June 18 2026

Manisnya Rezeki Nira Kabung Warisan Tradisi di Kuala Krau

Manisnya Rezeki Nira Kabung Warisan Tradisi di Kuala Krau - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Bagi segelintir komuniti luar bandar di Pahang, nira kabung bukan sekadar minuman manis, tetapi ia adalah sumber rezeki, simbol warisan, dan bukti kebijaksanaan tempatan yang diwarisi secara turun-temurun. 

Pokok kabung atau enau (Arenga pinnata), sejenis pokok palma, sememangnya terkenal sebagai "pokok serba guna". Namun, hasil yang paling istimewa ialah niranya—cecair jernih dan manis yang ditadah setelah disadap daripada mayang pokok sebelum ia mekar menjadi bunga. 

Di sekitar Kampung Paya Sok dan kawasan Kuala Krau, pokok kabung tumbuh meliar dengan   ketinggian mencecah 5 hingga 15 meter. 

Bagi Muhamad Hafizzudin Norashikin, 30 tahun, pokok-pokok ini adalah punca rezeki dan kepuasan jiwanya. Beliau adalah antara anak muda yang masih tekun menjalankan pekerjaan tradisional ini, tatkala generasi lama hilang kudrat dimamah usia. 

Minat Hafizzudin terhadap kerja menyadap nira bermula sejak remaja, hasil didikan arwah bapanya. 

Ilmu Menyadap Diperturunkan Ayah

"Dahulu, sewaktu kecil, saya sering mengikut ayah masuk ke hutan. Beliau mengajar saya cara mengenal pasti pokok yang sesuai, teknik 'melatih' mayang, serta pelbagai pantang larang dan petua lama," kongsinya sambil mengimbau kenangan lama. 

Setiap pagi selepas solat Subuh, Hafizzudin akan menuju ke hutan di Kampung Paya Sok atau Kampung Kuala Mai dengan berbekalkan parang, tali, dan tuke (bekas tadahan) untuk memeriksa mayang kabung yang disadap pada hari sebelumnya. 

Proses menyadap nira memerlukan kemahiran yang tinggi. Bukan semua pokok sesuai untuk disadap; hanya tandan yang cukup matang dan sihat akan menghasilkan nira berkualiti. 

Anak muda dari Kampung Paya Sok, dekat Kuala Krau, Pahang, Muhamad Hafizzudin Norashikin adalah antara pengusaha nira gula kabung yang sering dicari pelanggan kerana kualiti air nira dihasilkan olehnya.

 

Tandan Kabung Perlu "Dipujuk"

Hafizzudin juga perlu membina 'sigai', iaitu tangga kayu yang dibuat dengan ikatan batang-batang buluh dan kayu hutan secara manual untuk memanjat pokok kabung yang tinggi. Pekerjaan ini penuh risiko kerana ancaman haiwan berbisa seperti ular, lebah, dan tebuan, selain kemungkinan terjatuh dari pokok. 

Uniknya, sebelum tandan dipotong, ia perlu 'dipujuk' terlebih dahulu. Hafizzudin akan   mengayun, mengetuk, malah menyanyi kecil sambil memukul tandan menggunakan kayu. 

"Proses ini dilakukan secara berterusan sehingga tandan benar-benar bersedia. Mengikut petua lama, jika tidak diketuk, nira yang dihasilkan mungkin tidak manis," jelas beliau. 

Untuk menjaga kualiti, beliau menggunakan laru daripada daun manggis di dalam bekas tadahan bagi memastikan nira kekal segar dan tidak cepat masam tanpa perlu menggunakan bahan pengawet kimia. 

Nira kabung dikategorikan mengikut kesegarannya: 

•Gred A: Berwarna perang jernih (seperti air teh) dan sangat segar. 

•Gred B & C: Berwarna sedikit keputihan akibat penyimpanan yang lebih lama, namun masih mengekalkan rasa manis. 

Setiap pokok mampu menghasilkan antara 5 hingga 10 liter nira sehari. 

Permintaan Nira Kabung Melonjak

Walaupun bermula sebagai hobi, permintaan terhadap nira kabung yang diusahakan oleh Hafizzudin sangat tinggi sehingga bekalan 40 hingga 50 botol sehari tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan. Beliau menjual nira tersebut pada harga RM5 bagi setiap botol (500 ml), satu harga yang sangat berpatutan untuk minuman yang dihasilkan secara semula jadi. 


Air Nira Gula Kabung bukan hanya menghilangkan dahaga, tapi boleh diproses semula menjadi manisan dan cuka makan.

 


Selain diminum segar, nira kabung juga boleh diproses menjadi manisan (nisan) dan cuka. 

Bagi Hafizzudin, pekerjaan ini bukan sahaja membantu menampung perbelanjaan harian, malah ia memberikan kepuasan kerana sumber rezekinya bersifat mesra alam. 

Beliau akui berasa terkilan melihat kekurangan minat dalam kalangan anak muda untuk mempelajari seni ini. Sebagai satu-satunya penyadap muda di kampungnya, beliau menaruh harapan besar agar ilmu ini tidak lenyap ditelan zaman. 

"Jika ada anak muda yang ingin belajar, saya sedia mencurahkan ilmu. Sayang jika kemahiran warisan ini mati begitu sahaja," katanya. 

Nira kabung adalah simbol keharmonian antara manusia dengan alam. Ia bukan sekadar manis di lidah, tetapi kaya dengan nilai sejarah dan kesederhanaan hidup yang perlu dipertahankan demi masa depan.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag