January 21 2025
Oleh: Nik Sukry Ramli
Panorama indah Kampung Labu Kubong dekat Kuala Kangsar, Perak, membawa rezeki kepada 15 pengusaha inap desa dengan penubuhan Koperasi Homestay Labu Kubong sejak 2017.
Mereka bukan sekadar menyediakan perkhidmatan penginapan malah pengunjung turut dilibatkan dengan aktiviti harian penduduk setempat seperti mengusahakan sawah, mengambil madu lebah, menarik upih, kraf tangan dan silat bersama orang kampung.
Faktor unik geografi kampung itu dikelilingi bukit-bukau serta sawah padi, membuatkan suasana pagi di situ sejuk serta berkabus.
Pengurus Koperasi Homestay Labu Kubong, Noorshazlin Meor Samsudin, berkata, idea mewujudkan sebuah kluster homestay adalah hasil idea bapanya, Meor Samsudin Abu Hassan, 66, bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak sekitar Julai 2014.
Menurutnya, perniagaan inap desa itu bertujuan membantu penduduk kampung yang majoritinya bekerja sebagai pesawah dan penoreh getah, menjana pendapatan tambahan.
“Pada peringkat awal, penduduk kampung yang berminat perlu menjalani kursus dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Pada Julai 2014, kami tubuhkan Persatuan Pengusaha Kampungstay dan Homestay Labu Kubong sebagai muafakat penduduk kampung, melaluinya setiap ahli mempunyai peranan tersendiri dalam jawatankuasa bagi menguruskan beberapa unit homestay.
“Pada pandangan saya, keunikan inap desa di kampung ini adalah sifat orang kampung sendiri yang ramah dan suka berinteraksi dengan pengunjung melalui pelbagai aktiviti, sehingga ada pengunjung nyatakan bahawa umpama di kampung sendiri kerana terharu dengan layanan mesra masyarakat Kampung Labu Kubong,” katanya.
Bantuan Kewangan Dari Tourism Perak Semasa Pandemik
Noorshazlin berkata, koperasi juga memiliki van dan ‘tram’ yang disumbangkan oleh kerajaan selepas mereka memenangi anugerah pada satu majlis sekitar tahun 2018.
“Selepas menerima anugerah itu, kami disarankan menubuhkan koperasi bagi melicinkan lagi pengurusan inap desa kerana perbelanjaan sentiasa diaudit, ahli mendapat manfaat dalam bentuk dividen dan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada penduduk kampung. Kini, Koperasi Homestay Labu Kubong disertai 15 pengusaha dengan 10 unit inap desa dengan pelbagai pakej menarik.
“Alhamdulillah, homestay kami berjaya mendapat Anugerah Pelancongan Standard ASEAN bagi kategori inap desa tahun lalu yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia. Ini adalah pengiktirafan yang sangat besar kerana segala pengorbanan dan penat lelah penduduk kampung membangunkan identiti pelancongan kami terasa berbaloi,” katanya.
Noorshazlin berkata, pihaknya berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad kerana mengambil berat industri pelancongan menerusi flagship Ekonomi Pengalaman menerusi segmen Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Melalui pelan berkenaan, katanya, Tourism Perak selaku peneraju flaghip berkenaan membantu Koperasi Homestay Labu Kubong menerusi aktiviti promosi dan bantuan kewangan semasa pandemik Covid-19 lalu.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.