December 09 2024
Sekatan eksport terhadap ikan siakap dari Malaysia ke Thailand akibat dari penggunaan bahan terlarang oleh sebahagian penternak telah memberi kesan buruk kepada penggiat akuakultur lain. Bagi memastikan kelangsungan industri ini, kerajaan akan menguatkuasa pemeriksaan dan audit bagi memastikan pematuhan terhadap larangan penggunaan bahan kimia dan antibiotik terlarang dipatuhi. Ini ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham bin Ishak, ketika berucap di Majlis Makan Malam dan Aqua Asia Excellence Award Kali Pertama bersempena sambutan Jubli Perak Persatuan Kemajuan Akuakultur Malaysia (Malaysia Aquaculture Development Association - MADA).
Dalam pada itu, kerajaan akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif dan strategi, termasuk menubuhkan 10 kawasan projek akuakultur, dengan sasaran pengeluaran tahunan sebanyak 70,000 tan metrik. Datuk Seri Isham juga mengumumkan bahawa kerajaan akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk memanfaatkan sebahagian tanah kem tentera dalam program Agro Pertahanan (Agro Defense) bagi aktiviti akuakultur.
Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa bagi tahun 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM27.3 juta untuk menyokong 47 projek Pembangunan Akuakultur Bersepadu (sistem sangkar ikan), termasuk 6 projek komersial dan 41 projek kluster. Beliau menyeru penggiat akuakultur untuk memanfaatkan dana yang disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan hasil pengeluaran. Beliau juga menggalakkan kerjasama dengan MADA (Persatuan Kemajuan Akuakultur Malaysia) untuk menggusahakan kawasan tadahan dan taliair bagi projek akuakultur dan menyuarakan keperluan mereka kepada pihak kerajaan.
Agrimag Menerima Anugerah Cemerlang Sumbangan Media
Sebanyak 20 kategori anugerah telah diwujudkan bagi menghargai pengusaha dan badan berkaitan yang banyak memberi sumbangan kepada industri akuakultur. Di malam penuh gilang-gemilang itu, penternak berpengalaman Encik Khoo Eng Wah telah dimahsurkan dengan Anugerah Penyumbang Cemerlang Akuakultur (Outstanding Contribution to Aquaculture).
Antara penerima anugerah ialah AgroWorld dan AgriMag yang menerima Anugerah Cemerlang Sumbangan Media (Excellence in Aquaculture Media Contribution) atas laporan majalah yang tidak putus-putus selama ini dalam bidang akuakultur.
Ahli Persatuan Kemajuan Akuakultur Malaysia (MADA) dan tetamu jemputan bersama-sama memotong kek ulang tahun. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Encik Koo Kok Leong di masa akan datang MADA akan mengundang pakar-pakar profesional dari pelbagai bidang untuk menjadi juri agar Aqua Asia Excellence Award menjadi lebih berwibawa.
Presiden: Kelulusan Permohonan Tanah Perlu Diutamakan
Presiden MADA, Encik Benedict Lim menyatakan bahawa MADA yang ditubuhkan pada tahun 1999 kini mempunyai lebih daripada 500 ahli, menjadikannya persatuan ternakan perikanan utama di Malaysia.
Dalam keusahaan memajukan industri akuakultur ini, MADA menghadapi beberapa cabaran khususnya dalam isu mendapat kelulusan permohonan tanah. Persatuan menggesa kerajaan untuk memberi perhatian sewajarnya kepada isu ini kerana hanyadengan tanah yang mencukupi, pengusaha dapat meningkatkan produktiviti dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat. Selain itu, sekatan terhadap beberapa jenis hasil laut tempatan oleh negara luar juga memberi kesan kepada pengusaha tempatan.
Persatuan berharap cabaran ini dapat diperhatikan dan bantuan daripada pihak kerajaan. Benedict Lim menegaskan bahawa matlamat persatuan bukan hanya untuk mengekalkan bekalan hasil laut tempatan yang mencukupi, tetapi juga untuk membantu meningkatkan eksport pengusaha perikanan dan nelayan tempatan. Untuk mencapai matlamat ini, persatuan sering membawa ahli-ahli ke luar negara untuk kempen pemasaran dan memahami kehendak-kehendak pengimport.
Dalam menghadapi negara jiran yang mengambil alih pasaran dengan menggunakan tektik perang harga, Benedict Lim menggalakkan pengusaha untuk memberi fokus kepada pemprosesan hasil laut untuk mencapai nilai dan kualiti yang lebih tinggi. "Matlamat kita bukan untuk mengeksport hasil laut dengan harga rendah. Kita tidak akan menang dalam perang perniagaan berfokuskan harga rendah. Kita harus memberi tumpuan kepada pemprosesan hasil laut yang memberi nilai dan kualiti yang lebih tinggi dan pengguna sanggup membayar dengan harga yang lebih berpatutan," ujar beliau.
Benedict Lim bertekad, MADA akan berusaha supaya produk perikanan Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa dan mendapat kedudukan di peringkat antarabangsa. Beliau yakin bahawa dengan sokongan daripada pihak kerajaan dan semua ahli, matlamat ini pasti akan dicapaii.
Majlis makan malam mendapat sambutan baik, hampir 500 orang tetamu hadir dan memberi peluang kepada mereka yang bergiat dalam bidang akukultur untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman. Jawatankuasa penganjur pula mencipta kelainan dengan menyajikan hidangan istimewa bertemakan hasil laut sebagai menu utama, dikenali sebagai “Jamuan Serba Ikan.” YHL Aquatic merupakan penaja utama acara malam tersebut.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.