September 27 2023

Kaedah Cantuman Di Ladang Bagi Penanaman Pokok Penanti

Kaedah Cantuman Di Ladang Bagi Penanaman Pokok Penanti - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh:Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)

Kaedah penanaman durian dengan menggunakan pokok penanti tanpa dicantum sebagai bahan tanaman menjadi pilihan para usahawan durian yang mempunyai kemahiran mencantum ataupun sumber tenaga mahir.


 

Konsep asas teknologi ini adalah menjalankan penanaman pokok penanti dahulu dan pokok dicantum dalam tempoh 8-12 bulan selepas penanaman. 

Kelebihan kaedah ini adalah tumbesaran pokok lebih cepat kerana penggunaan anak benih pokok yang berusia sekitar 75-90 hari selepas semaian adalah disyorkan. Ini disebabkan kadar peratus akar pokok berpilin (berpusing/ melilit) adalah rendah dan pengembangan akar dapat membesar lebih cepat . Sebagai panduan, bilangan daun minimum untuk anak benih bagi penanaman yang sesuai ialah minimum 8 helai daun.

 Kriteria pokok penanti yang sesuai 

Pemilihan pokok penanti yang mempengaruhi kadar kejayaan cantuman adalah tahap kesihatan pokok. Jika cantuman dibuat pada pokok yang telah rosak akibat daripada serangan perosak seperti Phythopthora, anai-anai dan lain-lain , kadar peratus kejayaan adalah rendah. 

Saiz pokok penanti yang ideal untuk dicantum adalah seperti berikut: 

            •     Tinggi pokok dalam lingkungan 1.3 m ke 1.5 m dari paras tanah. 

            •     Ukur lilit pokok pada aras 0.5 m dari tanah ialah 8.0 cm ke 10.0 cm.



Keadaan pokok penanti dengan ketinggian 1.5m.

 

Pemilihan tapak cantuman adalah 0.5m dari paras tanah.Ukur lilit batang pokok ialah lingkungan 8.0cm - 10.0cm pada aras 0.5m dari paras tanah.

 

Kaedah Cantuman

1. Pemilihan tapak cantuman 

            •     Ketinggian tapak cantuman adalah 0.5m - 0.75 m dari paras tanah dan pastikan keseragaman tapak adalah sama untuk setiap pokok. 

            •     Elakkan membuat tapak cantuman terlalu tinggi iaitu melebihi 1.2m dari paras tanah kerana ia akan mempengaruhi kadar ketinggian dahan pokok pada tempoh masa akan datang. 

            •     Arah tapak cantuman adalah disyorkan menghadap matahari terbit atau bahagian timur.

2. Membuat tapak cantuman dengan saiz panjang 8.0cm ke 10.0 cm dan lebar 2.0cm ke 3.0 cm.

            •     Mengelar kambium pada zon cantuman menegak kanan dan kiri serta kelaran melintang tapak cantuman.

Kelaran kambium memanjang kanan dan kiri pada batang penanti.Kelaran kambium melintang dijalankan untuk mengumpil kelopak tapak cantuman.

 

            •     Kelaran dikelopak dari bahagian atas ke bawah. 

            •     Tips: Jika keadaan kelopak putih, bersih dan mudah diumpil, ia adalah indikator bahawa kondisi pokok sihat atau subur. 

3. Meraut sion ( Ranting mata tunas)

            •     Sumber sion disyorkan diambil daripada sumber yang sah ketulenan varieti.



Contoh label bagi pokok induk yang disahkan oleh Jabatan Pertanian di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT).

 

            •     Sion yang mempunyai 3-4 matatunas yang bernas (berbentuk kepala mancis) pada celah petiol daun untuk sebatang ranting. 



Keadaan mata tunas yang bernas dicelah petiol daun.

            

            •     Tangkai daun dipotong rapat dan elakkan terkena mata tunas. 

            •     Kelaran runcing dilakukan pada bahagian depan ranting dan rautan kambium sepanjang 3.0 cm -4.0 cm pada bahagian belakang ranting. Bahagian belakang ranting adalah bahagian yang akan ditempelkan pada kelopak penanti. 

            •     Sion diselitkan pada tapak cantuman dan kelopak penanti dipotong rapat. 

Kelaran runcing dijalankan pada bahagian depan sion.Kambium diraut dengan panjang 3.0 - 4.0cm pada bahagian belakang sion.

 

 

Sion diselitkan pada tapak cantuman dan kelopak dipotong rapat pada bahagian bawah.

             

            •     Tips: Elakkan menyentuh bahagian rautan kerana pencemaran pada bahagian tersebut akan mejejaskan kadar kejayaan cantuman.      

4. Membalut cantuman

            •     Sion yang ditempel pada tapak cantuman dililit dengan pita cantuman plastik bersaiz 1 inci dari bahagian bawah ke atas. 

            •     Sion dililit habis dan ikatan mati pada hujung bahagian tas tapak cantuman dijalankan. 

            •     Tips: Elakkan menyentuh tapak cantuman atau sion selepas cantuman dibuat bagi mengelakkan pergerakan sion yang akan merendahkan peratus kejayaan cantuman.

Pita cantuman dlilit dari bawah ke atas.Keadaan cantuman yang selesai dicantum.

 

 5. Pemantauan

            •     Pemantauan cantuman dijalankan pada hari ke 10- 25 selepas kerja cantuman dijalankan. Jika tapak cantuman berair, basah dan kehitaman, ia perlu dibuka dan cantuman gagal.

6. Membuka pita cantuman

            •     Pita cantuman dibelah pada bahagian matatunas sahaja secara berperingkat pada hari ke 21-25. 

            •     Matatunas yang berwarna hijau dan tunas yang telah pecah menunjukkan kejayaaan cantuman. 

            •     Pita cantuman dibuka berperingkat setiap 10 hari dan elakkan membuka terus selepas hari ke 21-25 kerana dikhuatiri sion masih belum kukuh melekat pada tapak cantuman. 

Pita cantuman dibuka berperingkat pada bahagian mata tunas.

 

7. Pemangkasan Penanti

            •     Pucuk penanti dan tunas dahan penanti dipotong berperingkat bagi merangsang pertumbuhan mata tunas cantuman.

8. Naungan

             •      Bagi mengelakkan risiko cantuman pemasangan net hitam dengan 70% kadar pencahayaan disarankan bagi mengawal kadar terik cahaya terutama pada musim panas.

Naungan menggunakan net hitam 70% pencahayaan selepas cantuman dibuka.Umur cantuman 75 - 85 hari selepas dicantum.

 

 Rujukan :

Jabatan Pertanian Malaysia, 2012, Pakej Teknologi Tanaman Durian

Mohd Ali Hanafiah, 2016, Pembangunan Ladang Durian , Jabatan Pertanian

Faculty of Durian, 2016, Teknologi Cantuman dan Pembiakan Tanaman Durian

Lim Chin Khee, Durian Academy, 2016, Durian Cultivation

Sempalit Angel Farm , 2021

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag