December 19 2023
oleh: Jamaludin Mat Rashid
Chokchai Farm, Thailand |
Percutian anda ke Kota Metropolitan Bangkok bersama keluarga tidak akan lengkap tanpa kunjungan ke sebuah destinasi agropelancongan antara yang terunik di dunia iaitu Chokchai Farm.
Ladang berkonsepkan industri tenusu (diary farm) ini mempunyai semua tarikan bagi sebuah keluarga zaman Tik Tok: pohon-pohon bunga matahari yang melaut sebagai latar belakang selfie, taman tema ala Wild West seolah-olah berada di set filem koboi High Chapparal dan kambing biri-biri gebu jalan berbaris seperti anda berada di New Zealand. Kanak-kanak pasti teruja dengan aiskrim home-made yang penuh dengan khasiat susu. Bagi usahawan dan ahli koporat Chokchai Farm adalah contoh unik bagaimana satu bisnes di posisi dan dibuat perubahan strategi mengikut situasi semasa dan kehendak pelanggan.
Kisah bermula pada tahun 1957 apabila seorang petani Dr. Chokchai Bulakul telah membeli sekeping tanah ladang seluas 40 hektar (100 ekar) di luar bandar dan mengambil alih perniagaan ternakan lembu pedaging bersamanya.
Terletak di daerah Pak Chong, Nakhon Ratchasima, kira-kira 160 km dari kotaraya Bangkok. Ladang yang jauh dari hiruk-pikuk kota, berada di atas dataran tinggi Korat ini mempunyai mukabumi yang rata seluas mata memandang dan udara yang segar dan nyaman terutamanya pada musim sejuk. Cuaca begini sangat sesuai bagi pengeluaran prosuk makanan yang memerlukan suasana bersih dan nyaman seperti sayuran, buah-buahan, daging dan susu.
Di awal penglibatan Dr. Chokchai dalam perladangan, permintaan produk susu semakin meningkat selari dengan pertambahan penduduk kotaraya Krongthep Mahanakorn (nama lama bagi Bangkok). Dr. Chokchai yang berdarah Cina Kantonis berasa terpaksa beralih arah dari pengeluaran daging lembu kepada susu segar walaupun pada tahun 1969 lembu pedaging baka Santa Gertrudis dilapor sudah berjumlah 12,000 ekor. Lembu pedaging betina telah dibuat permanian beradas (artificial insemination) dengan benih beku yang diimport, menghasilkan lembu susu superbreed hasil biak-baka Dr Chokcai sendiri. Baka ini mempunyai kombinasi genetik 97 peratus Holstein + Fresian dan 3 peratus Brahman + Getrudis. Kombinasi ini membolehkan baka superbreed bertahan pada cuaca panas monsun tropika di Pak Chong.
Anak Selamatkan Bisnes Susu
Pada tahun 1985 syarikat telah membina sebuah kilang pemprosesan dan pembotolan dan mengedar susu seluruh kotaraya Bangkok dan berhampiran dengan jenama Chokchai Milk. Pada tahun 1994 akibat dari kemelesetan ekonomi, bisnes susu mengalami masalah tetapi dapat diselamatkan oleh anak beliau Choak Bulacul yang bergraduat dalam bidang Kesihatan Haiwan, Universiti Vermont, USA. Bilangan lembu susu meningkat hingga 3000 ekor dan pekerja bertambah dari 200 orang ke 1300.
Kini, selain dijual kepada pengunjung ladang, Chokchai Farm menjual susu dan produk tenusunya melalui pasaraya dan kedai serbanika di seluruh Pak Chong, Rangsi dan kotaraya Bangkok. Nestle Food turut mengambil susu segarnya sebanyak 5 metrik tan sehari untuk diedar dan diproses menjadi produk hiliran.
Melalui anak syarikatnya Chokchai Ranch Company (CRC), makanan ternak dikilang sendiri dengan 20 peratus dari keluarannya adalah bagi kegunaan lembu susu dan lembu baka di Ladang Chokchai. Syarikat ini juga membekal ubat-ubatan berkaitan veterinar kepada penternak lain. Lembu susu akan mendapat resyen hariannya di pusat pemerahan susu dan di kandang. Trailer 3 mt diguna untuk mengedar campuran dedak mengikut keperluan harian lembu. Ladang lain yang berhampiran digunakan untuk pembiakan lembu baka. Chokchai Farm turut mengekspot lembu baka untuk pembiakan kepada negara jiran sekitar seperti Vietnam, Laos dan Malaysia, satu-satunya ladang mencapai kualiti untuk berbuat demikian di Thailand.
Tanam Rumput Napier Pak Chong
Chokchai Farm menggunakan sebahagian dari 3200 hektar ladangnya bagi pengeluaran bahan makanan ternakan hingga mencapai paras sara diri. Pernah ditanam petai belalang (Lucaena leucosephala) kerana nilai protein yang tinggi tetapi dihentikan kerana masalah sampingan. Penyelidikan terus berjalan bagi mencari tanaman makanan haiwan yang bernilai tinggi. Kini rumput Napier varieti Pak Chong atau Elephant Grass (Pennisetum purpureum) ditanam secara berumpun dan dituai tiap-tiap hari menggunakan havester bagi makanan lembu. Setiap petak mengambil masa 30 hari untuk mencapai tahap matang sesuai bagi makanan lembu dan memberi hasil optimum. Baja organik dari kandang lembu dikitar semula ke padang rumput bagi memenuhi polisi organiknya.
Agropelancongan Dapat Pulangan Tinggi
Selain mendapat hasil dari jualan susu dan ekspot lembu baka, Chokchai Farm memberi tumpuan pada aktiviti agropelancongan. Pelancong dari dalam dan luar negara dikenakan bayaran untuk melihat situasi sebenar bagaimana susu diperah dan diproses. Mereka dibawa dengan trektor dan treler sepanjang lawatan yang mengambil masa 2 hingga 3 jam oleh pekerja dengan busana ala wildwest. Mereka mempamerkan kecekapan menunggang kuda dan menangkap anak lembu menggunakan lasso. Pengunjung turut dijemput untuk mencuba, satu pengalaman yang sukar ditemui di tempat lain. Malah bangunan steakhouse dan gerai-gerai menjual aiskrim, snek dan cenderahati mengguna tema yang sama. Pengunjung Chokchai Farm dapat melihat bagaimana susu diproses dan dibotolkan. Dipamer juga bagaimana produk lain berasaskan susu dihasilkan termasuk yogurt dan ais krim yang menjadi tarikan pengunjung kanak-kanak.
Dengan bilangan pelawat sekitar sejuta orang setahun dan purata bayaran masuk RM60 seorang, pulangan hasil tahunan sebanyak RM60 juta bagi sebuah projek agropelancongan tidak boleh diremehkan. Pelancong tidak mengambil apa-apa, hanya mengambil gambar dan tidak meninggalkan apa-apa kecuali jejak-jejak kaki. Ditambah dengan keuntungan jualan produk makanan, cenderamata, peluang pekerjaan yang dicipta serta limpahan ekonomi setempat, projek sebegini jelas membawa rahmat.
Farm Fresh Berhad, Malaysia |
Dua orang rakan karib dari etnik berbeza, Mr. Loi Tuan Ee dan En. Azmi Zainal membuktikan setiakawan dan keiklasan dapat membentuk satu perniagaan yang besar dan tidak tertanding orang lain.
Mr. Loi Tuan Ee pengasas Farm Fresh Berhad bekerja makan gaji selama 20 tahun dalam bidang pembungkusan dengan gaji yang lumayan. Bagi seorang budak kampung dari keluarga penoreh getah di Perak, bekerja dengan pendapatan RM500k setahun adalah suatu yang membanggakan. Tetapi jiwa kampung yang dekat dengan alam dan semangat keusahawanan yang berdarah-daging dalam hatinya sentiasa mahu bekerja sendiri.
Dibakar oleh suatu kejadian perbezaan pendapat dengan majikan mengenai kebajikan pekerja, Mr. Loi mengambil keputusan drastik meletak jawatan untuk menjadi usahawan. Ketika umurnya sudah capai fasa matang untuk belajar bidang baharu bukanlah perkara mudah. Mr. Loi belajar dengan mencuba menternak kambing, menanam buah naga malah mengusahakan kolam ikan Arowana untuk pasaran eksport. Semuanya melibatkan pasaran yang sangat niche dan sensitif kepada ekonomi semasa.
Semasa membuat penyelidikan mengenai pasaran susu kambing, Mr. Loi menemui satu kelompangan dalam pasaran susu. Selama ini pengguna di Malaysia hanya dihidangkan dengan susu tepung dan susu yang diolah semula. Hampir tiada susu segar ditawarkan kecuali oleh Jabatan Veterinar. Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun dalam bidang perniagaan, peluang besar seperti ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa diambil manfaat darinya.
Tanpa pengalaman mengenai industri ternakan lembu, dengan wang simpanan yang masih berbaki, Mr. Loi membeli sebidang tanah kecil dan membuka sebuah ladang ternak di Johor dan mengimport 60 ekor lembu susu baka Holstein Jersey. Dengan tagline untuk mengeluarkan susu asli semurni asalnya, bermulalah operasi Farm Fresh Sdn Bhd, tidak cukup tangan Mr. Loi dibuatnya. Siapa lagi yang diminta bantuan kalau bukan rakan karib. Mr. Loi menawarkan En. Azmi Zainal sebagai rakan kongsi dan membawa masuk Khazanah Nasional, sebuah badan epelaburan Kerajaan Malaysia selaku pelabur. Kombinasi tiga pihak ini menjadi pencetus kejayan berikutnya Farm Fresh Milk Sdn Bhd membeli 2 ladang penternakan lembu susu dan sebuah kilang pemprosesan di Australia bagi mengeluar susu yang lebih baik dan memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Produk dari ladang ini melahirkan 2 jenama susu segar baru iaitu Yarra dan Hendry Jones. Melalui jaringan penternak di luar bandar, Farm Fresh Bhd turut membeli hasil tenusu dan menjadi mentor, pencetus teknologi baru dan penasihat teknikal bagi penternak kecil di seluruh Malaysia.
Setelah lebih dari 10 tahun berada dalam pasaran FFB telah menguasai 42 peratus syer pasaran dalam kategori susu sejuk sedia untuk diminum (RTD).
Bersaing dengan jenama antarabangsa seperti Nestle dan Dutch Lady yang sudah lama bertapak di sini, sebagai pengeluar tempatan, pencapaian FFB ini sangat membanggakan dan perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik.
FFB telah pun membuka ladangnya di Selangor kepada pelawat. Orang awam boleh makan-minum dengan menu Itali, fusion Malaysia dan lain-lain produk berasaskan susu segar di restoran The Acre by Farm Fresh. Mungkinkah ini satu permulaan untuk menjadi destinasi agropelancongan terbesar ala Chokchai Farm?
Perbandingan dan Kesimpulan
Dua projek lembu tenusu ini mempunyai banyak persamaan walaupun bermula pada era yang berbeza dan lokaliti yang jauh, satu di Thailand dan satu lagi di Malaysia. Iltizam untuk berjaya dan membuat busines positioning yang tepat adalah kunci bagi pencapaian mereka. Kedua-duanya berjaya melihat kelompangan dalam permintaan pengguna dan berusaha memenuhinya. Pilihan mereka tepat apabila memilih untuk mengeluarkan satu produk yang tidak ada gantian. Dr. Chokcai bertukar dari penghasilan daging kepada produk susu yang lebih versetail dan mempunyai permintaan pasaran yang besar. Mr. Loi Tuan Ee berubah dari usahanya yang niche seperti menternak ikan Arowana dan menternak kambing kepada industri susu. Tepat pada masanya apabila kerajaan Malaysia tengah membangun industri susu.
Chokchai Farm mengambil sepenuh peluang atas perkembangan agropelancongan dengan menawarkan produk berteraskan pendidikan. Menjadi trend ibubapa memilih lokasi percutian yang memberi pengalaman baru kepada anak-anak, dekat dengan alam semula jadi dan berlatarbelakang yang unik untuk bergambar dan berkongsi dalam media sosial. Elemen ternakan lembu disatukan dengan tema wildwest memang dekat dengan hati pengunjung hasil dari pendedahan filem, siri televisyen dan iklan. Chokcai Farm mempergunakan sepenuhnya elemen ini dengan jayanya melalui restoran steakhouse dan gerai cenderamata yang dibina seperti zamannya (period building). Mereka bersusah-payah mencipta busana yang dipakai oleh staf menjadi sangat unik seperti filem koboi yang menjadi tarikan untuk bergambar dan mudah untuk viral, satu iklan percuma bagi Chokcai Farm.
Farm Fresh sudah mula membuka ladang tenusu untuk dilawati dan pengunjung menikmati hidangan berasaskan susu dan daging di restorn Italinya. Satu permulaan yang baik untuk menjadikan agropelancongan sebagai Cash Cow bukan hanya lembu susu yang sebenarnya sahaja!
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.