January 15 2024

Bajet 2024 Memangkinkan Industri Sawit

Bajet 2024 Memangkinkan Industri Sawit - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Bajet 2024 memberi harapan baru kepada sektor perladangan sawit terutama kepada pekebun kecil. Kerajaan memperuntukkan beberapa insentif bagi memajukan industri sawit.

Mengikut Ketua Pengarah Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, mekanisasi ladang dan automasi sangat penting dalam perladangan sawit bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan kepada buruh asing. MPOB terus mencari jalan agar matlamat ini tercapai. Bajet 2024 memberi insentif cukai kepada sektor perladangan bagi meningkatkan pengeluaran dan kebergantungan kepada tenaga buruh. Peruntukan berupa insentif cukai telah diwujudkan bagi menggalakkan kepada penggunaan teknologi tinggi seperti penggunaan dron dan kenderaan tanpa pemandu dalam ladang sawit. Penggunaan teknologi tinggi dapat meningkatkan pengeluaran Tandan Buah Segar (FFB) pada masa yang sama dapat menarik penglibatan pekerja tempatan.

Mekanisasi & Automasi Menarik Pekerja Tempatan Terlibat

Ketua Pengarah MPOB berpendapat sektor perladangan sawit bergantung sepenuhnya kepada bekalan buruh. Semasa wabak Covid-19, industri sawit hampir lumpuh apabila kerajaan melarang kemasukan buruh asing bermula Mac 2020 hingga Julai 2022. Industri sawit telah mengalami kekurangan 55,000 orang pekerja pada Disember 2022. 

Keputusan kerajaan membuka semula sekatan kemasukan buruh asing telah meringankan tekanan keperluan buruh dalam beberapa sektor namun industri sawit terus dibelenggu dengan masalah ketidakcukupan buruh secara berterusan. Pekerja asing terutamanya dari Indonesia hanya mahu bekerja kurang dari 3 tahun bagi setiap kali kemasukan menyebabkan kadar pertukaran pekerja yang tinggi di dalam industri sawit. 

Pada bulan Ogos 2023, kekurangan pekerja yang dilaporkan oleh ladang-ladang ialah 41,733 orang, turun 24 peratus berbanding pada Disember, 2022 apabila kerajaan membuka kembali sekatan kemasukan buruh asing. Kerajaan sejak sekian lama telah menggalakkan automasi tapi perlaksanaannya di peringkat ladang lambat diambil tindakan terutama bagi aktiviti penuaian mengakibatkan hasil FFB berkurang. Mengikut statistik MPOB, purata pengeluaran FFB merosot 7 peratus kepada 15.49 metrik tan per hektar daripada 16.73 metrik tan per hektar pada 2020.

Perlaksanaan mekanisasi ladang dan automasi boleh menyerap impak kekurangan buruh asing pada masa yang sama boleh merubah persepsi negatif belia tempatan terhadap pekerjaan dalam industri sawit yang selama ini dilihat sebagai bidang kerja yang memeras keringat dan tenaga. Mekanisasi dan automasi bukan saja meningkatkan produktiviti malah dapat menarik pekerja tempatan untuk terlibat sama dalam industri. 

Ketua Pengarah berpendapat bahawa kenderaan pandu sendiri boleh meringan kerja memuat dan memunggah FFB. Menyembur racun dan menabur baja boleh dilakukan melalui kawalan jauh yang tidak memenatkan operatornya. Teknologi ini telah lama digunakan di luar negara boleh dipakai dalam sektor sawit untuk meningkat pengeluaran dan kualiti. Sektor swasta mesti bekerjasama dengan kerajaan untuk merekacipta teknologi yang sesuai bagi mempertingkatkan operasi perladangan. Sektor sawit menghadapi masalah merekrut pekerja yang mahir dalam bidang automasi. Oleh itu insentif bagi menarik pekerja berkemahiran tinggi ke dalam sektor ini perlu dipertimbangkan. 

Insentif Program Tanam Semula Bantu Kebun Kurang Produktif

Sementara itu, tindakan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta berupa pinjaman dan geran sebagai insentif program tanam semula kepada 7,000 pekebun kecil dapat membantu mereka menanam semula kebun yang berhasil rendah dan kurang produktif. Kawasan sawit yang pokoknya berumur lebih dari 25 tahun dianggarkan seluas 560,000 hektar menjelang 2027. Jika tidak ditanam semula, ianya akan mengurangkan hasil FFB dengan kerugian sehingga RM7 bilion setahun. Oleh kerana pelaburan permulaan yang tinggi, pekebun kecil melambat-lambatkan kerja tanam semula hingga hasil terus berkurang tahun demi tahun. Pendapatan mereka terus berkurang begitu jugalah dengan hasil negara. 

Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir: peruntukan bajet 2024 meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada buruh, mempromosi penggunaan teknologi dan meningkatkan taraf hifup pekebun kecil.

 

Ketua Pengarah MPOB mengalu-alukan tindakan kerajaan memberi peruntukan yang begitu besar dalam bajet 2024 kepada industri sawit. Menurut beliau, ini akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada buruh, mempromosi penggunaan teknologi dan meningkatkan taraf hidup pekebun kecil. Tindakantindakan ini akan membantu secara jangka panjang pertumbuhan industri sawit yang mampan dan menarik perhatian lebih ramai tenaga kerja untuk turut melibatkan diri dalam industri sawit di Malaysia.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag