May 13 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Seorang pemuda dari Tanjung Piandang, Perak, patut menjadi contoh bagi seseorang yang hanya menternak kambing secara separuh masa tetapi telah memberikan pulangan yang memuaskan sejak tahun 2020.
Syazril bin Mohd Hir Azahari, yang juga seorang kakitangan awam, meluangkan 4 jam sehari untuk penjagaan kambing. Pendekatan beliau boleh menjadi rujukan untuk sesiapa yang ingin menternak kambing secara sambilan.
Persediaan Sebelum Mulakan Ternakan
Encik Syazril menekankan pentingnya minat untuk menternak sebagai asas utama untuk terlibat dalam penternakan kambing.
Pengalaman awal beliau semasa berada di Kodiang, Kedah, mendedahkannya kepada sekumpulan penternak kambing. Beliau membantu dalam penjagaan kambing, dan pengalaman ini telah digunakan untuk meneruskan usaha menternak di tempat beliau sendiri di Tanjung Piandang.
Bagi sesiapa yang ingin memulakan ternakan kambing, pengalaman awal atau pendedahan daripada mereka yang pernah terlibat adalah penting. Pengalaman semasa kecil, seperti membantu ibu bapa atau keluarga dalam menternak kambing, juga boleh menjadi pendorong untuk memulakan bisnes ini.
Minda seseorang penternak perlu terbuka dengan pelbagai cabaran yang perlu ditempuh selepas memulakan ternakan ini. Seseorang yang ingin terlibat dalam ternakan kambing perlu meluangkan masa setiap hari sekurang-kurangnya 4 jam untuk rutin memberi makan, menjaga dan membersihkan kandang, memantau kesihatan kambing, dan menguruskan khidmat jualan hasil ternakan.
Encik Syazril menerangkan bahawa penternakan kambing memerlukan masa 2–3 tahun untuk membangunkan kambing yang sihat dan pasaran yang stabil. Beliau perlu memberikan penjagaan berterusan setiap hari, termasuk hari cuti, dan memerlukan kesabaran untuk mengurus penyakit serta menumpukan perhatian kepada urusan pemasaran.
Strategi Penternakan Secara Kecilan
Strategi menternak kambing adalah dengan membesarkan kambing sehingga boleh dijual pada usia melebihi 1 tahun dan mencapai berat melebihi 40–80 kg.
Pendekatan Encik Syazril adalah dengan mendapatkan anak kambing ketika kecil dan membesarkannya dalam kandang hingga usia sesuai untuk dijual. Penjagaan kambing yang panjang boleh melibatkan kos yang meningkat, jadi perlu ada keseimbangan antara tempoh menternak dan masa sesuai untuk dijual.
Aspek Penting Ternakan Kambing
Kawasan yang sesuai perlu disediakan untuk pembinaan kandang. Lokasi kandang Encik Syazril tidak mengganggu penduduk setempat dan berhampiran dengan rumah kediamannya sendiri, memudahkan urusan penjagaan kambing. Sumber air untuk ternakan juga mudah diperoleh, dan sumber rumput terdapat di kawasan sekitar.
Pembinaan kandang juga diminimumkan. Beliau memperoleh bahan pembinaan daripada kayu-kayu terpakai yang dibeli dengan harga murah dan membina kandang sendiri. Kos membina kandang boleh menjadi tinggi sekiranya menggunakan bahan binaan baru dan mengupah pekerja untuk pembinaan kandang.
Oleh kerana harga pasaran kambing yang kompetitif dan adanya daging kambing import, modal perniagaan perlu diseimbangkan dengan jangkaan perolehan daripada jualan kambing. Oleh itu, modal pembinaan kandang perlu dikurangkan.
Pemilihan Baka Kambing
Encik Syazril menumpukan kepada baka Jamnapari dan Boer. Baka Jamnapari sesuai untuk pengeluaran daging. Jamnapari berasal dari daerah Uttar Pradesh, India, berhampiran Sungai Jamuna. Baka ini boleh menghasilkan kambing untuk susu dan daging, dan sesuai diternak di kawasan tropika. Oleh kerana berat kambing boleh mencecah 90 kg seekor, perolehan daripada jualan untuk hasil daging adalah baik. Secara fizikal, baka ini berbadan besar, bertelinga panjang berjuntai, dan berhidung berbonggol.
Kambing ini mempunyai sifat jinak dan tidak agresif, menjadikannya lebih mudah dikendalikan dalam sistem penternakan. Ini memudahkan Encik Syazril untuk memelihara, memeriksa kesihatan, dan menguruskan kandang. Tempoh pembesaran juga singkat untuk mencapai berat kambing yang sesuai, iaitu antara 60–90 kg.
Beliau juga memelihara kambing baka Boer. Kambing Boer berasal dari Afrika Selatan dan mula dikembangkan sekitar awal abad ke-20. Ia merupakan baka kambing pedaging yang terkenal dengan pertumbuhan pesat, kadar pembiakan tinggi, dan ketahanan terhadap pelbagai penyakit. Kambing Boer mudah dikenali melalui ciri fizikalnya yang berbadan besar, berbulu putih dengan kepala berwarna coklat kemerahan, serta telinga yang panjang dan meleret ke bawah.
Antara keistimewaan baka ini adalah keupayaan tumbesaran yang cepat, di mana anak kambing Boer boleh mencapai berat sehingga 35 kg dalam tempoh enam bulan. Selain itu, dagingnya berkualiti tinggi dengan kadar lemak rendah, menjadikannya pilihan utama dalam industri ternakan pedaging. Kambing Boer juga mempunyai daya tahan yang baik terhadap perubahan cuaca dan persekitaran, menjadikannya sesuai untuk penternakan di Malaysia.
Penyediaan Kandang
Kandang yang baik memastikan keselesaan dan kesihatan kambing. Beberapa aspek penting dalam pembinaan kandang ialah pembinaan kandang yang sesuai, pengudaraan yang baik, dan sentiasa kering dan bersih.
Pemakanan dan Nutrisi
Kambing yang sihat perlu diberi diet seimbang. Bekalan rumput dan makanan tambahan seperti dedak yang mengandungi jagung, gandum, dan soya boleh membantu pembesaran kambing. Air minuman yang bersih perlu mencukupi, dan penyediaan garam dan mineral blok boleh membekalkan mineral yang penting untuk kesihatan kambing.
Makanan campuran sendiri juga biasa dilakukan. Untuk campuran sendiri, beliau memasukkan rumput dan molases ke dalam dulang makanan. Rumput Napier juga digemari, tetapi penanaman rumput memerlukan ruang tanah yang dikhususkan. Pada masa ini, Encik Syazril memerlukan ruang yang lebih besar untuk penanaman rumput Napier.
Penjagaan Kesihatan Kambing
Kesihatan kambing mesti dijaga untuk elakkan kematian dan penyakit berjangkit. Beberapa langkah penting termasuk vaksinasi, rawatan parasit, dan pemeriksaan kesihatan yang perlu dilakukan secara berterusan. Kambing yang sakit juga perlu diasingkan untuk mengelakkan penyebaran penyakit.
Pengurusan Harian
Rutin harian beliau adalah memastikan makanan diberikan setiap hari sebanyak dua kali. Pada sebelah pagi, diberikan dedak yang dibeli, dan pada sebelah petang, beliau menyediakan rumput yang dimasukkan ke dalam bekas makanan yang disediakan.
Kandang juga perlu dibersihkan setiap hari, melibatkan penyapuan najis di lantai kandang dan pengumpulan najis yang terkumpul di bawah kandang untuk dibakar atau dijadikan baja organik untuk kegunaan hasil pertanian yang lain.
Beliau juga memantau kesihatan kambing dan mengesan tanda-tanda penyakit awal.
Strategi Pemasaran
Untuk memastikan penternakan berjaya, pemasaran adalah aspek yang tidak boleh diabaikan. Encik Syazril memasarkan kambing secara langsung dengan menjual terus kepada pengguna atau restoran. Beliau juga menjual kepada pemborong dan peraih dalam kuantiti besar.
Pemasaran secara atas talian menggunakan media sosial juga boleh menjangkau lebih ramai pelanggan.
Untuk meneruskan ternakan kambing dengan lebih berjaya, beliau berdaftar dengan agensi kerajaan untuk mendapatkan bantuan dan insentif yang diberikan dari semasa ke semasa.
Kesimpulan
Pendekatan Encik Syazril dalam menternak secara kecil-kecilan di kawasan sekitar tempat beliau tinggal adalah usaha yang baik untuk membantu meningkatkan pengeluaran daging kambing tempatan.
Dengan membeli anak kambing dan membesarkannya dalam kandang, hasil perolehan boleh diperoleh dalam tempoh 1 hingga 2 tahun. Beliau juga menekankan pentingnya keseimbangan antara kos pembinaan kandang, pemakanan, dan usaha memasarkan hasil yang terancang.
Dengan perancangan yang teliti dan pengurusan yang baik, penternakan kambing boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan serta berdaya maju dalam jangka panjang. Menternak kambing dapat meningkatkan produktiviti dan keuntungan penternak.
Selain itu, Encik Syazril sentiasa belajar dan menambah pengetahuan tentang penternakan kambing melalui kursus atau bimbingan pakar, yang penting untuk memastikan kejayaan jangka panjang.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.