February 03 2025

Dari Hutan Kecil ke Kebun Jagung

Dari Hutan Kecil ke Kebun Jagung - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Jagung merupakan salah satu tanaman makanan yang penting di Malaysia dan mempunyai potensi besar untuk dimajukan di negeri Perak. Iklim tropika dan tanah subur di Perak menjadikannya lokasi ideal untuk penanaman jagung. Di kawasan   Tanjung Tualang, dalam Daerah Kinta Barat terdapat sebuah ladang jagung yang   diusakan oleh En. Khairul Nizam Abdul Samad. 

Penglibatan En. Nizam dalam Industri Jagung

En. Khairul Nizam, berusia 48 tahun dari Titi Gantung di Perak Tengah, telah mula menanam jagung ketika berusia 18 tahun. Penglibatan beliau menyeluruh, daripada peringkat menanam hinggalah kepada pengedaran hasil jagung. 

Pada masa ini, beliau   merupakan seorang pengusaha ladang kontrak, yang mendapatkan tanah untuk diusahakan sebelum   melibatkan kontraktor yang menumpukan kepada penanaman dan pengeluaran jagung. 

Setiap tahun, hasil tuaian adalah antara dua hingga tiga kali, dan lokasi ladang juga merangkumi banyak tempat   selain Tanjung Tualang. Ladang jagung yang dilawati berkeluasan lima ekar. Asalnya, tanah tersebut   adalah kawasan belukar dan hutan kecil yang tidak berpenghuni. Tanah ini disewa daripada pihak   Perbadanan Pertanian Negeri Perak. 

En. Khairul Nizam bersama kontraktor yang mengusahakan ladang kontrak.

 


Sejarah penglibatan En. Nizam bermula dengan   mengumpulkan jagung daripada petani tempatan   dan mengedarkannya kepada pemborong.   Kemudian, beliau memberi tumpuan kepada usaha menanam hingga ke peringkat pengedaran jagung kepada pembekal. 

Dengan pengalaman hampir   30 tahun, beliau memberi tumpuan sepenuh masa kepada penanaman dan pemasaran jagung, dan   setiap kali hasil diperoleh, beliau tidak menyesal dengan penglibatan tersebut. 

Memilih Lokasi

Proses pertama yang dilakukan adalah menentukan kesesuaian kawasan yang dipilih. Untuk   menentukan kesesuaian kawasan, faktor penting termasuk adanya sumber air dan keadaan tanah yang tidak akan tenggelam ketika banjir. Tanah di negeri Perak yang masih banyak terbiar adalah   lokasi yang baik kerana kebanyakan tanah yang   beliau sewa daripada kerajaan negeri berhampiran dengan kolam-kolam bekas lombong. 

Jagung juga memerlukan purata 6 hingga 8 jam cahaya   matahari, yang sememangnya sesuai dengan iklim di Malaysia. Setelah kawasan untuk penanaman ditemui, kawasan berkenaan perlu dibersihkan   daripada rumpai dan belukar serta memastikan kawalan keselamatan supaya hasil tidak diganggu oleh binatang liar seperti babi dan monyet. 

Dalam sistem perladangan kontrak, tanggungjawab membersihkan dan menyediakan tapak adalah di bawah kelolaan kontraktor. Beliau hanya akan   memberikan benih yang sesuai untuk ditanam, dan dalam tempoh penyediaan tapak hingga   penanaman, kontraktor akan memastikan pokok   jagung dijaga sebaik mungkin untuk memastikan hasil yang tinggi. 

Paip sumber bekalan air yang diperolehi daripada kolam berhampiran.

 


Penyediaan Tapak

Setelah tanah dibersihkan daripada rumpai, beliau memastikan tapak digembur dan disediakan sistem saliran yang sesuai. Sistem pengairan menggunakan paip PVC dipasang ke seluruh kawasan. Tanah yang digembur juga dimasukkan dengan baja penggalak. Proses menggembur tanah memudahkan akar   jagung menyerap nutrisi dan air. 

Untuk sistem   saliran, beliau menggunakan sistem pam dan paip air PVC. Paip air disambung ke pam yang berhampiran dengan kolam bekas lombong yang banyak terdapat di negeri Perak. Benih juga perlu dilindungi supaya tidak menjadi makanan haiwan perosak. 

Tanah yang disediakan untuk tanaman   jagung turut ditambahkan dengan penggalak akar untuk meningkatkan kesuburan tanah. Beliau   memastikan penggalak akar ini dicampur sebaik mungkin dengan tanah. 

Pemilihan benih dan Proses Menanam

Pemilihan benih jagung juga merupakan perkara   kritikal. Pilih benih jagung berkualiti tinggi dan tahan penyakit. Benih yang baik menghasilkan   tanaman yang kuat dan produktif. En. Nizam   memilih benih varieti 217 berdasarkan pengalaman pengeluar jagung yang menerima baik benih ini   kerana buah yang dihasilkan berkualiti. 

Benih jagung ditanam pada kedalaman sekitar 2-3 cm dengan jarak antara baris sekitar 75-90 cm dan   jarak antara tanaman sekitar 20-30 cm. Penjarangan ini penting untuk memberikan ruang bagi tanaman berkembang. Sebaiknya, berdasarkan pengalaman, benih jagung perlu ditanam pada musim hujan   untuk memastikan pokok dapat tumbuh dengan baik. 

Penjagaan Pokok

Penyiraman adalah berterusan bermula dari   peringkat percambahan dan untuk tempoh selama dua bulan semasa pokok jagung membesar, dan berterusan pada musim kemarau. Penyiraman memastikan benih mendapatkan kelembapan yang cukup untuk anak pokok bercambah. 

Pembajaan Pembajaan dilakukan enam kali selama tempoh pokok jagung membesar hinggalah dituai. Pembajaan yang betul memainkan peranan utama dalam memastikan pertumbuhan jagung yang   sihat dan hasil maksimum. Pembajaan   membekalkan nutrien penting kepada tanaman   jagung, seperti nitrogen (N), fosforus (P), dan kalium (K). 

Nutrien ini membantu dalam: 

•    Nitrogen: Pertumbuhan daun dan batang. 

•    Fosforus: Pembangunan akar dan pembentukan biji jagung.   

•    Kalium: Meningkatkan daya tahan tanaman terhadap penyakit dan tekanan   persekitaran. 

Di peringkat pra-tanaman, tanah yang dibajak perlu dibajai dengan fosfat untuk memperbaiki kesuburan tanah dan membekalkan nutrien awal. Semasa   pertumbuhan awal, baja urea perlu ditaburkan   untuk menggalakkan pembesaran batang dan daun. 

Selepas 30 hari, baja yang seimbang antara   nitrogen, fosforus, dan kalium ditaburkan untuk nutrien yang seimbang dan pembentukan tongkol yang sihat. Selepas 60 hari, kalium ditingkatkan   untuk meningkatkan kualiti biji jagung dan   mempercepatkan proses pemasakan. 


Proses pengasingan antara jagung gred A dan gred biasa dilakukan oleh pekerja berpengalaman.

 


Faktor yang Mempengaruhi Pembajaan

Pembajaan bergantung kepada jenis tanah, keadaan cuaca, dan varieti jagung. Tanah liat memerlukan pembajaan lebih kerap kerana kurang menyimpan nutrien. Hujan lebat akan melarutkan baja, maka pembajaan perlu lebih kerap. Varieti jagung hibrid memerlukan nutrien lebih tinggi berbanding varieti tradisional. 

En. Nizam mengamalkan baja berformulasi khusus untuk hasil jagung yang lebih baik. Untuk   mengelakkan pencemaran alam sekitar, beliau tidak berlebihan menggunakan baja. Beliau berpendapat bahawa pembajaan yang betul boleh membantu kepada kecekapan penggunaan tanah dan   kelestarian pertanian di Malaysia. 

Lorong yang boleh membawa hasil jagung yang dikutip dari ladang.

 


Penuaian Jagung

Jagung biasanya siap dituai atau dipetik setelah tumbuh selama 90-120 hari, bergantung kepada varieti dan keadaan pertumbuhan. Kawasan yang mempunyai cahaya matahari yang cukup dan   saliran yang baik boleh mengeluarkan hasil dengan lebih cepat. Berikut adalah tanda-tanda jagung siap untuk dipetik: 

•    Warna Kulit Tongkol: Kulit tongkol berubah warna menjadi coklat atau kering. 

•    Rambut Jagung: Rambut jagung mengering dan berubah warna menjadi coklat. 

•    Biji Jagung: Biji jagung keras dan mengilap, serta tidak mudah pecah apabila ditekan. 

Untuk mengutip hasil jagung, potong tongkol   jagung dari batangnya menggunakan pisau tajam atau gunting. Jagung yang telah dipetik perlu segera melalui proses penggredan dan diagihkan ke   pasaran untuk mengelakkan kerosakan. Kualiti   jagung yang dikutip juga ditentukan mengikut saiz, kepadatan biji, dan varieti yang ditanam. 

Jagung gred A yang diasingkan untuk dieksport atau pasaran terpilih.

 


Gred jagung dipecahkan kepada Gred A dan gred biasa. Harga di pasaran bagi Gred A adalah antara RM1.00 ke RM1.50 untuk satu tongkol. Gred biasa pula   berharga lebih rendah. Terdapat juga jagung yang dianggap rosak dan biasanya dibuang atau dijual   kepada penternak haiwan seperti lembu atau ayam. 

Pasaran jagung yang dikeluarkan dari ladang   En. Nizam di Tanjung Tualang dipasarkan ke seluruh negara, terutamanya Kuala Lumpur, dan jagung berkualiti pula dieksport ke Singapura. Jagung berkualiti tinggi juga dihantar ke kawasan   pelancongan di Cameron Highlands. 

Kesimpulan

Menanam, menjaga, dan menuai jagung di Malaysia memerlukan perhatian dan perawatan yang tepat. Dengan mengikuti panduan ini, diharapkan para petani dapat menghasilkan keluaran jagung yang melimpah dan berkualiti tinggi. Jagung bukan hanya sumber makanan yang penting, tetapi juga komoditi ekonomi yang dapat meningkatkan kesejahteraan petani di Malaysia. Semoga lebih ramai rakyat   Malaysia turut menanam jagung!

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag