October 04 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Terdapat 234 varieti durian di Thailand. Kebanyakan varieti tersembunyi di dusun-dusun persendirian dan pusat penyelidikan. Hanya beberapa varieti dikembangkan sebagai varieti komersial kerana sifat-sifat yang dapat beradaptasi dengan perladangan moden, masak hampir serentak dan dapat dipetik pra-masak untuk mengharungi perjalanan yang jauh ke pasaran eksport.
Kini menjadi fenomena pelancong asing memburu durian dari varieti-varieti langka (rare), melihat pohon asal sesuatu varieti dan unboxing buah yang masak dan gugur dari pokok. Mereka sanggup bangun awal pagi mengunjungi pasar-pasar pagi dan gerai tepi jalan untuk mendapatkan ‘tree dropped durian/ thurien loan’ ini.
Pengusaha kecil kebun durian tidak menuai durian pra-masak seperti ladang skala besar tetapi menunggu durian masak di pokok dan gugur sendiri seperti amalan petani durian kampung di Malaysia. Mereka menjual sendiri berdikit-dikit setiap hari dan mendapat keuntungan yang lebih besar.
Beberapa Varieti Klasik Thailand
Monthong
Monthong merupakan varieti yang sangat popular di Thailand. Ia merupakan varieti eksport utama, terkenal kerana isi yang tebal, lemak-manis dan beraroma sederhana, menjadikan ia sangat disukai oleh pelancong Eropah. Monthong dimakan ketika tidak terlalu ranum dan dijual per ulas di pasar malam yang dikunjungi pelancong kerana buahnya yang terlalu besar boleh mencapai seberat 5 kilogram sebiji.
Monthong sangat mudah berbuah walaupun ditanam dalam kawasan perumahan, malah di dalam bekas seperti drum plastik mahupun pembetung konkrit. Daunnya besar dan panjang, hampir 2 kali ganda daun Musang King. Pokok sebesar betis dari anak cantuman baji berumur 5 tahun dengan cabang yang rendah sudah mampu berbuah sehingga 10 - 15 biji. Buahnya besar berbentuk hati dengan pangsa yang timbul, menggambarkan besarnya ulas di dalam.
Apabila masak kulit luar akan bertukar dari hijau muda kepada kuning keemasan yang cantik. Monthong biasanya dipetik pada 85% kematangan kerana akan pecah jika dibiarkan gugur sendiri. Monthong matang di hujung musim kerana akan masak 120 hari selepas bunga kembang. Jika ingin menanam sepokok-dua sahaja pohon durian, tanamlah Monthong. Pasti akan dapat dinikmati buahnya.
Chanee
Varieti Chanee berasal dari Thonburi, di sepanjang sungai Chao Phraya di mana berdirinya Kotaraya Bangkok pada hari ini. Ia antara varieti komersil terawal Thailand seawal tahun 1687. Kini varieti Chanee ditanam dengan meluas di kawasan utama pengeluaran durian di Chantaburi, Rayong, Chumpon dan Nakhon Nayok. Chanee bermaksud ungka, sejenis primat yang bertangan panjang dan bermuka putih.
Chanee menjadi varieti rakyat yang popular kerana harga yang sederhana, berisi tebal, manis dan sesuai untuk dinikmati bersama pulut, hidangan klasik masyarakat Thai. Ia merupakan varieti yang banyak dieksport ke Malaysia. Walaupun dari segi kualiti Chanee berada di bawah Monthong/Ganyao, ia popular kerana masak di awal musim, 100 - 110 hari selepas bunga kembang. Mengikut turutan varieti Kop/D99 dan Kancing Baju akan masak dahulu kerana matang pada 90 - 95 hari selepas bunga kembang diikuti Chanee seminggu-dua kemudian.
Pohon Chanee sangat lasak dan sering berbuah tiap-tiap musim walaupun ditanam di tanah yang kurang subur atau tidak diberi pengairan berkala. Buahnya bertaburan sekata di tiap dahan dan tidak memerlukan penjarangan buah (fruit prunning) dibuat. Buah matang di pokok dan gugur sendiri tanpa masalah pecah.
Terdapat 2 jenis Chanee - Chanee Telur yang berkulit nipis, lebih kecil, dengan berat 2 - 2.5 kg sebiji dan Chanee Kerbau yang berkulit tebal dan berat buah boleh mencapai 5 kilogram sebiji. Isi Chanee berwarna kuning pekat dengan bercak-bercak warna tembaga. Sesuai dimakan ketika ranum apalagi dimakan bersama pulut dan santan.
Ganyao/Tangkai Panjang
Dinamakan Ganyao/Kanyau atau Tangkal Panjang kerana sememangnya mempunyai tangkal yang sangat panjang, mungkin 3 kali panjang dari Musang King. Varieti ini sangat terkenal di Nonthaburi kerana menjadi kegemaran Raja Thai dan dapat dijual pada harga yang sangat tinggi kepada VVIP dan perwakilan asing. Buahnya berwarna hijau zaitun dan berbentuk bulat dengan duri yang lebih tirus dan tajam. Aromanya lembut denga warna isi kuning cair. Boleh didapati dijual per biji dengan harga yang relatif lebih tinggi dari varieti lain.
Pokoknya tinggi dan rendang dengan daun yang kecil, berwarna hijau pekat. Ia hanya sesuai ditanam di dusun yang subur oleh penanam serius kerana ia tidak sekuat Monthong. Ganyao juga masak di akhir musim seperti Monthong, kira-kira 120 hari selepas bunga kembang. Berbuah bertompok-tompok pada dahan dan boleh membuatkan dahan patah jika tidak ditopang dengan galah atau diikat pada batang utama. Ganyao yang dibiarkan matang di pokok dan gugur sendiri sangat lazat dan sukar untuk diperolehi di pasar.
Phuangmanee
Phuangmanee berasal dari sepohon induk milik Puan Manee yang berada di selatan bandar Chantaburi yang masih wujud dan menjadi tarikan pelancong. Ia mula dikenali kira-kira 60 tahun dahulu apabila menyertai satu pameran durian.
Apabila ditanya apa nama durian yang dibawa, suaminya menyebut Puan Manee, ingatkan orang bertanya nama peserta yang hendak didaftarkan. Lalu lekatlah nama Phuangmanee hingga ke hari ini. Di akhir-akhir umurnya, Puan Manee berbangga mempunyai durian yang terkenal berasaskan namanya. Phuang membawa maksud kluster merujuk kepada bunganya atau putik buahnya yang keluar pada benjolan di dahan dengan banyaknya.
Manakala manee bermaksud permata. Phuangmanee bermaksud satu kluster permata-permata. Nama lainnya ialah Telur Buaya atau Udang Merah. Phuangmanee mempunyai isi berwarna tembaga yang sangat menarik tetapi isinya sederhana tebal dan berbiji besar. Pokoknya sederhana besar dan tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi dengan bawah daun berwarna keemasan seakan Chanee. Ia rajin berbuah dengan kluster yang bertaburan antara ranting. Kadangkala berbuah dengan banyak pada ranting kecil dan memerlukan sangga galah atau diikat ke batang utama.
Durinya lebih halus dan lebih hijau dari Musang King tetapi mempunyai bentuk yang sama dengan tanda bintang di hujung buah walaupun tidak sejelas Musang King. Ia sering diambil kesempatan oleh penjual di Malaysia sebagai Musang King atau Udang Merah kerana warna isinya yang menawan. Phuangmanee digemari kerana mempunyai rasa dan tekstur seakan-akan durian varieti Khun Po dari Pulau Pinang atau durian kampung premiun yang lain.
Kradum Thong
Kradum Thong digemari petani untuk menanam kerana sangat tahan kepada kemarau dan berbuah hanya selepas 4 tahun dan berbuah di awal musim. Kebanyakan ditanam untuk kegunaan sendiri secara kecilan.
Hanya lebihan dijual di pasar tempatan dengan harga yang murah. Kradum Thong besaiz kecil, jarang mempunyai berat lebih dari 1 kilogram. Isinya kering berada dalam pangsa yang jelas kelihatan. Ulasnya kecil-kecil bewarna kuning pekat dengan biji yang besar. Berisi lembut dengan aroma yang menarik. Sesuai dimakan sebaik sahaja menjadi ranum.
Pala U
Pala U bukanlah varieti baru tetapi varieti Monthong yang ditanam di dalam hutan. Tanah yang subur dan udara yang baik di hutan La U di wilayah Pracuap Khiri Khan menjadikan Monthong yang ditanam di sini bukan seperti biasa tetapi mempunyai aroma yang menarik dan rasa yang sedap.
Pala U mempunyai pangsa yang lebih jelas, duri yang tajam dan isi yang lebih cerah. Rasa yang lemak mengatasi rasa yang manis. Isinya tidak berair dengan bau yang sederhana, sesuai untuk peminat durian yang tidak menyukai bau yang keras.
Lava Sisaket
Kabanyakan durian di Thailad ditanam di wilayahwilayah sebelah timur dan selatan seperti Chantaburi, Rayong dan Chumphon tetapi di Sisaket bukanlah wilayah durian. Lava Sisaket merujuk kepada varieti Monthong, Ganyao dan Chanee yang ditanam di kawasan gunung berapi di Sisaket.
Tanah basalt dan tanah gunung berapi lain membekal unsur-unsur mineral yang cukup kepada tanaman durian, hasilnya mempunyai aroma yang istimewa dan ditawarkan dengan harga yang tinggi. Durian di sini mempunyai duri yang rapat, kulit yang nipis, warna isi yang lebih gelap dan biji yang kecil. Rasa durian lava ini manis berkrim pada tahap terbaik dengan isi yang lembut tetapi ranggup, bau yang kuat kerana kandungan sulfur yang tinggi tetapi bukanlah sehingga keterlaluan.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.