January 10 2024

Bunga Kantan Sekali Tanam Tuai Bertahun

Bunga Kantan Sekali Tanam Tuai Bertahun - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Bayangkan Laksa Penang atau Asam Pedas Melaka tanpa bunga kantan, pasti hambar atau resepinya sudah tidak ori  lagi. 

Pernah terjadi seorang pengusaha Laksa Penang di Padang Kota, menaiki teksi dari Pulau Pinang ke Changlon, Kedah kira-kira 150 kilometer jaraknya sekadar untuk mendapatkan bekalan bunga kantan bagi memasak kuah laksanya. 

Begitulah hebatnya penangan si ratu bunga merah jambu penyedap rasa dan pemberi aroma yang tiada pengganti ini.  Di musim-musim tertentu sukar diperolehi akibat kemarau atau banjir dan harga naik melambung sehingga RM4 - RM6 sekuntum.

Bunga Kantan (Eng. Torch Ginger) atau nama saintifik  Etlingera eliator dari famili Zingiberacea  (termasuk halia, lengkuas dan tepus) mempunyai beberapa warna. Selain warna merah jambu yang biasa dilihat terdapat juga yang berwarna merah dan putih, dua warna yang kerap diburu  untuk koleksi oleh peminat tanaman tetapi yang berwarna merah jambu juga menjadi pilihan untuk tujuan komersial. Bunga kantan menjadi ramuan verse tail untuk resepi masakan Melayu, Indonesia, Nyonya dan Thai. Resepi Mannok Pansoh di Sarawak dan Khengsom di Thailand tidak sah tanpa bunga kantan.

Kantan dituai sebelum kembang supaya dapat disimpan lebih lama.

 

Bahan Sebagai Membuat Minyak Aksiri

Bahagian lain seperti daun, batang dan akar juga boleh digunakan bagi pengeluaran minyak aksiri (essential oil) yang digunakan secara meluas bagi produk perubatan botani. Kandungan bio-kimia di dalamnya dipercayai dapat meneutralkan bahan toksik dalam badan, menghalang penyakit genetik, tinggi kandungan vitamin C dan sebagai anti mikrob.

 Sekuntum bunga kantan biasanya berharga antara RM1.50 hingga RM3. Di musim perayaan dan musim memutus selepas kemarau panjang harga akan naik sedikit. 

Kudup bunga boleh dipetik ketika berusia 4 hingga 7 hari atau apabila warna merah jambu muncul di bahagian hujung bunga dari warna putih dan mula kembang. Bunga yang sudah kembang penuh tidak mempunyai nilai komersial, dibiarkan untuk membentuk buah sebagai benih nanti atau dimusnahkan bagi menggalakkan bunga baharu tumbuh. Tangkai bunga dipotong 12cm – 16 cm di bawah pangkal bunga. Baki tangkai harus dipotong paras tanah untuk menggalak pembungaan selanjutnya.

Bagi menggalakkan pertumbuhan dan pembungaan, baja NPK biru diberi setiap bulan sebanyak 50g berselang-seli dengan baja kompos sebanyak 100g bagi setiap rumpun.

Menuai Selepas Penanaman 12 Bulan

Penuaian pertama akan diperolehi pada 12 bulan selepas ditanam tapi hasil kemuncak di tahun ke 2 lepas tanam dan boleh bertahan bertahun-tahun sehingga 25 ke 30 tahun jika dibaja dan selenggara dengan baik. 

 Pohon kantan tidak diserang serangga perosak mungkin kerana baunya tetapi penyakit kulat boleh menyerang jika pengudaraan tidak baik. Batang tua dan batang yang rebah perlu dicantas bagi kebersihan kebun dan mudah untuk menuai bunga. Daun dan batang ini boleh disusun sebagai sungkupan (mulching) bagi mengekal kelembaban tanah kerana kantan suka keadaan tanah yang lembab. 

Sungkupan juga boleh menggalakkan pertumbuhan koloni cacing dan bakteria baik. Vermicomposting (tahi cacing) hasil aktiviti cacing   dengan daun-daun reput adalah rahsia kenapa kantan terus subur dan dapat bertahan bertahun-tahun lamanya di suatu kebun dengan bantuan baja kimia yang sangat minima.

Anak benih dari pecahan rumpun disemai dalam polibeg untuk dapat kadar mandiri lebih baik.

 

Keluarga Zingiberacea yang lain turut menjadi koleksi kerana bentuk dan warna bunganya yang unik.

 

Tanam di Tanah Paya Gambut

Bagi memulakan tanaman kantan, tanah paya gambut yang dibuat saliran sangat sesuai. Jika terpaksa menanam di tanah liat atau berpasir, kandungan bahan organan dalam tanah mesti ditingkatkan dengan menambah baja kandang. Tahi ayam dan kambing didapati sangat berkesan bagi produksi bunga yang banyak. Boleh juga diusahakan di tebing tali air atau sungai yang subur dan lembab.  Jika tanah darat sistem pengairan menggunakan sistem titis atau sprinkler boleh digunakan.

Tanaman kantan boleh ditanam menggunakan rhizom dari rumpun pokok yang telah matang. Rhizom yang mempunyai 2 pangkal matang dan satu sulur muda boleh dibeli dari penanam yang sudah establish. Jika berhasrat menanam dengan keluasan yang besar, bolehlah dimulakan dengan beberapa rumpun dahulu sebagai sumber benih kemudian supaya dapat berjimat dari membeli sulur rhizom dengan banyak. Anak dari biji benih boleh digunakan tetapi mengambil masa yang lama (2 - 3 tahun) untuk matang. Rhizom mestilah dikorek dari pokok matang yang telah mencapai ketinggian lebih dari 15 kaki dan telah berbunga bagi memastikan ia terus vigorus. Jarak antara rumpun sekitar 6 kaki dan antara barisan 10 kaki adalah sesuai. Walau bagaimanapun, jarak ini boleh disesuaikan mengikut rupa bumi tanah dan akses untuk menuai kelak. 

Pasar tani tempat terbaik untuk mendapatkan bunga kantan yang segar.

 

Pengudaraan dan telusnya cahaya matahari perlu dipertimbangkan dengan baik supaya kebun berpotensi menghasilkan bunga yang banyak. Barisan tanaman biasanya dibuat arah utara- selatan supaya mendapat cahaya matahari yang maksimum.

Minima 30 bunga Dihasilkan Sebulan Tiap Rumpun

Setiap sebatang pokok kantan di fasa produktif boleh mengeluarkan 1-2 kuntum bunga dan satu rumpun besar mengandungi 15 ke 20 batang pokok yang produktif. Anggaran minima 30 kuntum bunga boleh dihasilkan dalam sebulan bagi tiap rumpun. Dengan harga purata RM1.50 bagi harga borong di kebun, serumpun boleh menjana RM45 sebulan. Jika kita hanya menamam 50 rumpun secara sambilan di tepi rumah, cukuplah sekadar buat belanja dapur untuk sebulan di samping mempunyai landskap yang cantik dan unik.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag