September 03 2024

Industri Durian M'sia dan Peluang Eksport ke China

Industri Durian M'sia dan Peluang Eksport ke China - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Kegemaran baru makan durian di kalangan rakyat China membuka peluang bisnes kepada 3 pengeluar utama durian di dunia: Thailand, Vietnam dan Malaysia. Trend makan durian yang meletus di negara yang mempunyai penduduk seramai 1.4253 billion orang itu menjadikan penanaman durian menjadi sumber kekayaan baru di abad ini. 

Beberapa negara lain termasuk Indonesia dan Australia turut mengintai peluang untuk turut serta. Tidak kurang juga negara-negara yang bersempadan dengan Thailand dan Vietnam seperti Laos dan Kemboja. Masing-masing mempunyai kekurangan dan kelebihan untuk membekal durian kepada negara yang luas dan berpenduduk yang ramai itu, mungkin tidak dapat dipenuhi sepenuhnya. 

Peningkatan mendadak dalam bidang ekonomi membuatkan penduduk China mempunyai daya beli yang tinggi di samping sikap keterbukaan kerajaan sekarang terhadap produk luar negara.

Sebelum ini negara-negara pengeluar durian di dunia terkial-kial untuk membuka pasaran di Eropah dan Timur Tengah. Walaupun mereka mempunyai kekuasaan membeli tetapi mewujudkan kesukaan baru terhadap makanan yang asing bagi mereka adalah sukar. Orang Arab tidak dapat menahan bau durian apalagi untuk memakannya. Selera orang Eropah juga lebih senang dengan bau dan kemanisan yang sederhana. Durian yang mempunyai nilai kemanisan sehingga 42% Brix dan bau yang menyucuk hidung pasti sukar untuk menembusi pasaran di sana. Sebaliknya orang China, sebagai orang Asia dapat menerimanya dengan baik. 

Kajian Persaingan

Thailand merupakan negara nombor wahid dalam pengeksportan durian ke China. Mempunyai hubungan jalan darat dengan kereta api menjadi satu kelebihan kepada pengeksport di sana. Durian sebagai komoditi mudah rosak (perishable), dapat sampai kepada pasaran dalam tempoh 48 jam adalah satu kelebihan bagi Thailand. Apalagi kos pengangkutan melalui kereta api sangat murah, mereka dapat menawarkan harga yang sangat kompetetif kepada pelanggan tetapi masih menikmati margin keuntungan yang sangat lumayan. 

Thailand mengeksport 3 varieti klasiknya seperti Monthong, Kanyao dan Chanee. Varieti baru juga sudah diperkenalkan untuk pasaran eksport seperti Phuangmani dan Salika. Kebanyakan buah dipetik pada paras kematangan 80 - 85% di mana pembentukan gula dalam buah mencapai tahap maksimum dan aroma durian sudah mula terbentuk. Monthong sangat berbaloi kepada pembeli kerana isi yang tebal, biji yang kesep dan aroma yang kurang menyengat. Akan tetapi varieti Monthong lazimnya membesar sehingga 4-5kg sebiji, sukar bagi pekebun untuk mendapat saiz 2 - 2.5 kilogram sebiji yang dikehendaki pasaran. 

Kanyao pula mendapat harga yang baik di dalam negara dan bekalan tidak sebanyak Monthong. Chanee pula agak terkurang sedikit dari segi kualiti berbanding 2 varieti tersebut tetapi popular dan mendapat permintaan yang tinggi dalam negara dan untuk eksport ke Malaysia, Singapura dan Brunei. Vietnam mula memberi saingan kepada Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Industri durian di Vietnam masih lagi baharu. Berbekal beberapa klon dari Thailand, Vietnam menanam durian di delta Sungai Mekong. 

Kebanyakan varieti Vietnam adalah pemilihan varieti Thailand yang beradaptasi dan mencapai penghasilan yang memuaskan di sana. Akhir-akhir ini industri durian di delta Sungai Mekong terancam oleh saliniti yang tinggi akibat dari kemasukan air laut sehingga 150km dari muara. Pembinaan empangan di sepanjang sungai yang dikongsi bersama 3 negara lain menyebabkan aliran air ke muara berkurang dan diganti dengan air laut. Durian yang sangat sensitif kepada kemasinan mula menunjukkan ciri tidak sihat dan produksi yang rendah. 

Kemungkinan eksport durian Vietnam ke China akan berkurang dan ini membuka peluang kepada Malaysia untuk memenuhi vakum yang tercipta. Thailand mungkin membekal pada paras sedia ada kerana kejadian kemarau di beberapa kawasan pengeluar duriannya. 


Sebelum ini, Malaysia hanya diberi kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji, ulas dan pes berbanding Thailand dan Vietnam yang dibenarkan mengeksport durian segar.

 


Malaysia baru sahaja mendapat permit untuk mengeksport durian segar ke China sedangkan Thailand dan Vietnam sudah diberi kebenaran beberapa tahun lalu. Malaysia hanya boleh mengeksport seawalnya pada Oktober, 2024. Masa diperlukan bagi mengaudit pusat-pusat pengumpulan dan sistem fitosanitari yang wujud. 

Malaysia menawarkan varieti durian yang berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh Thailand dan Vietnam. Khabarnya varieti Musang King (D197) dan Duri Hitam (D200) dari Malaysia mendapat sambutan yang sangat baik di China. Kekuatan ini boleh digunakan sebaik mungkin untuk menguasai peratus pasaran. Ladang-ladang Musang King dan Duri Hitam skala besar yang ditanam sejak 10 tahun dahulu di Pahang, Johor dan Perak telah berproduksi dan sedia untuk mengeksport. Hakikat ini bukanlah rahsia lagi. Awas, Thailand dan Indonesia telah mengekori dekat dengan menanam dua varieti ini. Australia juga dikatakan telah membawa masuk benih Musang King dan Duri Hitam dan menanam dengan sekala besar. Di Vietnam sudah ada pengeluaran Duri Hitam. Sesuatu perlu dilakukan jika Malaysia tidak mahu kecundang lagi! 


Durian Thailand varieti Ganyao atau Tangkai Panjang.

 


Industri Durian di Malaysia

Mengikut perangkaan Jabatan Pertanian Malaysia, terdapat kira-kira 90,000 hektar kawasan yang ditanam dengan durian di Malaysia dan 63,000 hektar sedang berproduksi. Dianggar penghasilan bagi sehektar kawasan adalah setinggi 22 metrik tan per hektar. Antara varieti yang ditanam ialah Musang King (D197), Duri Hitam/Ochee (D200), Tupai King, Sultan (D24), IOI (D168), Tekka, Udang Merah dan berbagai-bagai lagi termasuk klon dari Thailand. Terdapat lebih dari 200 varieti durian unggul yang didapati layak dikembangkan berdasarkan kualitinya telah didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia sebagai rujukan, antara yang terakhir Jack Sparrow (D216) dan Jerai (D217) dari Gurun, Kedah. 

Kepada petani durian di Malaysia, peluang mengeksport durian dengan harga borong setinggi RM70/kg bagi klon terpilih seperti Musang King dan Duri Hitam/Ochee dan RM25/kg bagi Durian Kampung Premium adalah sumber kekayaan baru dan peluang yang tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mengikut Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli tidak semestinya dengan mempunyai ladang yang luas baru petani boleh mengambil peluang ini. 

Beberapa pokok sekitar rumah dengan varieti terpilih seperti Musang King, Duri Hitam dan Durian Kampung Premium, petani boleh menjualnya kepada pusat pengumpulan yang akan diselia oleh FAMA untuk mengawal kualiti dan menjamin harga yang setimpal kepada petani. Kewujudan tempat pengumpulan, mekanisme dan peraturan, durian dari pekebun kecil juga boleh dieksport. Hanya dengan 5 biji durian Durian Hitam purata berat 2kg sebiji, petani sudah boleh mendapat pendapatan harian di musim durian sebanyak RM700 sehari. Bagaimana jika terdapat 50 biji Duri Hitam sehari? 

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Dato’ Nor Sam Alwi, durian segar akan mula dieksport ke China mulai dari Oktober 2024 sebanyak 500-1000 metrik tan. Jenis durian yang dipilih untuk eksport adalah bergantung kepada permintaan pelanggan tetapi buat masa ini varieti Musang King (D197) mendapat permintaan yang tinggi. Selain pensijilan amalan baik myGAP yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian, 


Durian Vietnam dalam proses QC.

 


Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) akan mengaudit premis dan ladang yang akan mengeksport durian ke China. Dari dapatan jabatan, majoriti ladang yang menanam varieti premium seperti Musang King dan Duri Hitam di Pahang layak untuk mengeksport. Memandangkan musim durian pada tahun ini sudah hampir berakhir, tumpuan diberikan kepada pengeluaran durian bagi musim akan datang. Setiap ladang diseru untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian bagi mendapat sijil myGap dan berdaftar dengan Biosekuriti supaya ladang dapat mematuhi aspek kuarantin. 

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, kebenaran untuk eksport durian ke China diperolehi hasil dari pemeteraian Potokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China pada 19 jun 2024. Sebelum ini, Malaysia hanya diberi kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji, ulas dan pes berbanding Thailand dan Vietnam yang dibenarkan mengeksport durian segar. 

Ramai pengguna musykil dengan aktiviti pengeksportan durian ke luar negara akan menyebabkan pengguna tempatan terpinggir dan tidak mampu membeli akibat dari harga durian tempatan turut menjadi mahal. Bagi Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri, situasi demikian tidak akan berlaku kerana hanya durian premium gred A dan AA dari varieti terpilih seperti Musang King, Duri Hitam dan IOI sahaja akan dieksport. Gred B ke bawah dan durian kampung akan memenuhi pasaran tempatan dengan harga mengikut permintaan dan penawaran. Pada kemuncak durian gugur dengan jujuh pasti harganya menjadi mampu milik kepada setiap lapisan masyarakat. 

Standard Durian Kampung Premium  

Pada tahun 2016, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan Standard Durian Kampung Premium sebagai panduan kepada petani durian dan pembeli. Antara ciri-ciri durian yang berkualiti dalam standard ini ialah tangkai mestilah segar dan hijau. Isi durian mencapai ketebalan 10 milimeter berwarna krim, kuning atau jingga dan berat buah melebihi 1 kilogram per buah. Paras kemanisan mencapai 25% Brix, isi rasa berlemak dengan sedikit rasa pahit. Dengan standard yang difahami bersama bukan sekadar durian klon yang didaftarkan boleh dieksport tetapi juga Durian Kampung Premium yang mencapai kualiti yang memuaskan.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag