya mengalahkan semua baka ayam yang ada. 

Baka Brahma berasal dari Amerika Syarikat. 

Disebut ayam gergasi kerana Brahma jantan boleh mencapai berat 8.2 kg manakala betina mencapai berat 6.5 kg. 

Penampilannya sangat gah dengan kepala yang besar dan tengkuk yang besar dan tinggi. Paruhnya dempak tapi sangat kukuh dan ia berbalung batu. 

Brahma akan merenung dengan sinar mata yang tajam kepada pengunjung yang belum pernah dilihatnya seolah-olah mengawal wilayah penguasaannya. 

Jika ada dalam koleksi, Brahma pasti menjadi daya penarik peminat haiwan.

5. Serama


Baka ayam Serama mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa dalam senarai ayam eksotik dunia. 

Mengikut pelopor yang mula mengembangkan baka ini, juga seorang Tok Dalang wayang kulit, nama Serama terbit dari watak Sri Rama dalam persembahan teater rakyat itu. 

Ayam Serama menjadi unik kerana karakternya yang kecil dan sangat jinak. 

Mempunyai beberapa corak bulu namun standard yang ditetapkan ialah bulu mesti rapat ke tubuh dan tentunya tubuh yang kecil dengan dada menonjol ke depan. 

Baka Serama sangat pandai memperagakan kecantikannya seolah-olah model yang menggayakan fesyen di atas catwalk.

Walaupun baka Serama di Malaysia agak suam   ketika ini, ia akan kembali popular di masa akan datang. Sementara harganya sangat berpatutan pada masa ini, penternak harus mendapatkan koleksi terbaik sebagai persediaan.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag