March 13 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Jika Malaysia mendapat limpahan rezeki daripada permintaan tinggi terhadap durian oleh pembeli dari China, Brazil mengalami situasi yang sama tetapi dengan produk daging lembu. Akibat serangan virus babi Afrika (African Swine Fever), pengguna di sana beralih kepada daging lembu sebagai sumber protein, selain daripada sumber unggas.
Ini mungkin disebabkan ketakukan terhadap kesan sampingan virus tersebut serta kekurangan bekalan yang sangat serius. Akibatnya, permintaan terhadap daging lembu melonjak dengan begitu besar sehingga 52% keluaran daging dari Brazil dieksport ke China.
Peta Eksport Daging Dunia Berubah
Perubahan drastik yang berlaku telah mengubah kedudukan pengeksport daging dunia. Amerika yang berdekad-dekad menduduki tangga teratas sebagai pengeksport pertama daging di peringkat dunia, kini turun ke tempat kedua kerana Brazil berjaya memintas kedudukan sebagai pengeksport di carta teratas pada penghujung tahun 2025.
Amerika turut mengalami masalah pengeluaran bagi lembu yang diternak dengan makanan daripada bijirin akibat pengeluaran jagung yang menurun kerana kemarau, selain peralihan penggunaan bijirin kepada makanan manusia disebabkan kekurangan bekalan bijirin dunia akibat peperangan.
Ledakan pengeluaran daging di Brazil adalah disebabkan oleh peningkatan kadar pengeluaran, penggunaan teknologi yang lebih baik dan permintaan tinggi dari China yang meningkatkan keuntungan melalui skala perniagaan yang besar.
Antara faktor penyumbang perubahan ini ialah kemajuan pantas dan cekap dalam sistem ternakan berasaskan rumput (pasture-based herd), pembiakbakaan yang berkesan seperti baka Nellore, serta penggunaan makanan berasaskan jagung tinggi protein yang mempercepatkan pertumbuhan ternakan dan memendekkan tempoh dalam kandang sebelum dijual. Pencapaian Brazil dalam bidang penternakan lembu pedaging juga didorong oleh pengembangan pertanian yang agresif serta peningkatan drastik pengeluaran bijirin.
Perbezaan antara Malaysia dan Brazil dalam pengeluaran daging ibarat langit dan bumi. Malaysia mempunyai jumlah penduduk sekitar 30 juta orang dan mengimport kira-kira 80% jumlah daging yang dikonsumsi. Manakala Brazil mempunyai lebih 200 juta penduduk dan mengeluarkan sekitar 200 juta ekor lembu setahun. Malaysia masih berusaha mencapai tahap sara diri bagi daging, tetapi Brazil sudah menjuarainya di peringkat dunia.
Kunci Malaysia Menyusul Jejak Brazil
Kedua-duanya berada di kawasan tropika yang membolehkan pengeluaran sepanjang tahun. Brazil mempunyai tanah yang luas untuk lembu meragut, manakala Malaysia mempunyai ladang sawit yang sangat sesuai untuk penternakan ruminan, sama ada sebagai kawasan ternakan atau sumber bekalan makanan dalam bentuk daun sawit segar yang dipotong ketika penuaian serta PKC (palm kernel cake), iaitu hasil sampingan daripada kilang pemprosesan buah sawit segar. Itu belum termasuk potensi penggunaan pelepah sawit dan serat sawit yang masih dalam penyelidikan.
Malaysia perlu belajar banyak daripada Brazil demi kejayaan industri daging negara. Kerjasama antara Malaysia dan Brazil dalam industri daging dunia boleh diibaratkan seperti cincin dan permata.
Special cut ala-Malaysia: daging batang pinang/musir, harimau menangis, dan tulang berdaging.
Malaysia mempunyai kekuatan yang diiktiraf dunia dalam pensijilan halal. Umum mengetahui bahawa industri daging memerlukan pensijilan halal bagi tujuan pengeksportan di peringkat antarabangsa. Negara-negara Timur Tengah yang kaya dengan wang petroleum rata-rata memerlukan sijil ini. Penghasilan daging Wagyu di Jepun misalnya telah melaksanakan pensijilan halal. Koperasi-koperasi pengeluar daging Wagyu di Jepun mewajibkan pusat penyembelihan mereka menggaji penyembelih secara halal. Majoritinya datang dari Malaysia kerana apabila JAKIM dirujuk berhubung prosedur penyembelihan halal, penyembelih Malaysia yang terlatih sering dicadangkan.
Biosekuriti Ketat Stabilkan Harga Daging
Ramai yang menerima gaji lumayan berkhidmat di sana, malah ada yang telah belasan tahun berada di bumi “bunga sakura” tersebut. Malaysia mampu bergerak di peringkat antarabangsa dengan bekerjasama dengan Brazil bagi menjamin sekuriti makanan dan memperkukuh kedudukan pensijilan halal negara. Brazil sebagai pengeluar daging utama dunia yang mapan serta pengeluar protein halal berkapasiti tinggi, termasuk ayam halal siap proses, mempunyai potensi kerjasama yang besar.
Penggunaan teknologi pembiakbakaan ternakan, pengurusan pastura yang cekap serta kawalan biosekuriti yang ketat mampu membantu industri ternakan lembu pedaging Malaysia mencapai tahap sara diri dan menstabilkan harga di pasaran. Brazil kini bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memanfaatkan kepakaran pensijilan halal untuk mengembangkan pasaran eksport Brazil ke Malaysia bagi produk protein haiwan seperti daging dan ayam sejuk beku.
Strategi industri daging Brazil wajar dipraktikkan di Malaysia berdasarkan hujah-hujah berikut:
Kepakaran Halal Peringkat Tinggi:
Brazil adalah pengeksport ayam proses halal yang terbesar di dunia, menggambarkan pengeluaran besar-besaran mampu menuruti syariat Islam dan kualiti keselamatan makanan antarabangsa, selaras dengan keperluan Malaysia dalam bidang ini.
Peningkatan Teknologi Perladangan:
Malaysia yang masih merangkak dalam pengeluaran daging perlu belajar daripada Brazil tentang penggunaan kepakaran pembiakbakaan peringkat tinggi, pemilihan genetik dan teknologi pengurusan pastura sehingga berjaya menjadi pembekal daging terbesar dunia.
Peningkatan Keterjaminan Makanan dan Pengurangan Pergantungan Import:
Malaysia mampu meningkatkan tahap sara diri (SSR) pengeluaran daging yang masih rendah, iaitu sekitar 17% pada tahun 2025, dengan mencontohi model industri daging Brazil bagi mencapai sasaran SSR 50% menjelang 2023, sekaligus mengurangkan pergantungan kepada import sebanyak 50%.
Perkongsian Pengetahuan dan Perdagangan:
Kerjasama dengan pengeluar daging terbaik dunia dari kawasan tropika membolehkan Malaysia berkongsi sinergi industri berskala besar serta model pengeluaran yang berkesan.
Kawalan Biosekuriti dan Kawalan Mutu yang Lebih Ketat:
Model biosekuriti dan kawalan mutu Brazil dalam ternakan unggas dan ruminan terbukti berkesan dalam pengawalan penyakit di peringkat antarabangsa serta memastikan integriti halal yang ketat.
Daging sembelihan tempatan lebih digemari.
Rakan Dagang di Amerika Latin
Brazil merupakan satu-satunya rakan dagang terbesar Malaysia di benua Amerika Latin dengan jumlah perdagangan pada tahun 2025 berjumlah sekitar US$5 bilion (RM19.66 bilion). Selain itu, Brazil juga bakal menjadi jambatan perdagangan dengan negara jiran-jiran serantaunya seperti Paraguay, Uruguay, Bolivia dan Argentina melalui pakatan Mercosur, iaitu sebuah organisasi integrasi dan kesatuan kastam serantau bagi Amerika Selatan.
Sementara itu, European Union (EU) dan Mercosur pula telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA), yang bakal menjadi penghubung kedua bagi produk Malaysia untuk menembusi pasaran Kesatuan Eropah, terutamanya minyak sawit mentah dan produk berasaskan sawit.
Terdapat banyak potensi kerjasama antara Malaysia dan Brazil yang melibatkan bidang pertanian, pengeluaran makanan asas tani, keterjaminan makanan antara kedua-dua negara serta teknologi pertanian dan industri pemprosesan.
Menurut DutaBrazil ke Malaysia, mulai tahun 2026 akan diperkukuhkan perjanjian merentasi beberapa sektor hasil daripada persetujuan peringkat tinggi antara Presiden Brazil dan Perdana Menteri Malaysia yang berlangsung semasa ASEAN Summit 2025. Brazil juga telah menjadi penyokong tegar bagi Malaysia untuk menyertai BRICS.
Evolusi Penternakan Lembu dan Cabaran
Brazil yang selama ini menjadi pengeluar kedua selepas Amerika tetapi berjaya memintas ke kedudukan pertama pada tahun 2025 telah membuka mata pelbagai pihak di seluruh dunia. Brazil kini diletakkan di bawah mikroskop dan dianalisis bagaimana negara yang dahulunya hanyalah negara membangun di kawasan tropika mampu berjaya dalam penternakan lembu pedaging.
Brazil memegang 27.7% pasaran dunia dengan lebih daripada 200 juta ekor lembu pada sesuatu masa, iaitu nisbah seekor lembu bagi setiap seorang penduduk! Lembu menjadi sumber ekonomi utama serta pekerjaan utama di kawasan luar bandar. Pencapaiannya dalam eksport berpunca daripada kemampuannya berproduksi pada kos yang rendah.
Kos pengeluaran daging di Brazil hanyalah sekitar €239 bagi setiap 100 kg berat karkas bagi ladang besar (pengeluaran 5,000 ekor setahun) hingga €628 bagi setiap 100 kg berat karkas bagi ladang kecil (jualan 35 ekor setahun), berbanding ladang biasa di EU yang mencatat €465 hingga €699 bagi setiap 100 kg berat karkas.
Usaha kerajaan Brazil sejak seabad lalu dalam mengubah beberapa polisi dilihat membantu industri penternakan lembu pedaging. Inovasi dalam teknologi penternakan, permintaan daging yang lebih besar di pasaran dunia, serta penggunaan baka yang produktif menjadi pemangkin pertumbuhan industry tersebut. Walau bagaimanapun, seperti industri lain di dunia, isu pengeluaran mapan telah menjadi syarat penting agar produk dapat dieksport, terutama ke Kesatuan Eropah (EU) yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap perlindungan alam sekitar.
Isu pemusnahan hutan, pembebasan gas rumah hijau (GHG) dan kerosakan alam sekitar sedikit sebanyak memperlahankan pertumbuhan, namun langkah ini dilihat perlu demi kelestarian jangka panjang. Penternak kecil dan sederhana juga berdepan kekangan sumber, menyebabkan mereka ketinggalan dalam penggunaan teknologi baharu.
Teknologi Tingkatkan Produktiviti
Kejayaan pengeluaran ternakan lembu di Brazil boleh dikaitkan dengan kos input yang murah, sistem ragutan pastura yang ekstensif serta amalan pengeluaran yang mapan. Teknologi telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, sekali gus membantu Brazil bersaing di pasaran global. Antara faktor utamanya ialah:
i. Pengurusan Pastura yang Efektif:
Rumput pastura yang memberikan hasil tinggi per meter persegi seperti Brachiaria telah berjaya meningkatkan produktiviti ternakan. Pastura ini sangat sesuai dengan iklim tropika Brazil, menghasilkan bahan hijau yang banyak, menjadikan ternakan sihat dan mutu daging tinggi pada kos yang cekap. Inovasi dalam sistem pusingan pastura dan kawalan hakisan yang berkesan memastikan tanah sentiasa subur serta mengurangkan hakisan bagi menjamin penghasilan dalam jangka masa yang sangat panjang.
ii. Sistem Integrasi Tanaman dan Ternakan (ICLS):
Model mapan terkini adalah dengan mengintegrasikan ternakan dengan tanaman atau hutan, sesuai dengan pepatah 'menyelam sambil minum air'. Sistem ini meningkatkan kecekapan penggunaan tanah, mempromosikan biodiversiti dan mempelbagaikan pendapatan petani. Kurangnya pergantungan kepada hanya satu usaha akan mengurangkan risiko petani sekiranya berlaku wabak, bencana alam, atau kejatuhan harga sesuatu komoditi.
Penglibatan pokok dalam sesuatu projek turut menstabilkan pelepasan oksigen serta memberi naungan kepada haiwan, sekali gus meningkatkan kebajikan ternakan. Malaysia juga telah mengintegrasikan ternakan lembu dan kambing di kebun sawit, namun pada skala yang masih kecil.
Belulang, ekor dan perut sembelihan tempatan sesuai untuk sup.
iii. Baka dan Pengkayaan Pembiakan:
Kemajuan dalam bidang pembiakan, khususnya penghasilan baka Nellore yang mampu beradaptasi dengan baik dalam cuaca tropika, meningkatkan kecekapan kadar pertumbuhan dan produktiviti ternakan di Brazil. Aktiviti pembiakbakaan dirancang dengan bantuan program komputer bagi mengesan sifat-sifat yang berkaitan dengan kadar pertumbuhan ternakan serta kesan persekitaran. Teknik-teknik seperti Permanian Beradas (AI) dan pengeluaran embrio in-vitro meningkatkan kualiti serta produktiviti kelompok ternakan.
iv. Peningkatan Mutu Dedak dan Vitamin Tambahan:
Industri lembu pedaging di Brazil meningkatkan kualiti pengeluaran dedak, makanan tambahan, dan suplemen bagi memastikan ternakan sentiasa sihat. Sistem semi-intensif dan sistem feed-lot telah berjaya mempercepatkan pertambahan berat badan serta memendekkan tempoh ternakan berada di padang pastura.
v. Permintaan Pasaran Dunia yang Kukuh:
Brazil telah menjadi pembekal utama kepada China dengan mengisi jurang pasaran dan memanfaatkan jumlah eksport yang tinggi, mencecah hampir USD17 bilion dalam nilai eksport.
vi. Kecekapan Kos dan Bekalan Makanan Ternakan:
Teknik penanaman jagung tanaman kedua (safrinha) menghasilkan bekalan jagung yang banyak dan murah, sekali gus membolehkan pengeluaran dedak ternakan yang berkualiti pada kos rendah, membantu negara kekal kompetitif berbanding Australia dan Amerika Syarikat.
vii. Peningkatan Teknik Feedlot Berbanding Sistem Lepas Bebas:
Pertambahan penggunaan sistem penternakan feedlot yang lebih moden dengan ciri-ciri khas meningkatkan jumlah ternakan yang boleh disembelih serta memendekkan tempoh ternakan mencapai berat sembelihan.
Organ dalaman boleh diproses menjadi burger dan sausage.
viii. Bekalan Kawasan Ternakan yang Luas:
Walaupun sentiasa dipantau oleh pejuang alam sekitar yang mempertahankan hutan, keluasan kawasan ternakan di Brazil membantu perkembangan industri ini. Kini dianggarkan terdapat sekitar 230 juta ekor lembu diternak, iaitu satu populasi besar yang mampu menstabilkan harga daging di pasaran.
Kesan Pasaran Daging China
Pertumbuhan pasaran daging import di China dan peningkatan eksport daging dari Brazil tidak memberi kesan besar kepada pengeksport daging dari Australia sepanjang lima tahun yang lalu.
Namun, pasaran akan terkesan sekiranya terdapat sekatan daripada pihak China terhadap import daging dari Brazil. Lebihan pengeluaran Brazil berkemungkinan membanjiri pasaran tradisi yang selama ini dibekalkan oleh Australia.
Oleh kerana daging Brazil mampu dijual pada harga yang lebih murah kerana dihasilkan daripada lembu yang makan rumput, berbanding sistem makanan berasaskan bijirin seperti di Australia dan Amerika, keadaan ini memberi kelebihan kepada pengguna (consumer market). Tekanan dijangka dirasai oleh Australia dan Amerika.
Daging yang lebih murah lebih disenangi oleh pengguna di negara seperti Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Bangladesh kerana sesuai dengan cara masakan tempatan serta lebih mampu milik. Bagi pengguna daging premium seperti potongan khas untuk stik, kebiasaannya mereka lebih memilih daging daripada ternakan yang diberi makan bijirin. Brazil telah menjadi pengeksport daging terbesar di dunia sejak tahun 2025 dengan nilai eksport sekitar USD17 bilion.
Baka KK-Cross setanding Nellore di Brazil.
Kesimpulan
Kecekapan dalam pengeluaran merupakan kunci utama yang memberi kesan besar kepada industri daging Brazil. Penternak Brazil mampu menggemukkan lembu dengan lebih pantas dan menyembelihnya pada umur yang lebih muda, sekali gus menjadikan usaha penternakan sangat produktif. Jika dahulu lembu disembelih apabila mencapai berat ekonomi pada umur sekitar 5 tahun, kini pada umur 36 bulan sudah mencapai berat yang sesuai.
Malah, sasaran kini adalah untuk penyembelihan pada umur 24 bulan. Pertumbuhan pesat industri etanol di Brazil turut menyumbang kepada perkembangan industri ternakan.
Produk sampingan selepas proses penyulingan etanol yang dikenali sebagai “bijirin kering penyuling” (dried distillers’ grains) mengandungi protein tinggi dan mampu mempercepatkan proses penggemukan ternakan. Kadar kebuntingan lembu juga lebih cepat kerana penternak mengamalkan teknik Permanian Beradas (AI) yang lebih pantas dan menjimatkan.
Hanya lembu betina dikekalkan untuk tujuan pembiakan, manakala lembu jantan disembelih untuk pasaran. Produktiviti tinggi di Brazil lahir daripada kecekapan di setiap peringkat pengeluaran, bukan semata-mata melalui penambahan bilangan ternakan atau perluasan kawasan.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.