November 01 2024

Ketenangan Semula Jadi di Denai Kabus

Ketenangan Semula Jadi di Denai Kabus - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Keindahan alam semula jadi dan ketenangan fikiran adalah kunci utama dalam melepaskan tekanan apabila   memilih lokasi untuk berehat. 

Bagi pengembara atau pelancong yang pernah memasuki pintu sempadan Betong, Thailand dari daerah Hulu Perak, sudah tentu mereka akan melintasi   pekan Gerik, antara pekan paling hampir   selepas pekan Pengkalan Hulu.


Antara aktiviti menarik disediakan pihak pengurusan untuk pengunjung ke Denai Kabus.

 


Kedudukan Gerik yang cukup strategik iaitu   terletak antara laluan utara, timur, selatan atau barat Semenanjung, menjadikan ia digelar sebagai ‘pekan rehat’. 

Kebanyakan pengunjung bercuti ke sini biasanya kumpulan pendaki atau peminat sukan ekstrim   kerana terdapat dua gunung antara yang tertinggi di Semenanjung iaitu Kenderong dan Kerunai - atau lebih dikenali dengan K2 - yang berada tidak jauh dari pekan terbabit. 

Pemandangan dari K2 ini bukan sahaja boleh   merentasi seluruh pekan Gerik, bahkan mampu menjengah ke Pulau Pinang. 

Sebelum pandemik Covid-19, ramai pelancong luar datang untuk mendaki dan menikmati panorama dari puncak yang turut menyajikan pemandangan luar biasa. 

Kedua-dua gunung ini turut menjadi buruan   pendaki tempatan dan luar negara untuk merakam fenomena awan karpet dari puncak Gunung   Kenderong. 

Tarikan lain ialah konsep pelancongan Agro   diusahakan penduduk tempatan termasuk seorang pesara guru, Ahmad Termizi Abdul Hamid, 64,  bersama anak sulungnya, Dr Mohd Hafez Istiqar, 40 dan menantunya, Firdaus Sunhaji.


Trek berjalan turut disediakan kepada pengunjung Denai Kabus yang ingin melakukan aktiviti 'brisk walk' sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

 


Suhu Persekitaran Sejuk

Lokasi percutian ala dalam ladang dikenali   sebagai Denai Kabus itu mempunyai penceritaan   menarik apabila namanya dipetik berdasarkan keadaan persekitaran kawasan itu yang berkabus. 

Ahmad Termizi yang berperanan sebagai pengurus di situ berkata, kedudukan Denai Kabus yang   terletak dalam kawasan Kampung Pahat iaitu antara kampung paling hampir dengan kaki Gunung K2 membuatkan suhu persekitarannya sejuk. 

“Saya masih ingat lagi ketika mula mengajar di   Pekan Gerik sekitar tahun 70-an hingga 80-an,  sejuknya kawasan Gerik ini sebelum dibangunkan sehingga minyak masak boleh membeku. 

“Namun lama-kelamaan apabila hutan ditebang   untuk pertanian dan pembangunan, ekosistem mula berubah... selain hanya sesetengah tempat masih saja boleh menikmati suasana itu. 

“Denai Kabus salah satunya kerana setiap pagi boleh rasa sejuk seperti berada di tanah tinggi dan kabus masih kelihatan sehingga melewati jam 12 tengah hari. Lebih ketara menjelang musim hujan,”   katanya. 

Ahmad Termizi bercerita lagi, mereka yang   menginap baik di chalet atau di khemah juga dapat merasai suasana sejuk dari malam sehinggalah ke tengah hari. 

“Kalau di sini pasang kipas sudah memadai dan saya sendiri tidak memasang sebarang pendingin hawa di chalet kerana suhu sudah cukup sejuk. 

“Jika berkhemah pula, buka sahaja pintu khemah, anda boleh menikmati pemandangan berkabus   seolah-olah sedang bercuti di tanah tinggi seperti Cameron Highlands atau Genting Highlands. 

“Berlatarkan pemandangan gunung, rasanya anda boleh merehatkan diri atau mencari   ketenangan,”katanya. 

Mengenai aktiviti boleh dilakukan pengunjung di situ pula, beliau memaklumkan pelbagai aktiviti berkonsepkan percutian dalam ladang boleh   dilakukan pengunjung. 

“Di sini ada pelbagai aktiviti boleh dilakukan   pelbagai peringkat usia. Mereka boleh berkuda atau lakukan aktiviti sukan air seperti berkayak. 


Antara aktiviti berciri sukan ekstrem yang turut ditawarkan kepada pengunjung yang suka kelainan di Denai Kabus untuk mereka suka mencabar kemampuan diri.

 


“Air dalam kolam buatan pula menggunakan air semula jadi iaitu sungai kecil berhampiran untuk kolam ikan dan rekreasi. Jadi, anda boleh berkayak mahupun memancing di sini. 

“Sebelum pandemik, saya juga pelihara pelbagai jenis ayam termasuk ayam selasih dan semuanya terpaksa dijual untuk kelangsungan apabila   terputus sumber pendapatan bagi pembelian makanan haiwan ternakan terbabit. 


Aktiviti air seperti berakit turut disediakan di Denai Kabus dengan memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan cara memberi bantuan jika berlaku kecemasan.

 


“Haiwan peliharaan lain seperti arnab juga boleh   dibelai dan dekati. Memang kami mahu konsep   interaksi mesra dengan haiwan dan tanaman. 

“Selain memberi pengalaman cara hidup ringkas   dalam ladang tanaman dan ternakan,” katanya. 

Terbaru pihaknya berkolaborasi dengan Jabatan Pertanian Hulu Perak bagi mewujudkan plot   tanaman hidroponik untuk penanaman strawberi dan pelbagai jenis sayur-sayuran. 

“Projek terbaru untuk memperkembangkan lagi aktiviti boleh dilakukan di sini selain pengunjung boleh memetik dan menikmati buah-buahan   seperti strawberi serta sayur-sayuran ditanam. 

“Mereka boleh tuai sendiri. Malah pelbagai jenis tanaman seperti durian, pokok limau, pokok lemon dan rambutan ada di sini. 

“Setidak-tidaknya pengunjung yang datang dengan anak boleh pelajari atau mengenali tanaman dan rasai sendiri perasaan memetiknya,” katanya yang berharap projek itu tersedia sebaik aktiviti   pelancongan boleh dibuka pada semua. 

Tidak terkecuali, pengunjung Denai Kabus turut berpeluang merasai pengalaman atau suasana   ‘kenduri.’ Juadah atau menu wajib seperti gulai   umbut pisang bersama daging antara juadah wajib di daerah itu. 


Sukan berkayak dan menggunakan sampan atau perahu adalah antara pakej disediakan kepada pengunjung Denai Kabus yang ingin menikmati suasana alam sekitar dengan cara berbeza.

 


“Bagi hidangan tetamu pula, biasanya kami sediakan gulai umbut pisang bersama daging. Ia antara gulai kenduri yang wajib. 

“Kami turut hidangkan dalam dulang menggunakan pinggan mangkuk tembikar putih bermotif bunga kangkung. 

“Air pula sirap serbat iaitu air yang biasanya   disediakan ketika kenduri di sini. Jika ada rezeki, tetamu berpeluang hadiri kenduri yang betul-betul diadakan penduduk tempatan. 

“Ini kerana, biasanya tuan rumah akan jemput   tetamu atau pengunjung untuk sama-sama   menikmati hidangan kenduri,” katanya. 

Pengunjung Denai Kabus juga boleh merasai   pengalaman memancing dan melawat ladang di   sekeliling kawasan berkenaan. 

Denai Kabus boleh diakses kira-kira 10 kilometer dari pekan Gerik dengan pemanduan kira-kira   15 minit dengan perjalanan menuju ke pekan   Pengkalan Hulu.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag