September 10 2026

Durian Petik Bukan Jalan Terburu-buru

Durian Petik Bukan Jalan Terburu-buru - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bernard Saw    Gambar: Responden, Internet

Menghadapi gelombang sistem potong tangkal durian (pre-cut) yang juga dikenali sebagai durian petik, patutkah Malaysia mengikuti model Thailand atau mengekalkan keunikan durian masak di pokok? Pengasas merangkap Pengerusi DKing, Simon Chin, berpendapat bahawa durian petik boleh menjadi salah satu pilihan pasaran, tetapi tidak wajar diadaptasi secara terburu-buru selagi teknologi dan piawaian kualitinya belum matang. 

Buat masa ini, beliau memilih untuk tidak mengikut jejak langkah tersebut, sebaliknya menumpukan usaha meneroka teknologi pengekalan kesegaran, dengan harapan dapat mempertahankan kelebihan unik durian masak di pokok Malaysia. 

Lambakan Durian Tekan Harga

Musim durian Malaysia 2026 disifatkan oleh ramai penggiat industri sebagai satu "tsunami". Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lambakan pokok durian yang ditanam mula memasuki fasa pengeluaran optimum, menyebabkan bekalan melonjak drastik dan harga merudum; malah di sesetengah kawasan, berlaku lambakan hasil yang tidak terjual. 

Pada masa yang sama, pengeluaran durian Thailand tahun ini dijangka mencecah 1.8 juta tan, meningkat 20% berbandingtahun lalu, dengan kadar eksport harian meningkat sepuluh ganda. 

Keluasan tanaman di Vietnam pula telah berkembang hampir lima kali ganda dalam tempoh sedekad, dan kini rancak merampas pasaran China dengan kelebihan harga rendah. 

Di bawah tekanan persaingan yang sengit ini, persoalan "patutkah kita meniru Thailand untuk membangunkan model durian petik" telah bertukar daripada sekadar bualan industri kepada realiti yang terpaksa dihadapi oleh pengusaha durian Malaysia. 


Untuk durian Malaysia melepaskan diri daripada perang harga, usaha promosi jenama dan pendedahan pasaran secara berterusan amat diperlukan bagi membina nilai premium. Gambar menunjukkan DKing menyertai program Promosi Jenama Terbaik Malaysia anjuran FAMA. 

 


Bermula dari tapak gerai pasar malam hingga berjaya membina jenama antarabangsa, Simon Chin menegaskan bahawa beliau buat masa ini tidak akan melibatkan diri dalam pengeluaran durian petik: "Teknologinya bukan milik kita, pengiraan kos dan untungnya juga tidak masuk akal. Kerana kurang arif tentangnya, saya tidak mahu semberono mencubanya." 

Mekanisme Lemah Gugat Industri 

Menyentuh tentang segelintir pemilik kebun yang beralih kepada durian petik, Simon Chin tidak mengkritik pilihan tersebut. Beliau faham bahawa realiti yang dihadapi oleh setiap pemilik kebun adalah berbeza. 

Beliau mengklasifikasikan pemilik kebun kepada dua golongan. Golongan pertama ialah pelabur dusun yang mempunyai sumber pendapatan lain. Mereka mampu bertahan dengan turun naik harga jangka pendek, justeru lebih komited mengekalkan model durian masak di pokok demi mempertahankan kualiti dan imej pasaran. Golongan kedua pula ialah pekebun kecil yang bergantung sepenuhnya kepada hasil kebun. Apabila harga jatuh dan aliran tunai terjejas, mereka terdesak untuk mendapatkan pulangan modal dengan segera. Walaupun sedar durian petik kurang menguntungkan, ia menjadi pilihan yang terpaksa diambil. 

"Mereka bukan tamak, tetapi tiada pilihan lain." 

Situasi inilah yang menyebabkan wujudnya ketidakstabilan pasaran; apabila harga tinggi, pekebun enggan memotong buah, namun apabila harga menjunam, mereka tergesa-gesa mencari pemborong durian petik. Akibatnya, hubungan antara pembeli dan penjual menjadi rapuh. Bagi Simon, ini bukan salah petani, tetapi kerana industri masih belum mewujudkan satu mekanisme jual beli yang meyakinkan semua pihak. 


Simon Chin berpendapat, sekiranya pasaran durian petik semakin matang pada masa hadapan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menembusi segmen tersebut melalui jenama subsidiari, namun ia tidak   akan menjejaskan identiti durian masak di pokok jenama utamanya. 

 


Risiko Akibat Bergantung Pihak Luar 

Mengenai trend durian petik yang hangat diperkatakan, pendirian Simon Chin kekal tegas: "Kami tidak akan buat." 

Beliau menekankan bahawa menghasilkan durian petik bukan sekadar memetik buah lebih awal, sebaliknya melibatkan rantaian teknikal yang kompleks seperti penilaian tahap kematangan, ketepatan masa penuaian, dan proses pemeraman. 

Realitinya, teknologi kritikal ini kini didominasi oleh pekerja mahir dari Thailand, manakala pengusaha tempatan masih kekurangan kepakaran untuk mengendalikannya secara seratus peratus. 

Pada pandangannya, kebergantungan ini membawa dua risiko utama. Pertama, rantaian bekalan yang goyah. Sekiranya berlaku pergerakan tenaga buruh asing atau perubahan dasar kerajaan, kelancaran operasi penuaian pasti terjejas. Kedua, isu jaminan kualiti. 

"Kerap kali, sama ada buah itu benar-benar masak atau tidak, hanya akan diketahui selepas kontena dibuka di China." 

Bagi syarikat berjenama, ini adalah satu risiko yang terlalu besar untuk ditanggung. "Jika anda sendiri gagal menjamin kualiti dan keprofesionalan produk, bagaimana pelanggan mahu meletakkan kepercayaan terhadap anda?" 

Tuai Awal Belum Tentu Menguntungkan 

Selain kekangan teknikal, Simon Chin turut merungkai keberkesanan sebenar model durian petik dari sudut pengiraan kos. 

Berdasarkan anggarannya, kos mengupah pekerja Thailand untuk memetik buah di kebun akan meningkatkan kos buruh sekitar RM2 sekilogram. Tambahan pula, dalam tempoh satu hingga dua hari selepas dipetik, buah akan mengalami susut berat akibat kehilangan air sebanyak 10% hingga 20%. Apabila kedua-dua faktor ini digabungkan, kos sebenar mungkin melonjak sehingga RM5 hingga RM6 sekilogram. 

Beliau memberikan analogi: "Jika harga pasaran buah masak di pokok ialah RM30 sekilogram, pemborong sebenarnya perlu membayar pada harga sekurang-kurangnya RM35 sekilogram barulah pekebun boleh mendapat margin keuntungan yang munasabah." 

Daripada buah segar kepada produk sejuk beku dan hiliran, kepelbagaian produk membantu syarikat mengembangkan pasaran, tetapi nilai jenama tetap menjadi kunci utama daya saing.

 

Sayangnya, realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Ramai pekebun yang panik buah mereka tidak terjual sanggup melepaskan hasil pada harga RM26 atau RM28 sekilogram ketika harga pasaran bernilai RM30. Di atas kertas buah memang terjual, tetapi hakikatnya mereka menanggung kerugian. 

Cabaran Teknologi Pengekalan Segar 

Kesegaran Berdepan dengan lambakan pengimport yang lebih cenderung memilih durian petik demi meminimumkan risiko kerosakan, Simon Chin berpendapat adalah lebih baik menumpukan pelaburan ke arah teknologi pengekalan kesegaran berbanding berkompromi dengan kualiti. Namun, beliau akui industri tempatan masih di fasa percubaan dalam aspek ini. 

"Proses ini mungkin memakan masa satu atau dua musim. Perlu ada pihak yang sanggup melabur untuk mesin, dan perlu ada perintis yang berani mencuba." 

Bagi memastikan durian masak di pokok mampu bertahan dalam logistik jarak jauh, teknologi seperti pra-penyejukan vakum (vacuum pre-cooling), pembungkusan inovatif, serta rawatan tangkai perlu disinergikan. Mengikut perkiraannya, untuk memanjangkan jangka hayat buah melepasi 10 hari, kos tambahan hanyalah RM2 hingga RM3 sekilogram. Berbanding kerugian tersembunyi sebanyak RM5 hingga RM6 sekilogram menerusi model durian petik, pelaburan dalam teknologi kesegaran ini jauh lebih berbaloi. 

Ditambah pula dengan inisiatif laluan darat yang disokong kerajaan, buah segar kini boleh tiba di Greater Bay Area (GBA) dalam masa enam hari. Kemampuan mengekalkan kesegaran ini mampu menjadi perisai utama untuk mempertahankan nilai premium durian masak di pokok Malaysia. 

Risiko Dorong Pilihan Durian Petik 

Rugi Mengenai persepsi bahawa "pengguna China lebih gemar durian petik", Simon mempunyai tafsiran berbeza. Menurutnya, pendorong sebenar di sebalik permintaan durian petik bukanlah perubahan selera pengguna, tetapi strategi pengimport untuk mengurangkan risiko kerugian selepas jualan (after-sales risk). 

"Jika durian masak di pokok menjadi masam atau rosak semasa dalam transit, pampasan untuk satu kes sahaja sudah cukup untuk menelan keseluruhan keuntungan satu kontena." 

Beliau menjelaskan, sejajar dengan ledakan e-dagang, pengimport bukan sahaja berdepan tekanan tuntutan ganti rugi, malah perlu memenuhi tuntutan konsistensi produk daripada pembeli. Secara perbandingan, fizikal durian petik yang lebih keras dan tahan lama memang jauh lebih mudah diuruskan dari segi logistik dan jualan. 


Durian Malaysia kini menyasarkan pasaran pengguna premium di China. Bagaimana mahu mendidik lebih ramai pengguna untuk menghargai rasa durian masak di pokok kekal menjadi cabaran utama dalam pembinaan jenama. 

 


Namun, penyelesaian ini hanyalah untuk keselesaan pihak pengedar, dan tidak sepatutnya mengorbankan keaslian kualiti durian masak di pokok. 

"Selagi masalah kritikal (titik sakit) berkaitan kualiti selepas jualan ini tidak diselesaikan, sehebat manapun kita mempromosikan rasa durian masak di pokok, pihak pengedar tetap tidak akan berani membelinya." 

Justeru, peningkatan teknologi pengekalan kesegaran merupakan kunci sebenar untuk membawa durian masak di pokok melangkah lebih jauh di persada antarabangsa. 

Didik Pengguna Untuk Bina Reputasi 

Pada pandangan Simon, senjata utama durian Malaysia bukanlah sekadar pada tahap kemanisannya, tetapi terletak pada keunikan profil rasa yang kompleks dan tekstur kematangannya. 

Beliau mengibaratkannya seperti pasaran wain. Dahulu, pengetahuan pengguna China terhadap wain sangat terhad. 

Namun hasil daripada pendedahan pasaran, percutian, dan pendidikanyang berterusan, pengguna mula pandai membezakan wilayah pengeluaran, tahun keluaran, serta nilai sesuatu jenama. Durian Malaysia juga memerlukan masa untuk mendidik pasaran menghargai nilai eksklusifnya. 

Rasa manis bercampur pahit yang sinonim dengan durian masak di pokok Malaysia adalah elemen terpenting yang meletakkannya di kelas premium. Sekiranya industri beralih sepenuhnya kepada durian petik hanya semata-mata mahu memenuhi selera pasaran yang menggemari rasa manis pada masa ini, ia dikhuatiri akan melenyapkan keunikan sebenar durian Malaysia. 

Menurut Simon, jumlah penggemar tegar di pasaran China yang benar-benar tahu menilai kualiti rasa durian Malaysia mungkin masih kecil, namun pengaruh mereka semakin meluas. 

Golongan yang sering berulang-alik ke Singapura, Malaysia, dan Hong Kong ini lebih memahami nuansa durian masak di pokok, dan sanggup berbelanja lebih untuk produk yang dijamin kualitinya. 

Tegasnya, beliau tidak menolak model durian petiksepenuhnya; apa yang ditentangnya adalah tindakan melulu mengejar trend tanpa disokong oleh kemahiran teknikal. 


Keperluan pengguna berbeza mengikut segmen pasaran. Durian masak pokok dan durian petik boleh diwujudkan sebagai kategori pasaran tersendiri, bukannya saling menggantikan. 

 


Segmentasi Pasaran Ikut Kehendak Pengguna 

Sungguhpun DKing belum mahu beralih kepada durian petik, Simon Chin berpendapat pasaran masa depan tidak semestinya didominasi oleh satu acuan sahaja. 

Setiap segmen pengguna mempunyai citarasa berbeza; durian masak di pokok dan durian petik boleh diklasifikasikan sebagai segmentasi pasaran yang berasingan dan tidak perlu saling menyingkirkan. 

Pemerhatiannya mendapati durian petik kini merangkumi sekitar 20% daripada pasaran keseluruhan. Sekiranya angka ini mencecah 50% suatu hari nanti, disokong oleh SOP teknologi dan piawaian kualiti yang ketat, beliau bersedia untuk meneroka segmen tersebut. 

"Jika tiba masanya, saya mungkin akan melancarkan jenama subsidiari yang memfokuskan khusus kepada durian petik, tetapi tanpa mencemarkan nilai jenama utama (DKing)." 

Pembezaan ini amat penting bagi menjaga reputasi profesional jenama utamanya yang telah dibina selama 17 tahun. 

Sebarang produk durian petik yang ingin dipasarkan kelak perlu diletakkan di bawah profil berbeza bagi menyantuni sasaran pasaran yang lain. 


Thailand turut giat memperluas penanaman durian Musang King dan Black Thorn, dengan pengeluaran besar serta rantaian pengangkutan yang semakin matang dan cekap. 

 


Nilai Jenama Penentu Masa Depan 

Mengakhiri perbualan, Simon mendedahkan bahawa kebanyakan kilang pemprosesan durian tempatan masih selesa bergantung pada model OEM (Original Equipment Manufacturer). 

Walaupun model ini membolehkan pusingan jualan yang pantas, margin keuntungannya amat nipis, adakalanya sekadar RM1 hingga RM2 sekilogram. 

Tanpa perisai jenama, kilang mudah terjerat dalam kancah perang harga. Apabila pembeli mendesak harga diturunkan, pengilang terpaksa akur, sekaligus membantutkan usaha untuk melabur dalam peningkatan kualiti. Sebaliknya, syarikat yang memiliki reputasi jenama yang kuat mampu meletakkan harga premium menerusi strategi pemasaran strategik dan program pendedahan pengguna. 

"Tanpa jenama, kita pasti ketinggalan; mereka yang ada jenama, sekurang-kurangnya mempunyai kuasa tawar-menawar." 

Pembezaan Kunci Daya Saing 

Secara konklusinya, polemik antara durian petik dan durian masak di pokok ini bukan sekadar isu tentang cara penuaian, tetapi cerminan kepada hala tuju dan identiti masa depan durian Malaysia. 

Mutakhir ini, Thailand juga giat menanam baka Duri Hitam dan Musang King secara berskala besar, disokong oleh rantaian logistik yang cekap. 

Jika Malaysia sekadar meniru corak pengeluaran durian petik Thailand, kita akhirnya akan terjerumus ke dalam kancah persaingan produk yang serupa (homogen). 

Pada masa itu, pembeli tidak akan membayar lebih hanya kerana label "durian petik pokok tua"; dan Malaysia akan hilang kuasa tawar-menawar sepenuhnya. 

Beliau yakin, harta paling berharga yang wajib dipertahankan oleh penggiat durian Malaysia ialah rasa asli, jaminan kualiti, dan nilai eksklusif yang lahir daripada model durian masak di pokok. 

Durian petik mungkin mampu menyelesaikan isu jualan jangka pendek, tetapi untuk jangkamasa panjang, hanya dengan mengekalkan pembezaan yang tidak boleh ditiru, barulah durian Malaysia dapat mempertahankan tahtanya dan nilai premium di peringkat global.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag