July 18 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Tanaman durian adalah salah satu tanaman yang popular di Malaysia. Ianya telah dikenalpasti mampu untuk mendatangkan keuntungan yang lumayan. Permintaan tinggi dan berterusan telah menjadi faktor yang mendorong ramai pengusaha untuk menceburi diri dalam bidang tanaman ini.
Berdasarkan pakar perunding durian Encik Lim Chin Khee dalam perkongsian beliau semasa ceramah AgTech International Expo 2024 yang berlangsung pada 17 Mei 2024 yang lalu, masalah penyakit pada tanaman durian adalah sesuatu yang normal. Setiap pengusaha atau petani durian pasti akan menghadapi cabaran ini. Kunci utama untuk kejayaan dalam bidang ini adalah pengawalan penyakit secara berkesan dan ini dapat mengurangkan masalah pada masa jangka yang panjang.
Telur Reriang + Ulat Pengorek Durian
Di antara serangga perosak yang sering kali dijumpai pada pokok durian ialah telur reriang yang mampu menyebabkan kekeringan pucuk daun muda, ulat pengorek durian, anai-anai dan ulat bulu. Keadaan ini dapat diatasi dengan menyembur racun pada pucuk daun muda.
Selain serangga perosak, haiwan seperti tupai juga selalu dikenalpasti sebagai perosak tanaman durian terutamanya pada bahagian buah. Ianya mampu mengorek durian sehingga berlubang, dan ini merupakan masalah yang selalui dihadapi oleh pengusaha atau petani durian di kebun berskala kecil dan berdekatan dengan kawasan hutan.
Kanker Durian + Hawar Daun
Tambahan, tanaman durian juga senang terdedah kepada serangan penyakit. Sebagai contoh, kanker durian yang biasanya berlaku pada musim hujan. Ianya juga berkait rapat dan berkesinambungan keadaan topografi di mana salirannya tidak begitu lancar dan juga mudah terkena banjir. Ini merupakan salah satu cabaran yang besar bagi para pengusaha kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pemilihan kawasan penanaman durian juga amat penting kerana ianya mampu mempengaruhi keadaan tanaman pada jangka masa yang panjang. Jenis tanah, ketidakseimbangan nutrien, kekurangan kalsium dan keasidan tanah juga faktor penting yang harus dipertimbangkan dalam penanaman pokok durian. Buah durian yang terkena kanker buah akan mempunyai tompak kehitaman dan ini mengakibatkan kualiti buah terjejas.
Sekiranya rawatan awal tidak dijalankan, kerosakan pada tanaman dan kerugian yang mungkin dihadapi oleh pengusaha adalah sebanyak 70% dari nilai asal. Lebih-lebih lagi penyakit ini juga boleh menyerang batang pokok dan boleh menyebabkan pokok mati. Kanker durian boleh dielakkan atau dikurangkan melalui rawatan semburan pada durian dan juga daunnya.
Penyakit seterusnya ialah hawar daun, yang disebabkan oleh fungi atau kulat, Rhizoctonia solani. Ianya diakibatkan potegen dari tanah yang terhasil akibat dari keadaan hujan panas yang berubah-ubah. Kelembapan udara yang tinggi dalam tanah dan daun yang terlalu rimbun juga merangsang hawar daun.
Tambahan, pemberian baja nitrogen yang berlebihan juga dapat menyumbang kepada keadaan ini. Bagi tanaman seperti durian Musang King, keadaan ini boleh menyebabkan penurunan hasil dan kualiti serta secara langsung merugikan para pengusaha. Oleh itu, pembajaan yang seimbang dan penjagaan yang betul dapat mengawal masalah ini.
Mengesan Perosak Melalui Daun
Salah satu petua atau panduan yang turut dikongsikan oleh Encik Lim adalah pemahaman tentang keadaan atau masalah dalam tanaman durian dapat dikesan melalui daun. Keadaan fizikal daun yang berkilat dan cantik adalah indikasi bahawa pokok durian yang sihat. Manakala, jika daun mempunyai bitnik-bintik dan kekeringan dan kewujudan hawar daun, ianya menunjukkan bahawa pokok tersebut tidak sihat.
Seterusnya, keadaan yang berhubung rapat dengan halwa daun adalah pokok yang kereputan akar. Situasi reput akar ini adalah disebabkan oleh air berlebihan yang bertakung pada pangkal pokok. Ini merupakan masalah utama dalam penanaman durian dan disumbangkan oleh keadaan topografi dan faktor cuaca hujan yang berterusan. Jenis tanah iaitu tanah liat, saliran air yang tidak baik, hujan yang berterusan, pengudaraan tanah lemah dan tiada rawatan kawalan adalah antara penyebab akar reput.
Melalui perkongsian dari Encik Lim, solusi yang dicadangkan adalah penambahbaikan saliran atau pengaliran di kebun. Kaedah pembuatan busut tanah adalah pendekatan yang mudah serta murah untuk mengatasi masalah reput akar. Pembinaan sempadan tanah yang tinggi dan busut tanah untuk membantu pengaliran air secara amnya juga merupakan alternatif yang boleh digunakan bagi kebun durian yang sedia ada. Akar yang reput tidak mampu untuk menyerap zat tanah dengan efisien. Keadaan akar yang sihat akan menunjukkan pokok yang sihat.
Cabaran yang lain seperti keracunan baja yang dapat dilihat melalui bintik kuning yang timbul pada daun juga selalu dihadapi oleh pengusaha durian. Pengurusan pekerja adalah mustahak. Ini adalah kerana pemberian baja secara optimal penting bagi mengelakkan keracunan baja atau pemberian baja yang berlebihan. Sekiranya keadaan ini berlaku, pemberian baja haruslah dihentikan selama 2 hingga 3 bulan jika pada musim hujan atau 6 bulan jika cuaca kering. Solusi tambahan ialah menyembur baja NanoCa pada akar.
Encik Lim juga berpendapat dan berkongsi bahawa keadaan fizikal daun pokok durian akibat keracunan baja dan kerosakan pada daun yang disebabkan oleh teritip, iaitu sejenis serangga perosak kelihatan sama tapi berbeza dan pekerja haruslah dilatih untuk membezakan dua keadaan ini untuk mengenalpasti rawatan lanjutan yang harus dilakukan.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.